Bab 54

Thriller Series 1360

Kaki aku melangkah perlahan, ikut dia dari belakang. Jarak kami tak terlalu dekat. Cukup untuk pastikan Arif tak sedar kehadiran aku. Dia masuk ke dalam 7-Eleven, terus bercakap sesuatu dengan cashier. Aku berhenti di luar, bersandar pada dinding kaca. Lampu neon kedai ini menyala terang, memantulkan bayang aku yang sedang tunggu masa.

Aku perhati Arif capai sekotak rokok, hulur duit, dan cashier itu balas dengan senyuman hambar. Tak sampai lima minit, dia keluar semula.

Aku mula mengekori Arif semula, kali ini langkah aku lebih perlahan... lebih terhati-hati. Aku pastikan derap kasut aku menyatu dengan bunyi lalu lintas yang jarang-jarang melintas. Angin malam menyapu muka aku, membawa bau asap rokok basi dari lorong belakang kedai.

Dia koyakkan plastik kotak rokok dengan gigi, keluarkan sebatang dan sangkut di bibir. Klik. Api dari lighter menyala, kecil tapi cukup untuk aku nampak bayang pipi dia dalam cahaya jingga. Dia sedut dalam-dalam, kemudian hembus keluar asap yang terapung dan hilang ke langit malam.

Aku tak lepas pandang, setiap gerak dia aku simpan dalam kepala macam peta. Dari cara dia jalan, cara bahu dia bergerak, sampai getaran kecil di jari dia yang memegang rokok. Dia langsung tak tahu ada seseorang yang sedang mengukur jarak untuk masuk ke dalam hidupnya... dan menghancurkannya dari dalam.

Jarak kami cuma tiga langkah. Satu langkah terlalu dekat, satu langkah terlalu jauh. Tapi aku suka bermain di tengah-tengah cukup dekat untuk menghidu bau asap rokok dia, cukup jauh untuk dia tak rasa bahaya. Malam ini... aku pastikan dia akan rasa.

Tiba-tiba, Arif berhenti. Bahu dia kaku sekejap sebelum perlahan-lahan berpaling. Mata dia terus menangkap aku di belakang.

Sial!

Tak sempat aku sorok muka atau pusing arah, aku terus lemparkan senyuman nipis senyuman yang cukup untuk nampak mesra tapi sebenarnya palsu.

"Eh... Arif?" suara aku keluar tenang, macam betul-betul kebetulan.

Dia pandang aku dari kepala sampai kaki, rokok masih terjepit di bibir. Asap berkepul di tepi mukanya, mata dia macam cuba mengingat atau mengukur sesuatu. Aku ketawa kecil, langkah aku rapatkan ke arahnya.

"Tak sangka boleh terserempak kat sini. Lama tak nampak kau..."

Aku pastikan nada suara aku santai, tapi dalam kepala aku sudah bayangkan macam mana tangan aku akan lenyekkan bara rokok itu tepat ke kulit dia nanti.

Arif senyum kecil bila mata kami bertembung. "Eh, adik ipar," dia sambil ketawa nipis, rokok masih terjepit di jari. "Baru saja jumpa hari tu... tak sangka boleh terserempak lagi."

Aku balas dengan senyum nipis. "Yup... dunia ni kecik, kan? Seminggu lepas makan malam dengan ibu kau, sekarang jumpa kat 7-Eleven pulak." Nada aku santai, tapi aku pastikan setiap patah perkataan aku keluar dengan tenang, macam tak ada apa-apa yang pelik.

Dia sedut rokok, mata tak lepas dari muka aku. "Lily sihat? Tak nampak pun dia."

Aku sengaja ketawa kecil. "Dia kat rumah. Penat... biasalah perempuan." Aku alih pandang ke arah lorong gelap di hujung jalan, kemudian kembali fokus pada dia. "Kau pula... malam-malam ini buat apa keluar?"

Arif senyum nipis, hembus asap. "Cari angin saja... kepala serabut."

Aku angguk, langkah aku rapatkan lagi satu tapak. Bau rokok dia masuk ke hidung aku. "Kalau kepala serabut... baguslah jumpa aku. Boleh kita lepak kejap."

Aku pandang dia lama, pastikan dia rasa selesa walaupun dalam kepala aku dah atur setiap langkah untuk buat dia menyesal hidup sampai malam ni.

Arif buang puntung rokok, pijak bara dengan hujung kasut. "Jomlah, kedai mamak hujung sana. Lama tak lepak macam dulu."

Aku senyum lebar, angguk macam budak dapat gula-gula. "Boleh... macam zaman universiti dulu, kan?" Aku sengaja tepuk bahu dia, tepukan mesra yang orang luar akan nampak macam betul-betul ikhlas.

Kami berjalan sebelah-sebelah, jarak bahu rapat. Dia mula buka cerita pasal kawan lama kami, pasal kelas yang pernah kami ponteng, pasal bola hujung minggu. Aku ketawa ikut rentak dia, lengkap dengan gelengan kepala pura-pura nostalgia.

Dalam kepala, setiap butir cerita dia hanyalah bunyi latar. Yang aku dengar cuma degupan darah sendiri perlahan, berat, penuh sabar. Setiap kali dia pandang aku dan ketawa, aku balas dengan senyuman yang nampak mesra... tapi di bawah meja nanti, tangan aku sanggup patahkan jari dia satu-satu tanpa berkelip.

Malam ini aku main peranan kawan baik. Anggap saja aku ini sahabat lama yang setia. Biar dia rasa selamat duduk di sebelah aku. Sebab bila masa itu sampai, dia akan sedar tak ada pengkhianatan yang lebih manis daripada pengkhianatan yang datang daripada "adik ipar" sendiri.

Kami sampai di kedai mamak hujung blok, lampu terang benderang memantul pada meja stainless steel yang berkilat penuh kesan tumpahan teh tarik. Bau roti canai dan kari pekat memenuhi udara.

Arif pilih meja di tepi jalan, duduk sambil buka kotak rokok lagi. Aku duduk bertentangan, sengaja rebahkan badan ke belakang, tunjuk gaya rileks.

"Eh, lama betul tak rasa suasana macam ni," aku cakap sambil senyum nipis.

Seorang pekerja datang ambil pesanan. Arif pesan teh ais, aku ikut sama. Sementara tunggu, dia mula cerita hal kerja, masalah kawan sekerja, dan beberapa nama yang aku memang sudah lama simpan dalam senarai hitam. Aku dengar sambil goyang kaki bawah meja, pura-pura bagi perhatian penuh.

"Kadang-kadang aku rindu zaman belajar," dia ketawa kecil. "Semua benda senang. Tak payah fikir pasal duit, pasal komitmen."

Aku balas ketawa perlahan. "Yup... zaman tu memang best. Semua orang rapat. Kau, aku, geng kita. Kawan sampai mati, kan?"

Dia angguk sambil hirup teh ais yang baru sampai. Aku perhatikan buih minuman melekat di misai nipis dia, dan entah kenapa, bayangan darah merah gelap menggantikan warna buih itu dalam kepala aku. Aku tunduk sikit, senyum sendiri.

"Eh, nanti cerita lagi pasal kerja kau tu... aku suka dengar," aku pancing, nada suara lembut, macam sahabat yang benar-benar ambil berat. Hakikatnya, aku cuma nak gali lubang dalam hidup dia iaitu lubang yang aku sendiri akan tanam dia nanti.

Aku sengaja buat muka hairan, pusing straw dalam gelas. "Eh... mana pulak Paan, Aiman, dengan Acap? Sibuk sangat ke sampai tak nak join kita lepak sekali?" Nada aku ringan, macam betul-betul nak tahu.

Arif geleng, sedut rokok sebelum jawab. "Aku pun pelik... sudah dekat tiga minggu aku cuba WhatsApp, langsung tak balas. Call pun tak angkat. Macam ghaib terus." Dia ketawa kecil, tapi jelas ada nada hairan. "Dulu bukan main aktif lagi, ajak lepak hampir setiap malam."

Aku pura-pura fikir sekejap, pandang ke arah jalan yang sunyi. "Mungkin diorang sibuk... kerja, family, entah. Kau tahulah hidup lepas umur macam ini... semua sudah ada hal sendiri."

Dalam hati, aku senyum. Sibuk? Oh ya... mereka memang sibuk. Sibuk dengan tali yang aku ikat, dengan jeritan yang tak keluar dari dinding bilik yang usang. Sibuk menunggu giliran untuk aku hancurkan perlahan-lahan.

Aku angkat muka, senyum pada Arif. "Tak apa... nanti kalau aku jumpa diorang, aku suruh reply kau. Kita kawankan?"

Dia angguk, percaya bulat-bulat dan itu yang buat aku makin seronok sebab tak lama lagi, dia akan ikut jejak kawan-kawan dia.

Tengah aku hirup teh ais, Arif tiba-tiba senyum dan tanya, "Macam mana Lily? Sejak kau kahwin sebulan lepas... okay ke?"

Aku terus ketawa kecil, goyang straw dalam gelas. "Hah... Lily? Hmm..." aku cepat ubah nada, "Lily okay saja. Pandai masak, pandai layan suami. Aku rasa beruntung jugaklah dapat dia jadi isteri." Aku sengaja selitkan tawa, nada penuh keyakinan macam suami bahagia.

Arif ketawa puas hati. "Baguslah... aku pun lega dengar. Lily itu adik aku, dia memang jenis lembut. Dari dulu aku rasa kau dengan dia memang sesuai, sepadan."

