"Rik... Ezrik?" Suara itu samar tapi cukup untuk tarik aku dari gelap. Aku buka mata perlahan. Pandangan kabur. Kepala berat. Nafas juga serabut. Dan yang pertama aku nampak...
Is.
Muka dia terlalu rapat sangat. Macam nak cium aku. Spontan aku tolak muka dia. Kuat.
"HOI!!! Apa sial kau buat kat sini?!"
Is terundur ke belakang. Dia betulkan kemeja dia, rambut dia. Muka masih relaks.
"Kau tidur, weh! Tengah hari buta. Kat pejabat. Kau gila ke apa?"
Aku pandang sekeliling. Ruang pejabat. Meja depan aku berselerak. Laptop, monitor, fail. Bau pendingin hawa basi.
Aku tengok diri sendiri. Kemeja maroon. Lengan terlipat sampai siku. Aku nampak normal tapi kepala aku masih berdenyut. Seolah baru bangkit dari dunia yang bukan milik aku.
"Aku tertidur?" suara aku perlahan. Serak.
Is angguk. "Dah sejam lebih. Nasib baik aku datang. Kalau tak, bos masuk tadi memang mampus."
Is masuk semula ke pejabat. Langkah dia laju, tangan pegang satu fail tebal.
"Bos. Dua orang intern dah lapor diri tadi pagi," dia kata sambil hulur fail ke atas meja aku. Aku capai tanpa pandang. Aku buka perlahan, tengok nama dan surat-surat yang perlu ditandatangan.
Tiba-tiba dia tunduk sikit. Bisik dekat telinga aku. "Tolong jangan malukan aku, bos. Salah sorang intern ni... lawa gila beb."
Aku berhenti tulis. Aku angkat muka dan pandang dia. Kosong. "Sejak bila kau jadi recruiter untuk Miss Universe?"
Is ketawa kecil. "Seriuslah bos. Dia senyum pun boleh cair CPU."
Aku geleng kepala perlahan. "Kau ni tak berubah. Kalau lawa pun, kalau tak kenal rj45, aku campak juga."
Dia angkat tangan tanda mengalah. "Ala bos... slow sikit hari ni. Bagi first impression elok sikit."
Aku balas, "First impression aku, aku tengah pening kepala dan tak ada mood nak layan budak universiti yang datang lewat dan bau sabun kuat."
Is ketawa sambil buka pintu. "Okay bos. Tapi yang ni... memang tak bau sabun. Bau bunga."
Aku diam. Tak tahu kenapa... ayat "bau bunga" itu terus buat aku rasa... macam ada luka lama terbuka.
Selesai tandatangan, aku tutup fail dan tolak ke tepi. Aku bangun dari kerusi, tarik lengan kemeja, dan terus melangkah keluar dari ruang pejabat aku.
Langkah aku perlahan. Mata aku scan seluruh ruang pejabat. Ada yang betul-betul sibuk, jari laju atas keyboard, telefon tak lepas dari tangan. Ada yang pandai berlakon, buka skrin Excel tapi sebenarnya scroll TikTok. Aku tahu. Aku nampak semuanya.
Aku peluk tubuh. Nafas panjang. Aku tengok jam di pergelangan tangan. Baru 12:30 tengah hari. Lagi setengah jam sebelum waktu makan tengahari.
Tapi kepala aku... sudah penat sejak pagi. Penat dari mimpi. Penat dari masa lalu yang tak reti diam. Penat dari hidup yang terus berjalan... tanpa dia di sebelah.
Aku terus ke arah pantri. Langkah aku perlahan, kepala masih sarat dengan bunyi dalam kepala sendiri.
Aku buka bekas lutsinar yang tersusun atas rak. Ambil satu pek Milo 3-in-1. Aku koyak, tuang ke dalam gelas. Tekan mesin air panas. Bunyi 'klik'. Asap naik perlahan. Aku kacau perlahan sehingga larut. Tiba-tiba...
"Hai Ezrik~" Suara bernada gula. Aku angkat muka.
Akak Yanti. Pangkat senior. Mulut manis tapi kalau sudah mula gosip, mulut dia seperti radio karat. Dia datang dengan plastik lutsinar penuh goreng pisang. Minyak masih menitis.
"Akak ada bawa goreng pisang panas. Cubalah. Fresh dari kuali," katanya sambil sengih. Mata tak lepas dari muka aku.
Belakang dia, muncul Akak Diana. Sambil buat-buat bancuh air. Tapi sudu dalam tangan dia tak gerak pun. Aku pandang dua-dua.
"Awal bos keluar hari ni," Kak Diana selit.
"Bos stress ke? Muka nampak kusut. Ke sebab budak intern lawa sangat tadi?" sambung Kak Yanti. Ketawa kecil.
Aku tak balas. Aku ambil pisang goreng itu, masukkan satu dalam mulut. Kunyah masih panas.
Aku hirup Milo yang tak manis. Macam hidup aku sekarang.
