Bau antiseptik pekat menusuk hidung. Lampu putih silau dari siling jatuh tepat ke atas meja rawatan. Aku berdiri di sebelah doktor lelaki muda berkot putih, tangan bersarung getah biru, sibuk mencuci luka di lutut Lily.
Lily mengerang kecil bila kapas bergesel pada kulit yang koyak. Aku letak tangan di bahu dia, sengaja berlakon lembut di depan doktor. "Sikit saja lagi, sayang. Tahan ya..."
Doktor mengangguk kecil ke arah aku. "Encik, isteri encik ni bukan saja luka lutut. Dia demam panas, suhu 39 darjah. Dia perlu rehat sepenuhnya. Jangan biarkan dia banyak bergerak."
Aku angkat kening, pura-pura risau. "Macam tu sekali? Patutlah dia nampak lemah sangat tadi..." Aku toleh pada Lily, senyum nipis yang hanya aku tahu palsu. "Nanti abang jaga, jangan risau."
Dalam kepala, senyum tu dah mati lama. Jaga? Aku akan jaga dia cukup untuk pastikan dia boleh hidup lagi beberapa tahun, cukup lama untuk aku habiskan rancangan aku.
Doktor mula balut lutut Lily dengan kemas. "Sudah, nanti ambil ubat demam. Bagi makan ikut waktu, ya."
Aku angguk patuh, ambil slip ubat dari tangan doktor. "Terima kasih, doktor."
Lily pandang aku dengan mata yang penuh harap, macam aku betul-betul peduli. Dia lupa... topeng yang aku pakai ini cuma untuk tontonan orang luar.
Lily mencebik kecil, tarik nafas panjang macam budak manja. "Sakit..." suaranya lemah, seolah-olah setiap sentuhan doktor itu neraka.
Aku tahu dia sengaja lebih-lebihkan. Aku tahu sakitnya tak sampai setengah daripada apa yang pernah aku buat pada dia. Tapi di sini, di bilik rawatan yang ada doktor dan nurse berdiri, aku kena teruskan watak.
Aku rapatkan sedikit kerusi ke tepi katil rawatan. Tangan aku genggam jemarinya, pura-pura lembut. "Sabar ya, sayang. Sekejap lagi habis. Abang ada saja sini."
Nurse di hujung meja senyum nipis, pandang aku macam aku calon menantu idaman. Kalau dia tahu cerita sebenar, mungkin dia akan lari keluar sambil muntah.
Doktor siap balut, Lily mengerang lagi, buat-buat pejam mata dan cengkam tangan aku lebih kuat. Aku tahan diri daripada menarik tangan itu. Di luar, aku suami penyayang. Di dalam, aku rasa tangan ini macam lilitan tali yang kotor.
"Sudah siap," doktor bersuara. "Bawa dia balik rehat, Encik Ezrik. Elakkan dia kena air di bahagian luka."
Aku angguk, senyum tipis. "Terima kasih, doktor. Saya akan pastikan dia rehat betul-betul."
Kata-kata aku itu manis di telinga mereka tapi hanya aku yang tahu rehat atau tidak, Lily tetap dalam sangkar aku.
Aku bangun, hulur tangan pada Lily. Dia berpaut, langkahnya perlahan. Aku papah dia keluar dari bilik rawatan, kaki kirinya sedikit terangkat supaya balutan tak tersentuh lantai.
"Duduk dulu," aku arah, nada tenang tapi tetap tajam. Dia menurut, duduk di kerusi panjang berlapik biru di tepi kaunter. Aku terus ke kaunter pembayaran. Seorang nurse muda berdiri, senyum sopan sambil capai bungkusan plastik putih berisi ubat. Dia keluarkan satu persatu.
"Ini ubat cuci luka, Encik. Guna dua kali sehari, pastikan tangan bersih sebelum cuci." Dia letak botol kecil di atas kaunter. "Ini ubat demam, makan selepas makan. Dua kali sehari dan ini antibiotik, habiskan semua walaupun sudah rasa sihat."
