Lily Amanda
Aku tolak pintu kaca klinik kemudian aku betulkan topi dan cermin mata hitam. Aku jalan tunduk ke bawah untuk pergi ke kereta.
"Lily?" Tegur seseorang dari belakang.
Hati aku berdebar. Aku risau kalau ada sesiapa yang nampak luka dan kesan lebam di muka aku. Aku cepat-cepat berjalan.
"Lily... tunggu!" Jerit suara lelaki di belakang. Dia pegang bahu aku dan tarik aku berpaling ke arahnya. Aku masih tunduk.
Aku gigit bibir bawah aku perlahan. Sakit. Bibir aku sudah pecah. Aku tak nak dia nampak. Aku pegang hujung topi, tekan kuat biar tutup dahi aku yang bengkak. Aku tak berani angkat muka.
'Jangan tengok aku. Jangan sentuh aku lagi...'
Aku rasa bahu aku bergetar dalam genggaman dia. Bau ubat dari baju aku sendiri naik ke hidung aku. Bau ubat, bau takut, bau Ezrik. Semua bercampur.
Aku cuba tarik tangan aku tapi dia genggam makin kuat. Suara dia dekat sangat di telinga aku.
"Kenapa dengan muka kau ni, Lily?"
Aku diam dan kunci mulut aku. Kalau aku buka, nanti air mata yang keluar dulu.
Aku cuma nak cepat masuk kereta. Cepat hilang. Cepat sampai rumah. Aku rasa nak muntah tapi aku cuma telan. Telan semuanya.
Dia tarik cermin mata aku terus tanpa minta izin. Aku tak sempat tahan. Jari dia pegang dagu aku, kasar. Paksa aku dongak. Muka aku terangkat.
Terang. Panas. Sakit.
Aku nampak mata Is terbeliak, terkejut. Macam baru nampak hantu. Hantu bernama Lily Amanda.
"Apa dah jadi dengan muka kau Lily!" suara Is naik, terkejut.
Aku nampak bayang aku sendiri dalam kanta hitam cermin mata yang dia pegang. Muka aku biru. Tepi bibir aku luka. Aku telan air liur dan nak tunduk tapi jari Is cekap tahan dagu aku. Tak bagi aku lari.
Jangan tanya, Is. Tolonglah. Suara aku mati. Mata aku berair sikit, tapi aku tahan. Kalau aku menangis sekarang, aku nampak lagi bodoh.
"Lily cakaplah!" suara Is makin keras. Aku rasa bahu aku makin bergetar.
Aku geleng kepala perlahan. Mata aku lari ke bawah, ke lantai, ke kasut aku. Tak berani pandang dia. Tak sanggup.
"Aku jatuh semalam," lidah aku keluarkan ayat paling selamat. Bohong paling senang.
Muka Is berubah. Dahi dia berkerut tak percaya. Tak makan dengan alasan bodoh aku.
"Kau jangan tipu aku, Lily. Ini kesan kena pukul ni!" nada suara dia bergetar risau, marah, celaru.
"Siapa buat kau macam ni?! Siapa..." tanya Is. Suara dia mati di hujung.
Aku masih tunduk. Topi aku sudah senget. Cermin mata hitam aku tergantung di tangan dia. Bohong aku sudah pecah tapi rahsia aku masih terkunci rapat dalam tekak.
***
Aku kacau straw. Bulat-bulat ais berpusing perlahan. Air dalam gelas tinggal separuh sama macam sabar aku yang sudah tinggal suku. Is masih pandang aku. Lama seperti nak cari sisa harga diri aku yang Ezrik sudah cabut satu-satu.
Aku terpaksa buka mulut. Lidah aku kelu, tapi Is tak bagi peluang diam. Dia paksa. Sudah sejam aku duduk di restoran ini, pura-pura minum, pura-pura senyum. Padahal tekak aku kosong.
"Aku tak sangka Ezrik kejam... aku ingat dia bahagia selama ni... rupanya kaki pukul..." suara Is serak. Penumbuk dia sudah kemas atas meja. Bergetar.
Aku tunduk. Pandang air dalam gelas. Pandang straw yang aku sudah hisap separuh mati. Is dari dulu ada hati pada aku. Semua orang tahu tapi aku tolak. Aku pilih Ezrik. Lelaki yang aku cinta dari dulu, lelaki yang sekarang cabut nyawa aku sikit-sikit setiap malam.
"Kenapa kau tak buat report polis?" tanya Is. Suara dia tenang tapi mata dia marah.
Aku angkat kepala perlahan. Pandang dia. Bibir aku pecah, tapi aku tetap paksa buka mulut.
"Aku taknak panjangkan hal ni..." balas aku perlahan. Suara aku tenggelam dalam bunyi sudu garpu orang lain.
"Tapi dia dah pukul kau teruk, ini dah kes dera tau tak!" suara Is makin tegas. Aku nampak urat di leher dia tegang.
Aku tarik nafas. Mata aku renung straw. Jemari aku main tekan mulut gelas, basah. "Dia suami aku... aku sayang dia..." jawab aku.
Is mengeluh panjang. Tarik nafas macam nak sedut semua masalah aku masuk paru-paru dia. Mata dia pandang aku macam aku ini bodoh. Mungkin aku memang bodoh.
Aku tahu dia risau. Aku tahu dia kecewa tapi hati aku sudah pilih jalan ini. Jalan sakit ini. Jalan yang Ezrik bentang dan aku pijak sampai habis.
"Selama ni, Ezrik berpura-puralah kan? Depan aku, depan semua orang?" tanya Is. Suara dia perlahan. Macam tak sanggup telan ayat sendiri.
Aku angkat sikit muka. Mata aku kabur. Aku geleng kepala perlahan. Tangan aku masih pegang straw. Jemari aku sudah kebas. Aku sendiri tak tahu atau aku yang buta? Atau aku yang pura-pura?
Is urut dahi dia. Muka dia serabut. Nafas dia pendek-pendek. Dia nampak letih dengan aku. Letih dengan cerita busuk aku.
"Apa sebab dia pukul kau? Mesti ada sebab..." kata Is. Suara dia sudah tak keras macam tadi. Nada dia perlahan, macam bunyi hujan renyai atas bumbung zink.
Aku angkat mata pandang Is. Mulut aku buka sikit. Bibir aku dah kering. "Aku tak tahu..." aku jawab. Suara aku bergetar. Bohong lagi.
Padahal aku tahu. Aku tahu sangat sebabnya tapi aku tak sanggup sebut. Aku tak nak ingat nama perempuan yang sudah mati itu. Nama yang Ezrik ulang-ulang setiap kali tangan dia hinggap ke muka aku.
"Lepas ni kau ikut aku pergi report polis." kata Is. Suara dia tegas. Tajam. Macam pisau.
Aku terkejut. Mata aku terus pandang dia. Nafas aku laju. Jantung aku berdentum.
Aku geleng kepala cepat-cepat. Tangan aku merangkak atas meja. Cari tangan Is. Aku pegang kuat. Sejuk. Jari aku basah peluh.
"Tolong Is... janganlah report, aku merayu pada kau...." suara aku pecah. Aku rasa malu, tapi aku tetap merayu.
"Habis tu? Kau nak tunggu kau mati dulu?!" suara Is naik, marah. Mata dia merah.
"Kalau kau sayang aku, tolong dengar cakap aku Is... aku tak nak Ezrik masuk penjara sebab aku..." aku cuba terang. Suara aku makin perlahan. Jemari aku kemas genggam tangan Is, macam budak kecil minta simpati.
Aku tahu Is marah. Aku tahu Is benci tengok aku jadi bodoh macam ini tapi aku tak kisah. Aku tak kisah. Asal Ezrik bebas. Asal aku masih di sisi dia walau muka aku lebam setiap hari.
"Aku tak fahamlah dengan kau ni Lily." kata Is. Suara dia sudah perlahan balik, tapi tajamnya masih sama.
Aku gigit bibir bawah aku. Sakit. Aku tahan air mata yang sudah berkumpul bawah kelopak mata.
"Ezrik tak bersalah pun dalam hal ni, aku yang salah..." suara aku keluar serak. Pecah. Pecah macam hati aku.
Is geleng kepala. Muka dia masam. Kening dia rapat. "Peliklah kau ni Lily. Still nak backup suami kau yang perangai setan tu," balas Is. Nada dia macam ludah ke muka aku.
Aku diam. Aku telan semua kata-kata Is sebab aku tahu aku memang pelik. Pelik. Bodoh. Gila tapi aku tetap Lily Amanda. Isteri Ezrik Aslan.
"Aku sayangkan kau Lily, aku sanggup biarkan kau kahwin dengan Ezrik sebab aku sayang korang berdua... tapi jadi macam ni," suara Is perlahan. Getar. Seperti suara orang patah kaki.
Aku pandang dia. Mata aku kosong. Bibir aku bergetar tapi tak ada ayat keluar. Aku tak tahu nak jawab apa. Kepala aku serabut. Lidah aku kelu.
Aku nampak mata Is merah. Aku nampak penyesalan dia, kecewa dia, marah dia semua bercampur tapi aku sudah tak ada tenaga nak balas apa-apa.
Aku cuma duduk. Tangan aku masih pegang straw yang sudah lembik. Aku cuma fikir kalau aku boleh patah balik... pun aku tetap pilih Ezrik.
Share this novel