"Terima kasih, kak," aku jawab pendek dan aku terus keluar dari pantri, sebelum mereka mula soal siasat pasal status perkahwinan aku yang tak wujud.
"Eh eh, Ezrik... tunggu kejap!" Suara Kak Yanti mengekori aku dari belakang. Aku hentikan langkah, toleh perlahan.
"Ya, kak? Kenapa?"
Kak Yanti jalan mendekat sambil pegang keropok lekor. Dia senyum separuh, tapi mata tajam macam CCTV.
"Dah sebulan kan Ezrik kahwin?"
Aku diam. Sudah agak!
"Tapi tak pernah pun nampak rehat sama-sama dengan Lily..." tambah dia.
Aku jeling jam dinding. 12:46 tengah hari. Baru enam minit lepas soalan terakhir dia.
"Selalunya pengantin baru tu... berkepit je," celah Kak Diana sambil buat-buat minum air suam. "Lily tu department bawah je kan? HR. Bukan jauh pun."
Aku senyum. Senyuman paling manis abad ini. Manis sampai gigi rasa nak gugur.
"Dekat rumah, kami boleh berkepit, kak," aku jawab tenang. "Saya kat ofis ni banyak kerja. Tak sempat nak makan pun. Saya suruh Lily makan dengan kawan dia je." Aku senyum lebih lebar.
Mereka angguk-angguk tapi aku tahu dalam kepala mereka, senarai gosip baru tengah tulis.
Dalam hati aku? Lily tak makan dengan aku. Aku tak pernah jemput dia makan pun dan kalau aku boleh pilih, aku nak makan seorang seumur hidup aku daripada pura-pura bahagia dengan perempuan yang tak pernah aku undang ke hidup aku.
Aku keluar dari pantri. Milo di tangan kiri. Goreng pisang sudah separuh masuk perut.
Langkah aku perlahan. Sampai je depan workstation budak intern, aku berhenti. Sebab aku nampak Is.
Tengah berdiri macam cikgu sekolah rendah. Tangan dia penuh semangat menunjuk sana sini.
"Yang ni... monitor. Fungsi dia, untuk tengok. Nanti kalau on komputer, paparan akan keluar kat sini," katanya sambil tunjuk skrin dengan gaya macam nak lancar roket.
Intern perempuan itu angguk. Senyuman plastik tapi kasihan.
Is sambung lagi. "Ini tetikus. Kita panggil mouse tapi jangan risau, bukan tikus betul."
Serius aku tak tahan.
"Is..." aku bersuara.
Dia terhenti. Bahu dia naik. Aku tenung dia. Perlahan aku bersuara, "Dia intern IT, bukan intern kantin, Is."
Intern itu sudah tunduk tahan gelak. Aku sambung, "Kau nak perkenalkan mana satu 'kabel elektrik' lepas ni?"
Is tergelak malu-malu. "Ala bos... saya nak test je, kot-kot dia nervous."
Aku angkat kening. "Nervous? Atau kau yang nervous sebab nampak dia cantik?"
Intern itu senyum. Kali ini bukan plastik. Is tepuk dahi sendiri. "Bos ni tak boleh rahsia langsung..."
Aku geleng kepala dan sambung jalan. Sambil itu aku dengar Is bisik pelan-pelan,
"Okay... yang ni plug. Kita cucuk kat soket, barulah ada elektrik..." Is masih berdiri dengan penuh gaya jurucakap syarikat yang tak dibayar gaji.
"Kalau keyboard ni, ada banyak jenis. Ada mechanical, ada membrane. Kalau yang bunyi klik klik klik tu biasanya..."
Aku kembali berdiri belakang dia.
"Biasa digunakan oleh orang yang tak pernah layan budak intern lebih dari 5 minit," aku sambung ayat dia.
Is pusing perlahan. Muka dia macam budak darjah 6 yang kantoi hafal sajak separuh.
"Bos, saya tengah briefing ringkas je ni."
Aku angkat satu kening. "Ringkas? Tadi aku lalu sini kau tengah explain tetikus. Sekarang masih kat keyboard."
Intern itu sudah tutup mulut tahan ketawa.
Aku sambung, "Kau nak buat demo next? Nak ajar macam mana nak on monitor? Tekan butang power ke?"
Is tergelak-gelak cover malu. "Ala bos... saya kan assistant. Kena la friendly sikit dengan intern..."
Aku angguk. "Friendly tak bermakna kau kena explain kipas siling tu untuk apa."
Is gelak makin kuat.
Aku jeling ke intern perempuan itu. "Kalau dia ajar macam ni setiap hari, bagi tahu saya. Saya boleh susun dia jadi penceramah motivasi sekolah rendah."
Is angkat tangan tanda mengalah. "Baik bos, baik bos. Saya undur diri." Dia pusing dan jalan laju sambil potong angin macam budak baru kena marah cikgu disiplin.
Aku geleng kepala. Intern itu senyum dan aku sempat jeling tag nama di baju dia.
Sofea.
Nama itu... biasa.
Tapi aku malas fikir. Sekarang bukan masa untuk rasa pelik.
Share this novel