Bab 52

Thriller Series 1360

Tangan Is bergerak naik, dari jari aku ke lengan. Sentuhan dia lembut, tapi tepat di tempat yang salah.

"Aduh!" jerit aku spontan, tubuh aku tersentak ke belakang.

Is terkejut, keningnya rapat. "Lily... kenapa?"

Dia tak tunggu jawapan. Tangan kirinya terus pegang pergelangan tangan aku, satu tarikan kecil dan cardigan kelabu aku terselak.

Mata dia membulat. "Sial..."

Balutan putih itu terserlah, melilit ketat dari pergelangan sampai separuh lengan. Hujung balutan sedikit basah, mungkin dari peluh atau air mata aku sendiri tadi.

Dia angkat pandangan, menatap aku dengan wajah bercampur marah dan sedih. "Ini... Ezrik buat?" suaranya rendah, tapi tegang macam dawai gitar yang hampir putus.

Aku telan liur. Diam. Is tarik nafas panjang, matanya kembali pada lengan aku dengan tatapan yang meneliti, seolah nak simpan dalam kepala sebagai bukti.

"Lily... ini macam kesan melecur. Kau..." dia terhenti, suaranya goyah. "...kau kena air panas ke?"

Aku palingkan wajah, tak sanggup lihat matanya yang penuh rasa bersalah itu.

"Babi betul Ezrik tu!" suara Is meletup rendah tapi tajam, cukup buat aku terkejut. "Suami tak guna! Patutnya dia lindung kau, bukan buat kau macam ni!"

Aku tunduk, air mata jatuh bertalu-talu. "Semuanya salah aku, Is..."

"Jangan!" Is potong laju. Jemarinya masih pegang lengan aku, tapi kali ini bukan untuk memeriksa luka tapi untuk pastikan aku tak lari dari kata-katanya. "Jangan salahkan diri sendiri lagi, Lily. Kau tak minta semua ni jadi. Kau tak layak kena macam ni."

Aku teresak-esak, dada rasa sempit. "Is... aku sayang dia. Aku cintakan Ezrik... dari dulu. Dari zaman aku masih belajar lagi."

Is diam, tapi pandangannya kekal tajam pada aku.

"Dia tak pernah balas cinta aku..." suaraku makin kecil. "Malah... dia bercinta dengan kawan baik aku sendiri. Ghea."

Is mengerutkan kening.

"Ghea tu rampas dia dari aku, Is! Kawan tak guna... sanggup tikam belakang aku. Aku benci dia." Nafas aku berat, air mata panas membasahi pipi. "Aku tak peduli walaupun Ezrik benci aku... aku nak dia jadi milik aku. Selamanya."

Is berkelip beberapa kali, seolah memproses ayat aku. Wajahnya berubah dari terkejut, terus ke marah yang lain macam. "Lily... kau gila ke? Kau sanggup tahan semua ni... semata-mata sebab lelaki tu pilih Ghea?!"

Nada dia tinggi, tapi aku tak gentar. Aku cuma tunduk, memeluk diri sendiri, menahan dada yang rasa nak pecah.

Aku kesat air mata dengan belakang tangan, suara aku pecah. "Ghea tu dah lama mati, Is... tapi kenapa Ezrik masih tak move on? Aku tak faham... kenapa cinta dia pada Ghea terlalu dalam... sampai dia langsung tak nampak aku?"

Is yang tadi marah, tiba-tiba nampak pelik. Keningnya berkerut. "Ghea... sudah mati?"

Aku angguk, esakan masih bersisa. Dia senyum nipis tapi matanya menyoal. "Mati sebab apa?"

Aku terkaku. Nafas aku tersekat, otak aku kosong. "Err... aku tak tahu... mungkin sakit? Mungkin kemalangan?" Suara aku gugup, cepat-cepat aku palingkan wajah.

Is pandang aku lama, macam menimbang-nimbang setiap perkataan aku. "Hm..." dia mengangguk perlahan, tapi nada suaranya berat. "Kalau Ghea dah mati... cepat betul Ezrik ajak kau kahwin, ya?"

Aku tersentak. Lidah aku kelu. "Err... aku... tak ingat... eh, Is, kau nak tambah minuman ke? Kopi kau macam sudah suam."

Dia senyum hambar, jelas tahu aku tukar topik tapi dia tak tekan. Dia cuma bersandar, matanya tak lepas dari muka aku, seolah-olah cuba baca apa yang aku simpan.

