Ghea Edriana
4 Bulan lalu.
Mata aku terfokus pada siling klinik yang polos, tapi kepala aku rasa kosong. Bunyi mesin ultrasound berdengung perlahan, bercampur dengan degupan jantung aku sendiri yang makin laju. Doktor perempuan itu duduk di sebelah, tangannya menggerakkan alat probe sejuk di bawah perut aku.
Dia senyum kecil sambil pandang skrin. "Hmm... Puan Ghea, kandungan awak sudah masuk dua bulan."
Aku terus pandang dia, bulu roma aku meremang. "Dua... bulan?" suara aku keluar perlahan, hampir berbisik.
"Ya. Masih awal, jadi awak kena banyak berehat dan elakkan stres," katanya tenang. "Makan ikut waktu, jangan buat kerja berat. Janin ini masih sensitif."
Aku rasa dada aku menghentak kuat. Dua bulan...? Aku tak sangka. Tak rancang pun. Apatah lagi aku dan Ezrik... kami belum kahwin. Nafas aku jadi berat.
Ezrik.
Aku pejam mata. Dia jenis lelaki yang marah kalau ada benda besar aku rahsiakan tapi kalau aku beritahu... entah apa reaksi dia. Dia sayang aku, tapi aku tahu dia tak pernah bincang pasal anak.
Aku pandang skrin. Tompokan kelabu kecil bergerak perlahan di tengah kegelapan itu. Tangan aku menggeletar. "Anak siapa lagi kalau bukan dia..." bisik hati aku.
Keluar dari klinik nanti, aku kena fikir. Beritahu sekarang... atau simpan dulu? Kalau dia marah? Kalau dia suruh... buang?
Doktor memandang aku lagi, kali ini nada suaranya lebih lembut tapi tegas. "Puan Ghea, dua bulan ni kira fasa paling kritikal. Kalau terjatuh, angkat barang berat, atau terlalu penat, risiko gugur tinggi. Jadi cuba elak berdiri lama, elak panjat tangga banyak kali."
Dia membetulkan kaca mata di hidung, kemudian menulis sesuatu di fail. "Makan makanan berkhasiat, ya. Lebihkan sayur, buah, dan sumber protein. Susu pun penting, tapi kalau tak lalu, boleh ambil dalam bentuk supplement."
Aku masih senyum nipis, sekadar mengangguk walaupun hati rasa bergetar.
"Dan satu lagi..." Doktor menatap aku sambil senyum kecil. "Kalau boleh, libatkan suami awak dalam penjagaan kandungan ini. Lelaki kadang tak tahu apa yang kita rasa, jadi beritahu dia awak perlukan sokongan. Dia pun berhak tahu."
Ayat itu buat jari aku di riba terasa kaku. Aku hanya mengangguk lagi. "Baik, doktor..."
Doktor kemudian menutup fail. "Saya bagi vitamin ni, makan setiap hari selepas makan malam. Jangan lupa minum air banyak-banyak. Kalau ada pendarahan atau sakit perut, terus datang ke sini atau ke hospital."
Dia senyum, seolah berita ini memang menggembirakan tapi aku keluar dari bilik itu dengan dada berat, tangan genggam slip ubat erat-erat. Dalam kepala cuma satu persoalan macam mana aku nak beritahu Ezrik... atau aku langsung tak patut beritahu?
Aku melangkah keluar dari pintu klinik, disambut udara petang yang suam dan bau asap kenderaan di tepi jalan. Langit sudah mula berwarna jingga pekat, matahari condong, seolah-olah ikut rasa berdebar yang bergema dalam dada aku. Slip ubat masih dalam genggaman.
Tiba-tiba telefon dalam beg tangan berdering nama yang tertera di skrin buat jantung aku makin kencang. Ezrik.
Aku tarik nafas dalam, cuba susun suara supaya kedengaran biasa. "Hello..."
Suara garau dan tegas dia kedengaran di hujung talian. "Jangan lupa malam ni. Aku sudah tempah dinner kat hotel Grand Imperial. Pukul lapan tepat aku tunggu kau. Jangan buat aku tunggu lama, Ghea."
Aku telan liur, cuba ketawa kecil. "Ya... aku datang nanti. Jangan risau."
"Aku nak kau pakai cantik-cantik. Bukan macam biasa kau suka pakai. Malam ni, aku nak kau betul-betul buat aku pandang kau lama." Nada dia rendah, tapi tegas ada aura arahan yang selalu buat aku akur.
"Okay..." suara aku hampir berbisik.
"Bagus. Jumpa malam nanti." Talian terus diputuskan tanpa ucapan selamat tinggal.
Aku berdiri sejenak di kaki lima klinik itu, telefon masih di tangan. Mata aku tertumpu pada slip ubat dalam genggaman, otak ligat memikirkan sama ada malam ini aku patut beritahu dia... atau simpan rahsia ini lebih lama.
Langkah aku perlahan keluar dari kawasan klinik, kasut sneakers putih aku menyentuh lantai tar yang panasnya masih terasa walaupun matahari sudah hampir tenggelam. Di hujung pandangan, tersadai megah di bawah bayang pokok ketapang, Yamaha R6 warna hitam matte milik aku.
Bunyi enjin kenderaan lalu-lalang jadi latar, tapi telinga aku macam kabur. Tumpuan cuma pada setiap langkah yang membawa aku makin dekat dengan motor itu.
Sampai di sisi R6, aku berhenti. Tangan kanan aku secara refleks jatuh di atas perut yang masih leper, tapi aku tahu ada sesuatu di dalam. Jantung aku berdegup lain macam.
Anak kita... bisik hati aku.
Angin petang meniup lembut rambut aku yang lepas, dan aku termenung lama. Dalam kepala, bayangan wajah Ezrik muncul. Ya... dia panas baran, keras hati, tapi... dia juga lelaki yang tak pernah lepaskan genggaman tangannya dari aku waktu aku jatuh.
Mungkin... mungkin dia akan okay bila tahu. Ezrik sayang aku, kan?
Aku tunduk sedikit, mengusap perut dengan gerakan perlahan, seolah-olah nak yakinkan bayi itu yang dunia luar masih selamat. Aku tak sanggup gugurkan kandungan ini, walaupun semua orang akan pandang aku jijik sebab ini anak luar nikah.
Tangan aku mengetatkan grip helmet full face yang tersangkut di handle bar. "Kita balik dulu... malam nanti kita jumpa papa kau," bisik aku perlahan, bibir tersenyum hambar walaupun hati masih penuh tanda tanya.
Bunyi ringtone dari poket jeans aku buat aku tersentak dari lamunan. Aku capai telefon, tengok skrin — Lily.
Aku terus tekan jawab, senyum tanpa sedar. "Lily! Ya Tuhan, lama gila tak dengar suara kau! Apa khabar? Aku rindu kau, weh."
Suara Lily di hujung talian kedengaran lembut dan ceria. "Aku sihat, Ghea. Rindu juga dekat kau."
Aku ketawa kecil sambil letak helmet di seat motor. "Tiba-tiba je call ni... apa cerita? Rasa macam balik zaman kolej, kau call aku malam-malam."
Nada Lily berubah sedikit, macam ada getar takut. "Ghea... aku tak tahu nak minta tolong siapa. Aku sekarang kat satu jalan sunyi... kereta aku rosak. Sini gelap. Aku... aku takut."
Aku tegak berdiri, rasa darah naik ke muka. "Eh, kau okay ke? Kat mana tu? Bahayalah kalau sorang-sorang!"
"Aku... aku tak tahu nak buat apa. Boleh tak kau datang jemput aku sekarang? Aku tak ada orang lain..." Suara Lily macam tersekat, buat aku makin risau.
"Ya, ya, kau hantar location sekarang. Jangan gerak mana-mana, aku datang terus," aku cepat-cepat jawab sambil hidupkan skrin telefon untuk tunggu WhatsApp masuk.
"Okey... terima kasih, Ghea. Cepat sikit ya..."
Panggilan terputus, dan aku sudah pun pakai helmet. Jantung aku berdegup kencang risaukan kawan lama yang dalam bahaya.
Aku capai helmet full-face dari handle R6, sarung dengan cepat. Tangan aku sentuh tangki hitam berkilat itu, hadiah Ezrik masa anniversary kami. "Harap malam ni semua okay," aku bisik sendiri sebelum hidupkan enjin.
Wuuummmm!!!
Bunyi enjin 4-inline meraung garang, bergema di ruang parkir klinik yang sunyi. Lampu LED depan menyala terang, potong kegelapan. Aku pulas throttle, gear masuk satu, dan R6 meluncur keluar dari kawasan klinik, memecah sepi petang yang sudah hampir masuk malam.
GPS di phone holder tunjuk jarak 12 kilometer. Jalan mula landai tapi semakin jauh, lampu jalan makin jarang. Lampu-lampu kedai yang tadi memantul di visor mula hilang, diganti dengan bayang pokok-pokok tinggi yang menghala ke langit.
Angin malam menghentam dada, menolak jaket kulit aku ke belakang. Suhu mula turun, bau tanah basah bercampur bau getah tayar hangat naik ke hidung. Kelajuan makin bertambah, jarum meter melepasi 100 km/j.
Aku masuk selekoh pertama, lutut sedikit condong, tayar depan menggigit aspal. Kruuuukkk bunyi halus batu kecil terhentak di fairing bawah motor. Selepas selekoh, laluan lurus terbentang, tapi gelap hanya disuluh oleh cahaya lampu R6.
Bayang ranting pokok menari di atas jalan bila dilanggar cahaya lampu. Kadang-kadang, dedaun jatuh perlahan melayang ke visor aku. Aku tak peduli, fokus pada jalan.
Bila jalan mula sempit, bunyi enjin kedengaran lebih garang sebab memantul di kiri kanan tebing tanah. Wuuaaaaaa! setiap kali aku pulas throttle, raungan itu macam echo balik ke telinga, buat bulu roma meremang.
GPS tunjuk tinggal 6 kilometer tapi suasana makin sunyi. Tak ada satu pun kenderaan berselisih. Cuma bunyi cengkerik, diselang-selikan dengan pekikan burung malam entah dari mana.
Aku cuba tenangkan diri. Lily kata dia takut. Jalan ini... memang jenis sunyi dan sepi. Pokok kiri kanan terlalu rapat sampai rasa macam dinding gelap yang menelan cahaya lampu motor aku.
Aku tekan sedikit brek depan masa masuk selekoh tajam, bunyi cekekkk brek cengkaman halus. Badan condong, dan masa aku keluar dari selekoh, aku pulas throttle kuat-kuat, R6 melonjak laju, deruman enjin menggema panjang di belakang.
Angin malam kini makin menusuk. Sesekali, bau lumpur dari longkang tepi jalan menusuk kuat bila tayar lalu sebelah genangan air. Jalan tak rata, getaran halus merambat dari tayar ke handlebar.
Tinggal 3 kilometer. Hanya aku, motor, dan kegelapan yang terasa menelan aku hidup-hidup.
Meter sudah tinggal 1 kilometer. Aku fokus betul-betul pada jalan depan satu lorong sempit, kiri kanan hutan gelap. Angin malam membelah visor, raungan R6 jadi teman tunggal.
Tuk... tuk... tuk...
Bunyi ranting kecil digilis tayar. Lampu depan memantul pada asap nipis yang entah datang dari mana. Aku mula rasa lain macam.
Tiba-tiba...
Swoooshhh!!!
Satu susuk hitam melintas betul-betul depan motor. Bukan macam haiwan, tapi manusia, rendah, kurus, langkah panjang. Aku cuma sempat nampak kaki dengan seluar lusuhnya sebelum otak aku sempat proses.
"Eh..."
Refleks aku terus tarik brek depan sambil pulas clutch. Tayar depan cenggggkkk! mencengkam aspal, badan motor goyang. Handlebar rasa macam direbut keluar dari genggaman.
Lampu depan berputar dalam mata aku, sekali kiri, sekali kanan. Berat motor tarik aku ke bawah. Bunyi GEDUKKKK! kuat masa fairing kiri hentam jalan. Percikan api memercik bila besi footpeg bergesel dengan tar.
BUSHHH!!!
Aku masih berpaut pada handle, tapi daya hayun terlalu kuat, motor menyeret aku atas jalan. Kulit lutut terasa panas dan pedih walaupun berlapis seluar slack.
TKKKKRRGGGGG!
Bunyi geseran logam motor dengan tar berderam panjang. Aku akhirnya terlepas genggaman. Badan aku tercampak ke sisi, berguling. Satu... dua... tiga kali aku berpusing sebelum terhenti di bahu jalan yang berpasir.
"ARGH!"
Dada aku berombak, telinga berdengung. Nafas aku laju, tangan menggigil. Bau getah terbakar dan asap dari enjin motor yang rebah di tengah jalan naik menusuk hidung.
"AKH!"
Di tengah kabur pandangan, aku sempat nampak bayang susuk hitam tadi... berdiri di hujung cahaya lampu R6, tak bergerak. Seolah-olah memang dia tunggu aku.
Aku cuba tarik nafas panjang, mengatur semula degup jantung yang macam nak pecah. Lutut kiri berdenyut kuat, rasa perit membakar dari geseran tar tadi. Dalam kabur cahaya lampu motor yang rebah, susuk hitam itu mula bergerak perlahan.
Bila langkahnya masuk penuh ke dalam cahaya...
Jantung aku terus jatuh ke perut.
"Lily...?"
Dia berdiri di situ dengan lengan silang memeluk tubuh sendiri, bibir terukir senyum nipis yang aneh. Rambutnya sedikit berterbangan ditiup angin malam, tapi mata dia... mata itu penuh sesuatu yang aku tak kenal.
Aku paksa tangan buka helmet, rasa sakit dari lutut buat aku hampir terdengap. "Lily!" jerit aku, nada separuh lega, separuh hairan. "Kau buat apa kat sini?!"
Dia tak jawab. Dia hanya memiringkan kepala sedikit, senyuman makin melebar.
Aku cuba bangun, tangan menyentuh lutut yang terasa panas dan basah dengan darah. Tapi aku tak peduli. Aku kunci mata pada Lily.
"Kenapa diam?! Apa semua ni?" suara aku pecah, bercampur marah dan takut.
"Heh..."
Lily ketawa kecil, ketawa yang tak ada rasa gembira. Senyumannya kekal, tapi mata itu memaku aku tanpa berkelip. Angin malam terasa makin sejuk dan entah kenapa, dada aku tiba-tiba berat.
"Lily..." aku ulang, kali ini nada perlahan, tapi penuh tanda tanya.
Dia masih tak bergerak, masih berdiri dalam cahaya motor yang rebah, seolah-olah menikmati setiap saat aku tersekat di situ.
Share this novel