Bab 3

Thriller Series 1360

Kaki aku melangkah deras, menghimpit tanah seperti ada dosa yang perlu ditebus segera. Lelaki itu baru saja buka pintu kereta. Aku tak tunggu. Sekilas aku imbas kiri kanan, jalan sunyi, cuma langit mendung.

Tangan aku sudah bersedia dalam poket. Jari aku genggam sesuatu. Benda kecil. Tapi cukup untuk buat manusia rebah macam patung yang kehabisan bateri.

Picagari.

Diisi separuh cecair jernih yang tak ada bau, tak ada warna. Tapi kalau aku tekan isi dia ke salur darah, lima minit cukup untuk padamkan sistem saraf. Midazolam. Nama manis untuk sesuatu yang kejam.

Aku makin dekat. Lelaki itu tunduk, sibuk ambil sesuatu dari seat depan. Benda ini memang bukan impuls. Aku sudah rancang. Sudah kira waktu. Sudah hafal rutin dia.

Langkah aku tak bunyi. Jalan tar di kawasan restoran mamak ini terlalu mahal sampai bunyi tapak kasut pun tak sudi nak muncul.

Tiga langkah lagi. Aku tarik nafas. Tahan. Fokus.

Satu. Dua. Tiga.

Aku capai tengkuk dia dan picagari itu dan srett... menembusi kulit tanpa bunyi. Jari aku tekan pelahan-lahan.

Dia sempat toleh. Mata kami bertentang. Ada tanda soal dalam anak matanya.

"Apa...?!"

Tak sempat habis. Tubuh dia sudah mula lembik. Kepala terhantuk ke stereng. Midazolam bekerja pantas. Macam dendam lama yang baru terbalas.

Aku buka pintu kereta luas-luas. Sorong tubuh dia ke seat penumpang. Kedudukan strategik. Kalau ada orang lalu, nampak macam dia tertidur. Tak ada siapa akan tahu. Bukan sekarang.

Aku duduk tempat pemandu. Tangan aku menggigil sikit. Bukan sebab takut, tapi sebab darah aku terlalu tenang untuk benda sekejam ini. Aku tengok cermin pandang belakang. Kosong.

"Kerja kau bersih, Ezrik," aku cakap perlahan. Untuk diri sendiri. Untuk jiwa yang sudah lama hitam.

Gear aku tolak ke drive. Pedal aku tekan perlahan. Kereta kami meluncur keluar dari kawasan perumahan flat itu, sunyi, licin dan penuh rahsia.

Aku memandu tanpa suara. Radio mati. Dunia dalam kereta cuma dengar bunyi degup jantung aku sendiri... tuk tuk tuk, ritma yang tak pernah bohong bila aku buat kerja begini.

Jalan makin sempit. Jalan tar bertukar jadi batu kerikil, kereta terhentak-hentak macam jiwa aku yang tak pernah betul sejak satu malam itu.

Pokok-pokok tinggi menjulang kiri kanan. Bayang mereka jatuh ke cermin depan, macam tangan gelap syaitan yang melambai. "Selamat datang ke neraka kecil kau sendiri, Ezrik."

Akhirnya, aku sampai. Kereta berhenti betul-betul depan bangunan lima tingkat yang reput. Tingkap-tingkapnya ternganga, macam mulut manusia yang menjerit lama sangat sampai suara sudah mati. Cat pada dinding luarnya mengelupas, tertanggal macam kulit mayat yang sudah seminggu dibiarkan tanpa nama.

Bangunan ini... projek gagal.

Orang-orang kaya dulu janji nak buat kondominium eksklusif, tapi kantoi dengan rasuah. Tinggal tulang konkrit dan mimpi-mimpi kosong.

Tempat ini sekarang cuma jadi rumah untuk tikus, pelacur murahan, dan mat pet yang sudah buang prinsip hidup.

Tapi malam ini, tempat ini milik aku.

Dan dia.

Aku toleh ke sebelah. Lelaki itu masih lena, kepalanya menyandar pada cermin tingkap. Bibirnya ternganga sikit. Mulut yang dulu pandai bercakap besar, sekarang jadi senyap.

"Selamat datang ke tempat kau akan dilahirkan semula..." bisik aku, perlahan, hampir macam doa.

Aku buka pintu. Angin hutan menyapa. Bau lembap, bau tanah, bau besi berkarat. Semua itu menyatu dan membangkitkan rasa yang aku rindu.

Aku buka pintu penumpang dan tarik tubuh dia keluar. Badan dia berat. Besar tapi aku tetap seret juga. Lantai konkrit bergesel dengan kasut aku. Bunyi geseran itu macam muzik latar untuk kerja jahat aku hari ini.

Bahu aku lenguh. Nafas aku pendek. Tapi aku tak berhenti.

Tingkat dua.

Tangga berkarat bunyinya memekakkan, tapi aku tak peduli. Tak ada siapa yang nak dengar. Tak ada siapa yang kisah.

Akhirnya sampai.

Tingkat dua bangunan mati ini... kosong, berhabuk, bau lembap dan najis kucing liar. Tapi bagi aku, tempat ini suci. Sebab inilah tempat semuanya bermula.

Tiga bulan lepas.

Di sinilah aku berdiri sambil tangan menggigil. Di sinilah aku jerit sampai suara aku hilang. Di sinilah aku rasa hidup aku jatuh, melecet, dan pecah macam kaca dilempar ke dinding.

Dan sekarang, aku kembali. Bukan sebagai mangsa tapi sebagai algojo.

Aku lepaskan tubuh dia. Gedebuk. Kepala dia terhentak sikit pada simen. Dia masih belum bangun. Midazolam masih bekerja.

Mata aku menjalar ke sekeliling. Tali lusuh. Dawai karat. Botol kosong. Bau hapak. Semua masih di situ. Tak ada yang berubah. Dunia seolah-olah beku sejak kali terakhir aku datang ke sini.

Aku jalan perlahan ke sudut bilik. Tangan aku capai seutas tali. Tebal. Kotor. Tapi kuat. Aku peluk tali itu. Macam peluk masa silam.

"Aku takkan biar benda ni berulang," aku bisik sendiri. "Aku takkan jadi lemah lagi."

Aku berpaling. Lelaki itu masih tak bergerak. Aku tahu dia akan bangun. Tak lama lagi.

Dan bila dia bangun, dia akan tahu, tempat ini bukan sekadar bangunan usang. Ia kubur untuk manusia yang pernah jadikan aku mayat bernyawa.

Aku mula kerja aku dengan perlahan. Tali tebal dalam genggaman aku. Masih ada bau hapak yang sama macam tiga bulan lepas. Cuma kali ini, aku tak datang untuk menangis. Aku datang untuk memastikan dia yang menjerit.

Aku lipat tali, ukur panjang dengan mata. Badan dia besar, jadi ikat satu kali tak cukup.

Aku duduk sebelah dia. Nafas dia masih berat, kesan dadah itu belum habis. Tapi mata dia sudah mula bergerak-gerak bawah kelopak. Tak lama lagi dia akan sedar.

Jadi aku cepatkan. Tangan dia aku tarik ke belakang. Bunyi sendi terkehel buat aku senyum kecil. Aku ikat pergelangan tangan dia, kemas. Dua lilitan, satu simpulan mati. Lepas itu, aku capai dawai panjang di tepi dinding masih berduri, karatnya tajam, macam gigi masa silam yang tak pernah tanggal.

Aku lilit dawai itu dekat lengan dia. Tak terlalu kuat. Tapi cukup untuk buat dia rasa ngilu bila cuba bergerak nanti. Biar daging dia tahu, setiap pergerakan ada harga.

Selepas itu kaki. Aku angkat satu-satu, ikat betul-betul pada kerusi konkrit yang aku jumpa dekat hujung bilik. Berat. Tapi aku heret jugak ke tengah ruang. Simbolik. Biar dia duduk atas takhta neraka aku cipta sendiri.

Aku periksa semula semua simpulan. Tarik. Ketat. Dia mula bergerak perlahan. Mata dia terbuka separuh. Kabur. Panik tapi belum boleh lawan.

Aku tunduk di telinga dia.

"Aku tak nak kau mati," aku bisik. "Belum. Aku nak kau dengar dulu semua benda yang aku nak cakap. Aku nak kau ingat rasa ni masa kau dah tak boleh buat apa-apa, masa dunia dah tak sudi tolong kau, macam mana aku rasa dulu."

Dia menggeliat. Tapi sia-sia. Sebab kali ni, aku yang pegang tali. Dan dia cuma boneka dalam babak yang aku tulis sendiri.

PANG!!!

Satu tamparan aku bagi. Muka dia berpaling ke kanan. Tak sempat pun nak tarik nafas, aku ludah pula ke muka dia.

Dia tersentak. Mata terbeliak. Badan menggeliat tapi tali dan dawai kekal mencengkam dia macam dosa yang sudah tak boleh dimaafkan.

"Ezrik...?"

Aku diam. Pandang dia lama. Lelaki depan aku ini tengok aku macam dia baru nampak api neraka buat pertama kali. Padahal tiga bulan lepas, dia sendiri yang nyalakan.

"Apa semua ni..." suara dia perlahan. Lemah.

Aku tak jawab. Aku cuma jalan rapat ke arahnya. Bunyi tapak kasut aku bergema dalam ruang tingkat dua yang mati. Setiap langkah rasa macam pertuduhan.

Bila aku berdiri betul-betul depan dia, aku tunduk sikit. Suara aku tak tinggi. Tapi setiap patah lebih tajam dari sembilu.

"Aku ingat semua."

Dia beku.

"Setiap detik. Setiap suara. Setiap tawa jijik kau orang malam tu."

Dia cuba geleng, tapi aku tarik rambut dia ke belakang.

"Jangan lari. Tengok muka aku."

Dia pandang. Wajah dia pucat. Peluh menitik.

"Aku tak lupa. Macam mana kau pegang, macam mana kau rakam, macam mana kau ketawa bila orang lain minta tolong."

Tangan aku genggam kuat tapi aku masih kawal. Aku tak datang sini untuk lepas geram semata-mata. Aku datang sebab aku tahu... keadilan tak selalu datang dengan baju seragam. Kadang-kadang dia datang dengan tali, dawai, dan lelaki yang tak tidur malam selama tiga bulan.

Dia mula menangis. Teresak. Suara serak macam mesin rosak.

"Tolong... aku minta maaf... aku tak tahu benda jadi seteruk tu..."

Aku ketawa kecil. Satu tawa yang tak ada jiwa.

"Bukan tugas aku untuk ampunkan kau."

Aku angkat kaki kanan dan letak atas paha dia. Berat tapak kasut aku menekan daging dia cukup untuk beri amaran tanpa perlu cakap banyak.

Dia cuba bergerak, tapi sekali lagi... sia-sia. Tali dan dawai itu lebih setia dari kawan-kawan dia.

Tangan aku masuk ke poket belakang seluar. Aku keluarkan kotak rokok, koyak plastik pembalut, tarik sebatang. Aku lekapkan pada bibir.

Klik. Api lighter menyala.

Aku sedut perlahan. Dalam. Asap nikotin memenuhi paru-paru. Ada rasa tenang aneh, macam dosa sedang disahkan.

Aku tunduk sikit lalu hembus asap tepat ke muka dia. Dia batuk kecil. Muka dia berkerut. Tapi mata dia tak berani lepas dari pandangan aku.

Aku senyum. Senyum yang tak pernah lahir dari bahagia.

"Selamat datang, Acap." Aku sebut nama dia. Lama aku tunggu untuk sebut nama itu sekali lagi dalam situasi macam ini. Bila kuasa dalam tangan aku. Bila dia yang kena duduk diam, telanjang dari segala ego.

Senyuman aku makin melebar. Tapi mata aku tetap kosong.

"Tenang je. Kita baru mula."

Suka cerita SADIS? Jangan lupa FOLLOW & KOMEN. Saya akan update Bab seterusnya lebih cepat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience