Tepat pukul 11:00 malam.
Aku berdiri tercegat di depan pintu kayu yang mula reput itu. Rumah teres lama. Rumah lama aku. Rumah yang tak pernah aku sebut pada sesiapa. Tempat terakhir yang aku masih panggil "selamat".
Tangan kanan aku genggam plastik putih. Berisi burger daging special tanpa sayur, sos sedikit dan satu milo ais. Masih sejuk.
Tangan kiri aku... kosong tapi bibir aku basah. Air mata jatuh sendiri. Bukan sebab sedih tapi sebab aku sudah tak tahu beza antara rindu, marah, dan kecewa.
Peluh turun perlahan di pipi aku. Bercampur dengan air mata. Aku dongak. Langit malam ini cantik. Gelap... tapi ada bintang berkelip. Macam dia suka dulu.
Aku buka kasut. Perlahan. Tangan aku masuk ke poket. Keluar satu kunci kecil. Aku masukkan dalam lubang dan putar.
Klik.
Pintu terbuka sedikit. Bunyi engsel lama yang aku sudah biasa. Aku masuk.
Ruang tamu sunyi. Cuma lampu dapur yang terpasang. Samar-samar, cukup untuk aku tahu aku belum mati.
Aku masih berdiri. Tak melangkah ke mana. Cuma berdiri di situ. Kaku. Sebab aku tahu siapa yang ada di dalam dan setiap kali aku masuk rumah ini... jiwa aku tercampak balik ke malam itu.
Aku upah seorang perempuan tukang jaga 'dia', tukang urus, tukang bersihkan luka dan aku pesan satu saja.
"Pasang lampu dapur. Setiap malam. Biar dia tak tidur dalam gelap."
Kaki aku melangkah perlahan. Setapak demi setapak ke arah bilik utama. Bilik yang pernah jadi ruang paling hidup. Sekarang... cuma tinggal sisa kenangan yang diam.
Pintu itu tak ditutup rapat. Aku tolak perlahan. Engsel tua berdecit kecil macam suara lemah yang minta simpati.
Bau itu... masuk ke hidung aku. Bau dia. Bau yang aku simpan dalam otak, dalam baju lama, dalam bantal tidur aku. Bau yang aku rindu setiap malam dan setiap malam aku pura-pura lupa.
Lampu RGB terpasang malap di sekeliling siling. Biru. Hijau. Merah samar. Lampu yang dia suka, katanya "macam bilik streamer", tapi hakikatnya... cuma mahu bilik rasa selamat.
Mata aku tertancap pada satu sudut. Komputer. Monitor hitam. CPU penuh sticker. Berhabuk.
Aku tarik nafas perlahan. Langkah aku bawa aku ke meja itu. Meja kami. Aku duduk perlahan. Jari aku sentuh permukaan kayu yang sudah mula kasar. Debu halus melekat di hujung jari.
"Dasar pemalas..." Aku bisik. "Suruh lap sikit pun tak boleh."
Nada aku bukan marah. Tapi... rasa rugi. Rugi upah pembantu perempuan yang datang setiap pagi. Patutnya tolonglah lap sedikit.
"Kita selalu main game kat sini... sampai lupa waktu."
Mata aku pandang komputer itu. Tapi yang aku nampak... bukan skrin. Tapi senyuman dia. Ketawa dia. Wajah dia bila kalah. Wajah dia bila menang.
Dan sekarang... cuma aku. Dengan habuk. Dengan bising dalam kepala sendiri.
Aku letak plastik berisi burger dan Milo ais di atas meja sisi. Perlahan... aku berpaling.
Mata aku merenung susuk tubuh itu. Dia. Tidur mengiring, rambut bersepah atas bantal, bahu yang sedikit terbuka dari selimut. Kecil. Rapuh. Masih dia. Masih Ghea.
Kaki aku melangkah perlahan dalam sunyi. Macam aku takut bunyi langkah aku akan pecahkan dia sekali lagi.
Aku duduk di tepi katil. Perlahan. Tangan aku naik, menyentuh bahu dia. Lembut. Macam takut disentuh balik.
"Sayang..." Aku bisik. Suara aku bergetar. Aku gerakkan bahu dia sedikit. Kelopak mata dia terbuka perlahan. Mata itu mata yang pernah pandang aku dengan cinta, sekarang... penuh ketakutan.
Dia tersentak. Bibir dia terbuka. Mahu menjerit tapi aku cepat. Tangan aku tutup mulut dia.
"Shhh... shhh... ini aku."
"Aku Ezrik... jangan takut. Jangan jerit."
Mata dia terbeliak. Air mata dia naik. Air mata aku sudah jatuh lebih awal.
Aku tarik tubuh dia dan peluk. Peluk erat. Peluk macam dunia nak terbelah dua malam ini.
"Ini aku... sayang..."
"Aku balik... aku balik..."
Dada aku berat. Nafas aku kasar. Ghea di dalam pelukan aku nafasnya turun naik, laju. Tak tenang.
Dia tak balas pelukan itu. Dia hanya diam. Tubuh dia keras. Macam takut disentuh tapi aku peluk lebih erat. Aku tak peduli.
Aku sangka aku kuat. Tapi bila aku peluk dia... aku sedar aku sebenarnya sudah hancur lama.
Aku lepaskan pelukan. Bukan sebab aku kuat. Tapi sebab dia tak tolak dan itu lebih menyakitkan dari ditolak.
Aku perlahan pegang tangannya. Tangan kecil itu masih sejuk. Masih sama bentuknya. Masih tangan yang dulu genggam aku waktu kami naik motor dalam hujan, waktu kami menonton filem buruk dalam telefon.
Aku angkat tangan itu ke bibir. Cium perlahan dan lama.
Aku pandang wajah dia. Mata dia kosong. Pandangan itu tak bercakap dengan aku. Tak kenal aku tapi tak juga benci aku. Cuma... hilang.
Aku angkat jari aku, selak rambut pendek dia ke sisi. Masih wangi. Masih lembut. Masih bau yang sama.
"Aku rindu bau ni..." Aku bisik. Bukan pada dia. Tapi pada ruang antara kami. Ruang yang tak nampak, tapi tebal dengan luka.
Ghea diam. Mata dia hanya renung siling. Nafas dia masih turun naik perlahan dan aku cuma duduk di situ. Menonton sisa perempuan yang dulu aku cintai... dan sekarang aku cuba pulihkan dengan tangan yang pernah penuh darah.
Mata kami bertembung.
Akhirnya.
Mata dia pandang aku. Mata aku pandang dia dan aku senyum. Senyuman yang paling lembut aku ada satu-satunya senyuman yang aku simpan hanya untuk dia. Walaupun aku tahu... dia tak lagi simpan apa-apa untuk aku.
"Aku ada bawa burger daging special... yang kau suka tu."
"Milo ais pun ada, tau..."
Suara aku perlahan. Nada aku... macam biasa. Macam hari-hari biasa seolah malam itu tak pernah berlaku, seolah luka dia tak wujud, seolah dunia kami tak pernah terbakar.
"Jom makan sama-sama?"
Dia diam tapi mata dia masih tengok aku. Itu sudah cukup untuk aku teruskan. Aku toleh belakang. Capai plastik tadi. Burger masih panas. Milo ais masih ada sejuknya.
Aku tunjuk pada dia, macam budak kecil tunjuk hadiah pada ibu.
"Aku suap kau, okay?"
"Kita makan sama-sama... macam dulu."
Aku buka bungkusan. Perlahan. Tanganku sedikit terketar. Ghea tak bergerak tapi dia masih tengok aku. Dan aku terus senyum walaupun dalam hati aku tahu... aku mungkin seorang saja yang masih hidup dalam cerita ini.
Aku buka perlahan-lahan kertas pembalut burger. Tangan aku tenang, tapi dada aku berperang. Burger daging special. Tanpa sayur. Sos sedikit. Macam yang dia suka.
Sebab Ghea... tak suka sayur dan tak suka pedas. Picky eater. Tapi... dia tetap istimewa. Selalu istimewa. Untuk aku.
Dulu, aku selalu tapau burger ini. Kami makan sama-sama di atas katil ini, atas tilam ini, dalam bilik ini, bawah lampu RGB ini.
Ketawa. Suap-suap. Tangan dia hulur separuh burger ke mulut aku dan aku buat benda sama. Dulu, semua rasa cukup.
Sekarang?
Tangan dia tak mampu pegang burger pun. Sekarang... hanya aku yang akan suap dia. Sampai akhir hayat dia.
Aku telan liur. Aku tahan air mata. Tahan. Tahan. Tahan. Aku tak boleh menangis depan dia. Sebab kalau aku jatuh sekarang... siapa yang akan kuat untuk dia?
Aku angkat burger. Separuh terlerai, tapi masih hangat.
Aku pandang Ghea. Dia masih di situ. Diam. Tenang. Kosong tapi dia masih hidup dan selagi dia hidup aku tak akan tinggalkan dia.
"Buka mulut, sayang..."
"Kita makan macam dulu, ya?"
Suara aku lembut. Cuma bergetar sedikit. Cukup untuk dia dengar... yang aku masih di sini.
"Buka mulut sikit... sayang."
Suara aku lembut. Separuh berbisik. Separuh bergetar. Ghea pandang aku. Tak lama. Tapi cukup.
Dan perlahan... dia buka mulut. Aku hulurkan burger ke mulut dia. Dia sambut. Gigit perlahan. Kunyah perlahan. Tanpa sepatah kata tapi cukup untuk pecahkan dinding dalam hati aku.
Aku cepat-cepat senyum. Aku tak nak dia nampak mata aku berair semula. Aku ambil sedikit bahagian burger yang tertinggal.
Gigit. Kunyah sama-sama dengan dia.
"Sedap, kan?"
"Macam dulu..."
Aku capai air milo ais atas meja sisi. Bekas plastiknya masih sejuk, ada wap sedikit. Aku angkat. Kacau sikit dengan straw.
"Milo ais ni... sedap tau!"
"Manis lagi."
"Aku suruh mamak tu buat kaw punya. Khas untuk sayang..."
Aku hulurkan straw ke bibir dia. Tak paksa cuma hulur. Ghea tengok. Dia minum sedikit. Perlahan.
Dan aku pandang dia. Macam pandang satu dunia yang aku sangka sudah hilang.
Aku bahagia.
Bahagia dengan cara yang orang lain tak akan faham. Bahagia yang lahir dari perubahan kecil yang orang normal anggap remeh tapi aku bukan orang normal.
Aku Ezrik. Dan perubahan kecil ini adalah satu-satunya perkara yang buat aku terus bernyawa.
Ghea... dia buka mulut bila aku suruh. Dia gigit burger itu, walau perlahan. Dia minum milo ais aku hulur, walau sedikit.
"Terima kasih... sayang."
"Sebab bagi aku rasa hidup balik walau sekejap."
Dulu aku hanya mampu berdiri di ambang pintu. Aku tengok dia dari jauh. Setiap kali dia nampak aku, dia meracau. Menjerit, menjerkah, menjerut hati aku dengan trauma yang aku tak mampu ubat.
Terpaksa.
Aku terpaksa suruh pembantu itu suapkan dia. Orang asing yang tak tahu cerita sebenar. Tapi sekarang...
Sekarang dia tengok aku dan dia tak jerit. Dia tak lari. Dia hanya... diam. Dan untuk aku, diam itu satu dunia.
Ini bukan penyembuhan. Ini bukan keajaiban. Tapi...
"Ini... perubahan paling bermakna untuk hidup aku."
Share this novel