Aku pandu semula kereta Acap. Jalan yang sama. Jalan yang aku hafal sejak aku mula ikut dia dua minggu lepas. Gear aku tolak perlahan. Steady. Macam tak ada apa yang berlaku.
Bila sampai tempat asal, bahu jalan sunyi dekat simpang belakang masjid lama, aku berhenti. Bunyi enjin mati perlahan-lahan, macam nyawa yang sedang dilepaskan.
Aku buka pintu. Keluar.
Langkah aku ringan, tenang. Aku tunduk sedikit dan lempar kunci kereta Acap ke dalam longkang besi sebelah kaki lima.
PLOP!
Bunyi air longkang meletup halus. Bunyi yang akan hilang dalam masa dua saat. Tak akan ada siapa cari. Tak akan ada siapa peduli. Esok lusa, mungkin ada budak lepak jumpa kereta Acap kosong. Atau polis lalu. Tapi bukan malam ini.
Aku seluk poket seluar. Kunci Toyota aku masih ada. Aku jalan santai ke arah restoran mamak di hujung simpang. Lampu papan tanda mamak itu sudah malap. Kerusi plastik pun banyak yang sudah disusun. Aku parkir Vios hitam aku sejak pagi tadi. Strategik kawasan kampung, lot kedai lama, dan yang paling penting, tak ada CCTV.
Aku tekan kunci.
Klik.
Lampu kereta berkelip dua kali. Macam sambut aku balik lepas kerja panjang. Aku masuk. Tutup pintu perlahan. Enjin tak hidup lagi. Suasana dalam kereta gelap, sunyi.
Aku tarik nafas panjang. Lepas. Setiap kali lepas aku buat kerja, rasa ini yang aku tunggu. Detik bila semua berjaya, tapi belum ada siapa tahu. Bila dunia masih bergerak macam biasa... sedangkan seseorang baru kehilangan kawalan atas hidup sendiri.
Tak ada manusia keliling. Tak ramai orang lalu. Lampu jalan suram. Lorong-lorong ini aku sudah hafal sejak zaman belajar.
Aku tahu kat mana boleh sembunyi dan aku tahu di mana boleh balas dendam tanpa sesiapa nampak.
Aku hidupkan enjin. Bunyi mesin menderam perlahan, macam baru bangun dari tidur berdendam. Tangan kanan aku capai tombol radio. Tekan. Suara Alyph terus masuk, jelas, basah dengan beat berat.
"Check member kenapa kau macam fake..."
Aku senyum kecil. Lagu ini masuk macam sarung pada pisau. Kena tepat.
Aku kuatkan volume. Speaker lama dalam kereta aku bergetar. Bunyi bass macam degup jantung yang makin laju.
Aku mula gerakkan kereta. Keluar dari kawasan ini. Jalan sunyi. Lampu jalan malap. Tapi kepala aku terang. Aku tahu apa aku buat dan aku tahu aku tak berhenti selagi tak cukup empat.
Empat kepala. Empat kenangan. Empat azab yang belum dibayar. Aku tekan pedal minyak. Vios aku meluncur perlahan. Steady. Laju sikit apabila lepas selekoh.
"Check check, dia nak apa yang ku milik"
"Checkmate"
Tangan aku genggam stereng. Tapi tapak tangan aku gatal. Sudah lama. Gatal sebab ada satu lagi muka yang layak kena tampar. Satu lagi mulut yang perlu ditutup dengan darah sendiri.
Aku sengih. Bibir aku gerak perlahan.
"Tak lama lagi."
***
Kaki aku berhenti melangkah.
Aku berdiri betul-betul depan pintu rumah. Cahaya jalan malap. Angin malam tiup perlahan. Aku toleh kiri, kanan. Kosong. Tiada mata yang sedang tengok. Tiada jiran yang sibuk nak tahu aku balik dari mana.
Tangan aku genggam tombol pintu. Tapi belum sempat aku pulas, tombol tu bergerak sendiri.
Klik.
Pintu terbuka dari dalam.
Dan di depan aku, Lily. Isteri aku.
Dia pandang aku. Mata dia tak berkedip. Nafas dia pendek. Muka dia macam baru terserempak dengan bayang-bayang silam.
Aku pandang dia dari atas sampai bawah. Blouse satin warna cerah. Skirt labuh paras lutut. Rambut panjang dia diikat separuh. Makeup tipis. Bibir dia merah. Dan tangan dia genggam beg tangan kecil. Dia baru nak keluar.
"Nak pergi mana malam-malam?" aku tanya. Suara aku tak tinggi. Tapi cukup untuk buat tulang dia kejung.
Lily diam.
Tangan dia cepat-cepat betulkan anak rambut yang terkeluar. Gerak-gerinya gugup, tapi cuba disembunyikan dengan senyuman palsu.
Dia tunduk sedikit tapi aku masih tengok.
Cantik? Ya. Lily memang cantik. Isteri yang baik. Sopan. Lemah lembut. Jenis perempuan yang semua orang kata "sempurna".
Tapi dalam kepala aku, hanya satu wajah yang kekal. Satu nama yang tak pernah pudar. Seseorang yang lebih cantik dari dia.
Lebih kuat.
Lebih bernyawa.
Tanpa tunggu jawapan, aku tolak dada Lily dengan kasar. Dia tak sempat nak elak. Tubuh dia terundur ke belakang. Tersadung kaki sendiri. Gedebuk! Dia jatuh terduduk atas lantai.
"Aduh...!" jerit dia perlahan. Tapi aku tak peduli. Kaki dia cuba halang aku masuk, aku tepis. Langkah aku laju. Aku tutup pintu. Klik. Pintu berkunci.
Aku pusing balik. Mata aku masih lekat pada dia. Dia perlahan-lahan cuba bangun. Lutut dia terketar. Tapi sebelum sempat berdiri betul-betul...
Aku capai rambut panjang dia. Aku genggam, tarik.
"Arghh! Ezrik, tolong...sakit!" jerit Lily. Dia cuba paut tangan aku tapi aku heret juga. Satu tangan tarik rambut, satu tangan tolak belakang dia.
Langkah aku kasar. Setiap geseran kaki aku berbunyi kasar atas lantai.
"Lepaskan saya, abang! Tolong!" suara dia pecah.
Tapi malam ini aku pekak dan aku buat bodoh. Aku tak nak dengar suara dia. Aku tak nak tengok muka dia. Yang aku nak hanya satu iaitu diam.
Aku bawa dia ke dapur. Sorong tubuh dia sampai ke kabinet bawah sinki. Dia jatuh terhempas lutut.
Menangis.
Merayu.
Tapi aku hanya berdiri di situ. Renung dia macam dia patung. Mata aku kosong. Sebab aku tahu, Lily tak akan faham apa yang aku bawa balik setiap malam. Dan dia bukan orang yang patut aku sayang pun sejak dari awal.
Tangan aku capai gunting dari rak dapur. Tajam. Bersih. Disusun cantik atas rak logam macam hiasan. Tapi malam ini, benda itu jadi alat kawalan.
Aku pusing semula ke arah Lily. Dia masih terduduk. Rambut panjang dia bersepah, jatuh ke muka, menutup pandangan. Mata dia merah. Pipi basah dengan air mata.
Aku tarik rambut dia sekali lagi. Kuat. Kepala dia terangkat paksa.
"Abang... tolong... saya janji tak keluar malam lagi," dia merayu. Suara dia pecah. Patah-patah.
Aku diam.
Tak jawab.
Tak peduli.
Aku angkat gunting dan aku mula gunting rambut Lily, satu potongan kasar, tak rata. Tak cantik. Tak peduli fesyen. Aku cuma nak rambut itu hilang. Biar dia nampak hodoh. Biar dia malu. Biar dia tak rasa nak keluar dari rumah ini lagi.
Dia menjerit kecil. Cuba tarik tangan aku. Tapi aku tekan kepala dia dengan siku. Paksa dia tunduk. Gunting terus bekerja.
Snip. Snip. Snip!
Helai demi helai rambut Lily jatuh atas lantai bagaikan hujan dosa. Dia peluk lutut aku. Menggigil.
"Cukuplah... tolong... saya takkan buat lagi..."
Aku tak tahan lagi dengar suara itu.
"Diamlah, bodoh!" aku tengking. Suara aku berdengung dalam telinga sendiri.
Lily tersentak. Suara dia hilang. Tubuh dia mengecil. Matanya terpejam, seolah berharap semua ini cuma mimpi. Tapi ini bukan mimpi.
Ini rumah aku.
Dan dalam rumah aku semua ikut cara aku. Aku lepaskan genggaman rambut Lily.
Kepala dia terhayun ke depan, lembik. Rambutnya atau lebih tepat, sisa rambut dia jatuh bersepah atas lantai. Panjang tak sekata. Macam padang jarak padang tekukur. Hodoh.
Aku pandang cebisan rambut itu. Diam sekejap dan tiba-tiba aku ketawa. Bukan ketawa bahagia. Tapi ketawa kuat, keras, penuh sindiran. Seperti suara orang yang baru menang judi atas penderitaan orang lain.
"Bertambah buruk kau lepas ni!" aku jerit, sambil ketawa.
Nada aku sinis.
Aku tengok dia perempuan yang dulu nampak sempurna di mata orang. Sekarang duduk terketar, rambut terpotong kasar, mata merah macam anak kucing dibiarkan dalam hujan.
Dia tak jawab.
Dia cuma menangis diam.
Dan aku hanya terus ketawa. Sebab itu satu-satunya bunyi yang buat aku rasa hidup sekarang. Aku campak gunting ke dalam sinki.
Tang!
Bunyi logam berlanggar dengan besi. Serpihan rambut Lily masih melekat pada mata gunting. Air paip tak mengalir, tapi kesan basah pada besi sinki cukup untuk cipta pantulan samar wajah aku sendiri.
Wajah yang tak sama macam dulu. Kaki aku melangkah keluar dari dapur. Langkah aku terus ke arah bilik aku. Bilik yang aku tak pernah benarkan Lily masuk. Bilik yang berkunci dari dalam. Bilik yang tak pernah terbuka untuk sesiapa sejak malam semuanya berubah.
Setiap langkah aku terasa berat. Tapi bukan sebab penat. Sebab bilik itu simpan terlalu banyak. Terlalu banyak suara. Terlalu banyak bayang.
Aku buka pintu.
Masuk.
Dan tutup semula. Klik. Kunci berpusing. Bunyi yang menandakan dunia luar sudah tak penting.
Aku baring atas katil. Lampu aku tak buka. Satu tangan tutup muka. Aku tak menyesal.
Sebab sejak aku jadi suami Lily, tak pernah sekali pun aku sentuh dia. Tak pernah sekali pun aku lihat dia dengan nafsu. Tak pernah ada rasa cinta.
Aku jijik.
Jijik dengan dia. Jijik dengan segalanya. Kecuali satu. Kecuali yang dulu pernah jadi alasan aku hidup. Yang sekarang... jadi alasan aku membunuh perlahan-lahan.
Suka cerita SADIS? Jangan lupa FOLLOW & KOMEN. Saya akan update Bab seterusnya lebih cepat.
Share this novel