Bunyi bising.
Ketukan macam nak robohkan pintu. Aku buka mata. Berat. Kepala masih berpusing. Badan masih malas nak bangun.
DUM. DUM. DUM.
Siapa yang ketuk pintu macam orang gila pagi-pagi buta ini? Aku bangkit juga. Langkah longlai. Boxer saja yang melekat di pinggang. Rambut serabai. Mata separuh buka.
Bila pintu aku tarik, belum sempat aku buka mulut... dia sudah peluk aku. Peluk macam aku ini tempat dia berlindung. Macam aku ini tak ada hati. Macam aku ini tak sakit.
Lily.
Tubuh dia menggigil. Air mata penuh dekat pipi. Nafas dia laju, dada dia naik turun, macam baru kena kejar dengan syaitan.
Aku diam. Mata aku pandang dinding belakang dia. Aku biar pelukan itu. Sekejap saja. Cukup untuk aku rasa jijik.
Lepas itu aku tolak bahu dia. Perlahan. Tapi cukup untuk buat dia sedar dia tak dialu-alukan.
"Apa masalah kau hah?"
Dia pandang aku. Mata merah. Mulut terketar. Tapi aku tak peduli.
"Apa hal kau ketuk pintu macam nak gila? Tengah malam kot."
Dia masih diam. Masih menangis.
Aku hela nafas panjang. Suara aku naik, "Kenapa kau peluk aku, hah? Rimas aku tahu tak!"
Aku tak perlukan air mata dia. Tak perlukan pelukan dia. Aku bukan tempat dia menangis. Dan aku bukan lelaki yang dia boleh harap.
Lily pandang aku. Mata dia besar, tapi tak fokus. Nafas pendek-pendek. Tangan dia menggigil.
Macam nampak hantu. Macam aku ini hantu. Aku masih pegang bahu dia. Aku tanya lagi kali ini, suara aku jatuh satu nada lebih rendah.
"Kenapa, Lily?"
Dia diam. Mata dia turun ke lantai. Tak ada jawapan. Hanya bunyi esak yang dia tahan dalam kerongkong. Bunyi perempuan yang cuba kuat, tapi gagal.
Rambut dia serabai. Jatuh menutup separuh muka. Aku tak tahan tengok. Aku angkat tangan. Sapu rambut dia ke tepi perlahan-lahan.
Kulit dahi dia sejuk. Basah. Aku sentuh, dia terkejut sikit. Tapi tak tolak. Aku tanya lagi.
Lembut. Kali ini lebih lembut dari tadi. Suara yang aku sendiri benci.
"Kenapa ni?"
Masih tak ada jawapan. Tapi dalam diam dia, aku tahu dia sembunyikan sesuatu. Sesuatu yang lebih busuk daripada ketakutan. Sesuatu yang tak boleh disebut dengan lidah, cuma mampu mengalir ikut air mata.
Dan untuk beberapa saat, aku lupa siapa aku. Dia pandang mata aku. Mata yang dari tadi dia elak. Tapi sekarang dia tengok terus dalam. Seolah dia nak gali simpati dari aku. Suara dia keluar perlahan.
"Ada... lipas terbang dalam bilik."
Aku tak berkelip. Dia sambung, "Saya takut. Tolong halau boleh?" Aku telan air liur.
Sial.
Kalau ada satu benda dalam dunia ini yang aku benci lebih dari suara perempuan menangis, benda tu ialah... lipas. Terbang pulak itu.
Aku tarik nafas panjang. Dalam kepala aku sudah main drama aksi aku pegang penyapu, lipas terbang ke muka aku, aku jerit, penyapu patah, aku pengsan.
Tapi itu semua dalam kepala. Dalam realiti, aku cuma jawab dengan muka kosong, "Aku tak ada masa nak tangkap lipas."
Suara aku rata. Datar. Dinginnya cukup buat orang lain rasa disindir tapi bukan Lily. Dia tak gerak. Tak undur. Tak rasa malu pun.
Dia balas perlahan, "Saya tak nak tidur sana. Saya takut..."
Aku pandang dia. Lama. Satu minit pun rasa terlalu panjang. Aku hela nafas panjang. Mata aku renung mata dia. Mata Lily... bukan mata orang jahat. Tapi itu juga bukan mata orang kuat. Itu mata manusia yang dah habis tempat nak bergantung.
Menyedihkan.
Memualkan.
Dan untuk sebab yang aku sendiri tak faham, aku rasa marah. Aku masih berdiri. Mata aku separuh tertutup. Kepala aku berat. Badan aku pun sudah malas nak marah.
"Hmm... masuklah. Tidur sekali." Ayat aku keluar perlahan. Tanpa emosi. Seolah aku bagi izin tidur dengan aku itu sama macam aku suruh kucing tidur atas karpet.
Lily tak tanya dua kali. Tak tunggu. Dia ikut aku masuk. Malam ini... mungkin malam bertuah dia atau mungkin aku yang kalah dengan rasa mengantuk.
Aku baring dulu. Muka aku terus pandang ke tingkap. Lampu luar menyala samar. Cukup untuk buat bayang-bayang dalam bilik bergerak macam hantu.
Aku tak cakap apa-apa. Tak tanya apa-apa. Aku cuma dengar. Bunyi tilam tenggelam. Berat badan Lily. Bunyi selimut aku ditarik perlahan-lahan. Macam pencuri yang takut kantoi.
Aku toleh. Sekejap. Dalam gelap, aku nampak dia. Muka dia. Wajah ayu. Mata besar. Bibir macam tak berani senyum.
Cantik?
Mungkin.
Tapi bukan untuk aku. Aku buka mulut. Suara aku kering. Jelas.
"Jangan rapat dengan aku." Dia pandang aku. Lama. Aku ulang, "Aku tak nak sentuh kau."
Dia angguk. Perlahan. Faham. Aku pejam mata balik. Tak lama selepas itu, aku dengar bunyi nafas dia. Stabil. Perlahan dan malam pun senyap semula.
Tapi dalam hati aku, ada sesuatu yang tetap bising. Sesuatu yang tak reti tidur. Dia tarik selimut dan baring di sebelah aku. Bunyi kain gesel. Bunyi nafas dia. Semua benda tiba-tiba jadi terlalu jelas.
Dan yang paling aku sedar...
Bau.
Bau wangi yang datang dari badan dia. Lembut. Halus. Tapi cukup kuat untuk menampar deria aku. Aku rasa menyampah. Aku duduk semula. Aku tolak selimut ke arah dia. Tak kasar, tapi bukan dengan niat baik pun.
"Ambik. Aku tak nak kongsi dengan kau." Nada aku datar. Tapi tegas. Macam letak sempadan. Macam gariskan tali yang dia tak boleh langgar.
Dia tak jawab tapi aku nampak muka dia pandang aku dalam samar. Mata dia tunduk. Mungkin malu. Mungkin terluka.
Bagus.
Aku baring balik. Pusingkan badan. Mengiring. Muka aku menghadap dinding. Belakang aku menghadap dia. Aku tak nak tengok dia. Aku tak nak tahu dia tidur macam mana. Aku tak peduli pun kalau dia menangis ke, gelisah ke, tak boleh lena ke.
Dia bukan sesiapa.
Dia cuma perempuan yang aku tak pernah minta untuk hadir. Tapi wangi dia... Wangi dia macam racun. Masuk ikut hidung. Merayap naik ke kepala. Berlegar dalam otak.
Dan sekarang, aku tak boleh tidur. Aku pejam mata. Paksa. Kuat-kuat. Tangan aku genggam cadar.
Sial.
Kenapa bau dia macam ni? Kenapa dia wujud dekat sebelah aku? Aku cuma nak tidur. Itu saja. Tapi malam ini... tidur aku sudah kena curi. Oleh perempuan yang aku tak sudi pandang. Aku bersuara. Tak pandang dia pun.
"Lepas ni jangan pakai perfume atau sabun yang bau kuat sangat." Nada aku keras. Tapi tak perlu aku jerit. Aku tahu setiap perkataan aku tetap masuk ke kepala dia macam paku.
"Beli bau lain. Aku tak suka bau kau."
Diam. Beberapa saat kemudian baru dia balas.
"Ya... baik." Lembut. Perlahan. Suara perempuan yang sudah terbiasa ikut arahan walaupun hatinya koyak rabak.
Aku tak balas dan tak perlu. Aku pandang langsir. Kain dia bergerak sikit-sikit ditiup angin. Lampu jalan dari luar buat bayang-bayangnya menari di dinding.
Dan masa itu, aku sedar satu benda. Ini kali pertama ada perempuan lain baring sebelah aku.
Selain 'dia'.
Aku telan rasa. Rasa yang tak ada nama. Rasa yang buat dada aku ketat. Lily bukan 'dia'. Lily bukan perempuan yang aku cinta. Dia tak layak.
Tapi malam ini... aku izinkan dia baring sebelah aku. Dan aku tak tahu kenapa. Mungkin sebab aku penat. Mungkin sebab aku mengantuk.
Atau mungkin sebab dalam benci aku... ada satu ruang kosong yang aku tak tahu nak isi dengan apa.
Dan malam ini... dia isi ruang itu. Walaupun sekejap. Walaupun aku benci dia. Aku tahu dia belum tidur. Sama macam aku.
Nafas dia perlahan tapi tak sekata. Macam orang yang pura-pura lena. Atau mungkin dia pun tengah kira degupan jantung sendiri.
Langsir depan mata aku masih bergerak. Sedikit. Sekejap. Macam ada benda lain tengah menyelinap masuk ikut celah malam. Aku capai telefon.
5:00 pagi.
Aku hela nafas panjang. Badan aku sejuk. Sejuk macam tidur dalam peti ais. Hanya boxer. Tanpa selimut. Tanpa perlindungan.
Semua sebab aku tak nak kongsi kain dengan dia. Tapi walau aku sudah tolak selimut jauh... aku tak boleh tolak satu benda.
Bau.
Bau wangi dari tubuh dia masih melekat dalam udara. Masih terperangkap dalam bilik ini. Dan sekarang, masuk ikut hidung aku macam racun halus.
Racun yang buat otak aku runsing. Aku pejam mata. Kuat-kuat. Nak paksa diri tidur. Nak paksa semua rasa itu diam. Tapi makin aku pejam, makin kuat suara dalam kepala aku. Suara yang tanya macam-macam.
Apa dia fikir sekarang?
Kenapa dia diam?
Apa yang dia rasa baring sebelah aku?
Kenapa aku bagi dia masuk bilik aku malam ini? Dan... kenapa aku peduli? Aku telan air liur. Aku rasa benda dalam diri aku mula goyah. Aku cuba ingatkan diri. Aku kuat.
Aku bukan lelaki lembik. Aku tak akan kalah hanya sebab satu malam, satu perempuan, satu bau. Tapi malam ini... dia buat aku rasa macam aku sudah kalah.
Bukan sebab cinta.
Bukan sebab simpati.
Tapi sebab... keinginan. Keinginan yang aku sendiri benci nak namakan.
Suka cerita SADIS? Jangan lupa FOLLOW & KOMEN. Saya akan update Bab seterusnya lebih cepat.
Share this novel