Aku angguk, mata fokus pada gerak bibirnya, seolah-olah aku suami yang betul-betul ambil berat. "Baik. Ada apa-apa pantang makanan?"
"Untuk antibiotik, elakkan susu atau produk tenusu dalam masa dua jam selepas makan ubat," jawabnya sambil menekan butang pada mesin juruwang.
Dia tunduk sekejap, pandang skrin. "Jumlah semua RM168."
Aku keluarkan dompet, capai kad. Letak atas kaunter tanpa berkira. Kad diswipe, resit keluar dengan bunyi mesin yang nyaring.
"Terima kasih, Encik. Semoga isteri cepat sembuh," kata nurse itu lagi sambil hulur plastik ubat.
Aku senyum nipis, ambil plastik itu. "Terima kasih."
Di belakang senyum itu, dalam kepala aku, ubat ini bukan untuk "isteri yang aku sayang". Ia cuma bekalan supaya dia terus hidup cukup lama untuk aku habiskan rancangan aku.
Aku kembali ke kerusi menunggu. Lily angkat muka bila nampak aku, senyum nipis yang cuba disembunyikan tapi tetap nampak.
"Jom," aku hulur tangan. Dia sambut, jemarinya dingin. Aku papah dia perlahan-lahan, langkah kami keluar dari klinik diiringi bunyi pintu kaca automatik yang terbuka sendiri.
Udara malam menyapa, bau jalan bercampur dengan wangi minyak angin yang melekat pada tubuh Lily. Aku pastikan dia tak tersandung, kaki kirinya aku kawal supaya balutan tak terhentak.
Sampai di kereta, aku buka pintu penumpang, tunduk sedikit. "Masuk perlahan."
Dia patuh, satu tangan di bahu aku, satu lagi genggam pintu. Bila dia duduk, aku tolong selit kaki kirinya masuk, elak daripada terhantuk pintu.
Dia senyum, senyum yang penuh makna seolah-olah layanan ini tanda aku masih ada hati. Senyum yang dia fikir cukup untuk pecahkan dinding yang aku bina.
Pintu aku rapatkan, bunyinya padat memecah bunyi jalan. Dari tempat aku berdiri, aku nampak wajahnya di balik cermin tingkap, senyum itu masih di situ. Dia bahagia dengan lakonan aku, dan itu buat aku semakin pasti, permainan ini masih jauh dari tamat.
Aku masuk ke seat pemandu. Pintu tertutup, bunyinya memerangkap kami berdua dalam ruang sempit yang bau antiseptik dan minyak wangi Lily bercampur.
"Terima kasih, abang..." suaranya perlahan, penuh harap.
Aku toleh sedikit, mata aku tepat menikam matanya. Suara aku turun, dingin. "Jangan ingat aku sayang kau, Lily."
Dia terdiam, senyumnya mati perlahan.
"Aku buat semua ni sebab aku masih rasa aku manusia. Bukan sebab aku suami baik, apatah lagi sebab aku cintakan kau."
Sunyi. Hanya bunyi pendingin hawa yang menderu perlahan. Dia tunduk, genggam hujung kain bajunya.
Aku pandang ke depan, hidupkan enjin. Lampu papan pemuka menyala, dan di hati aku, semua layanan lembut tadi jatuh macam debu, tak ada nilai selain untuk mengekalkan topeng aku di mata orang lain.
Tali pinggang keledar aku klik kemas. Belum sempat aku tarik gear, suara Lily pecah senyap.
"Kenapa abang... selalu tak balik rumah lepas kerja?"
Aku senyum, senyum yang dia tak akan suka. "Suka hati aku. Nak balik atau tak, bukan urusan kau."
Dia tarik nafas panjang, pandang aku macam cuba cari sisa lelaki yang dia impikan masa mula-mula kahwin. "Sampai bila... Rik nak bersikap macam ni?"
