8 Tahun Lalu.
Aku parkir motor betul-betul depan restoran mamak. Enjin aku matikan, helmet aku tinggal sangkut kat cermin sisi, tak sempat fikir pasal hilang.
Kaki aku terus langgar kaki lima, masuk ke dalam restoran itu. Bau teh tarik, bau kari, bau asap rokok campur bunyi pinggan berlaga.
Mata aku cari. Seseorang yang berminggu aku tak nampak, berminggu otak aku beku sebab tak dengar suara dia.
"Ezrik!" Suara dia tembus celah bunyi pinggan dan kipas rosak. Aku pusing.
Ghea.
Rambut dia lurus kemas, muka dia senyum, senyum yang tak pernah lari walau dia marah aku berkali-kali. Tangan dia lambai, tapak tangan dia kecil tapi boleh balas tumbuk gangster.
Aku langkah laju. Langkah aku bunyi ketuk lantai jubin restoran mamak. Sampai meja, terus aku duduk. Tak sempat tarik kerusi sebelah, aku duduk rapat betul-betul sebelah dia. Bahu dia sentuh lengan aku.
Baju dia, kemeja putih, lengan gulung separuh. Seluar slack hitam. Rambut dia kemas. Dia nampak dewasa, sudah sebulan kerja di syarikat yang nama dia aku pun susah nak sebut.
Aku tengok dia senyum, mata dia kecil, bibir dia nipis, gigi dia separuh nampak.
Aku capai tangan dia. Jari dia sejuk, hujung kuku dia berwarna pink. Aku genggam kuat. Nafas aku laju. Mulut aku tak sabar.
Ada benda yang aku nak lepas, benda yang aku simpan sejak dia cakap "good luck interview" minggu lepas.
Aku genggam tangan dia makin kuat. Jari dia kecil, tapi genggam dia selalu buat aku rasa hidup.
Ghea senyum, mata dia tengok aku, tunggu aku buka mulut. Aku tunduk sikit, bibir aku rapat ke telinga dia. Suara sekeliling bising tapi suara aku lagi bising dalam kepala aku.
"Aku dapat kerja..." suara aku sengau sikit sebab senyum pun tak reti sorok.
Dia angkat kening. Mata dia membulat.
"Kerja?!" Bibir dia terangkat senyum lagi.
"Ha'ah. IT Support Technician." Aku sengih. Bahu aku sengaja langgar bahu dia perlahan.
"Aku start Isnin ni."
Ghea tarik tangan dia sikit, tapi aku tak lepas. Dia cubit jari aku, sakit, tapi aku sengih juga. "Bodoh! Kau tak cakap pun pada aku masa interview!" Nada dia separuh marah, separuh teruja.
Aku sengih, bahu aku terangkat.
"Kalau aku bagitau, nanti kalau kantoi, malu la..." Aku sengaja main ayat. Ghea tolak dahi aku pakai jari telunjuk dia.
"Dah dapat kerja pun nak berahsia. Memang aku kena tumbuk kau baru tau." Dia gelak kecil. Suara dia potong bunyi kipas bising.
Tangan dia genggam balik jari aku. Mata dia jatuh kat tangan aku, tapi senyum dia tak padam.
"Baguslah. Lepas ni kau tak payah la pinjam duit lagi dengan bapak gangster..." suara dia jatuh perlahan, garang manja.
Aku sengih, tunduk sikit. Bibir aku dekat dengan jari dia.
"Ha'ah. Lepas ni aku belanja kau makan kedai mamak setiap malam pun boleh..."
Ghea gelak. Tangan dia lepas jari aku, tapi dia sengaja tampar bahu aku perlahan.
"Banyak duit lah tu, technician..." Suara dia sindir, tapi senyum dia aku boleh kalah.
Aku sengih sampai pipi aku tegang. Tangan aku genggam jari Ghea balik tak bagi dia tarik. Dalam kepala aku, ayat aku sudah beratur. Semua benda yang aku simpan masa aku baring atas tilam nipis rumah sewa.
"Aku janji... aku kumpul duit cepat-cepat." Suara aku pecah sikit sebab laju sangat nak keluar. Ghea angkat kening. Muka dia separuh senyum, separuh pelik.
"Duit apa?" Suara dia garau sikit sebab gelak tadi.
Aku tunduk rapat. Bibir aku hampir sentuh hujung telinga dia.
"Aku kumpul duit... aku beli kereta. Motor buruk aku tu tak selesa. Kau penat bonceng aku jauh-jauh kan..." Aku sengih lagi. Bahu aku sengaja tolak bahu dia, rapat. "Nanti kau duduk sebelah aku... aku drive..."
Ghea senyum kecil. Mata dia separuh pejam. Jari dia cubit tangan aku perlahan tapi dia tak cakap apa. Aku tarik nafas. Dalam dada aku, rasa hangat. Aku jarang rasa hidup. Sekarang rasa itu menjerit.
"Lepas tu... aku beli rumah." Suara aku makin perlahan.
"Rumah proper... tak payah dah duduk rumah sewa pecah, dapur bocor..." Aku gelak kecil dan Ghea ikut sengih.
"Rumah tu kau yang duduk sekali dengan aku. Kita tak payah lari-lari dah. Tak payah tumpang bilik aku lagi..."
Aku tengok dia. Muka dia. Hidung dia. Bibir dia.
Dalam restoran bising, orang hirup teh tarik, rokok asap naik, kepala aku cuma nampak Ghea duduk sebelah aku atas sofa rumah yang aku nak beli. Rumah itu, kereta itu semua untuk dia. Bukan untuk aku.
"Aku janji, Ghea..." Suara aku jatuh. Jari aku tarik tangan dia, aku cium belakang tangan dia.
Sumpah. Orang pandang pun aku tak peduli.
"Aku janji... aku buat semua ni... untuk kau..."
Ghea tarik tangan dia, tapi dia sengih. Dia tolak dahi aku pakai tapak tangan dia.
"Bodoh..." Dia gelak kecil. "Kalau kau tak buat pun, aku tetap dengan kau..." Ghea tarik tangan dia perlahan. Belakang tangan dia masih ada cap bibir aku.
Dia sengih, senyum dia separuh sindir, separuh sayang. Mata dia jatuh pada mata aku, garang manja.
"Kalau kau tak buat pun... aku tetap dengan kau, bodoh..." suara dia sengau, tapi mata dia betul-betul masuk ke dada aku.
Aku sengih, senyum separuh bodoh. Bahu aku sengaja tolak bahu dia lagi.
"Janganlah panggil aku bodoh..." Aku buat nada manja, sengaja nak dengar dia kutuk lagi.
Ghea gelak kecil. Dia tolak kepala aku pakai tapak tangan. Rambut aku serabai.
"Memang bodoh pun. Tapi bodoh yang aku sayang..." Dia sambung sengih, tapi dia cepat-cepat tunduk, pura-pura buka straw plastik air milo ais dia.
Aku tengok dia. Muka dia yang garang manja itu.
Dalam kepala aku, suara aku ulang-ulang, 'Bodoh pun tak apa. Janji Ghea dengan aku.'
Aku capai gelas teh tarik aku. Angkat tinggi sikit, sengih kat dia.
"Ok, minum untuk rumah masa depan..."
Ghea angkat gelas dia, sengih sinis. "Minum untuk kereta kau. Motor kau tu dah macam besi buruk..."
Kami sama-sama sengih. Bunyi restoran mamak bising pun sudah macam muzik background.
Ghea Edriana satu-satunya perempuan yang boleh panggil aku bodoh, tapi buat aku rasa paling hidup.
Aku sengih lagi, mata aku tenung Ghea. Dia sudah seret straw, hirup air milo ais kegemaran dia perlahan, bunyi sedut straw pun aku rasa comel. Aku sengaja sandar bahu kat dia lagi. Suara aku turun sikit, separuh berbisik.
"Lepas ni... gaji pertama aku..." Aku sengaja tarik panjang. Ghea angkat kening, mata dia garang manja.
"Gaji apa? Habis bayar hutang je kan..." dia sengih sinis.
Aku ketawa kecil. Tangan aku sengaja tarik hujung lengan kemeja dia, gentel jari dia.
"Ha'ah... bayar hutang motor aku tu. Pastu..."
Aku sengih, gigi aku tunjuk separuh.
"Aku bawa kau jalan-jalan. Naik motor buruk aku ni jugak. Nak kereta belum cukup lagi..."
Ghea gelak kecil. Dia sengaja tampar bahu aku bunyi tap! orang sebelah jeling, tapi dia tak peduli.
"Motor buruk tu kalau putus rantai tengah jalan, aku sepak kau." Nada dia garang tapi mata dia senyum.
Aku sengih, tarik muka rapat ke telinga dia. Bau rambut dia, bau bedak dia semua singgah.
"Aku janji rantai tak putus. Kalau putus pun, aku pikul kau balik."
Ghea sengih lagi, senyum dia terbenam sikit, malu-malu kucing tapi tangan dia tetap cubit paha aku.
"Bodoh..." suara dia garau kecil. "Tapi kalau gaji kau cukup, belanja aku makan sushi!" Suara dia tukar nada arahan.
Aku ketawa perlahan. Angguk.
"Set. Sushi first, kereta second, rumah last janji kau tetap duduk sebelah aku."
Share this novel