Is tiba-tiba bersuara lagi, kali ini nada dia lebih tenang tapi ada lapisan ingin tahu yang jelas. "Sebenarnya... aku tak kenal pun siapa Ghea tu. Selama ni, Ezrik tak pernah cerita apa-apa pasal dia."

Aku angkat kepala, sedikit terkejut. "Kau... tak kenal?"

Dia geleng. "Tak. Lagi pun, aku tak belajar sekali dengan korang. Aku kenal Ezrik pun masa kerja kat syarikat tu... lepas tu baru jadi rapat."

Aku diam, jemari menggenggam kain cardigan di riba.

Is condong sikit ke depan, matanya tajam memerhati. "Kalau betul Ghea tu baru saja mati... aku rasa mustahil lelaki macam Ezrik cepat-cepat buat keputusan kahwin dengan kau, Lily. Dia bukan jenis yang terburu-buru."

Aku terkedu, jantung rasa berat dalam dada. "Is..." bibir aku cuba bentuk alasan, tapi otak aku kosong.

Is masih kunci pandang. "Kau faham maksud aku kan? Ada sesuatu yang kau tak cerita."

Aku tunduk, cuba elak tatapan itu. "Aku... tak nak cakap pasal ni lagi," bisikku, cuba menutup semua pintu sebelum dia sempat korek lebih dalam.

Dia bersandar semula, tapi aku tahu dari riak wajahnya dia tak akan berhenti memikirkan soalan itu.

"Aduh..." aku jerit perlahan, cukup untuk pecahkan fokus Is. Tangan aku pegang pergelangan yang berbalut tu, sengaja tunjuk muka meringis. "Is... sakit..."

Dia terus condong ke depan, panik. "Bagi aku tengok." Jemarinya hati-hati memegang lengan aku, matanya meneliti balutan seolah-olah dia boleh kurangkan sakit itu dengan pandangan saja.

Aku tarik nafas dalam-dalam. "Is... kalau kau betul-betul sayang aku... kau kena sokong aku."

Dahi dia berkerut. "Sokong kau? Maksud kau?"

"Jangan kacau aku dengan Ezrik. Jangan masuk campur."

Is senyum pahit, geleng perlahan. "Kau nak aku duduk diam? Lepas aku tengok macam mana dia buat kau macam ni? Lily... ini penderaan. Kau nak aku report polis ke?"

Aku cepat-cepat geleng, nada suara meninggi. "Tak! Aku tak nak. Aku sayangkan dia. Aku tak sanggup dia masuk penjara sebab aku."

Is terdiam, tapi jelas wajahnya sudah berubah pelik, macam cuba memahami logik yang aku guna.

Dia sandar sedikit. "Kalau macam tu... apa yang aku boleh tolong kau?"

Aku pandang dia, tahan mata supaya tak berkelip. "Kalau kau betul-betul sayangkan aku, kau tolong dengar cakap aku. Itu je."

Dia ketap bibir, matanya masih tak puas hati. Tapi aku tahu dia akan ikut walaupun hati dia terbakar.

Aku perlahan-lahan capai tangan Is yang masih terletak di meja. Jari aku mengusap lembut belakang tangannya, sengaja tarik dia ke arah aku... bukan secara fizikal, tapi secara emosi.

"Is..." suara aku lembut, macam nak pujuk. "Ezrik... dia selalu tak balik rumah lepas kerja. Kadang-kadang... seminggu boleh kira berapa malam saja dia tidur di rumah."

Is diam, tapi pandangannya sudah mula gelap.

Beberapa saat aku biarkan, sebelum aku sambung perlahan. "Beberapa hari lepas... aku ikut kereta dia. Diam-diam. Aku nak tahu dia pergi mana."

Mata Is mula fokus pada aku. "Lepas tu?"

Aku telan liur. "Rupanya... dia pergi ke satu kawasan perumahan teres lama di kawasan Gombak." Aku pegang tangan Is lebih erat, cuba pastikan dia kekal dalam lingkaran cerita aku. "Aku syak... dia ada perempuan lain, Is."

Nafas Is jadi berat. Rahangnya mengetat, matanya menyala dengan marah yang dia cuba tahan. "Babi... dia buat macam tu lepas semua yang dia sudah buat pada kau?"

Aku senyum nipis, pahit. "Aku... tak tahu siapa perempuan tu tapi aku rasa... dia rahsiakan sesuatu dari aku."

Is tunduk sedikit, genggaman pada jari aku bertambah kuat. Dia nampak macam sedang melawan rasa nak terus keluar sekarang dan cari Ezrik.

Aku masih usap belakang tangan Is, perlahan, ritma yang cukup untuk buat dia tak lari dari pandangan aku.

"Is..." aku sengaja biarkan suara aku jatuh manja. "Kau nak tak... tolong aku?"

Dia kerutkan dahi, matanya sempit. "Tolong apa?"

Aku tunduk sedikit, main hujung jari pada kulit tangannya. "Temankan aku pergi semula ke rumah teres itu. Aku nak bongkar rahsia Ezrik. Aku nak tahu... siapa perempuan yang dia simpan dalam rumah tu."

Is tarik nafas panjang, jelas sedang timbang antara logik dan rasa. "Lily... kau pasti ke? Kalau betul ada orang, benda ni boleh jadi kes besar."

Aku pandang tepat ke mata dia. "Aku pasti. Aku tak boleh duduk diam. Kau kawan aku... kau lelaki yang aku percaya. Teman aku sekali ni saja."

Dia masih ragu, tapi aku teruskan usapan pada tangannya, bagi tekanan lembut di hujung jari, macam satu janji tak terucap.

Akhirnya dia hela nafas, mengangguk perlahan. "Okay... aku akan bantu kau."

Aku senyum kecil, tapi dalam hati... jantung aku mula berdentum dengan rasa yang bercampur antara teruja, takut, dan puas.

Is tiba-tiba bersuara, nada dia kali ini lebih berat. "Lily... jangan sorokkan hal Ezrik ni lama sangat. Kalau boleh... cerita pada keluarga kau. Biar mereka tahu kau kena dera. Benda macam ni tak boleh diam."

Aku hanya senyum nipis, goyang perlahan tangan dia dalam genggaman aku. "Jangan risau. Aku yakin... Ezrik takkan berani cederakan aku sampai membunuh."

Is menggeleng, matanya masih tak lepas dari muka aku. "Aku... setiap hari fikirkan kau. Risau kalau tiba-tiba aku dapat berita buruk. Aku cintakan kau sepenuh hati, Lily."

Aku senyum lagi, kali ini senyum yang aku tahu akan buat dia rasa aku betul-betul hargai dia. Tapi dalam hati... aku sudah pasang niat. Kalau dia sanggup bagi segalanya sebab cinta, aku akan guna semua kebaikan dia untuk sampai ke tujuan aku.

Is genggam tangan aku lebih kuat, seolah nak pastikan aku tak hilang dari dia. Aku biarkan... sebab aku tahu, genggaman ini satu tiket yang aku boleh guna bila tiba masa.

Is masih genggam tangan aku, matanya tak lari dari wajah aku. "Lily... aku tahu aku mungkin bukan lelaki yang kau pilih tapi aku nak kau tahu... sejak hari pertama aku nampak kau, hati aku tak pernah berubah. Aku sanggup buat apa saja, asalkan kau selamat. Aku sanggup jadi orang yang kau cari bila kau jatuh, walaupun kau tak pernah pandang aku sebagai lelaki yang kau cinta."

Aku senyum kecil, buat-buat malu sambil tunduk sikit. "Is... kau ni... pandai cakap manis."

Dia geleng, matanya serius. "Ni bukan cakap manis. Ini janji aku. Kau adalah satu-satunya perempuan yang aku cinta dan kalau aku kena tunggu... aku akan tunggu, walaupun bertahun-tahun."

Aku biarkan kata-kata dia tergantung sekejap. Tangan aku capai garpu, potong sedikit red velvet yang tinggal separuh. "Nah..." aku suakan ke mulut dia.

Dia terkejut, mata berkedip cepat. "Eh... tak payahlah."

"Ala... sekali ini saja. Kau dah belanja aku, kan?" Suara aku sengaja direndahkan, ada nada manja yang aku tahu boleh buat dia kalah.

Is akhirnya buka mulut, dan aku perlahan-lahan suap kek tu. Jarak kami rapat sekejap, cukup untuk aku rasa nafas dia. Bila garpu aku tarik semula, aku nampak dia senyum kecil sambil kunyah, matanya tak beralih dari aku.

"Manis," katanya.

Aku senyum lagi, tapi kali ini aku usap perlahan belakang tangannya dengan ibu jari. "Kan aku sudah kata... aku tahu cara buat kau cair."

Dia ketawa kecil, tapi aku tahu dalam hati dia dah hanyut. Senyuman aku makin lebar. Dalam kepala, aku sudah nampak jalan kebaikan Is bukan sekadar penyelamat, tapi alat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience