Ezrik Aslan
Langkah aku bawa ke dapur. Bihun goreng panas. Wapnya naik perlahan dari pinggan. Bau dia kuat. Tak sedap. Macam selalu.
Dia tengah kacau milo dalam mug. Pakai dress labuh warna krim, kain lembut mengikut bentuk tubuh tapi dia tetap nampak kecil. Macam anak patung porselin yang tunggu masa nak retak. Rambut lurus dia jatuh melepasi bahu, kemas tersisir. Dia tahu aku tak suka benda serabut.
Dia tak pandang aku pun tapi dia tahu aku sudah sampai. Lily Amanda. Isteri aku.
Aku tarik kerusi. Duduk. Dia datang letak secawan air depan aku. Milo panas. Wapnya naik macam asap jenayah yang tak pernah padam dalam rumah ini.
"Selamat pagi." Nada dia perlahan. Lembut. Bergetar.
Aku tak jawab. Mata aku ke arah bihun atas meja. Pinggan putih. Susun elok. Tapi aku tak sentuh.
"Aku ada cakap nak makan?"
Dia diam. Pandang meja. Jemari dia pegang hujung dress. Takut macam biasa.
"Tak." Satu perkataan itu dia sebut perlahan.
Macam bunyi hati yang nak pecah.
Aku bersandar sambil merenung dia. Dia tunduk. Tak berani angkat muka.
"Lain kali, jangan masak kalau aku tak minta." Tenang. Datar. Tapi cukup untuk buat dia kecut.
Dia angguk. Bibir dia ketap. Mata masih ke bawah. Aku tahu dia tengah tahan. Tahan diri dari menangis, atau mungkin dari menjerit.
Tapi dia patut tahu aku tak pernah jerit. Tak pernah tampar. Tak pernah herdik. Cukup dengan aku wujud depan dia, dia sudah tahu rasa takut.
Dan aku suka begitu. Dia fikir aku kejam tapi dia tak tahu, ini cuma separuh dari cerita.
Separuh lagi? Aku simpan untuk orang yang aku cinta. Orang yang bukan dia.
Mata dia masih ke bawah. Aku tahu dia tengah tahan. Tahan diri dari menangis atau mungkin dari menjerit.
Aku bangun. Perlahan. Tangan aku capai pinggan bihun atas meja. Masih panas.
Tanpa amaran, aku hayun tangan aku ke arah dinding. Pinggan itu melayang hentam permukaan simen. Pecah berderai. Bihun berserak. Serdak panas terpercik ke lantai.
PRANG!
Bunyi dia kuat. Tajam. Macam peluru.
Lily terkejut. Dia menutup telinga, badan dia menggigil. Macam aku baru lepaskan bom depan muka dia. Macam aku baru bunuh seseorang depan mata dia. Macam aku nak bunuh dia. Tapi aku cuma buang pinggan.
Itu saja.
Tak lebih.
Tak kurang.
Tapi itulah masalahnya. Dengan aku, benda kecil pun boleh jadi trauma. Dia patut tahu aku tak perlu tampar untuk menyakitkan. Tak perlu jerit untuk menakutkan.
Aku membetulkan t-shirt kelabu di badan aku. Lipatan kain itu kedut sedikit, benda kecil yang aku benci. Aku betulkan perlahan. Mata aku tak lepas dari tengok dia.
Lily masih menunduk. Diam. Tak bernafas pun macam. Aku senyum sinis. Tenang. Senyuman yang dia tak tahu maksudnya apa. Tapi dia takut juga.
Aku berjalan ke arah pintu utama. Tak cakap apa-apa. Aku buka pintu. Aku keluar. Aku mahu sarapan.
Bukan bihun goreng dia.
Bukan kasih sayang dia.
Aku tutup pintu dan hempas kuat-kuat. Biar dia tahu. Biar dia terkejut. Biar dia ingat aku boleh patah balik dan buat lebih dari itu.
Aku sengih, puas. Tak ada orang dalam dunia ini boleh buat aku senyum tapi bila aku tengok Lily takut, senyum itu datang sendiri.
Aku jalan ke hujung koridor. Ada lif tapi aku tak tekan pun. Aku belok ke pintu logam yang selalu orang tak pandang iaitu tangga kecemasan.
Aku buka pintu. Langkah aku bergema turun anak tangga. Satu-satu. Perlahan. Macam askar dalam misi senyap.
Aku memang begini. Tak suka tempat sempit macam lif. Dan aku suka rasa seorang. Tangga ini... tempat paling aku boleh fikir dengan tenang.
Langkah aku sampai tingkat bawah. Ruang parkir sunyi. Cuma ada satu kereta lain dan bayang-bayang.
Aku buka kunci kereta. Bunyi klik itu bergema dalam kawasan kosong. Aku masuk kemudian utup pintu. Enjin hidup. Aircond aku pasang penuh. Tak suka panas.
Aku sandar. Pejam mata sekejap. Hari baru sudah mula dan aku rasa puas sebab pagi ini, aku sudah rosakkan hidup seseorang...
...tanpa perlu buat apa-apa.
Aku pandang cermin pandang belakang. Rambut aku sedikit kusut. Tak boleh. Aku benci benda yang serabut.
Aku betulkan perlahan, jari sikat ke belakang.
Cermin itu tunjuk wajah aku, mata yang kosong, dan bibir yang tak pernah mesra. Macam patung. Tapi patung yang tahu apa dia nak.
Aku suka kemas.
Aku suka teratur.
Kecuali manusia.
Aku tekan brek. Tukar gear. Tayar berpusing, keluar dari parkir dengan lancar. Aku bawa kereta macam aku bawa hidup aku yang tenang, laju, tak pandang belakang.
Radio aku tutup. Tak perlukan suara orang lain masuk dalam kepala aku. Jalan depan kosong. Lampu isyarat tukar hijau. Aku tekan pedal. Kereta meluncur atas jalan macam pisau atas leher.
Wajah aku tak berubah. Tangan kiri atas stereng, tangan kanan pegang gear. Siku aku sandar ringan. Relaks tapi mata aku tajam. Fokus seperti pemburu.
Orang tengok aku fikir aku ada segalanya.
Kereta. Gaya. Perempuan. Tapi aku tak perlukan semua itu. Aku cuma perlukan satu benda... kuasa.
Dan pagi ini, aku rasa kuat. Sebab aku tahu dekat rumah itu, ada seorang perempuan yang sedang menangis dalam diam.
Kereta aku meluncur keluar dari kawasan parkir. Aku pandu ikut laluan biasa, lorong sunyi tepi flat, jalan sempit yang orang malas lalu. Lampu jalan masih menyala walaupun hari sudah cerah. Aku suka laluan ini. Tak ramai. Tak sesak. Macam aku.
Tiga minit kemudian, aku sampai simpang besar. Restoran mamak lama, cat kuning pudar, meja plastik penuh cap minyak tapi aku sudah biasa dengan tempat ini.
Aku matikan enjin. Keluar dari kereta. Langkah aku steady. T-shirt kelabu masih terletak kemas. Rambut juga. Wajah aku kosong. Tak ada siapa pandang lama. Tapi semua perasan aku lalu.
Aku pilih meja tepi dinding. Bawah kipas siling.
Aku suka tempat ini boleh tengok semua orang, tapi tak ada orang nampak aku sepenuhnya.
Seorang pekerja mamak datang. "Biasa, bang?"
Aku angguk. Tak perlu ulang. Dia sudah hafal. Roti canai kosong. Kuah asing. Teh O ais kurang manis. Aku suka benda yang tetap. Yang tak berubah. Sebab hidup aku penuh benda yang aku tak boleh kawal.
Aku sandar. Tangan silang di dada. Mata aku pandang lalu lintas di seberang jalan.
Aku nampak dunia. Tapi dunia tak nampak aku dan aku suka begitu. Tengah aku termenung, tiba-tiba...
"EZRIIIIKKK!!"
Suara kuat dari arah belakang. Aku toleh. Ishraf Iskandar. Is.
Kawan baik aku sejak awal kerja dulu. Tempat kerja sama. Tapi perangai macam kartun dalam dunia hitam putih aku.
Dia berjalan ke arah aku, senyum lebar. Tarik kerusi depan aku. Duduk tanpa minta izin. Macam biasa.
"Woi, lepak tak ajak? Jiran sebelah tau. Kereta kau je aku nampak tadi."
Aku angkat kening. "Kau dah terdesak sangat ke sampai stalk aku?"
Dia gelak besar. Suara dia memenuhi ruang mamak. Dia suka bunyi. Aku suka senyap. Tapi aku tak halau dia. Sebab entah kenapa, Is tak menjengkelkan.
"Bro, pagi-pagi dah layan teh O ais? Tak manis sungguh hidup kau." Dia lambai pelayan, order teh tarik dan roti telur.
Aku tengok dia. T-shirt dia senget. Jam tangan pakai terbalik. Rambut serabai tapi dia nampak bahagia.
Aku diam. Is bercakap sendiri. Cerita pasal bos garang. Pasal printer pejabat yang rosak. Pasal cleaner bangunan yang suka curi sabun.
Aku dengar tapi tak betul-betul masuk kepala.
Cuma satu benda yang aku sedar...
Dengan Is, aku tak rasa perlu jadi siapa-siapa. Tak perlu pura-pura baik. Tak perlu pura-pura peduli dan peliknya, dia tak pernah persoal aku.
"Bro, kau okay tak?" Dia tanya tiba-tiba.
Aku pandang dia. Sekejap.
"Okay." Satu perkataan.
Dia angguk. Senyum. Macam jawapan itu cukup. Dan itu sebab aku masih duduk sini. Walaupun otak aku sudah jauh ke tempat lain.
Share this novel