Bab 40

Thriller Series 1360

Jam di dinding berdetik perlahan, jarum panjang baru melepasi angka dua belas. Pendingin hawa mendesah lembut, menolak udara sejuk ke seluruh bilik.

Aku baring di atas katil king, tangan kiri di belakang kepala, mata terpaku pada siling. Di bilik sebelah, Lily sudah lena.

Bunyi TING memecah senyap. Skrin telefon di meja sisi berkelip. Aku capai, buka kunci. Satu DM baru di Instagram balasan untuk story yang aku post siang tadi. Gambar profil seorang perempuan muda, rambut panjang, senyum yakin. Ayatnya ringkas:

"Hai encik, saya berminat untuk jaga orang sakit 24 jam. Bila boleh mula?"

Jari aku berhenti di skrin. Mata aku sempat imbas lagi sekali wajah dia di gambar profil. Muda. Mungkin awal dua puluhan. Senyum dia lebar, tapi mata dia penuh keyakinan macam dia percaya boleh hadap apa saja.

Aku sengih perlahan. Dalam kepala, roda mula berpusing. Kerja ini bukan untuk semua orang cuma untuk yang cukup bodoh atau cukup berani untuk masuk sangkar aku.

Aku taip balas, setiap perkataan dipilih hati-hati. "Kita jumpa lusa. Saya akan jelaskan syarat kerja."

Hantar!

Telefon aku letak semula di meja. Mata aku pejam, tapi otak masih hidup fikir tentang Ghea, tentang Lily, dan tentang satu-satunya lelaki yang masih bernafas dari geng 4 jahanam iaitu Arif.

Aku skrol semula ke DM lain yang masuk. Ada beberapa nama lagi, ada yang tulis panjang berjela pasal pengalaman kerja, ada yang hantar gambar macam nak masuk pertandingan ratu cantik, ada yang terus tanya berapa gaji tanpa salam.

Aku baca sepintas lalu, sudah boleh tapis separuh. Bising, cerewet, atau terlalu nak glamour semua itu buang masa.

Aku kembali pada profil perempuan tadi. Wajah dia polos. Senyum dia bukan jenis plastik untuk media sosial. Tak ada gambar posing tak tentu hala. Ada gambar dia dengan mak ayah, ada gambar dia suap adik kecil. Caption dia pun ringkas, bukan jenis cari perhatian.

Macam baik. Macam orang yang tak akan banyak soal kalau aku suruh buat kerja. Macam boleh diharap untuk jaga Ghea.

Aku ketuk skrin sekali lagi, buka balik DM dia. Jari aku taip ringkas:

"Boleh kita jumpa lusa, pukul 8 malam. Saya akan hantar alamat."

Hantar. Senyum aku nipis. Kalau dia betul-betul macam yang aku nampak, Ghea mungkin akan ada mata tambahan untuk perhatikan dia bila aku keluar

Telefon aku letak semula di meja sisi. Aku bangun, jari menarik hujung t-shirt yang melekat longgar di badan. Kain itu melurut ke atas, melepas dari kulit, lalu aku campak ke lantai tanpa peduli.

Tinggal boxer hitam yang membalut pinggang. Udara sejuk dari pendingin hawa menyentuh kulit aku, buat setiap otot halus di perut dan lengan terasa tegang.

Badan aku tak besar berotot sado, tapi fit garis otot di perut jelas, dada kemas tanpa lemak berlebihan. Bahu lebar, tapi tidak keterlaluan. Kulit aku licin, bersih, dengan urat halus di lengan yang menonjol bila tangan digenggam.

Pantulan tubuh aku di cermin almari sebelah katil buat aku senyum nipis. Aku tahu ramai yang fikir lelaki seksi kena besar berketul-ketul, tapi hakikatnya... cukup dengan bentuk badan yang kemas, tulang selangka yang timbul, dan cara berdiri yang betul itu sudah cukup buat orang tak berkelip.

Aku matikan lampu bilik, baring semula di atas katil, boxer saja menemani. Mata aku pejam, tapi kepala aku masih ligat kerana dalan minggu ini, pembantu baru akan datang... dan satu langkah lagi menuju Arif akan bermula.

Bunyi kaca pecah memotong sunyi malam. Aku buka mata, berkerut. Nafas aku keluar kasar. Baru nak lena, ada juga yang cari pasal.

Aku bangun, kaki melangkah malas tapi berat. Pintu bilik aku tolak, cahaya putih dari dapur terus masuk, silau di mata.

Lily berdiri di tengah dapur, kaki terhenti di antara serpihan kaca yang berselerak di lantai. Wajah dia kosong, tapi aku tahu dia sedar apa dia buat.

"Aku dah cakap, jangan sentuh gelas tu lagi. Ini kali kedua kau pecahkan gelas aku." Nada aku keras, tak peduli dia tengah berdiri di atas lantai sejuk.

Dia menunduk sedikit. "Lily cuma nak minum... dahaga."

Aku hembus nafas panjang, buka peti sejuk. Ambil gelas baru dari kabinet, tuang air sejuk sampai hampir penuh. Bunyi air ketuk kaca jadi satu-satunya suara di dapur.

Aku hulur gelas itu pada dia, tangan aku kaku. "Nah ambil ni dan minum. Lepas tu tidur."

Dia ambil perlahan, jari dia sentuh hujung tangan aku, tapi aku tak layan. Mata aku kekal tajam, tunggu dia berpaling sebelum aku mula capai penyapu untuk kemas serpihan yang dia tinggalkan.

Lily ambil gelas itu, tapi mata dia tak terus pandang air. Pandangan dia meleret, perlahan-lahan naik dari pergelangan tangan aku ke lengan, bahu, dan terus ke dada aku yang terdedah.

Aku sedar. Boxer hitam yang aku pakai cuma cukup untuk tutup yang perlu, selebihnya biar udara sejuk bilik kena kulit.

Dia cepat-cepat tarik pandangan, tapi bukan sebelum aku nampak pipinya mula merah.

"Kau kenapa, Lily?" aku sengaja condong sedikit, suara rendah tapi menikam. "Tengok aku macam tu?"

Dia geleng kepala laju, bibirnya terkunci. "Tak... tak ada apa."

Aku senyum nipis, senyum yang dia tak akan tahu maksud sebenar. Tangan aku capai penyapu, mula tarik serpihan kaca di lantai. Dia masih berdiri di situ, menggenggam gelas air, mata cuba lari tapi aku tahu... bayangan aku sudah lekat dalam kepala dia.

Aku sapu kaca yang berselerak, bunyinya berderak di atas lantai marmar. Kepala aku cuma fikir nak kemas cepat dan masuk tidur balik.

Tiba-tiba, ada tangan melingkar di pinggang aku. Pelukan erat, macam tak nak lepas.

"Apa lagi kau ni, Lily?!" aku maki, suara aku keras.

Dia tak lepaskan. Nafasnya laju, terasa di belakang badan aku. "Lily cintakan abang... tapi kenapa abang sanggup buat Lily macam ni?"

Aku berhenti sapu, tapi tak berpaling. Mata aku pandang ke lantai, rahang aku mengeras.

"Sudah sebulan lebih kita kahwin..." suaranya pecah, "...tapi Rik tak pernah sentuh Lily langsung."

Tangan dia genggam lebih kuat di pinggang aku, seolah-olah cuba paksa aku berpaling tapi aku kekal berdiri tegak, tangan aku masih pegang batang penyapu, menahan diri daripada tolak dia jauh.

Dalam kepala, aku teringat semula aku kahwin dengan Lily bukan untuk menyentuh dia. Kahwin dengan Lily adalah untuk membunuh dia perlahan-lahan. Aku mahu balas dendam. Itu tujuan aku.

Aku berpaling. Tangan aku letak di bahu Lily, genggaman cukup kuat untuk dia rasa aku tak suka diperlakukan macam ini.

Tiba-tiba, jemarinya naik ke dada aku. Sentuhan perlahan, berani, tapi aku nampak getar halus di hujung jarinya.

Aku pandang tepat ke matanya. "Aku tak pernah... bernafsu dengan kau, Lily." Suara aku rendah, tapi setiap perkataan jatuh macam batu.

Dia gigit bibir, tapi tangan dia tak berhenti. "Tak apa... walaupun Rik tak cintakan Lily... Lily nak Rik sentuh Lily malam ni."

Aku kaku sekejap. Bukan sebab terpengaruh, tapi kerana pelik macam mana orang boleh sanggup rendahkan diri untuk lelaki yang jelas tak akan balas? Pandangan aku makin keras, sementara tangan dia masih di dada aku, menunggu jawapan yang dia tak akan suka dengar.

Tiba-tiba Lily pegang pergelangan tangan aku. Tanpa ragu, dia bawa tangan aku ke dadanya sendiri, tekan perlahan seolah-olah mencabar.

Aku terkejut bukan sebab teruja, tapi sebab berani dia buat macam itu. Dalam sekelip mata, aku tarik tangan aku semula, jauh dari tubuhnya.

"Kenapa, Rik?" matanya mencari jawapan. "Abang tak suka ke?"

Aku diam, pandangan aku tajam, nafas aku turun naik perlahan.

Dia sambung, suara bergetar tapi penuh tekad. "Lily sanggup serahkan tubuh Lily untuk Rik... lagi pun, Rik adalah suami sah Lily."

Aku ketap rahang. Dalam hati, aku ulang lagi sekali aku kahwin dengan dia bukan untuk menyentuh dia. Aku kahwin dengan dia untuk buat dia menyesal setiap hari dia hidup dan sekarang, dia masih tak nampak permainan ini.

Aku ketawa kecil, ketawa yang tak ada rasa gembira langsung. "Kau ingat... sebab kau isteri aku, aku wajib sentuh kau? Lily, kau silap besar."

Dia terkedu, matanya mula berkaca.

"Aku tak peduli kalau kau berdiri depan aku tanpa sehelai benang pun... aku tetap tak akan berminat. Bukan sebab aku tak ada nafsu, tapi sebab kau bukan orang yang aku nak."

Bahunya jatuh perlahan, tapi aku tak berhenti. Aku langkah setapak ke depan, biar dia rasa setiap perkataan aku macam tikaman.

"Kau boleh catwalk telanjang keliling rumah ni setiap hari, aku tetap akan pandang kau macam kau tak wujud. Sebab dalam mata aku, kau cuma perempuan yang kebetulan aku kahwin untuk sebab lain... dan sebab tu langsung tak ada kena-mengena dengan cinta, atau nafsu."

Dia telan liur, air mata mula jatuh tapi aku masih tak berganjak.

"Kau nak tahu apa yang lagi hina? Aku lebih sanggup tidur sendirian seumur hidup daripada sentuh kau walau sekali dan kalau aku sentuh pun... itu bukan sebab aku mahukan kau. Itu sebab aku nak kau rasa jijik dengan diri sendiri sampai kau tak berani pandang cermin."

Dia terdiam, hanya bunyi sedu kecil pecah di antara kami. Aku pandang dia sekejap, kemudian berpaling, tinggalkan dia berdiri dengan sisa maruah yang aku koyakkan sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience