9 Tahun Lalu.
Aku terhumban ke atas jalan tar. Tapak tangan aku tahan badan, tapi lutut aku tetap gesel dengan batu. Pipi aku pedih, rasa simen tar itu meresap sampai tulang.
Depan aku, tiga orang lelaki berdiri macam tunggul jalan. Salah seorang tunduk, cekak kolar baju aku. Nafas dia bau rokok basi.
"Kalau kau tak bayar esok, aku bunuh kau!" Suara dia tebal, sumbat terus ke telinga aku. Aku tak balas. Tak ada tenaga.
Aku pinjam duit bulan lepas. Bodoh. Duit habis bayar yuran, buku, makan, hidup memang tak pernah cukup.
Lelaki bertubuh gempal itu angkat penumbuk. Satu tumbukan lagi hinggap tepat pipi aku. Rasa besi, rasa tanah, rasa malu.
Sebelum dia sempat tumbuk lagi, satu suara perempuan potong malam.
"HOI! KAU LEPASKAN DIA!"
Suara yang aku kenal. Nafas aku terus sangkut. Aku toleh. Ghea.
Dengan t-shirt longgar, seluar lusuh, rambut separuh terburai. Gila ke dia datang sini? Dia berlari. Dia tolak lelaki gempal itu. Tubuh dia kecil tapi berani dia tak pernah muat akal aku.
"Kau jangan sentuh dia!" Jerit Ghea. Suara dia pecah jalan sunyi.
Lelaki gempal itu terundur sikit. Dia gelak. Dua ekor lagi di belakang pasang badan.
"Kau siapa? Jangan sibuklah perempuan!" bentak sorang lagi.
"Boyfriend kau tu tak bayar hutang! Kalau tak bayar, mampuslah dia!"
Ghea pandang aku. Mata dia cari mata aku. Dia angkat beg galas, seluk tangan. Laju.
"Aku ada duit!" suara dia keras. "Aku bayar sekarang!"
Dia campak sampul surat ke dada lelaki gempal itu. Sampul terjatuh, lelaki itu kutip. Dia koyak, seluk. Keluarkan not RM50 dan senyum.
"Ok. Dah setel." Dia sengih depan aku. Baling balik sampul kosong ke tanah. Mereka bertiga beredar tinggal aku, Ghea, jalan tar, dan maruah aku yang sudah koyak.
"Kalau kau muncul lagi, aku sendiri kerat leher korang!" Ghea jerkah. Dia angkat tangan, tunjuk jari tengah biar jelas satu lorong nampak.
Lelaki gempal itu sempat jeling, sengih sipi tapi dia pergi juga, penakut tak cukup modal.
Ghea pusing badan, langkah ke aku. Dia cekak lengan aku, tarik macam nak tanggal bahu. Badan aku terangkat berdiri, lutut aku goyah. Dia pegang rahang aku kasar. Ibu jari dia tekan dekat lebam pipi aku. Sakit, tapi aku diam.
"Bodoh, kenapa kau pinjam duit?!" Suara dia bergetar. Mata dia renung lebam aku. Dekat. Nafas dia laju. Bau syampu mahal. "Aku boleh settle untuk kau, Rik... kenapa kau bangang sangat?!"
Aku diam. Lidah aku kelu. Malu lagi besar dari sakit lebam. Ghea masih pegang rahang aku. Mata dia tikam anak mata aku.
"Hoi! Kau dengar tak apa aku cakap?!" Suara dia meletup lagi sekali. Dia lepaskan tangan, tapi tangan lain tarik lengan aku.
Perlahan-lahan dia paksa aku jalan. Aku separuh heret kaki, lutut masih perit. Dia papah aku ke motor buruk aku, Honda EX5 dengan seat koyak, pelekat kolej pun sudah lunyai.
"Biar aku yang bawak kau balik." Nada dia jatuh sikit. Masih marah, tapi ada bunyi risau yang dia tak reti sorok.
Dia duduk atas seat depan. Tangan dia cari kunci, selamba sumbat dalam lubang kunci motor aku. Dia toleh sikit. Rambut dia berterabur, mata masih marah.
"CEPATLAH NAIK." Suara dia tak tunggu.
Aku diam. Aku naik. Duduk belakang Ghea. Tangan aku jatuh kat peha sendiri, tak reti nak pegang pinggang dia. Dia start motor. Bunyi enjin batuk-batuk, tapi hidup jugak macam nyawa aku.
***
Motor berhenti depan rumah sewa aku. Rumah batu setingkat, cat pun sudah tanggal macam reput.
Aku turun perlahan. Lutut masih rasa sengal.
Ghea turun dulu. Dia rampas beg galas aku dari tangan aku.
"Biar aku pegang beg kau." Suara dia tak minta izin. Terus dia sumbat beg aku atas bahu dia bahu yang sudah penuh dengan beg dia sendiri. Nampak beban itu, tapi muka dia tetap keras.
Mata aku tersangkut kat motor parkir tepi tangga rumah. Motor kawan serumah aku, penyangak sama macam aku, cuma nasib dia belum kena tumbuk lagi.
Ghea perasan aku tercegat. Dia tarik lengan baju aku macam tarik budak degil.
"Jalanlah." Dia heret aku ke pintu. Dia tak ketuk, tak bagi salam selamba tangan dia tekan tombol, tolak pintu sampai berderit.
"Hoi! Sial terkejut aku!" Aiman melompat dari sofa, kain tuala saja terlilit pinggang. Tv masih terpasang bunyi drama Melayu pekik-pekik. Dia pandang Ghea macam nampak hantu siang hari.
"Dah kenapa Ezrik tu?" tanya Arif, muncul dari dapur sambil hisap rokok.
"Kenapa? Kena belasahlah apa lagi," balas Ghea. Nada dia macam tak ada siapa boleh soal. Tangan dia masih paut lengan aku.
Mata Arif toleh pada aku, pipi lebam, baju kotor. Dia toleh Ghea balik. Bibir dia sengih sipi, tapi tak cakap apa. Ghea tak hairan. Dia heret aku terus ke pintu bilik aku. Tombol pintu dia lenyek, tolak kuat sampai berderit.
Paan tercongok dalam bilik aku. Maggi cup kat tangan, sudu masih terjuntai. Mata dia bulat.
"Eh, kau apa hal melepak sini?" Suara Ghea naik. Dia tunjuk Paan macam halau anjing. "Berambuslah."
Paan pandang aku, pandang Ghea, muka bingung, sudu Maggi terjatuh ke lantai.
Aku duduk bersila atas lantai. Badan aku rasa lembik, lutut berdenyut, pipi masih berdenyut lagi.
Ghea mencangkung depan aku. Rambut dia jatuh sikit tutup pipi. Dia angkat tangan, pegang pipi aku yang lebam. Kali ini lembut, jari dia sejuk, bau dia bau jalan tar.
"Thanks..." suara aku keluar perlahan, sengau sikit. Malu masih berbungkus kat dada. "Aku janji aku bayar balik duit kau."
Ghea gelak kecil. Sengih dia sinis tapi mata dia bening. "Tak payahlah. Simpan duit kau tu beli otak baru."
Macam biasa, tapak tangan dia singgah kat kepala aku. Dia tolak dahi aku ke belakang sikit. Tak sempat aku nak tarik nafas, dia tiba-tiba rangkul leher aku. Peluk aku rapat-rapat.
Tak ada bunyi. Tak ada ayat. Cuma dada dia rapat dengan bahu aku, tangan dia kejung di belakang tengkuk aku. Aku angkat tangan, balas peluk dia perlahan. Malu aku masih penuh tapi wangi Ghea malam itu, bau debu, bau peluh semua aku simpan.
Ghea lepaskan pelukan. Tapak tangan dia masih singgah atas dada aku macam nak pastikan aku tak hilang depan mata dia. Dia senyum, senyum rare, senyuman yang tak selalu dia beri pada orang.
Selepas itu dia capai beg galas dia. Seluk tangan dalam zip bunyi seret, bunyi plastik rapuh. Mata dia bersinar.
"Happy birthday, Rik!" Jerit Ghea. Suara dia pecah bilik sempit. Dia keluarkan satu kotak. Kotak keras, hitam. Logo MSI besar terpampang. Gaming laptop. Aku nampak model itu, aku tau harga dia. Gila mahal.
Dia tolak laptop itu ke riba aku. Tangannya laju, tak bagi aku sempat tolak balik.
"Aku belikan. Ini untuk kau." Suara dia jatuh perlahan lepas jerit tadi. Mata aku masih kaku tengok logo MSI itu. Tangan aku tak bergerak.
Bibir aku separuh terbuka. Aku tak tahu nak marah ke nak peluk dia lagi sekali.
"Ghea, ni mahal sial! Aku taknak! Aku tak boleh terima!" Suara aku pecah. Tangan aku tolak kotak itu balik ke perut dia.
Ghea sengih. Sengih dia macam penumbuk. Dia tolak dahi aku pakai tapak tangan. Kepala aku terhuyung sikit ke belakang.
"Ambil sajalah, bengap." Nada dia renyah, tapi mata dia sayang. "Aku bagi. Ikhlas."
Dia letak laptop itu atas paha aku balik. Tangan dia tekan kotak itu kuat-kuat macam paku di riba aku.
"WOI! Laptop gaming siot!" suara Arif tiba-tiba. Dia tercongok di pintu bilik, entah bila dia dengar. Tanpa malu dia langkah masuk, terus datang rapat.
Belum sempat aku nak elak, Arif selamba capai kotak itu dari riba aku. Berat dia pegang macam hadiah sendiri.
"Gempak kan?" Ghea sengih, toleh Arif. Nada dia bangga, macam baru menang jackpot.
"Best sial! Banyak kali aku minta kat bapak aku, tak dapat-dapat!" Arif ketawa sambil belek logo MSI. Mata dia berbinar.
Ghea pandang aku balik. Tangan dia capai tangan aku, genggam kuat. Sejuk tangan dia. "Lepas ni laptop kau tak lag dah, Rik!" Suara dia pecah ketawa. Bahu dia terhentak bahu aku.
Aku tengok Ghea, tengok Arif, tengok kotak laptop. Dalam hati aku, siallah Ghea Edriana... aku sudah tak boleh lari sudah.
"Ambil sajalah, Rik. Gf kau belanja ni!" Arif sengih, suara dia sengaja kuat macam nak bagi satu rumah dengar.
Ghea angguk laju, tak malu langsung. Bibir dia senyum sampai mata dia hilang.
Aku gelak kecil, sengih separuh. "Birthday aku dah lepaslah, bodoh..." suara aku sengau lagi sebab lebam.
Ghea terhenti. Muka dia blur dua saat, lepas itu dia tepuk dahi sendiri kuat. "Yeke wei?! Aduh, sial... aku salah bulan la ni?!" Jerit dia.
Selepas itu dia ketawa berdekah, tawa dia masuk ke dada aku macam ubat sakit. Arif pun gelak sama. Laptop mahal itu sudah beralih tangan entah ke mana, tapi tangan Ghea masih lekat pada tangan aku.
Aku tengok dia ketawa. Dalam hati aku sumpah kalau semua orang tinggal aku pun, Ghea Edriana tak akan pernah aku tinggal!
Share this novel