Ghea sudah lena selepas aku suap nasi lemak tadi. Sambal lebih, macam biasa. Aku duduk di ruang tamu sempit ini, belakang aku dinding yang pernah kami cat sama-sama. Lampu kuning malap, kipas siling berpusing macam malas nak hidup.
Telefon dalam genggaman. Ibu jari aku skrol, tapi mata tak betul-betul baca. Kepala aku masih penuh dengan Ghea. Macam mana kalau aku tak ada? Kalau aku kerja luar? Kalau aku outstation? Siapa jaga dia?
Pembantu perempuan umur empat puluh-an itu aku sudah bayar mahal setiap bulan tapi kerja macam haram. Sekejap kata anak sakit, sekejap kata rumah bocor, sekejap menghilang tanpa khabar. Aku bayar, dia ponteng. Rugi. Kalau bukan sebab aku masih perlukan orang untuk pantau Ghea bila aku keluar, sudah lama aku sepak dia keluar pintu.
Aku sandar, kepala condong ke belakang. Mata aku pejam sekejap. Bunyi nafas Ghea dari bilik sayup-sayup sampai ke sini. Nafas tenang, tapi aku tahu bila dia bangun nanti, mata dia tetap kosong.
Orang-orang yang buat dia jadi macam ini... aku terbayang muka masing-masing. Satu-satu. Ada yang masih selamba hidup macam tak ada dosa. Ada yang pura-pura suci. Semua patut rasa apa yang Ghea rasa bahkan lebih.
Ibu jari aku berhenti skrol. Aku buka galeri. Gambar-gambar lama. Wajah empat jahanam itu senyum ke arah kamera, bahu berlaga, tangan buat simbol bangang.
Ibu jari aku berhenti pada gambar muka Arif. Aku senyum nipis, tapi kepala aku cepat-cepat patah balik ke realiti. Ghea masih tidur. Dia bukan boleh tinggal sendiri lama-lama.
Aku keluar dari galeri, buka Instagram. Latar belakang skrin gelap, refleksi muka aku sendiri nampak samar. Aku tekan ikon tambah. Kamera depan terbuka, tangkap imej ruang tamu ini lampu kuning malap, meja kopi berselerak dengan kotak tisu dan botol air mineral.
Aku taip di atas gambar:
"Cari pembantu jaga orang sakit. Boleh teman 24 jam. Gaji lumayan. Minat? DM."
Aku letak emoji ringkas tak senyum, tak comel. Hanya tanda mata. Send to story.
Telefon aku letak di paha. Aku tahu dalam sejam dua, DM akan masuk macam semut jumpa gula. Aku akan tapis satu-satu. Tengok muka, tengok latar belakang. Aku bukan cari sekadar pembantu. Aku cari orang yang sanggup duduk diam kalau aku keluar lama, tapi tahu tutup mulut kalau nampak benda yang tak patut.
Di bilik, Ghea batuk kecil. Aku toleh. Senyum aku hilang. Dia tak tahu aku bukan sekadar cari pembantu tapi aku cari penjaga kubur sementara aku pergi buru hantu terakhir yang masih bebas.
Nada dering pecah senyap. Skrin telefon menyala nama Lily Amanda tertera besar.
Aku capai telefon, tekan jawab. "Apa?" Suara aku keras, kering.
"Abang..." nada dia serak, lemah. "Bila nak balik? Lily... tergelincir kat dapur tadi. Lutut Lily sakit."
Aku pandang siling sekejap. Tak ada sekelumit pun rasa risau. Kalau lutut dia pecah sekalipun, aku tak akan rasa apa-apa. "Kalau sakit, panggil doktor. Suruh dia urus," jawab aku tanpa nada simpati.
"Lily takut nak jalan... sakit." Dia cuba buat suara manja, tapi aku sudah kebal dengan nada itu.
"Aku sibuk," aku potong. "Kalau tak boleh tunggu, pergi klinik. Aku tak akan balik sekarang."
Sunyi di hujung talian. Aku tahu dia gigit bibir sama ada tahan marah atau tahan sakit, aku tak peduli. "Rik... jangan macam ni."
Aku sengih kecil, sengih yang dia tak nampak. Luka di lutut itu mungkin dari lantai basah... atau mungkin dari hentakan malam tadi. Dia tak pernah belajar.
"Kalau tak ada benda penting, jangan telefon." Aku terus tamatkan panggilan.
Telefon aku letak di meja. Nafas aku tenang. Lily fikir dia mangsa. Dia lupa aku kahwin dengan dia bukan sebab cinta. Aku kahwin sebab nak perlahan-lahan tarik semua cahaya dia... sampai yang tinggal cuma bangkai bernyawa.
Aku capai jaket di belakang sofa. Tak ada mood nak balik, tapi aku bangun juga. Kalau tak tunjuk muka langsung, nanti ada pula mulut yang sibuk tanya. Mulut-mulut macam itu aku tak boleh bunuh semua... jadi aku kena mainkan watak.
Telefon aku masukkan ke poket. Kunci kereta sudah siap dalam genggaman. Aku jeling sekejap ke arah bilik Ghea. Dia masih tidur. Nafas dia perlahan, bahu turun naik.
Langkah aku dekat pintu berhenti sekejap. "Tidur elok-elok, sayang. Aku balik kejap," bisik aku perlahan. Dia tak dengar, tapi aku rasa lega cakap.
Pintu kayu tua itu aku tarik. Bunyi engsel bergesel pecah kesunyian rumah. Aku keluar, kunci berpusing dua kali. Malam di luar lembap dan pekat. Aku turun anak tangga, kepala aku kosong daripada Lily, tapi penuh dengan bayangan muka Arif.
Kereta aku hidupkan. Lampu depan menelan gelap. Aku tekan pedal, bawa diri ke rumah yang aku paling tak peduli iaitu rumah yang ada Lily.
***
Aku melangkah masuk ke ruang tamu rumah yang luas, sejuk dari pendingin hawa. Bau lavender dari diffuser menyambut, tapi tak mampu tutup rasa bosan yang datang setiap kali aku melangkah ke sini.
Aku terus ke dapur. Cahaya putih dari lampu siling jatuh pada bayangan di lantai, Lily, duduk bersandar pada kabinet dapur, lutut kiri terdedah. Darah pekat meleleh, mengotorkan lantai marmar.
Kening aku rapat. "Kenapa ni?" suara aku rendah, tapi berat.
Dia angkat muka perlahan. Mata dia layu. "Lily... nak masak tadi. Tapi Lily pitam. Jatuh... lutut kena serpihan gelas pecah."
Pandangan aku jatuh pada kaca-kaca kecil berselerak di lantai. Nampak minyak dan sedikit kesan air tumpah.
"Kalau tak sihat, tidur. Bukan main pandai nak masak." Nada aku tajam, hentam terus ke telinga dia.
Dia tunduk, suara kecil. "Lily lapar..."
Aku mengeluh pendek. Tangan aku terangkat, tanpa sedar aku letak tapak tangan di dahinya. Panas. Panas macam api. Dia memang tak sihat dari awal.
"Apa lagi yang kau buat sampai jadi macam ni?" soalan aku lebih kepada marah daripada risau.
Aku tak tunggu dia jawab. Satu langkah aku rapat, kedua-dua tangan aku selit di belakang lutut dan belakang bahunya. Sekelip mata, tubuh dia terangkat dari lantai.
Lily terkejut. "Rik... buat apa ni?"
"Jom. Klinik." Suara aku datar, tak ada ruang untuk bantahan.
Dia diam, tangan automatik melingkar di leher aku. Nafas dia hangat di bahu aku, tapi aku tak balas apa-apa. Aku cuma pastikan langkah aku stabil, elak serpihan kaca di lantai.
Aku bawa dia keluar dari dapur, melintasi ruang tamu kondo yang luas. Cahaya lampu dari siling moden memantul pada lantai marmar yang berkilat.
Pintu utama aku buka dengan siku, kunci automatik berbunyi klik. Udara malam menyapa, bercampur bau hujan yang baru berhenti.
Langkah aku berat tapi mantap, derap kasut aku bergema di koridor panjang menuju lif. Lily senyap, cuma sesekali mengeluh kecil bila lutut dia bergetar.
Sampai depan lif, aku tekan butang. Bunyi DING memecah senyap. Pintu terbuka perlahan, memantulkan bayangan kami, dia dalam pelukan aku, aku dengan muka yang tak ada senyuman.
Kami masuk. Pintu tertutup. Lif mula turun, membawa aku, Lily dan semua rasa yang aku simpan untuk permainan yang lebih besar nanti.
Lif turun perlahan. Dalam diam, Lily makin erat pelukannya di leher aku. Jari dia menggenggam kuat, seolah-olah kalau dia lepas, aku akan hilang dari hidup dia.
Dia memang cintakan aku. Aku tahu. Dari dulu.
Aku steady, pandang nombor digital di atas pintu lif tanpa bagi sebarang respon. Nafas aku stabil, tak ada getaran emosi.
"Aku bawa kau ke klinik sebab aku manusia, Lily," suara aku pecah senyap, rendah tapi cukup untuk dia dengar. "Bukan sebab aku sayang kau."
Dia terdiam tapi bukannya tunduk kalah, jari dia berani juga angkat ke dagu aku, sentuh perlahan. "Tapi Lily tetap…”
Aku toleh sedikit, mata aku tajam menikam. "Jangan nak berlebihan." Nada aku kering, potong ayat dia macam pisau.
Dia tarik balik tangannya, tapi pelukan di leher aku masih kukuh. Lif berbunyi DING, pintu terbuka ke ruang parking yang berbau besi dan tayar panas. Aku melangkah keluar, steady, bawa tubuh dia menuju ke kereta tanpa sekali pun menoleh pada wajah yang masih cuba mencari celah untuk masuk ke hati aku.
Langkah aku bergema di ruang parking bertingkat. Bau minyak dan bunyi titisan air dari paip bocor jadi latar. Toyota Vios hitam aku terparkir di hujung deretan, catnya berkilat di bawah cahaya lampu neon yang sedikit berkelip.
Sampai di sebelah kereta, aku buka pintu penumpang perlahan. "Pegang kuat," aku arah, suara masih datar.
Aku tunduk sedikit, hati-hati turunkan Lily dari pelukan. Lutut dia aku pastikan tak terhentak pada bingkai pintu. Dia mengerang kecil bila kaki kirinya mencecah lantai.
Perlahan, aku selit tangan bawah lengannya, bantu dia duduk di kerusi penumpang. Tangan dia masih cuba berpaut pada aku, tapi aku pastikan jarak cukup supaya dia tak sentuh muka aku lagi.
Bila dia selesa, aku capai tali pinggang keledar, tarik dan klik kemas di tempatnya. Aku rapatkan pintu, bunyinya padat memecah bunyi gema parking.
Aku pandang dia sekejap bukan kerana risau, tapi untuk pastikan dia tak buat drama sebelum sampai klinik. Lepas itu, aku melangkah ke sisi pemandu.
Share this novel