Aku duduk di sofa kulit itu sambil melontar pandangan ke arah cermin panjang. Seorang pekerja perempuan sedang berdiri di belakang Lily, menyisir rambutnya perlahan-lahan. Lily tersenyum, berbual mesra dengan nada lembut yang memualkan. Senyum dia... tak tahu malu.
Pekerja itu memandang aku melalui pantulan cermin dan bertanya,
"Saya potong pendek ye?"
Aku terus tersentak. "Jangan pendek!" suara aku keras. Suara aku buat pekerja itu terdiam seketika. Aku betulkan nada. "Kemaskan saja. Jangan lebih-lebih."
Pekerja itu mengangguk. Lily diam. Aku keraskan rahang. Mata aku tak lepas dari pantulan cermin itu. Dari rambut Lily yang panjang, ikal dan jinak, rambut yang aku sendiri dah rosakkan malam semalam dengan gunting tajam. Hari ini aku betulkan. Tapi bukan untuk dia cantik. Bukan untuk dia nampak manis.
Aku tak mahu dia berambut pendek. Aku tak mahu dia menyerupai 'dia'. Aku tak mahu dia jadi bayang-bayang 'dia'.
Gunting masih berbunyi. Irama tajam yang anehnya menenangkan aku. Pekerja itu tekun, jari-jemarinya kemas membentuk semula rambut Lily. Tiada lagi rabak serabut malam itu. Aku lihat cermin sekali lalu cukup. Dia ikut apa aku mahu. Tak lebih.
Tapi mata aku terhenti pada pantulan Lily.
Dia tengok aku. Peliknya... bukan pandangan takut. Bukan benci. Cuma... perhati. Macam dia cuba faham. Aku alih pandang. Terus ke skrin telefon.
Wajah itu muncul. Gadis yang tak pernah padam dalam kepala aku.
Dia senyum, senyum yang sudah lama mati dalam dunia sebenar tapi masih hidup dalam memori aku. Dalam telefon aku. Dalam dada aku. Aku tekan jari ke skrin. Rapat.
"Kau tetap satu-satunya."
Yang lain cuma bayang. Yang duduk atas kerusi itu cuma daging dan tulang tanpa jiwa yang aku mahu.
30 minit berlalu. Lily berdiri. Dia berjalan perlahan ke arah aku, senyum kecil terukir di bibir. Rambutnya kini kemas terurus, lembut jatuh di sisi pipi. Dia angkat sedikit hujung rambut, tunjuk pada aku.
Aku bangun. Senyum. Tapi senyum aku kosong. Sekadar angguk macam patung lilin yang dilatih buat reaksi manusia.
Aku tak tunggu. Terus melangkah ke kaunter. Cashier senyum. Aku hulur kad debit. Tanpa suara. Tanpa ekspresi. Mata aku tak lepas dari mesin pembayaran. Aku cuma nak keluar dari sini.
Tiba-tiba, lengan aku disentuh. Pegangan halus. Tapi cukup buat aku tersentak.
Lily. Dia pegang lengan aku. Lama. Aku tahu kenapa. Bukan sebab dia nak sentuh aku. Tapi sebab pekerja itu sedang tengok. Dia mahu kami kelihatan seperti pasangan biasa. Bahagia.
Aku senyum semula. Tapi senyuman ini... senyuman palsu yang paling jijik pernah aku buat hari ini.
"Lakonan kita makin bagus," bisik aku dalam hati. Kami keluar dari saloon. Tangan Lily masih berpaut lembut pada lengan aku. Seolah-olah itu tempat dia. Dia senyum, senyum bahagia yang buat aku rasa nak muntah.
Manusia sekeliling sibuk dengan hidup masing-masing. Mall itu penuh, tapi dunia aku hanya ada satu perkara.
Bebaskan diri dari sentuhan itu.
Sampai di tengah-tengah mall, aku hentikan langkah. Tangan dia masih di situ. Aku tolak. Kasar.
Biar dia sedar itu bukan tempat dia. Kemudian aku tepuk-tepuk lengan baju aku. Perlahan. Seolah ada kotoran melekat. Lily terdiam. Tapi mata dia cari jawapan.
"Kenapa tak boleh pegang lengan abang?" suara dia perlahan. Aku pandang mata dia. Tajam. Lama.
"Aku tak suka," aku jawab. "Rimas." Satu perkataan cukup. Rimas. Seolah dia ini beban. Sesuatu yang melekat tanpa izin.
Dan dari cara dia tunduk selepas itu, aku tahu... Dia sedang telan pahit itu perlahan-lahan.
Kami berjalan lagi. Tapi langkah Lily sudah perlahan. Tangan dia masih tergantung di sisi macam baru kena tampar walau tak ada tangan yang singgah. Aku malas pandang dia, tapi aku tahu dia tunggu aku bersuara.
"Dan satu lagi," aku buka mulut. Suara aku tenang. Terlalu tenang. "Jangan panggil aku 'abang'."
Lily angkat muka perlahan. Dahi berkerut. Dia tak faham atau dia pura-pura tak faham.
"Tapi bukankah... abang suami saya..."
Aku hentikan langkah.
"Cukup depan orang saja," aku potong. Tajam. Dingin. "Di luar, kau boleh panggil apa saja. Tapi bila kita berdua, aku tak suka dengar perkataan tu."
Mata aku renung dia. Dalam. Biar dia tahu hubungan ini hanya untuk tontonan. Bukan untuk rasa.
"Faham?"
Dia angguk kecil. Senyuman dia hilang dan aku teruskan langkah tanpa tunggu dia lagi.
"Ezrik!"
Aku dengar suara itu dan dunia terus rasa sempit. Langkah aku terhenti. Aku mengeluh panjang dalam hati. Sumpah, hari ini tak boleh jadi lebih sial daripada ini. Aku berpaling perlahan.
Ishraf Iskandar.
Muka dia cerah macam tak ada dosa. Mulut dia sudah senyum sebelum sempat aku tarik nafas. Dengan selamba dia datang rapat, terus tepuk bahu aku kuat. Terlalu kuat. Gurauan biasa. Tapi bagi aku, itu gangguan.
"Tak sangka jumpa kau kat sini bro!" suara dia kuat. Bising. "Tengah dating ke tu?"
Aku sempat jeling Lily. Dia nampak terkejut, tapi cepat-cepat kendurkan muka. Aku senyum. Senyum yang paling palsu hari ini.
"Haha... yelah, dah bini aku kan," suara aku kendur, tapi cukup kuat untuk Is dengar. Aku genggam tangan Lily kali ini bukan sebab aku nak, tapi sebab aku terpaksa.
Lily senyum. Paksa. Senyuman yang tak sampai ke mata. Sama macam aku. Kami berdua ketawa. Tapi dalam kepala aku... aku sudah bayangkan sepuluh cara nak buat Is berhenti bercakap.
"Untunglah kau ada bini," kata Is sambil sengih. "Boleh dating hari-hari."
Aku senyum. Tipikal Is. Mulut tak tapis, tapi jujur dengan caranya.
"Bila kau nak kahwin dengan Maira?"
Aku lempar soalan itu sambil jeling dia, senyum aku makin lebar. Muka Is terus berubah. Dia tarik muka, tayang riak meluat yang dibuat-buat.
"Kenapa kau suka sangat sebut nama tu hah?" Aku tak suka lah. Aku pun ada taste bro."
Aku ketawa. Senyum makin besar. Bukan sebab lawak dia. Tapi sebab aku tahu aku sudah tekan butang yang betul. Aku tepuk bahu dia perlahan.
"Relaks lah. Aku gurau je."
Is geleng kepala. Dia ketawa pendek, tapi aku tahu dia tak selesa. Lily di sebelah aku diam saja. Kaku. Macam patung kaca yang tak tahu nak bergerak.
Tanpa aku sedar, genggaman tangan aku makin kuat. Aku genggam dia seolah aku cuba patahkan sesuatu.
"Aduh..." Lily terjerit kecil.
Sial. Is dengar. Is sudah jeling. Aku pantas toleh ke arah Lily, wajah aku terus tukar dari batu ke gula.
"Eh kenapa ni sayang?" Nada aku lunak. Palsu. Manis beracun. Lily tunduk sedikit, tangan dia masih dalam genggaman aku.
"Tangan... sakit..."
Aku pandang tangan aku. Genggaman yang terlalu kuat hampir berbekas pada kulit dia. Aku longgarkan.
"Maaf," suara aku rendah, penuh pura-pura. "Abang tak sedar."
Aku angkat tangan dia perlahan. Usap jemari itu lembut, seolah aku lelaki paling penyayang di dunia.
Is senyum kecil. Dia nampak tapi dia tak tahu. Dia takkan tahu betapa dalamnya kebencian aku. Betapa kerasnya aku cuba untuk kekal waras depan orang. Dan betapa aku tak sabar nak keluar dari tempat ini.
"Ganasnya abang Ezrik ni! Takutnya..." Is gelak sambil tepuk bahu aku. Nada dia bergurau. Tapi bunyinya macam ejek. Macam sindir.
Aku sengih.
Sengih yang kalau kau kenal aku, kau tahu itu bukan sengih ikhlas. Sengih itu... datang dari dasar sabar yang sedang reput. Dalam kepala aku, tangan aku sudah naik ke muka dia. Lima jari, tepat ke pipi. Biar dia tahu jangan main-main dengan lelaki yang sedang simpan neraka dalam dada. Tapi aku masih senyum. Tiba-tiba...
Lily ketawa.
Ketawa dia kecil. Tapi cukup kuat untuk telinga aku dengar. Ketawa ikut arus. Ketawa menumpang suasana.
Aku toleh sikit. Salah. Besar salah. Aku rasa nak tampar dia. Perempuan ini... berani ketawa? Di sebelah aku, dalam situasi ini? Aku keraskan rahang.
"Aku gerak dulu!" Suara aku kuat. Tegas. "Aku nak balik sekarang. Esok jumpa kat ofis, okay?"
Tak tunggu balas. Aku terus genggam tangan Lily kali ini lebih kuat dari tadi dan tarik dia untuk beredar. Langkah aku laju. Langkah dia ikut terpaksa. Terseret.
Is sempat lambai.
"Selamat dating, pengantin baru!" Sengih dia masih tak tahu apa-apa.
Aku tak pandang belakang. Sebab kalau aku pandang... mungkin aku akan patah balik dan tampar dia.
Suka cerita SADIS? Jangan lupa FOLLOW & KOMEN. Saya akan update Bab seterusnya lebih cepat.
Share this novel