Aku duduk di kerusi besi sejuk yang bunyinya berdecit setiap kali aku bergerak. Ruang menunggu ini berbau campuran antiseptik dan asap rokok basi yang entah dari mana datangnya.
Mata aku sudah pedih, tapi air mata tak berhenti keluar. Polis duduk di sebelah, diam saja. Sesekali aku rasa tangan dia tepuk perlahan bahu aku.
Jam dinding di depan seolah sengaja berjalan perlahan. Jarum saat itu terasa macam sengaja menyiksa aku. Bunyi "tik...tik...tik..." bercampur dengan dengung kipas siling yang berpusing malas.
Aku tunduk, tangan genggam kepala sendiri. Bayangan rumah kayu itu, terbakar... suara mak... suara adik-adik... semua bergaung dalam kepala. Aku tak sempat selamatkan. Aku tak ada. Aku tak mampu.
Sesekali pintu di hujung koridor terbuka, bunyi tapak kasut getah bergesel dengan lantai licin. Pegawai forensik lalu, tapi bukan untuk aku.
Polis di sebelah cuma beritahu, "Sabar Ezrik... proses bedah siasat makan masa. Kita tunggu giliran."
Aku tak jawab. Aku cuma pandang lantai. Nampak bercak hitam mungkin lumpur atau darah kering.
Setiap kali aku cuba pejam mata, aku nampak muka mak, adik-adik... tapi kali ini bukan wajah mereka yang aku ingat. Yang muncul cuma bayangan tiga tubuh rentung yang aku nampak tadi. Bau daging hangus itu masih lekat dalam hidung aku. Bau yang tak akan pernah hilang.
Aku tak tahu berapa lama sudah aku tunggu. Hujung baju aku sudah basah dek air mata. Badan aku keras, lutut kebas. Polis di sebelah sempat hulur air mineral, tapi aku tak mampu telan.
Bila pintu hujung itu terbuka lagi dan seorang lelaki berjaket forensik sebut nama aku, jantung aku jatuh. Dia pandang aku lama, nada suaranya rendah tapi tegas...
"Encik Ezrik... kita perlukan encik untuk pengecaman mayat."
Bunyi kipas siling tiba-tiba jadi sunyi. Jantung aku yang berbunyi paling kuat sekarang.
Bau hangit masih melekat di tekak aku. Dari tadi duduk atas kerusi keras ini, kepala aku berdenyut macam nak pecah. Mata aku bengkak, air mata dah kering... tapi dada aku tetap rasa ketat. Polis di sebelah cuma diam, mungkin sudah lali tengok orang macam aku yang tunggu nak kenal pasti mayat.
Pintu bilik sejuk tu berbunyi "krak...", bau kimia bercampur hangus terus merempuh hidung aku. Bau daging terbakar, masam dan tengik, menusuk sampai tekak rasa nak muntah. Seorang petugas forensik keluar, pakai mask dan glove, mata dia macam tak berani pandang aku lama.
"Encik Ezrik... dah bersedia?"
Aku cuma angguk tapi kaki aku rasa berat macam disimen. Kami masuk. Lampu putih terang memantulkan kilat cahaya atas permukaan keluli meja mayat.
Ada tiga beg hitam tersusun. Zipnya rapat, tapi bau dia... Tuhan, bau dia tak keluar dari kepala aku sampai mati nanti. Petugas tarik zip beg pertama perlahan.
Ssshhhrrrk...
Wajah mak. Kulit dia hitam legam, keras, merekah. Mata tertutup rapat, kelopak pun sudah melekat cair. Bibirnya hilang, ganti dengan lapisan arang nipis yang pecah-pecah. Rambut yang dulu selalu dia sanggul... sekarang cuma cebisan hitam melekat di kulit kepala yang hangus.
"Mak..." suara aku pecah, dada aku bergetar. Aku capai tangan dia, tapi jari aku terhenti sebab jarinya kaku, kulitnya mengelupas dengan bunyi "krk..." bila tersentuh. Air mata aku meletup keluar, tak peduli siapa tengok.
Zip kedua dibuka. Adik lelaki bongsu aku. Separuh mukanya melebur, pipi kanan tak ada, nampak bentuk rahang putih. Baju T-shirt dia melekat di dada, bercampur dengan sisa kulit. Bau hangus bercampur bau perut pecah. Aku terundur selangkah, rasa nak muntah tapi tekak tersekat.
Beg ketiga... adik perempuan aku. Kecil. Tubuhnya mengerekot macam dia cuba lindung diri masa api datang. Jari jemari dia rapat, tapi hujungnya tinggal tulang pucat. Mata dia... tak ada. Kosong. Cuma lubang gelap dalam tengkorak yang retak.
Aku jatuh lutut, tangan menutup muka. Aku meraung, suara aku bergema dalam bilik sejuk itu. Polis cuba tarik aku, tapi aku hentak tangan pada lantai keluli.
"Siapa buat ni?! SIAPA?!" Nafas aku tak teratur, dada aku naik turun laju. Aku rasa macam dunia ini tengah telan aku hidup-hidup.
Bau hangus itu ikut aku keluar. Macam sudah lekat dalam kulit aku.
Aku keluar dari bilik sejuk itu dengan langkah longlai. Bau hangus dan kimia itu macam mengekori aku, menampar muka setiap kali aku tarik nafas. Mata aku merah, air mata sudah tak tahu berapa kali jatuh, tapi rasa sakit dalam dada ini... makin menghimpit.
Polis di sebelah aku cakap sesuatu, tapi suara dia jauh... macam bercakap dari hujung terowong. Telinga aku berdengung. Bunyi mesin oksigen, bunyi troli, bunyi langkah kaki orang semuanya bercampur jadi satu bunyi bingit yang menghiris kepala.
Gambar muka mak, adik-adik... semua berulang-ulang dalam kepala. Mata aku kabur. Lutut aku tiba-tiba rasa kosong. Nafas aku sesak, dada aku rasa ketat macam dipijak batu besar.
"Aku... aku tak..." suara aku pecah, dan sebelum sempat aku habiskan ayat, pandangan aku gelap.
BUP!
Tubuh aku jatuh menghentam lantai sejuk hospital. Jeritan orang kedengaran samar. Ada tangan yang cuba angkat kepala aku. Bunyi langkah laju-laju mendekat, suara panik memanggil jururawat.
"Encik! Encik! Bertenang!" suara itu makin jauh. Pandangan aku cuma penuh bintik-bintik hitam. Bau hangit dari mayat tadi masih ada, walaupun aku sudah mula hilang kesedaran.
Sebelum semua gelap sepenuhnya, aku sempat rasa air mata terakhir jatuh di tepi pipi.
***
Kelopak mata aku berat. Cahaya putih dari siling menembusi mata yang separuh terbuka. Bau antiseptik menusuk hidung. Aku ambil nafas dalam-dalam, tapi dada rasa berat... macam masih ada batu menekan.
"Encik Ezrik... encik sudah sedar?" suara seorang jururawat lembut di telinga. Aku nampak dia berdiri di tepi katil, periksa tekanan darah aku. Di tangan kanan, jarum drip terpasang kemas. Ada oksigen kecil di hidung.
Aku cuma mampu angguk perlahan. Suara aku serak, "Keluarga aku...?"
Jururawat pandang aku dengan wajah yang cuba berlembut. "Jenazah sudah dipindahkan ke bilik simpanan sementara, encik berehat dulu..." Dia berundur, memberi ruang pada seorang lelaki beruniform polis yang sejak tadi duduk di kerusi hujung katil.
Pegawai itu bangun, menghampiri. Dia keluarkan buku nota kecil, nada suaranya teratur tapi serius.
"Kami faham encik masih terkejut... tapi kami perlukan sedikit maklumat untuk siasatan. Ada sesiapa yang encik syak...?"
Aku pandang dia. Nafas aku kasar. "Kalau aku cakap, kau orang akan tangkap?"
"Kami akan ambil tindakan ikut prosedur, encik. Tapi kami perlukan bukti."
Tangan aku mengepal di atas cadar. "Arif... nama dia Arif. Dia abang kembar Lily... dan Lily..." suara aku pecah. Air mata menitis lagi tanpa aku minta.
Pegawai itu catat cepat. "Encik boleh terangkan kenapa encik syak mereka?"
Aku pandang siling. "Sebab... dia sudah rampas segalanya daripada aku sebelum ni... dan sekarang dia bakar rumah aku. Dia bunuh mak aku. Bunuh adik-adik aku..." suara aku makin kuat sampai dada aku berombak.
Polis itu cuba tenang. "Encik, kami akan siasat. Buat masa ini, encik berehat. Esok pagi kita ambil keterangan penuh."
Aku mengangguk, tapi tangan aku masih menggenggam cadar sampai kuku rasa sakit. Bau asap... bau daging rentung... semua masih ada dalam hidung aku.
Aku baring kaku di katil, mata pandang siling tapi fikiran aku jauh terbenam dalam api yang marak, jeritan yang terhenti, bau hangus yang menjerut kerongkong. Air mata jatuh sendiri. Sekali-sekala, bahu aku terhentak sebab esakan yang tak mampu aku kawal.
"Ezrik..."
Suara itu buat aku kaku seketika. Perlahan aku toleh, dan di hujung kaki katil, berdiri seorang lelaki dengan hoodie kelabu, muka letih tapi mata tajam penuh risau.
"Ishraf..." suara aku pecah.
Dia terus melangkah laju, tak peduli jururawat yang lalu. Dalam sekelip mata, aku tenggelam dalam pelukan dia. Pelukan yang kuat, kemas, macam nak pastikan aku tak runtuh terus.
"Aku terus gerak dari KL lepas kau call subuh tadi..." suara dia serak, dan aku rasa getaran dari dada dia. "Bila aku sampai, aku nampak orang ramai... aku tahu sesuatu sudah jadi."
Aku tak mampu jawab. Nafas aku tersekat-sekat, tangan aku genggam belakang hoodie dia. Air mata aku basahkan bahu dia.
"Is... mak aku... adik-adik aku... semua..." Suara aku pecah, dada rasa terbakar. "Mereka mati, Is... mati rentung. Aku tak sempat buat apa-apa..."
Ishraf peluk aku lebih ketat. "Sabar, bro... aku ada dengan kau sekarang. Aku janji takkan tinggal kau."
Aku terhentak-hentak menangis dalam pelukan itu, macam budak kecil yang hilang segalanya. Dalam kepala aku cuma ada satu benda, dendam dan aku tahu, Is pun faham apa yang aku fikir.
Ishraf duduk di tepi katil, kedua-dua tangan dia masih pegang lengan aku macam takut aku hilang kawalan. Mata dia perhati muka aku tanpa lepas, macam nak pastikan aku masih bernafas.
"Aku sudah cakap kat kau... kalau kau terus kacau geng tu, akan ada orang balas." suara Is perlahan, tapi nada dia berat.
Aku sapu muka dengan tapak tangan, tapi air mata tetap mengalir. Nafas aku kasar. "Is... aku rasa... aku tahu siapa buat."
Dia tunduk sedikit, minta aku teruskan.
"Aku tak ada bukti... tapi aku rasa ni kerja Arif." Suara aku penuh geram, gigi aku berlaga. "Dia... dengan Lily. Aku yakin Lily pun tahu."
Kening Is berkerut, rahang dia tegang. "Kau serius? Kau fikir diorang sanggup sampai bakar rumah kau?"
Aku pandang Is tepat. "Is, mereka sanggup rogol Ghea sampai trauma seumur hidup. Bakar rumah aku tu tak mustahil dan sekarang... mak aku, dua adik aku... sudah tak ada. Kalau aku dapat tangkap Arif..."
Aku hentak penumbuk pada tilam sampai jari rasa sakit. Nafas aku berombak. "Aku sumpah, Is... aku akan bagi dia rasa setiap detik api tu. Setiap jeritan yang aku dengar dalam kepala aku sekarang."
Is senyap seketika, pandang lantai, kemudian kembali menatap aku. "Kalau kau nak buat, aku ada. Aku akan ikut sampai habis."
Aku genggam tangan dia kuat, dan dalam hati aku, tekad itu sudah padu. Tak ada jalan undur.
Is pegang bahu aku, pandangan dia tajam tapi cemas. "Habis... Ghea? Siapa jaga dia sekarang?"
Aku hela nafas panjang, cuba tenang walaupun kepala masih serabut. "Aina. Aku sudah pesan awal-awal kat dia, jangan bagi sesiapa masuk rumah. Kalau ada orang datang, kunci semua pintu. Aku tak kira siapa pun, jangan buka."
Is angguk perlahan, tapi mata dia masih penuh risau. "Kau rasa... Arif tu akan cuba cari Ghea?"
Aku pandang jauh ke arah pintu bilik yang terkuak sedikit. "Kalau dia tahu Ghea masih hidup... dia takkan berhenti, Is. Tapi aku sudah pastikan rumah tu tak mudah orang masuk. Kalau Aina ikut arahan aku, Ghea selamat..."
Aku berhenti sekejap, suara aku berubah jadi geram. "...buat masa sekarang."
Is tunduk, tarik nafas berat. "Rik, kita kena cepat. Kalau Arif memang dalang kebakaran ni, dia takkan tunggu lama."
Aku cuma mengangguk, tapi hati aku sudah bulat. Kali ini, Arif tak akan ada peluang kedua.
Share this novel