Bau itu yang buat aku terjaga. Hangit. Bau benda terbakar, bercampur sikit bau minyak goreng yang terlalu panas.
Aku paksa kelopak mata buka walaupun kepala masih berat. Lampu matahari pagi yang menembus langsir nipis buat aku terpejam sekejap sebelum betul-betul fokus.
Tangan aku meraba ke sebelah, kosong. Tilam masih hangat, tapi Ghea tak ada.
Aku duduk di tepi katil, gosok muka. Bau hangit makin kuat. Dari arah dapur.
Aku bangun, melangkah perlahan ke ruang tamu. Kondo ini senyap kecuali bunyi kipas dapur yang berpusing laju. Cahaya pagi masuk dari tingkap besar, memantul di lantai kayu walnut.
Langkah aku berhenti di pintu dapur. Dan di situ...
Ghea. Masih dalam t-shirt besar yang entah dari mana dia jumpa dalam almari aku, rambut pendeknya kusut sikit, wajah penuh fokus.
Tangan kanan pegang penyepit, tangan kiri pegang pinggan... dan di atas kuali, terdampar hotdog hangus separuh melekat pada permukaan teflon.
Asap nipis berkepul keluar. Bau hangitnya memang cukup kuat untuk kejutkan satu blok ini.
Aku geleng kepala, bersandar di bingkai pintu. "Ghea... kau cuba bunuh aku awal pagi ke?"
Dia menoleh, mata membulat. "Eh! Kau sudah bangun?!" Nada dia macam kantoi buat jenayah.
Aku melangkah masuk, capai penyepit dari tangannya. "Ni hotdog ke arang?"
Dia sengih, tunduk sedikit. "Aku... cuba buat sarapan untuk kau tapi aku lupa nak kecilkan api."
Aku ketawa kecil, letakkan pinggan ke tepi. "Kalau kau nak racun aku, tak payah susah-susah masak."
Dia ketawa, cuba rampas balik penyepit. "Tak racunlah! Nanti aku buat yang baru."
Aku hanya geleng, tapi dalam hati... rasa pelik itu datang. Rasa tenang. Bangun pagi, bau hangit, tengok dia huru-hara di dapur... benda yang aku tak pernah bayangkan akan jadi rutin hidup aku.
Aku pandang dia lama-lama. "Mulai hari ini, kalau kau nak masak... aku kena ada sekali. Faham?"
Dia angguk sambil ketawa. "Faham, Encik Suami."
Bau hangit masih melekat di udara tapi entah kenapa... aku rasa pagi ini sempurna.
Aku hembus nafas, capai tombol api dan pusing hingga bunyi gas berhenti. Asap nipis perlahan-lahan hilang, tapi kesan hitam di kuali... memang tak boleh diselamatkan.
Aku bawa kuali itu ke sinki. Buka paip, bunyi air memercik kuat. Bau hangit bercampur bau besi panas terus naik. Aku gosok permukaan kuali itu dengan span, tapi kesan hitamnya degil, macam dendam lama yang susah nak hilang.
"Ghea..." aku mula bersuara, mata masih ke kuali, "...aku rasa, satu-satunya benda yang kau pandai masak cuma Maggi, kan?"
Dia berdiri di belakang, senyum nipis sambil gigit bibir. "Eh... bukanlah... aku pandai jugak masak nasi goreng..."
"Nasi goreng 3-in-1 serbuk perencah itu kira tak," aku potong ayat dia.
Dia ketawa kecil. "Okay... mungkin betul."
Aku letak kuali yang sudah separuh bersih ke tepi. "Lepas ini, kau masak Maggi saja. Itu pun jangan sampai hangus."
Tiba-tiba, aku rasa tangan melingkar di pinggang. Pelukan dari belakang.
"Maaf..." suaranya perlahan, pipinya aku rasa singgah di belakang bahu aku. "Aku tak reti masak. Tapi... aku janji aku akan belajar lepas ini."
Aku senyum sinis, masih mengelap sisa hitam di permukaan kuali. "Tak payah belajar. Nanti terbakar rumah ini."
Dia ketawa, tapi pelukannya tak terlepas. "Kejamnya... takkan aku tak boleh belajar langsung?"
Aku berpaling sedikit, cukup untuk lihat wajahnya di bahu aku. "Kau sudah cukup sibuk uruskan aku. Masak biar aku urus... atau kita order saja. Rumah ini mahal. Tak sanggup aku tengok dia jadi arang sebab kau nak belajar masak."
Dia muncung, tapi aku tahu dia senyum dalam hati dan aku... diam-diam rasa pelik. Rasa hangat pagi ini bukan dari dapur atau api, tapi dari pelukan dia.
Aku letak kuali yang sudah dibasuh ke rak pengering. Air paip aku tutup, bunyi derasnya diganti bunyi degupan jantung dia yang aku rasa dari pelukan belakang itu.
"Tak nak lepas ke?" aku tanya perlahan.
"Tak. Aku nak peluk kau lama-lama," dia jawab tanpa fikir.
Aku senyum nipis. "Kenapa?"
"Entah... sebab aku bahagia." Suaranya lembut, tapi ada sesuatu dalam nada itu rasa yang jarang aku dengar dari Ghea.
Aku capai tuala kecil, lap tangan perlahan. "Kau tahu tak... kalau kau bahagia, aku lagi bahagia."
Dia ketawa kecil, tapi aku rasa pelukannya makin kejap. "Habis itu... kau tak marah aku bakar hotdog tadi?"
Aku pusing, menghadap dia. Tangan aku naik ke rambutnya yang pendek, aku raba lembut.
"Marah... tapi marah aku lain. Marah aku cuma takut kau cedera. Kalau dapur itu meletup, macam mana?"
Dia geleng, senyum. "Aku janji hati-hati lepas ini."
Aku pandang mata dia lama-lama. "Aku tak perlukan janji. Aku perlukan kau ada setiap hari. Masak ke, tak masak ke... aku tak kisah."
Dia terdiam. Wajahnya berubah jadi lebih lembut.
"Rik..." dia panggil, nada rendah. "Kau tahu tak, aku tak pernah rasa... selamat macam sekarang."
Aku peluk dia kali ini. Kuat. Dagu aku singgah di atas kepalanya. "Kau memang selamat. Dengan aku, kau akan sentiasa selamat. Selagi aku hidup, tak ada siapa akan sentuh kau."
Dia ketawa kecil dalam pelukan, cuba cover perasaan. "Walaupun aku hanguskan dapur?"
Aku tarik tubuh dia sedikit ke belakang, renung wajahnya. "Walaupun kau hanguskan satu blok ini sekalipun... aku tetap pilih kau."
Dia gigit bibir, ketawa kecil, lalu pipinya merah. "Kau ini... kalau cakap macam itu, aku rasa nak bakar dapur hari-hari."
Aku sengih, tarik dia rapat semula. "Kalau itu alasan untuk kau peluk aku macam ini... aku tak kisah."
Pelukan dia makin lama makin longgar, tapi tangan aku masih di pinggangnya. Dia mendongak sedikit, mata bertemu mata. Senyum kecil itu masih di bibirnya, tapi kali ini ada sesuatu... lembut, tenang, dan buat aku rasa tak nak lepaskan.
"Rik..." dia sebut nama aku perlahan.
"Ya?"
"Terima kasih... sebab kahwin dengan aku."
Aku ketawa kecil, geleng. "Kau ini... sepatutnya aku yang berterima kasih. Sebab kau terima lelaki macam aku."
Dia senyum lagi. Senyuman yang buat aku rasa semua darah aku berkumpul di dada. Aku angkat tangan, usap perlahan pipinya, ibu jari aku singgah di hujung bibirnya.
"Aku sayang kau..." aku sebut tanpa fikir.
Dia pejam mata sekejap, macam serap setiap perkataan itu. "Aku pun..."
Aku condong ke depan, jarak antara kami cuma beberapa inci. Dia tak elak. Malah, matanya naik semula, bertaut dengan mata aku.
Perlahan-lahan, bibir aku singgah di bibirnya.
Lembut. Tak terburu-buru. Dia balas dengan sama perlahan, jemarinya naik ke leher aku, menarik aku rapat.
Bunyi penghawa dingin dan degupan jantung kami bergaul jadi satu. Ciuman itu bukan sekadar sentuhan ia pengesahan. Bahawa kami berdua... sudah sampai ke titik di mana tak ada jalan berpatah balik.
Bila kami berundur sedikit, dia ketawa kecil, dahi kami masih bersentuh. "Kalau aku hanguskan dapur lepas ini, kau tetap nak cium aku?"
Aku sengih. "Setiap kali."
Kami masih rapat, dahi bersentuh, nafas bercampur. Dia pandang aku lama-lama... kemudian sengihnya berubah jadi nakal.
"Aku nak cakap satu benda..."
Aku angkat kening. "Apa?"
Dia tahan tawa, tapi matanya dah bersinar-sinar. "Mulut kau... busuk sikit."
Aku terdiam sekejap. "Apa?" Nada aku naik separuh, tak percaya dia baru lepas cakap macam itu.
Dia sudah ketawa besar, tangan menutup mulut sendiri. "Sikit saja! Aku rasa sebab kau baru bangun tidur."
Aku geleng kepala, tapi tak dapat tahan senyum. "Kau ni... aku baru saja bagi ciuman romantik, kau balas dengan komen mulut busuk?"
Dia angguk sambil ketawa, mata berair sebab tahan gelak. "Tak apa... aku suka jugak. Busuk pun... tetap Ezrik aku."
Aku mendengus kecil, tolak hidung aku ke pipinya. "Kalau macam itu, nanti aku cium kau lagi... biar busuknya melekat terus."
Dia menjerit kecil, ketawa sambil menolak bahu aku. "Eiii! Janganlah!"
Tapi walaupun dia kata jangan, aku tahu... dia suka juga momen macam ini. Aku tarik tangan Ghea masuk ke dalam bilik kami semula.
Aku sandar di kepala katil, masih senyum nakal. "Kau cakap aku busuk... kau ingat kau wangi sangat ke lepas bangun tidur?"
Ghea terdiam sekejap, kening terangkat. "Eh, aku tak busuklah."
Aku sengih, angkat bahu. "Busuk. Sama level dengan aku... mungkin lagi teruk sikit."
Dia muncung, mata mengecil. "Kau ini memang nak kena..."
"Aku cuma jujur. Bau kau pagi-pagi... campur dengan hotdog hangus, memang... spesial."
Dia terus ambil bantal dan ketuk kepala aku sekali. PAP!
Aku tergelak, pegang kepala pura-pura sakit. "Adoi... isteri sendiri dera suami awal pagi."
Dia ketawa sambil tolak bahu aku. "Padan muka! Baru tahu rasa."
Aku pandang dia lama-lama, senyum nipis. "Tak kisahlah busuk ke wangi ke... kau tetap milik aku."
Dia geleng kepala, tapi aku nampak senyum itu tetap terbit juga. Dia masih duduk bersila di sebelah aku, bantal peluk di pangkuannya, muka pura-pura merajuk. Aku perhati dari tepi, sambil sengaja menguis hujung rambutnya.
"Kau marah lagi ke sebab aku cakap kau busuk?" aku sengih.
Dia buat-buat tak pandang. "Tak marah... tapi aku ingat." Nada dia macam budak kecil yang simpan dendam.
Aku ketawa kecil. "Kau ingat pun tak guna. Aku akan ulang lagi."
Dia mencebik, tapi aku tahu dia tak pernah betul-betul marah bila aku usik macam ini. Tangan aku capai jemarinya, genggam kuat.
"Kau tahu tak... aku suka bila kita macam ini. Ketawa, usik, gaduh kecil..."
Dia pandang aku, mata lembut. "Aku pun suka. Aku tak nak benda ini hilang."
Aku angkat kening. "Benda ini tak akan hilang selagi kau tak tinggalkan aku."
Dia senyum. "Aku tak akan tinggalkan kau, Rik. Serius."
Aku pegang pipinya, ibu jari aku usap perlahan. "Jangan cuma cakap. Buktikan. Aku tak main-main bila aku cakap aku tak akan lepaskan kau."
Dia senyum, tapi mata dia jelas faham maksud aku. "Aku tahu... dan aku suka bila kau macam itu."
Aku ketawa kecil, tarik dia rapat ke dada. Pelukan kali ini lama cukup lama untuk aku rasa degupan jantungnya ikut sama rentak dengan aku.
"Kau tahu tak..." aku bisik di telinganya, "...kalau ada orang lain sentuh kau lepas ini, walau sikit... aku tak akan lepaskan dia hidup-hidup."
Dia ketawa kecil, peluk aku lebih kuat. "Aku tahu... sebab itu aku tak bagi sesiapa pun dekat."
Kami duduk begitu lama, hanya bunyi kipas siling dan nafas kami yang mengisi ruang. Cahaya matahari pagi memancar masuk, memantulkan sinar ke cadar putih yang masih ada sisa kelopak mawar semalam.
"Aku sayang kau," dia tiba-tiba berkata.
Aku senyum, tak perlu fikir. "Aku sayang kau lebih."
Dia ketawa, kepala disandarkan di bahu aku. "Kalau macam ini setiap hari... aku sanggup masak hotdog hangus untuk kau setiap pagi."
Aku geleng sambil ketawa. "Janji jangan bakar kondo ini... tu saja syarat aku."
Dan untuk kali pertama dalam hidup aku, aku rasa... bahagia yang aku genggam kali ini, aku tak akan lepaskan walau apa pun.
Orang selalu cakap bahagia itu bebas. Bagi aku, bahagia itu bila kau ada dalam genggaman aku, ketat, sampai kau tak boleh lari walau setapak.
Ghea sekarang sah jadi isteri aku. Setiap nafas dia, setiap senyum dia, setiap langkah dia... milik aku. Kalau dulu aku cuma bayang, sekarang aku boleh sentuh, aku boleh peluk, aku boleh cium bila-bila aku nak.
Dan kalau ada sesiapa yang cuba ambil dia... aku akan pastikan tangan itu tak akan ada lagi untuk ambil sesiapa.
Bahagia ini milik bersama.
Bahagia ini... milik aku seorang.
Selamanya.
Tamat.
Share this novel