8 Tahun lalu.
Aku tengok jam. Jarum panjang dah telan waktu Maghrib. Rumah Ghea terang. Pintu depan masih senyap. Aku seluk poket seluar, rasa lighter dengan rokok masih ada. Tapi hisap pun buat apa. Bau rokok nanti melekat pada kemeja aku. Baju ini aku gosok elok-elok, nak nampak kemas depan dia. Ghea benci bau asap.
Aku sengih lagi. Bodoh betul berdiri depan pagar rumah perempuan, tunggu dia macam gangster jatuh cinta. Sudah macam rutin. Kalau papa dia keluar, mampus aku.
Aku larikan pandang ke bumbung rumah Ghea atap genting merah. Rumah orang kaya. Lain dengan aku yang bilik sewa pun kipas siling bunyi macam enjin nak terkeluar tapi kalau Ghea senyum, kalau dia jalan sebelah aku malam ini semua cukup.
Aku ketuk stereng kereta. Jantung pun sudah main drum. Harap dia suka makan malam ini. Harap suka walau sikit pun tak apa.
"Hoi!" Sapa seseorang dari tepi. Aku berpaling. Aku tercengang. Jujur aku tak pernah tengok Ghea macam ini, Ghea yang selalu selekeh, t-shirt baggy, seluar pendek koyak lutut sekarang berdiri depan aku macam puteri yang terperangkap dalam badan gangster.
Dress biru paras paha. Kaki jinjang berbalut kasut tumit tinggi. Rambut pendek dia jatuh cantik, make up tipis tapi cukup buat aku telan liur. Aku rasa macam bangang berdiri di situ sambil tangan aku masih pegang kunci kereta.
"Hoi! Ezrik, kenapa kau pandang aku macam tu?!" Suara dia tercampur malu dengan bengang. Tangannya sibuk tarik-tarik hujung dress, macam dress itu bersalah sebab tunjuk lebih kulit dari biasa.
Aku sengih. Mata aku tak lepas dari paha dia, dari leher jinjang dia, dari bibir dia yang gerak marah-marah itu. Aku sengih lebih lebar.
"Cantik..." Aku cakap perlahan, sengaja biar dia makin malu.
"Hoi!" panggil Ghea lagi, nada dia makin geram.
Aku toleh perlahan, lepas pandang kereta, pandang dia balik lama. Macam otak aku susun ayat tapi lidah degil nak keluarkan.
Dia berdiri betul-betul tepi pintu pagar, tangan masih tarik hujung dress. Mata dia jeling aku tajam, tapi pipi dia sudah merah. Mati aku kalau dia baling selipar malam ini.
"Kenapa kau belikan dress seksi macam ni? Malu aku, tahu tak? Aku tak pernah pakai macam ni, bangang!" Ghea bebel, tangan tolak kepala aku macam aku patung.
Aku sengih. Bau minyak wangi vanila dia campur dengan garang dia... sedap. "Malam ni aku nak bawa kau pergi tempat special. Jadi aku nak kau nampak... lain sikit," aku jawab, nada tenang. Senyum tak reti padam.
Ghea cebik. Tarik tangan aku kasar, jari sejuk dia cengkam pergelangan aku macam gari. "Jomlah gerak! Kalau papa aku nampak, mampus aku!" Suara dia dah macam letup mercun.
Aku ketawa. Buka pintu seat penumpang, tunduk sikit macam driver bajet romantik. Ghea hempas punggung duduk, mata dia masih bunuh aku.
"Eh, kau tak payahlah acah sweet!" Jeling dia tajam, hidung kembang.
Aku tutup pintu, pandang Ghea sekejap dari cermin, comel sial bila dia cuba jadi ganas dalam dress mahal aku beli. Aku senyum. Malam ini, aku punya.
"Kita nak pergi mana ni, Ezrik?" Suara Ghea perlahan, tapi mata dia tak pernah tahu duduk diam, jeling aku, jeling jalan, jeling paha sendiri yang dia kepit macam takut kena curi.
Aku pandang depan, tangan kiri sempat jatuh atas paha dia. Usap perlahan, sengaja tekan sikit. Lembut, panas.
"Adalah... rahsia." Aku balas malas, sengih hujung bibir.
Ghea terus tepis tangan aku macam tepuk nyamuk. Mata dia sudah besar, kening rapat.
"Kau tak payah sentuh-sentuh aku lah!" Dia marah, suara naik satu nada.
Aku ketawa pendek. Tangan aku kembali ke stereng, jari main signal lampu tinggi. "Aku rindukan kau, Ghea... sentuh sikit pun marah. Garangnya."
Mata aku masih hadap jalan gelap depan. Tapi ekor mata aku curi tengok dia, dress biru dia, peha dia, muka dia yang makin merah. Kalau boleh, aku nak sentuh lagi tapi aku sabar.
Kereta aku mati enjin depan satu restoran separuh mewah, lampu kuning malap pantul atas permukaan tasik gelap. Angin sejuk sikit, bau air tasik campur bau makanan mahal.
Aku turun dulu, hempas pintu perlahan. Langkah aku pusing ke seat penumpang. Aku buka pintu, sengih macam pailang berlagak gentleman.
Ghea turun perlahan, terkedek-kedek dengan tumit tinggi itu betul-betul seksa dia. Dress paras paha dia meleret sikit bila dia betulkan langkah. Tangannya sempat pegang bahu aku, nak imbang badan.
Mata dia meliar, scan papan tanda restoran, lampu lampu fairy light atas pokok, air tasik berombak. Bunyi cengkerik pun dengar. Dia cebik, mata masih ronda tempat itu.
"Sejak bila kau jadi kaya gila nak bawak aku makan tepi tasik macam ni?" Suara dia renyah, tapi tangan dia masih cengkam lengan aku.
"Kau ni banyak bunyilah. Ikut jelah aku," aku balas malas, mata tak lari dari muka dia yang masih buat muka tak puas hati.
Tangan dia masih pegang lengan aku kuat, macam aku ini tongkat. Tumit tinggi itu bunuh langkah gangster dia. Kami jalan perlahan, lampu restoran siram muka dia dengan cahaya kuning. Sekali tengok macam bidadari hilang arah. Sekali tengok macam harimau lapar.
Sampai depan pintu, pelayan pakai vest hitam tunduk sikit. "Selamat datang, encik. Atas nama siapa ya?" Suara budak tu sopan, bau minyak wangi hotel.
Aku sengih sikit, balas pendek. "Ezrik Aslan."
Budak tu angguk, senyum plastik. Dia jalan depan, bawa kami celah meja-meja orang kaya makan malam, gelas wain berkilau, bunyi garpu pinggan halus.
Sampai meja tepi tasik, lilin kecil berkelip, kerusi kayu putih, air tasik hitam jadi background romantik entah apa. Ghea masih pegang lengan aku. Macam takut aku jual dia malam ini.
Aku tarik kerusi perlahan, bunyi geseran kayu halus atas lantai kayu mahal itu. Tangan aku singgah pegang bahu dia, nak tolak dia duduk elok-elok.
Ghea terus tolak tangan aku tepis macam sampah. Mata dia jeling, bibir dia muncung separuh benci separuh malu. Aku ketawa kecil. Bunyi gelak aku tenggelam dengan bunyi air tasik berlanggar tiang.
"Sila duduk, tuan puteri..." aku sindir, suara sengaja manja. Lidah aku geli sendiri dengar tapi aku suka tengok dia rasa nak sepak aku hidup-hidup.
Seorang pelayan datang, muka budak itu lurus macam robot. Pinggan mahal, hidangan panas berasap, bau wangi entah apa semua dia letak satu-satu atas meja, susun cantik macam nak photoshoot.
Ghea diam, mata dia ikut tangan pelayan letak steak, salad, mangkuk sup kecil. Hidung dia kembang kempis, tapi muka masih ketat, dahi berkerut, bibir tak senyum.
Budak pelayan tunduk, beredar senyap. Aku tarik kerusi, duduk betul-betul depan dia. Lengan aku bersilang atas meja, mata aku paku muka dia.
Ghea jeling aku, pipi dia sudah merah sikit. Dia ketap bibir. Konon marah. Padahal aku tahu dalam kepala dia mesti dah fikir macam-macam. Dress mahal, makan tepi tasik, candlelight dinner. Garang ke tidak, hati dia cair juga.
"Kau ada duit je belanja aku makan mahal-mahal macam ni, Ezrik?" Suara dia perlahan, tapi mata dia cabar aku.
Aku angkat bahu malas. "Kau jangan risaulah, Ghea. Makan je. Aku belanja. Romantik tak?" Suara aku sengaja tekan rendah, biar dia rasa geli satu badan.
Ghea muncung mulut, mata dia rolling ke tasik. "Aku gelilah... poyo," dia balas, tapi suara dia separuh tenggelam dengan bunyi lilin berdecit.
Aku sengih, gelak kecil. "Geli konon... padahal cair," aku sindir, sengaja cucuk ego dia.
Tangan dia naik tampar pipi aku lembut, lebih macam cubit manja dari tampar betul. Aku tak balas. Senyum saja. Mata aku lekat pada muka dia, bulu mata pendek, hidung mancung, bibir comel separuh muncung. Kalau orang lain tengok, orang sangka aku tangkap puteri kayangan malam ini. Padahal aku tahu Ghea Edriana tak pernah jadi puteri sesiapa. Dia cuma aku punya.
Tangan aku seluk poket seluar, rasa kotak baldu kecil yang dari tadi panas duduk situ. Jantung aku tiba-tiba ketuk rusuk, tangan berpeluh.
"Weh Ghea..." suara aku pecah sikit, terbatuk. "Aku ada something nak bagi kau..."
Ghea hentikan straw fresh orange dia, mata dia lambat-lambat naik ke muka aku. "Apa?" pendek, malas, tapi mata dia bunuh aku.
Tangan aku terketar sikit masa tarik keluar kotak baldu. Benda kecil, tapi rasa berat macam batu nisan. Aku letak atas meja perlahan, tap! bunyi halus, tapi cukup bunuh degup jantung aku sendiri.
Kening Ghea terus naik. Dia pandang kotak itu macam aku letak bom jangka. Langsung tak ada senyum. Tak ada drama drama manja.
"Apa ni?" Dia soal lagi, nada datar. Straw fresh orange dia gigit kuat.
Aku gelak kecil, rasa malu sendiri. "Cincinlah, bongok! Kau ni tak cair ke aku bagi cincin?" Nada aku cuba sinis, padahal suara aku goyang sikit.
Ghea masih buat muka keras. Mata dia pindah dari cincin ke muka aku, dari muka aku ke tasik gelap belakang aku. Kenapa hati perempuan ini keras semacam?
Aku tak tunggu dia habis bebel. Terus tangan aku capai tangan dia atas meja sejuk, tulang halus, kuku pendek. Jari dia cuba gerak, tapi aku genggam kuat.
Kotak baldu aku buka separuh dengan satu tangan. Cincin perak kecil, batu pun tak besar mana. Tapi jantung aku rasa macam tertinggal dalam kotak tu sekali.
Perlahan aku tarik jari manis dia, sarungkan cincin itu hati-hati. Jari dia keras, tapi dia tak tarik. Tak tolak. Mata dia pandang kiri kanan lampu restoran, pelayan yang lalu lalang, tasik hitam belakang aku.
"Aku malulah, Ezrik..." suara dia pecah, separuh bisik. Tapi tangan dia masih dalam genggam aku. Cincin sudah lekat cantik dekat kulit dia.
Aku sengih, mata tak lepas pandang dia.
"Ni orang putih kata promise ring. Aku bagi kau cincin ni sebab aku betul-betul serius dengan kau... Ghea." Aku tekan nada hujung ayat serius. Serius aku gila, serius aku sanggup mati. Dia cuma tunduk, bibir muncung, tapi cincin masih duduk diam pada jari dia.
"Wei, tapi asal ketat semacam cincin ni? Kau salah saiz ke apa?" Ghea terus belek jari manis dia, pusing cincin perlahan, dahi dia berkerut macam baca bil api.
Dia cuba tarik keluar, sekali dua tapi tak bergerak. Makin tersekat. Muka dia sudah separuh panik separuh nak marah aku.
Aku garu kepala, jari jemari aku rasa panas sendiri. "Seriuslah ketat? Aku main beli je... mana aku tahu cincin pun ada saiz!" Aku balas sambil sengih bodoh.
Ghea hentak gelak, suara dia pecah sikit, tumpah macam air tasik kat belakang. Tangan dia tolak bahu aku kasar, hampir buat aku terhuyung.
"Bodohlah kau, Ezrik!" dia sumpah sambil gelak, tapi mata dia masih jatuh pada cincin. Jari dia cuba pusing lagi, main tarik, lepas itu dia diam. Mata dia lekat kat cincin itu lama-lama.
Dia tak tolak. Tak buka. Dia cuma pandang macam ada benda dia simpan dalam dada.
"Thanks, Rik. Tak sangka kau ni pandai sweet juga dengan aku..." Ghea tiba-tiba senyum, senyum dia tak panjang, tapi cukup buat jantung aku putus tali.
Dia sengih, mata dia separuh sepet, pipi dia merah. Aku pegang tangan dia jari manis masih terperangkap cincin sempit. Aku gosok belakang tangan dia perlahan, rasa urat halus dia berdenyut bawah kulit.
Mata aku kunci mata dia. Dalam. Hitam. "Aku betul-betul cintakan kau, Ghea..." suara aku pecah perlahan. Aku tunduk, bibir aku singgah cium belakang tangan dia, rasa tulang dia, rasa sejuk kulit dia.
"Ye ye je kau ni, Ezrik!" Ghea balas sambil jari dia tolak dahi aku, sengih separuh malas. Macam biasa, manja dia kalau marah.
Aku pegang balik tangan dia. Usap lagi, keras kepala. "Aku serius, Ghea. Kalau boleh, aku nak hidup dengan kau. Kau cinta pertama aku... kau cinta terakhir aku..." kata aku, suara aku mati sikit hujung. Sebab aku tahu, ayat itu bukan sekadar manis. Itu sumpah mati.
Ghea diam. Dia tengok aku lama. Mulut dia muncung sikit, mata dia sepet, kening dia jatuh. Lepas itu sengih. Sengih dia macam selak pagar dada aku.
Dia tarik tangan dia perlahan, cabut dari genggam aku. "Weh, jomlah makan! Lapar aku!" Nada dia naik ceria, macam budak sekolah baru dapat aiskrim. Tangan dia laju capai sudu garpu, potong steak depan dia.
Aku cuma senyum. Pandang dia makan, pandang cincin sempit yang masih lekat. Aku betul-betul sayangkan Ghea Edriana.
Sampai mati.
Share this novel