Lily Amanda
Aku hempas pintu bilik. Kayu bergetar, pantulan bunyi memantul dalam ruang sempit. Nafas aku berat, panas. Kata-kata Ezrik tadi masih terngiang, menikam sampai ke tulang sumsum.
Aku ketap gigi. Cuba tahan air mata yang mendesak keluar, tapi rasa pedih di dada ini macam tak reti reda. Sudah sebulan lebih aku jadi isteri dia, hidup satu bumbung, makan satu meja... tapi dia masih berpaut pada bayang perempuan sial itu.
Ghea Edriana.
Nama yang aku benci nak sebut, tapi aku tahu dia masih hidup dalam kepala Ezrik besar, jelas, kuat. Ezrik pandang aku macam aku ini tak lebih dari perabot buruk dalam rumahnya, tapi sebut pasal Ghea... matanya lain. Matanya hidup.
Aku gigit bibir. Ghea Edriana sudah mati. Mati! Dan kalau dia tak mati pun, aku akan pastikan dia hilang selama-lamanya.
Aku duduk di tepi katil, lutut yang luka terasa perit bila kain baju tidur bergesel. Darah yang sudah beku mula rasa keras di kulit, macam parut yang belum sempat sembuh. Setiap denyut sakit itu cuma mengingatkan aku pada satu benda yang aku tak akan kalah.
Ezrik fikir dia boleh biar aku reput dalam rumah ini, tunggu masa untuk patah? Dia silap besar.
Aku pandang cermin di meja solek. Rambut aku kusut, pipi aku merah sebab tahan tangis. Tapi di sebalik semua itu, aku nampak sesuatu dalam mata aku sendiri iaitu dendam yang aku tak akan padamkan.
Kalau Ezrik sanggup rendahkan aku untuk kenangan busuk dia itu, aku sanggup buat dia sujud minta maaf satu hari nanti. Dan hari itu, Ghea Edriana... kalau kau masih hidup... kau akan jadi orang pertama yang aku pijak sampai lumat.
Aku harus lakukan sesuatu supaya Ezrik jatuh ke tangan aku. Aku sanggup buat apa saja walaupun dengan cara paling kotor sekalipun. Kalau kena berlakon, aku akan berlakon. Kalau kena jual maruah, aku akan jual.
Luka di lutut ini... bukan kebetulan. Aku sendiri yang sengaja cederakan kulit itu, biar ada darah, biar nampak kesan sakit. Harapnya Ezrik akan tunduk, kasihan, peluk aku, mungkin... sentuh aku tapi hakikatnya tidak.
Dia sekadar bawa aku ke klinik. Dingin. Tak ada rasa. Mata dia kosong macam aku ini pesakit rawatan luar yang dia tak pernah kenal.
Aku genggam selimut di atas katil, kuku menekan kain sampai berkedut. Kenapa dia tak nampak? Kenapa dia tak faham yang aku sanggup jadi apa saja untuk dia?
Dan satu lagi... aku pelik. Ke mana Ezrik selalu menghilangkan diri setiap kali balik kerja? Jam dia masuk rumah kadang lewat, kadang awal dan peliknya aku dan dia kerja dalam bangunan yang sama. Sama. Cuma jabatan saja berbeza.
Aku pernah cuba tunggu di lobi, pura-pura terserempak tapi dia tak pernah keluar ikut pintu utama. Dia hilang entah ke mana, macam bayang yang boleh tembus dinding.
Hati aku mula berbisik kalau dia tak balik terus, maknanya ada tempat lain dia singgah dan kalau ada tempat lain, mungkin... dia ada orang lain. Dan kalau ada orang lain, aku akan pastikan orang itu menyesal sampai mati.
Esok... aku harus ikut Ezrik selepas balik kerja. Tak kira apa yang jadi, aku mesti tahu ke mana dia pergi selama ini. Adakah dia ada perempuan lain? Adakah perempuan itu lebih cantik dari aku? Lebih pandai layan dia... di katil?
Soalan itu berputar dalam kepala macam jarum gramofon yang sangkut di tempat sama. Aku bangun, berdiri depan cermin. Rambut aku jatuh di bahu, bibir aku penuh, kulit aku licin tanpa cela. Bentuk tubuh aku... cukup untuk buat ramai lelaki menoleh dua kali di jalan. Aku tahu aku seksi. Aku tahu aku cantik tapi untuk Ezrik... semua itu macam tak wujud.
Dia tak pernah nak pandang aku. Tak pernah. Kadang-kadang aku fikir... mungkin dia memang benci aku. Mungkin perkahwinan ini cuma helah untuk sesuatu yang aku tak tahu. Tapi kalau betul ada perempuan lain, aku akan pastikan dia tak akan sempat merasa bahagia.
Aku senyum nipis, senyum yang hanya aku faham maksudnya. Esok, aku akan ikut dia. Dalam senyap.
Kalau Ezrik ada rahsia... aku akan bongkar dan kalau rahsia itu ada nama dan wajah... aku akan pastikan wajah itu hilang dari dunia.
Aku melutut perlahan di tepi katil. Bunyi spring halus kedengaran bila aku angkat sedikit tilam queen ini. Tangan aku seluk ke ruang gelap di bawahnya, mencari sesuatu yang hanya aku tahu ada di situ.
Jari aku tersentuh kain. Lembut, nipis. Aku tarik keluar perlahan-lahan.
Boxer Ezrik.
Yang dia tak sempat cuci. Kain hitam itu terlipat tak sempurna, masih ada garis renyuk di pinggang. Aku genggam kuat, bawa ke hidung. Tarik nafas dalam.
Bau dia. Bau maskulin bercampur sedikit peluh, dan sisa wangi sabun badan yang sudah pudar. Bau yang buat kepala aku rasa ringan. Bau yang buat aku lupa semua marah, semua dendam, semua sakit hati tadi.
Aku pejam mata. Nafas aku dalam, perlahan, seolah-olah setiap molekul udara yang masuk ke paru-paru adalah dia. Ezrik.
Setiap kali aku rindu, setiap kali aku nak pecah sebab tak dapat sentuhan dia, aku akan buat macam ini.
Boxer ini bukan sekadar kain. Ini... Ezrik yang aku boleh peluk tanpa dia tolak. Ezrik yang aku boleh cium tanpa dia menjauh. Ezrik yang aku boleh simpan bawah tilam aku dekat, tersembunyi, rahsia.
Aku senyum kecil. Esok, aku akan ikut dia. Tapi malam ini... malam ini biar aku peluk bau dia sampai aku lena.
Aku simpan semula boxer itu di bawah tilam, elok-elok macam letak rahsia paling berharga. Lepas itu aku bangun, langkah aku perlahan, bunyi tapak kaki sengaja aku matikan.
Koridor rumah ini senyap. Lampu dinding malap, bayang aku sendiri memanjang di lantai marmar. Aku berhenti di depan pintu bilik Ezrik. Cat kayu pintu ni aku sudah hafal setiap calarnya, setiap bekas yang mungkin dia tak pernah perasan. Tangan aku angkat, jari jemari mencecah tombol. Sejuk.
Perlahan aku cuba pusingkan... tapi tak bergerak. Berkunci dari dalam. Aku telan liur. Tak hairan pun. Dia memang tak nak aku masuk. Sama macam sebelum-sebelum ini.
Aku letak dahi pada pintu, tarik nafas dalam. Aku tak kisah Ezrik perlakukan aku dengan kasar. Aku tak kisah kalau sekali-sekala aku terluka, lutut aku pecah, atau hati aku diguris. Semua itu... harga yang aku sanggup bayar.
Paling penting, aku adalah isteri dia. Hitam putih atas kertas. Sah di sisi undang-undang. Lambat laun, dia akan sayang aku. Dia akan lupa betina sundal itu. Ghea Edriana akan jadi debu dalam sejarah hidup dia... dan aku akan jadi satu-satunya nama yang Ezrik sebut sebelum dia tidur, dan selepas dia bangun.
Aku senyum tipis walaupun dada aku masih sesak. Lambat laun, Ezrik. Lambat laun.
Aku teringat momen tadi... saat Ezrik keluar dari bilik hanya dengan boxer di pinggang. Udara malam sejuk, tapi pandangan aku panas.
Tubuh dia, dada kemas, perut fit, bahu lebar aku pandang tanpa berkelip. Macam rakaman yang aku nak ulang dalam kepala sampai bila-bila.
Aku teringin nak peluk dia. Terlalu teringin. Nak rasa kulit dia sentuh kulit aku, nak rasa lengannya membalut pinggang aku. Sepatutnya... sejak malam pertama aku jadi isteri dia, aku sudah boleh rasa semua itu. Sepatutnya.
Tapi sebulan lebih sudah berlalu, dan aku masih berdiri di luar pintu yang berkunci. Tak apa. Aku takkan mengalah. Aku akan buat Ezrik perlahan-lahan jatuh cinta pada aku.
Aku sudah lama cintakan dia. Sejak zaman belajar lagi. Dari dulu, aku selalu melihatnya diam-diam dari jauh, di kafe kolej, di koridor, di parkir motor. Aku hafal langkah dia, cara dia tunduk bila baca mesej di telefon, cara dia tegakkan badan bila marah.
Dan ya... aku selalu mengekorinya dari belakang. Tak pernah dia perasan, atau kalau perasan pun, dia buat tak tahu.
Dulu aku fikir, kalau satu hari aku jadi milik dia, semua rasa ini akan terbalas. Tapi sekarang aku sedar aku kena paksa dia nampak aku dan bila dia sudah nampak... aku tak akan bagi dia peluang untuk berpaling lagi.
Air mata mula jatuh tanpa aku sedar. Satu, dua... kemudian makin laju. Bukan sebab aku lemah. Tapi sebab aku terlalu berharap. Terlalu lama menunggu. Terlalu lama membayangkan Ezrik akan pandang aku betul-betul pandang aku dan perlakukan aku seperti seorang isteri.
Bukan setakat bawa aku ke klinik bila aku luka. Bukan sekadar sebut nama aku bila marah. Tapi sentuh aku. Peluk aku. Sayang aku.
Aku lap air mata dengan belakang tangan, tapi ia tak berhenti. Setiap kali aku pejam mata, aku nampak Ezrik di hadapan senyum nipisnya, bau tubuhnya, nada suaranya bila bercakap rendah. Semua itu buat aku gila.
Aku tahu dia benci aku. Aku tahu dia kahwin bukan sebab cinta tapi hati aku tetap degil. Satu hari nanti, dia akan terjaga dan sedar... yang aku adalah perempuan yang sanggup buat apa saja untuk dia. Perempuan yang akan kekal walau dia tolak seribu kali.
Aku sanggup menangis setiap malam pun tak apa. Asalkan akhirnya, dia akan pilih aku.
Share this novel