Bab 42

Thriller Series 1360

Tepat pukul 5.30 petang. Jarum panjang dan jarum pendek bertindih, macam degup jantung aku yang laju nak mampus.

Kerusi berkeriut bila aku bangun. Tangan aku terus capai beg, sumbat semua barang atas meja kerja tanpa hirau susun atur. Tak kisah kalau pen itu tercampak, yang penting aku cepat.

Langkah aku laju, tumit kasut ketuk lantai pejabat macam metronom yang tak sabar habis lagu. Seorang staf lalu sebelah, aku sempat senyum nipis senyum yang dibuat-buat. Bukan aku peduli pun.

Pintu jabatan HR terbuka, aku lintas tanpa toleh. Lif di hujung koridor seolah menunggu aku. Aku tekan butang, jari aku berpeluh. Misi aku sekarang cuma satu. Bukan untuk balik rumah. Bukan untuk rehat.

Tapi untuk ekor Ezrik. Ke mana dia selalu hilang setiap kali habis kerja. Ke mana dia hilang sampai sanggup tak balik rumah.

Lif berdenting. Pintu terbuka macam mulut yang sedia telan aku masuk. Aku melangkah, tekan butang 'B3'. Basement paling bawah. Tempat kereta aku tunggu, kereta yang jadi senjata aku hari ini.

Lampu lif malap. Bau karpet lembap. Setiap saat terasa panjang, macam sengaja lambatkan aku daripada capai misi. Aku gigit bibir, tangan genggam tali beg.

Bila pintu terbuka, hawa sejuk dari basement terus menggigit kulit. Bau minyak enjin dan getah tayar bercampur. Aku melangkah laju, derap kasut bergema dalam ruang kosong. Axia putih aku terparkir di hujung, di bawah cahaya lampu kalimantang yang berkelip-kelip.

Kunci pintu aku tekan, bunyi beep dan lampu hazard menyala. Aku masuk, duduk, dan terus hidupkan enjin. Tangan aku letak di stereng, mata aku fokus pada laluan keluar.

Hari ini... aku akan ikut Ezrik sampai aku tahu semua rahsia dia. Aku pandu Axia keluar dari petak, masuk lorong gelap yang membawa ke pintu pagar keluar. Tapi aku tak terus tunggu di depan sebab bahaya kalau dia nampak.

Aku belok ke kanan, berhenti di bahu jalan kira-kira seratus meter dari simpang masuk syarikat. Enjin aku biar hidup, pendingin hawa menderu. Jari aku mengetuk stereng ikut degup jantung sendiri.

Mata aku tak lepas dari cermin sisi. Lampu jalan malap. Kenderaan keluar masuk sekali-sekala.

Dan akhirnya... aku nampak. Toyota Vios hitam. Plate number yang aku hafal luar kepala. Lampu hadapan dia menembusi gelap macam sepasang mata yang tak pernah senyum pada aku.

Ezrik Aslan.

Dia lalu depan aku tanpa sedar aku ada. Aku tunggu dua kereta jarak di belakang sebelum tarik stereng dan masuk semula ke jalan.

Hari ini, aku akan ikut dia sampai ke hujung dunia kalau perlu. Aku jaga jarak. Dua, kadang tiga kereta di antara kami. Lampu belakang Vios hitam itu jadi kompas aku. Dia pandu tenang, macam orang yang tak pernah rasa ada mata lain sedang mengintip setiap gerak.

Jalan keluar Kuala Lumpur makin lengang. Ezrik membelok ke arah Gombak. Aku kerut dahi. Sah, dia bukan balik rumah. Makin jauh, makin sunyi. Deretan rumah kedai bertukar jadi lorong-lorong sempit berlampu kekuningan. Vios itu masuk ke kawasan perumahan teres lama. Jalan di sini sempit, tapi bersih. Pokok besar berdiri di tepi jalan, daunnya bergoyang perlahan kena angin maghrib.

Ada taman permainan di tengah kawasan gelongsor plastik warna pudar, buaian berdecit bila angin tolak perlahan. Suasana aman damai... terlalu damai untuk hati aku yang tengah berkecamuk.

Ezrik perlahan-lahan masuk ke satu lorong, parkir di depan sebuah rumah setingkat yang terjaga rapi. Cat dindingnya masih baru, lampu ruang tamu terpasang, bayang orang bergerak di dalam.

Aku matikan lampu depan, parkir jauh sedikit. Nafas aku berat. Siapa yang dia jumpa di sini?

Dari jauh, aku nampak dia keluar dari Vios. Langkah dia santai, macam tak ada apa nak disembunyikan. Bahu lebar itu bergerak tenang di bawah cahaya lampu jalan yang malap.

Dia berdiri di depan pintu pagar rumah setingkat itu. Tangan dia capai selak, pintu pagar terbuka tanpa bunyi. Dia masuk, langkahnya yakin... seolah memang itu tempat dia selalu pulang.

Aku telan liur, mata tak berkelip. Dia sampai di depan pintu utama, keluarkan kunci dari poket. Bunyi klik kunci memecah senyap malam. Pintu kayu itu ditolak perlahan. Cahaya dari dalam rumah tumpah keluar, menelan bayang tubuhnya.

Dan dia... hilang dari pandangan aku. Jari aku mencengkam stereng sampai putih buku. Geram. Marah. Cemburu. Apa yang ada dalam rumah itu sampai Ezrik sanggup tak balik? Siapa yang tunggu dia di dalam?

Rasa macam ada sesuatu yang Ezrik cuba sembunyikan dan aku... aku akan pastikan rahsia tu terbongkar.