Aku toleh, mata aku kosong tapi tajam. "Sampai mati."
Dia terdiam. Nafasnya terputus-putus, tapi aku sudah pandang semula ke jalan. Gear masuk, enjin meraung perlahan. Kereta meluncur keluar dari parkir, bawa kami berdua ke arah rumah, rumah yang dia panggil "milik bersama", tapi aku anggap cuma sangkar.
Bunyi tayar melibas jalan basah mengisi senyap. Tiba-tiba Lily bersuara lagi, nada dia perlahan tapi sarat dengan luka. "Kalau abang tak suka Lily... kenapa bercinta dengan Lily? Kenapa ajak kahwin cepat sangat?"
Aku sengih kecil tanpa pandang dia. "Suka hati aku."
Dia telan liur, suara dia mula bergetar. "Lily tak sangka... selama dua bulan kita bercinta tu, semua cuma lakonan abang..."
Aku senyum nipis, mata masih ke hadapan. "Tahu tak apa."
Dia terdiam, tapi dari hujung mata aku, aku nampak dia berpaling ke luar tingkap. Bahunya turun naik perlahan. Aku tak tanya, aku tak pujuk. Aku cuma memandu, biar setiap perkataan aku tadi melekat dan meracuni kepala dia, sedikit demi sedikit.
"Rik!" suara Lily tiba-tiba meninggi, pecah dalam ruang kereta yang sempit. "Abang kahwin dengan Lily sebab nak gantikan arwah Ghea, kan?!"
Tangan aku yang pegang stereng ketat, sendi jari memutih. Perlahan aku toleh, mata aku tepat menikam dia. "Tiada siapa..." suara aku rendah, tapi bergetar menahan api, "...yang boleh gantikan tempat Ghea."
Dia terdiam, tapi aku sudah rasa darah aku mendidih. Nafas aku berat, dada naik turun. "Dan kau..." aku tekan setiap perkataan, "...jangan sekali-kali sebut nama dia dengan mulut kau yang kotor tu."
Senyap. Hanya bunyi enjin dan degupan jantung aku yang laju. Aku kembali pandang jalan, tapi rahang aku mengeras. Dalam kepala, nama Ghea berputar bukan sebagai luka, tapi sebagai nyawa yang aku pertahankan sampai mati.
Lily tiba-tiba sambung, suaranya naik semula.
"Kenapa Rik masih ingat Ghea?! Dia sudah empat bulan meninggal! Empat bulan, Rik! Sampai bila nak hidup dengan bayang dia?!"
Aku ketap rahang, rasa panas naik ke belakang tengkuk. Nafas aku pecah kuat. "Aku akan ingat dia sampai aku mati."
Lily menggeleng laju, matanya berair tapi suaranya masih menekan. "Dia dah tak ada, Rik! Kenapa kau tak boleh lepaskan?!"
Aku toleh sekejap, mata aku gelap. "Sebab aku takkan lepaskan. Kau tak faham, Lily. Kau tak akan pernah faham."
Stereng di tangan aku ketat, kereta terus meluncur. Dalam kepala, wajah Ghea muncul jelas yang hidup, bernafas, walaupun dunia percaya dia sudah lama mati. Aku ketap gigi, kuat sampai rahang aku rasa tegang. Nafas aku turun naik, setiap hela nafas macam bara yang cuba aku tahan supaya tak meletup sekarang.
Di seat sebelah, Lily tunduk. Bahunya bergetar perlahan. Bunyi sedu kecil mula mengisi ruang kereta, bercampur dengan deru pendingin hawa.
Aku tak pandang dia. Mata aku fokus pada jalan, tangan masih mencengkam stereng. Dalam kepala, satu nama saja yang bergema iaitu Ghea.
Empat bulan atau empat tahun, tak ada beza. Dia tetap hidup dalam aku dan tak ada tangisan Lily yang mampu padamkan itu.
Share this novel