Aku angguk sambil senyum, tapi dalam kepala aku bayang wajah Lily menangis malam-malam, mata bengkak, tangan berbalut luka air panas. Sesuai? Kalau dia tahu apa aku buat pada "adik kesayangan" dia itu, mesti perkataan itu akan bertukar jadi "sial" dalam sekelip mata.

Aku teguk lagi teh ais, pura-pura hanyut dalam perbualan santai. "Yup... sesuai sangat."

Arif tarik nafas panjang, jari dia ketuk kotak rokok. "Eh... aku teringat satu benda. Ghea." Dia pandang aku lama, macam nak baca reaksi. "Tak sangkakan... dia sudah meninggal. Sudah hampir lima bulan, kan? Aku pun tak tahu sebab apa dia pergi tiba-tiba."

Darah aku naik sekejap, tapi muka aku kekal tenang. Aku tunduk, main straw dalam gelas.

"Hmm... aku pun tak tahu, Arif. Tahu-tahu saja dia sudah dikebumikan kat kampung halaman." Aku sengaja biarkan nada suara aku berat sikit, konon sukar terima kenyataan.

Arif geleng, sedut rokok. "Aku... terkejut gila masa dapat tahu. Langsung tak sangka."

Aku pandang dia, senyum nipis. "Aku sempat ziarah kubur dia kat Perak tu... sekadar sedekahkan doa untuk bekas kekasih lama." Ayat itu keluar perlahan, setiap suku kata aku tekan, biar bunyinya macam penuh kehilangan walhal dalam hati, aku cuma terbayang wajah Ghea yang masih bernafas, masih ada dalam genggaman aku, jauh dari pengetahuan sesiapa.

Aku minum sedikit teh ais, mata tak lepas dari Arif. Dalam kepala aku, aku ulang-ulang satu janji: Tak lama lagi, kau akan tahu yang Ghea tak pernah benar-benar pergi... tapi masa itu kau sudah tak mampu cerita pada sesiapa.

Arif senyum kecil, renung kosong ke jalan. "Ghea itu... cantik orangnya. Dulu masa zaman belajar, aku suka jugak dekat dia." Dia ketawa nipis, cepat-cepat tambah, "Tapi bila dengar kau dengan dia couple, aku pasrah saja. Kononnya aku sokong hubungan korang... walaupun dalam hati..." Dia berhenti sekejap, sedut rokok. "Tak sangkakan... tak ada jodoh. Meninggal muda pulak tu."

Aku senyum nipis, padahal kuku jari aku sudah tertanam dalam tapak tangan. "Hmm... hidup ni memang pelik, Arif. Kadang-kadang yang kita sayang... pergi dulu." Suara aku keluar perlahan, seolah-olah sarat dengan kesedihan.

Hakikatnya, setiap patah perkataan dia tadi aku simpan dalam kepala macam rakaman yang akan aku mainkan semula nanti, saat aku jadikan dia orang terakhir yang menjerit nama Ghea sebelum mati.

Aku ketawa kecil, pura-pura cuba ubah suasana. "Apa pun... yang lepas itu biarlah lepas. Kita fokus saja pada hidup sekarang."

Dia angguk, tak tahu langsung yang 'hidup sekarang' dia cuma tinggal beberapa hari lagi.

Arif senyum lebar, ketuk abu rokok ke tepi piring. "Tapi serius, Rik... kau ni beruntung gila kahwin dengan adik aku, Lily tu, dia cantik, lembut, pandai jaga suami. Memang isteri idamanlah. Dari dulu aku tahu dia akan jadi isteri yang baik."

Aku ketawa kecil, teguk sikit teh ais. "Yup... beruntung." Ayat itu keluar lancar, tapi dalam hati, rasa nak terbalikkan meja ini sekarang juga.

Dia sambung lagi, mata bersinar macam bangga betul. "Aku selalu cakap kat Lily, siapa yang dapat dia... kira jackpotlah dan tengoklah sekarang adik ipar sendiri yang dapat."

Aku senyum nipis, gigi terkatup rapat. Dalam kepala, terbayang tangan Lily terketar-ketar waktu aku cengkam, terbayang wajah dia yang basah dengan air mata. Jackpot? Kalau dia tahu apa yang aku buat pada 'jackpot' dia itu, Arif mungkin akan rasa nak cabut nyawa aku dengan tangan sendiri.

Aku sandar ke kerusi, pura-pura relaks. "Yup... memang rezeki aku." Hakikatnya, rezeki aku yang sebenar adalah tengok muka Arif berubah jadi pucat nanti semasa dia sedar aku bukan adik ipar yang dia banggakan, tapi algojo yang sudah lama menunggu giliran dia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience