Bab 85

Thriller Series 1870

Ghea Edriana

Mata aku masih lekat pada lampu RGB di siling. Warna merah bertukar biru, biru jadi ungu, ungu padam jadi gelap sekejap sebelum cahaya hijau menyala semula. Aku tak boleh tidur. Entah kenapa.

Aku toleh ke kiri. Ezrik lena. Nafas dia teratur, dada naik turun ikut rentak perlahan. Mungkin dia terlalu penat, penat jaga aku empat bulan tanpa henti, penat balas dendam sampai tangan dia sendiri berlumur darah, penat membunuh dengan cara yang hanya dia tahu kejamnya macam mana.

Aku tarik nafas perlahan, baring mengiring ke kiri. Pandangan aku jatuh pada wajah dia. Ada kesan lebam di pipi warna ungu gelap, macam tanda yang tak sempat sembuh. Tangan aku bergerak sendiri, menyentuh dan mengusap perlahan. Kulit dia panas, kasar di bahagian luka.

Dia tak bergerak, tapi aku tahu dia boleh rasa sentuhan aku walaupun dalam tidur. Ezrik bukan jenis tidur mati. Dia sentiasa separuh sedar, seolah-olah dunia ini tak pernah bagi dia peluang untuk benar-benar berehat.

Aku terus pandang dia, lama. Dalam kepala aku cuma satu, lelaki ini sudah bawa aku masuk neraka, tapi dalam masa yang sama... dia jugalah satu-satunya syurga yang aku ada.

Aku renung lama setiap garis di muka dia. Setiap luka, setiap parut, macam peta yang ceritakan semua jalan gelap yang dia pernah lalu. Aku pernah nampak dia dalam keadaan paling ganas, paling liar, paling menakutkan... tapi sekarang, depan mata aku, dia cuma lelaki yang letih.

Aku takut.

Takut satu hari nanti aku buka mata, dan tempat ini kosong. Tak ada dia. Takut tangan aku cari dia dalam gelap, tapi yang aku rasa cuma tilam sejuk dan bau asap yang tinggal.

Empat bulan dia jaga aku. Mandi aku, suap aku makan, jaga aku macam aku ini satu-satunya benda yang masih berharga dalam hidup dia. Dia tak pernah tunjuk dia letih, tapi aku nampak. Dia senyum depan aku, tapi mata dia selalu merah. Dia cakap aku akan selamat, tapi tangan dia selalu bergetar bila dia fikir aku tak perasan.

Aku gerakkan jari, sapu perlahan di tepi rahang dia. Kalau dia tahu apa yang ada dalam kepala aku sekarang... dia mungkin marah. Sebab aku fikir kalau satu hari nanti dia pergi, aku tak rasa aku boleh terus hidup.

Aku tarik selimut, rapatkan badan aku pada dia. Dada dia keras, hangat, dan setiap bunyi degupan jantung dia macam penenang yang aku tak pernah minta, tapi aku perlukan.

"Jangan pergi, Rik..." aku bisik perlahan, walaupun aku tahu dia mungkin tak dengar atau mungkin... dia akan pura-pura tak dengar.

Bahu Ezrik bergerak perlahan. Dia tak buka mata, tapi aku rasa lengan dia naik, melingkari pinggang aku. Tarikan dia kuat, macam tak nak bagi aku lari walau seinci.

"Tidur," suara dia serak, berat, separuh sedar. Tapi ayat itu bunyinya macam arahan, bukan sekadar suruhan.

Aku tersenyum kecil, walaupun muka aku tersepit di dada dia. "Tak boleh tidur," aku balas perlahan.

Dia gerakkan jari, usap belakang pinggang aku, turun sedikit sebelum berhenti di situ. Panas tapak tangan dia meresap masuk ke kulit aku walaupun berlapik kain nipis.

"Kalau tak tidur... aku buat kau penat sampai kau tertidur sendiri," dia gumam, senyum sinis di hujung kata-kata walaupun mata masih tertutup.

Aku ketawa kecil, tepuk dada dia perlahan. "Psiko."

"Aku cuma psiko untuk kau," dia balas cepat, kali ini matanya terbuka separuh, renung aku macam pemangsa yang malas bergerak tapi sentiasa sedia menerkam. "Aku tak akan lepaskan kau, Ghea. Walau apa pun jadi."

Lengan dia ketatkan lagi pelukan. Nafasnya terasa di leher aku, panas, mengganggu, tapi anehnya... menenangkan. Dalam pelukan macam ini, aku rasa kalau dunia runtuh pun, dia akan jadi orang terakhir yang masih berdiri untuk aku.

Ezrik diam sekejap, mata dia masih separuh terbuka memandang aku. Nafas dia perlahan, tapi nada suara dia jelas.

"Lepas ini... aku nak kahwin dengan kau."

Aku terkejut sekejap, tapi bibir aku cepat naik senyum sinis. "Kahwin? Kita belum kahwin pun, sudah bertahun hidup serumah. Kau rasa beza dia apa?"

Dia sengih tipis, tapi renungan mata dia tetap menusuk. "Beza dia... bila aku kahwin dengan kau, semua orang tahu kau milik aku secara rasmi. Tak ada lelaki lain boleh pandang kau tanpa aku patahkan leher dia."

Aku ketawa kecil, goyang kepala. "Tak kahwin pun, semua orang sudah takut nak dekat dengan aku... sebab takut dengan kau."

Dia rapatkan wajahnya ke aku, jarak cuma tinggal beberapa inci. "Itu belum cukup. Aku nak dunia tahu. Aku nak kau pakai nama aku. Aku nak kau bawa cincin aku, tidur dalam katil aku, dan kalau aku mati pun... kau tetap jadi isteri aku."

Aku senyum sambil geleng. "Psiko betul tapi... aku suka."

Dia balas dengan senyum yang lebih besar, sebelum tarik aku rapat ke dada dia semula. Pelukan kali ini lain bukan sekadar untuk tidur, tapi macam dia kunci aku dalam dunia dia, tak bagi peluang untuk keluar.

Aku angkat muka, pandang tepat ke mata dia. "Cinta Ghea pada Ezrik tak pernah pudar... dari zaman belajar lagi. Kau ingat tak? Waktu itu kau cuma lelaki garang yang semua orang takut, tapi aku nampak kau lain. Aku nampak kau yang aku nak."

Dia senyum nipis, tapi mata dia berkaca. "Sebab kau satu-satunya yang sanggup hidup susah dengan aku. Dari dulu. Aku anak orang miskin, Ghea. Aku tak ada kereta, tak ada duit makan pun kadang-kadang... tapi kau tak pernah malu panggil aku kekasih."

Aku gelak kecil, sengaja usik. "Aku gila agaknya masa itu."

Dia ketawa perlahan, tarik aku rapat lagi sampai dada kami bertemu. "Kalau itu gila... aku harap kau tak pernah sembuh."

Bilik jadi sunyi semula, cuma bunyi halus kipas siling dan lampu RGB yang terus bertukar warna. Aku pejam mata, kepala aku di dada dia, rasa degup jantung dia yang berat tapi stabil.

Dalam hati aku tahu walau seburuk mana dunia luar, dalam pelukan macam ini... aku akan duduk sini.

Aku rapatkan tubuh ke tubuh Ezrik, dada aku betul-betul rasa hangat dia. Nafas dia berubah dari perlahan jadi berat. Jari dia di pinggang aku bergerak, naik turun perlahan macam nak pastikan aku memang ada di sini, bukan sekadar bayangan.

"Sudah lama aku tak sentuh kau..." suaranya serak, dekat di telinga aku. "Sejak kau sakit... aku cuma tengok. Tak berani sentuh. Aku takut kau rapuh, takut kau hilang sekali lagi."

Aku senyum kecil, mata masih pejam. "Sekarang?"

Dia helakan nafas, jemarinya merayap dari pinggang ke sisi tubuh aku, sentuhannya perlahan tapi penuh maksud.

"Sekarang aku rasa... aku sudah boleh ambil balik semua yang aku tahan empat bulan ini."

Aku buka mata, pandang dia dengan senyum nakal. "Berani ke? Aku sudah sihat... tapi aku masih tahu cara buat kau lemas."

Dia ketawa rendah, bunyinya macam ancaman manis. "Buatlah. Biar aku tenggelam... asalkan aku tenggelam dengan kau."

Lampu RGB di siling bertukar merah, menyapu warna di kulit dia. Dalam cahaya itu, mata Ezrik tak nampak letih cuma nampak lapar. Bukan lapar biasa. Lapar yang dia simpan terlalu lama, dan malam ini... dia tak mahu simpan lagi.

Jari Ezrik naik perlahan dari pinggang, singgah di tulang belakang aku, menekan lembut di setiap inci. Sentuhan dia bukan sekadar pegang, dia hafal semula tubuh aku macam orang baca buku yang paling dia cintai.

Aku tarik nafas panjang. Haba dari telapak tangannya menjalar sampai ke tengkuk, buat aku rasa arus hangat merebak dalam badan.

Dia tunduk sedikit, bibirnya singgah di sisi leher aku. Sentuhan lembut itu cukup buat aku tersentak halus, dan jari aku refleks genggam baju dia.

"Empat bulan, Ghea..." bisik dia, suaranya berat. "Empat bulan aku cuma tengok kau tidur, sentuh rambut kau, tapi tak pernah rasa kulit kau."

Tangannya bergerak ke lengan aku, mengusap turun naik. Nafas dia makin dekat di muka aku, dan aku tahu dia tengah menahan sesuatu. Aku pusingkan muka, mata kami bertembung dalam jarak yang terlalu dekat.

Aku rasa lutut aku longgar bila jemari dia sentuh rahang aku, mengangkatnya perlahan. Dia renung aku lama, macam nak pastikan aku betul-betul di sini. Kemudian... dia rapatkan bibirnya pada aku.

Ciumannya mula perlahan hangat, lembut, tapi penuh kerinduan yang menekan dada. Dia bukan sekadar cium. Dia ambil masa, seolah-olah cuba ingat rasa ini selepas berbulan-bulan kehilangan. Tekanan bibir dia bertambah, dan aku rasa seluruh tubuh aku memberi respon, jantung laju, kulit panas, dan nafas aku jadi pendek.

Tangannya turun ke pinggang semula, menarik aku rapat sehingga tiada ruang di antara kami. Aku terperangkap sepenuhnya dalam pelukan dia, dalam ciuman yang buat aku lupa dunia luar wujud.

Dia tarik bibirnya sedikit, masih dekat dan senyum nipis. "Aku terlalu rindukan kau, Ghea... setiap inci tubuh kau."

Ciuman tadi masih terasa di bibir, hangatnya belum sempat hilang. Aku tarik sedikit selimut, mata tak lepas dari pandangan dia.

"Itu saja?" aku sengaja bisik perlahan, nada mencabar. "Empat bulan kau tunggu... tapi setakat itu saja yang kau berani buat?"

Kening Ezrik terangkat, senyum dia berubah jadi lebih berbahaya. Dia diam sekejap, cuma pandang aku, macam pemangsa ukur jarak sebelum menerkam.

"Kau memang nak aku buat lebih, kan?" suaranya rendah, serak, tapi ada nada yakin yang buat aku rasa seluruh badan meremang.

Aku sengih kecil. "Kalau berani."

Dia tak tunggu lama. Dalam sekelip mata, dia sudah alihkan tubuh, berada di atas aku, kedua tangannya di sisi kepala aku, mengunci aku di bawah.

Nafas dia panas di muka aku, matanya tajam tapi penuh dengan sesuatu yang hanya aku kenal iaitu rindu yang sudah terlalu lama tersimpan.

"Empat bulan aku tahan, Ghea. Malam ini... aku tak akan tahan lagi."

Dia rapatkan bibirnya semula, kali ini lebih dalam, lebih berat. Tangannya menyelusuri sisi tubuh aku, perlahan tapi pasti, seolah-olah dia memang nak buktikan yang dia masih ingat setiap lekuk dan garis aku.

Aku tahu, kali ini Ezrik bukan sekadar cium untuk melepas rindu tapi dia nak buktikan pada aku yang tubuh ini memang milik dia dan tak akan pernah jadi milik sesiapa pun.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience