Lily Amanda
Lorong sempit itu diselimuti kabus nipis. Udara awal pagi menggigit kulit, dingin menusuk ke tulang. Hanya bunyi enjin kereta abang aku yang memecah kesunyian. Lampu jalan malap, memantulkan cahaya samar di atas jalan tar yang masih basah.
Kereta berhenti tepat di hadapan pintu pagar rumah teres setingkat itu. Rumah itu gelap pekat, semua lampu dimatikan. Sunyi, terlalu sunyi, seolah-olah seluruh kawasan masih dibuai mimpi. Aku telan liur, dada terasa sempit.
"Arif... janganlah. Aku rayu, jangan teruskan gila kau ni..." Suara aku serak, hampir pecah. Nafas aku berwap dalam udara sejuk.
Arif hanya bersandar ke stereng seketika, bibirnya membentuk senyum nipis yang aku kenal senyum sebelum dia buat sesuatu yang tak akan aku lupakan.
"Takut?" Dia ketawa perlahan, ketawa yang lebih kepada sindiran.
"Aku takut Ezrik bunuh kita... dia... dia bukan macam orang lain, Rif. Kau pun tahu dia sanggup buat apa saja kalau orang sentuh Ghea," aku cuba pujuk, suara terketar.
Arif memalingkan kepala ke arahku, pandangan matanya tajam. "Lily... diam. Sudah sampai, kita buat kerja. Kau ikut saja."
Aku geleng. "Tolonglah... balik saja. Jangan buat apa-apa. Aku tak nak mati, Rif." Air mata aku jatuh lagi, merembes panas di pipi yang kesejukan.
Dia ketawa kecil, kali ini lebih sinis. "Kalau mati, biar mati sekali. Tapi Ezrik akan rasa apa yang aku rasa. Itu janji aku."
Jantung aku berdegup laju, seolah-olah dada ini nak pecah. Bau petrol yang masih kuat dari tong di belakang kereta menambah rasa loya. Aku tahu ini bukan sekadar gertak tapi Arif akan buat.
Arif menolak pintu kereta perlahan, bunyi engselnya berdecit halus memecah hening awal pagi. Dia melangkah keluar, udara dingin membuatkan asap nafasnya kelihatan. Tangannya pantas membuka pintu pagar besi rumah teres itu. Bunyi kriiiit pagar berkarat menggesel lantai simen membuat bulu roma aku tegak.
Aku terpaksa ikut di belakang, kaki terasa berat. Tangan aku laju menarik lengan Arif.
"Rif... tolonglah, jangan buat. Aku sumpah, kau akan nyesal nanti," suara aku bergetar, antara merayu dan takut.
Dia menoleh tajam, wajahnya tegang. "Diamlah, Lily. Kau ni penakut betul! Aku bukan nak bunuh Ghea pun..."
Arif merapatkan wajahnya ke telinga aku, suaranya rendah tapi penuh geram. "...aku cuma nak culik dia. Sekejap saja. Biar Ezrik rasa, biar dia lepaskan Paan, Aiman, dengan Acap. Kan adil?"
Aku menggigit bibir, dada berombak laju. "Tapi Ezrik... dia..."
"Dia apa?! Dia bukan hebat mana pun! Dia cuma pandai berlakon garang," Arif memotong kata-kata aku. "Percayalah, aku tahu cara uruskan dia. Sekarang kau ikut, atau kau balik sendiri."
Dia terus melangkah masuk, meninggalkan aku terpaku di luar pagar.
DUM! DUM! DUM!
Bunyi hentakan tangan Arif di pintu kayu rumah itu bergema dalam sunyi pagi. Aku tersentak setiap kali dia ketuk.
"POLIS! Buka pintu sekarang!" suara Arif lantang, cukup untuk menggema sampai hujung lorong. Nafas aku jadi tak teratur, mata liar memandang kiri kanan, takut jiran keluar atau ada orang nampak.
Tiada jawapan. Rumah itu diam... terlalu diam. Arif ketuk lagi, kali ini lebih kuat...
DUM! DUM! DUM!
Sampai daun pintu bergetar. "Aku cakap buka pintu! Sekarang!"
"Rif... tolonglah berhenti..." aku tarik hujung bajunya, suara berbisik penuh panik. "Kalau Ezrik tahu..."
Dia tak peduli. "Buka pintu! Kalau tak aku pecah sekarang!" teriaknya lagi sambil menghentak penumbuk pada kayu, bunyinya kasar.
BANG! BANG!
Aku rasa jantung aku sudah nak meletup. Setiap kali bunyi hentakan itu, bayangan Ezrik muncul dalam kepala aku, wajahnya marah, matanya tajam... dan aku tahu, kalau dia dapat tangkap kami di sini, kami tak akan balik dengan selamat.
Pintu itu terbuka sedikit, bunyi engsel berdecit kreeeeet... menembusi kesunyian pagi.
Belum sempat perempuan itu memandang penuh, Arif sudah tolak pintu sekuat hati. BANG! Kayu itu menghentam bahunya, membuatkan tubuhnya terdorong ke belakang lalu GEDUK! jatuh terhentak di lantai simen ruang tamu.
"Awak!" aku terkejut, tapi tangan aku sempat mencapai lengan Arif, cuba tarik dia keluar. "Rif, jangan! Aku rayu..."
PANG!!!
Tamparannya mendarat di pipi aku, keras, berbunyi jelas. Kepala aku terhentak pada dinding di belakang, bunyinya THUD! Pedih dan berdenyut di rahang, rasa logam memenuhi mulut. Nafas aku tersekat, mata berpinar.
"Diam, Lily! Jangan masuk campur!" Arif menjerit, wajahnya penuh amarah.
Perempuan itu yang masih di lantai cuba bangun sambil menahan sakit, suaranya lantang, "Tolong! Tolong! Ada orang..."
Belum sempat habis, DUM! penumbuk Arif mendarat di perutnya, membuatkan dia terbungkuk, nafasnya tersekat. Aina menangis sambil merayu, "Tolong... jangan... jangan apa-apakan aku... jangan kacau Ghea..."
"Diam kau!" Arif mengaum, lalu tanpa ragu, dia menghayun tangannya ke belakang kepala Aina.
THUD!
Bunyi tengkorak menghentam lantai bergemadalam ruang tamu. Tubuh Aina terkulai, nafasnya berat sebelum senyap sepenuhnya.
Aku berdiri kaku, jantung berdegup tak terkawal. Bau debu rumah itu bercampur dengan peluh dingin di kulitku. Arif hanya memandang ke arah koridor, matanya tajam seperti pemangsa yang sudah kunci sasaran.
Arif berdiri tegak di tengah ruang tamu, dadanya turun naik, nafasnya berat. Dia sapu darah kering di buku lima tangannya, darah perempuan tadi.
Tanpa menoleh pada aku, dia mula melangkah, setiap langkahnya berderap tak... tak... tak... di atas lantai simen. Bau hapak rumah itu menusuk hidung, bercampur dengan aroma debu lama dan sisa masakan malam tadi.
Koridor sempit itu gelap. Hanya cahaya samar dari celah tingkap dapur menyinari laluan. Arif tolak pintu bilik perlahan, kreeeet... bunyinya menusuk telinga.
Di dalam, Ghea terbaring di atas katil bujang dengan selimut nipis menutupi tubuhnya. Nafasnya teratur. Rambutnya yang pendek berselerak di bantal. Tiada kesedaran bahawa bahaya sudah menapak di hadapannya.
Arif berdiri di hujung katil, merenung lama. Bibirnya meleret perlahan, membentuk senyum sinis yang memualkan.
"Jumpa pun," bisiknya, seakan bercakap dengan diri sendiri.
Dia melangkah perlahan ke sisi katil. Bunyi tilam kriuk halus kedengaran ketika dia meletakkan satu lutut di hujung katil, badannya condong ke arah Ghea. Tangan kasarnya terangkat sedikit, seolah mahu menyentuh wajah yang sedang lena itu.
Matanya bersinar penuh niat bukan niat baik. Arif tunduk sedikit, wajahnya cuma beberapa inci dari Ghea. Nafasnya berat, panas, dan berbau asap rokok serta keringat melewati kulit wajah Ghea yang lena tak sedar.
Tangannya menyentuh hujung bantal, jarinya menguis perlahan kain sarung bantal itu. Matanya tak berkelip memerhati dada Ghea yang naik turun.
"Aku rindukan kau, Ghea..." suaranya serak, rendah, tapi bergetar penuh nafsu dan dendam.
Kepalanya sedikit menunduk lagi, senyuman itu makin melebar. "Kau ingat tak... malam tu... masa aku dan geng aku... ramas setiap inci badan kau. Kau menjerit-jerit, meronta macam kucing kena siram air panas. Tapi aku..." dia tergelak kecil, "...aku rasa itu malam paling sedap dalam hidup aku."
Arif pejam mata sekejap, seolah mengulang semula visual di kepalanya. Tangan kirinya mengepal di paha, tubuhnya condong lebih dekat.
"Kau masa tu... bau peluh kau, bau takut kau... semua tu buat aku makin terangsang. Setiap jeritan kau... buat aku rasa aku raja. Sekarang..." dia pandang Ghea dari kepala hingga ke kaki, "kau terbaring depan aku macam lauk panas baru dihidang. Tinggal aku nak jamah saja."
Bibirnya menjilat perlahan sudut bibir sendiri, matanya masih terpaku ke arah tubuh Ghea yang tidak bergerak.
Arif condongkan tubuhnya sedikit, jemari tangan kanan menyentuh hujung cadar di sisi Ghea. Senyuman sinisnya semakin jelas.
"Seronoknya hidup Ezrik... dapat tidur dengan kau... sentuh kau... setiap malam. Dia tahu betapa bernilainya kau sebagai perempuan. Dia rasa dia yang menang." Arif menggeleng kecil sambil ketawa perlahan, nada suaranya berat dan penuh racun.
Matanya memandang wajah Ghea lama, seperti mahu ukir setiap garisnya ke dalam ingatan. "Aku sudah lama suka kau, Ghea... sejak zaman belajar dulu lagi. Tapi kau... kau tak pernah nampak aku. Tak pernah peduli aku wujud. Kau cuma pandang Ezrik. Budak kampung miskin tu yang entah apa istimewanya sampai buat kau tunduk."
Dia merenung ke arah Ghea dengan pandangan penuh benci bercampur ghairah. "Aku ini lebih bergaya, lebih berharta... tapi kau tetap pilih lelaki yang cuma tahu bercinta macam drama murahan. Entah apa yang dia ada sampai kau sanggup mati-matian dengan dia..."
Arif menghela nafas panjang, matanya mengecil. "Tapi hari ni, aku yang akan rasa apa yang dia selalu rasa..."
Arif berdiri kaku di sisi katil, matanya tak lepas dari tubuh Ghea yang masih lena. Nafasnya berombak, tapi bibirnya terus mengukir senyum kecil yang mengundang rasa tidak selesa kalau sesiapa nampak.
"Dulu... masa zaman belajar..." suaranya serak, seolah mengorek memori yang dah lama disimpan. "Ezrik selalu bawa kau masuk bilik... bilik yang aku pun duduk sekali. Dia fikir aku tidur... tapi hakikatnya aku cuma baring dengan mata separuh pejam."
Arif ketawa kecil, ketawa yang kosong tapi penuh racun. "Aku nampak semua... setiap kali dia duduk rapat dengan kau... peluk kau... cium kau... tangan dia merayap atas badan kau. Atas katil bujang itu... cuma beberapa langkah dari aku."
Dia menggeleng perlahan, menahan rasa geram yang makin mendesak. "Malam demi malam, aku pura-pura tidur... tapi hati aku panas. Aku geram... aku cemburu. Aku fikir, kenapa bukan aku yang dapat rasa semua tu? Kenapa kau pilih dia... bukan aku?"
Arif menarik nafas panjang, matanya semakin gelap. "Aku pendam... bertahun-tahun. Sampai malam itu... malam yang akhirnya aku dapat rasa kulit kau sendiri..."
Arif duduk perlahan di tepi katil, matanya meneliti wajah Ghea yang masih lena. Nafasnya turun naik, seakan cuba menahan sesuatu yang sudah lama terbuku. Tangannya terangkat... jari-jemarinya menyentuh perlahan hujung rambut Ghea, menyelak helaian yang menutupi pipinya.
"Hampir sama... macam dulu..." bisiknya, nada seolah bercakap dengan hantu masa lalu.
Jari Arif bergerak menuruni garis pipi Ghea, kemudian ke lehernya, perlahan seperti seekor ular yang menyusur mencari mangsa. Sentuhan itu bukan lembut ia memiliki getar niat yang kotor. Dia tunduk sedikit, menghirup bau kulit Ghea seolah mahu mengingatinya selamanya.
Tubuhnya condong lebih dekat, bibirnya singgah pada bahu Ghea, kemudian merayap ke arah tengkuk. Nafas panasnya jatuh di kulit Ghea, membuatkan helaian rambut di tepi telinga Ghea bergerak.
"Tak pernah berubah..." suaranya parau, hampir serak.
Tangan Arif mengusap sisi wajah Ghea, ibu jarinya menyentuh hujung dagu. Dia tunduk lagi, semakin dekat, dan bibirnya kini menyentuh bibir Ghea perlahan, penuh dengan rasa memiliki yang songsang.
Bibir Arif mula menekan lebih dalam pada bibir Ghea, bukan ciuman sayang, tapi rakus, gelojoh, seperti mahu menelan setiap hela nafas yang keluar dari gadis itu. Nafasnya berat, tangan menggenggam rahang Ghea agar tidak teralih.
"Arif! Berhenti!!" jeritan aku memecahkan udara tegang dalam bilik itu.
Arif berpaling sedikit, pandangannya penuh amarah. "Diam, Lily!" bentaknya, suaranya mengaum.
Aku berdiri di hujung katil, mata aku membulat, dada berombak laju melihat perbuatan keji abang aku itu. "Kau gila ke?! Dia tu dia tu...!" suara aku terputus-putus, antara takut, marah, dan jijik.
Arif bangun separuh, bibirnya masih terheret senyum sinis. "Apa? Baru sekarang kau nak jadi suci? Dulu masa kau rakam malam itu, kau tak jerit pun suruh aku berhenti."
Aku terdiam, rahangnya mengetap kuat. Nafas aku tercungap, tangan aku bergetar menahan marah dan rasa bersalah yang semakin menghimpit.
Ghea mula mengerang perlahan, tubuhnya bergerak sedikit petanda dia akan mula sedar.
Share this novel