Aku tak boleh duduk diam. Nafas aku berat, jantung berdegup laju macam nak pecah. Enjin aku matikan, kunci aku sumbat dalam beg. Pintu kereta aku buka perlahan, tumit kasut aku sentuh jalan tar.

Angin malam menyapa, bawa bau tanah basah. Aku berjalan menunduk, langkah aku perlahan... membelah senyap. Rumah itu corner lot, pagar sisi menghala ke lorong sunyi. Senang untuk aku bergerak tanpa orang nampak.

Aku sampai di tepi, berhenti di depan tingkap pertama. Kaca gelap, langsir tebal ditarik rapat. Tak ada celah. Tak ada cahaya. Aku rapatkan muka, cuba intai, tapi yang aku nampak cuma bayang aku sendiri.

Sunyi seperti rumah itu tak berpenghuni. Aku beralih ke tingkap kedua. Sama. Langsir terkunci rapat. Tak ada bunyi, tak ada bayang. Aku cuba lagi di hujung tingkap terakhir di sisi rumah. Tetap sama.

Rasa geram naik ke kepala. Nafas aku kasar. Apa yang Ezrik buat dalam rumah ini kalau semuanya tertutup macam kubur?

Akhirnya aku terpaksa mengalah. Aku berundur, melangkah semula ke arah kereta, tapi rasa tak puas itu menjerut aku macam tali yang tak mahu longgar.

Aku tak tunggu lama. Kalau aku terus berdiri di sini, risiko dia nampak aku terlalu tinggi. Aku berpaling, langkah aku panjang dan pantas, tapi masih cukup senyap untuk tak menarik perhatian.

Bayangan kereta aku muncul di hujung jalan. Axia putih itu tiba-tiba terasa macam satu-satunya tempat selamat aku sekarang. Setiap langkah ke arahnya disertai sumpah dalam hati aku akan datang semula. Aku akan tunggu, aku akan perhati, dan aku akan tahu siapa yang duduk dalam rumah teres sialan itu sampai Ezrik sanggup abaikan aku.

Tangan aku tarik pemegang pintu, masuk dan hempas pintu kuat sikit daripada biasa. Bau fabrik kerusi kereta menyambut aku, tapi langsung tak menenangkan.

Enjin aku hidupkan, lampu papan pemuka menyala, tapi hati aku masih gelap. Marah, curiga dan rasa macam aku sudah mula main permainan yang aku sendiri tak tahu pengakhirannya.

Aku tekan pedal minyak, kereta meluncur keluar dari kawasan perumahan itu. Lampu jalan berlari di cermin sisi, tapi pandangan aku kabur kerana air mata tumpah tanpa sempat aku tahan.

Sakit hati ini macam digigit dari dalam. Macam ada tangan yang cekik jantung aku, perah sampai tak ada sisa udara.

"Apa kurang aku, Ezrik?!" suara aku pecah dalam kabin Axia, bergema balik pada diri sendiri.

BUKKK!!!

BUKKK!!!

Aku hantuk stereng sekali, kuat, sampai hon berbunyi panjang. Nafas aku laju. Marah menelan semua logik. Dia tak pernah pandang aku macam aku isteri dia. Tapi untuk rumah itu... dia boleh datang, berkali-kali, sampai sanggup tak balik.

Air mata aku makin lebat. Aku tak peduli kalau maskara aku comot. Aku jerit lagi, kali ini lebih kuat, sampai tekak terasa pedih.

“Arrggghhhh!!!”

Kereta terus meluncur, tapi hati aku sudah sangkut di rumah teres itu dan aku bersumpah, rahsia itu akan aku bongkar... walau apa pun harga dia.

Bunyi dering memecah bunyi enjin dan tangisan aku. Aku kesat mata dengan belakang tangan, capai telefon dari seat sebelah.

Nama di skrin buat aku terhenti sekejap. Arif.

Aku tekan jawab, cuba betulkan suara. "Hello, abang..." aku cuba bunyikan nada lembut, seolah dunia aku sempurna.

"Lily, sihat? Macam mana kau dengan Ezrik?" suara Arif tenang, tapi aku kenal nada dia selalu nak korek cerita.

Aku senyum palsu walaupun dia tak nampak. "Kami okay, bahagia je. Ezrik pun baik-baik saja." Padahal hati aku tadi baru nak pecah.

Arif ketawa kecil. "Baguslah. Hujung minggu ni aku nak ajak kau dengan Ezrik keluar makan malam bersama Ibu. Lama kita tak lepak sama-sama."

Aku pura-pura teruja. "Eh, seronoknya. Nanti Lily confirm datang." Bibir aku melengkung, tapi dalam hati... senyum itu langsung tak sampai ke jiwa.

Telefon aku letak semula. Jalan terus terbentang, tapi kepala aku penuh dengan dua perkara iaitu rahsia rumah itu, dan kenapa Arif tiba-tiba nak kami berempat duduk semeja.

Panggilan tadi tamat, tapi hati aku langsung tak reda. Malah makin membuak. Aku genggam stereng sampai sendi jari terasa sakit. Nafas aku berat, panas.

"Bodoh kau, Ezrik!" aku jerit dalam kereta, suara aku memantul pada tingkap tertutup. Air mata kembali mengalir, kali ini bercampur marah.

"Aku isteri kau! Tapi kau... kau buat aku macam orang asing!"

Aku tekan pedal minyak lebih dalam, bunyi enjin meraung. Jalan depan kabur sekejap bila mata aku berair. Aku rasa macam nak hentam apa saja di depan aku.

Geram ini bukan setakat di hati, tapi sudah jadi bara yang membakar setiap inci darah aku. Dan bara itu... aku akan lepaskan. Cepat atau lambat, Ezrik akan rasa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience