Hujan renyai masih turun. Bau tanah basah menyelusup masuk ke rongga hidung, bercampur dengan bau rumput yang baru dipotong.
Derap tapak kaki aku dan Ghea menghanyut dalam lumpur yang melekit setiap kali langkah kami menembusi permukaan tanah perkuburan yang sunyi ini.
Tiga nisan berdiri sebaris di hadapan aku.
Nama-nama yang dulu menjadi seluruh hidup aku kini hanya terukir di batu sejuk, dengan huruf yang semakin pudar dimamah hujan dan masa.
Mak. Adik perempuan aku. Adik lelaki aku.
Aku tunduk, genggaman jari di dalam poket jaket terasa menggigil. Bukan kerana sejuk tapi kerana darah yang mula mendidih.
Arif.
Setiap kali aku pandang batu-batu nisan ini, wajah dia muncul. Api. Jeritan. Bunyi runtuhan bumbung. Bunyi tulang retak di bawah runtuhan kayu hangus.
Ghea berdiri di sebelah, memegang payung kecil yang tak mampu menahan keseluruhan tubuh kami daripada basah. Dia meletakkan bunga lily putih di atas kubur mak, kemudian memandang aku dengan mata yang berkaca.
"Rik..." suara dia perlahan, macam takut sentuh luka yang belum kering.
Aku lututkan tubuh, biar seluar aku tenggelam dalam lumpur. Tangan aku sentuh tanah di kubur mak. Sejuk. Lembut tapi di bawahnya, hanya tinggal tulang. Aku tarik nafas dalam-dalam, cuba tahan suara yang hampir pecah.
"Aku janji..." bisik aku, mata tak lepas dari batu nisan itu, "...mereka akan rasa sakit yang sama. Sakit terbakar. Sakit menggelupur cari nafas. Sama macam korang rasa malam tu."
Petir membelah langit. Ghea pegang bahu aku, seolah nak tarik aku balik ke dunia sekarang tapi aku masih terperangkap di malam kebakaran itu malam yang bunuh keluarga aku dan lahirkan sisi aku yang semua orang takut.
Aku bangun perlahan. Mata aku beralih dari satu nisan ke satu nisan, sampai habis. Lidah aku basah dengan rasa logam. Jantung aku berdetak berat dan di sebalik semua itu, cuma ada satu perkara dalam fikiran aku sekarang.
Ghea pandang lama pada tiga batu nisan itu, sebelum suara dia pecah dalam renyai hujan.
"Aku tak sempat pun... berkenalan dengan keluarga kau Ezrik."
Aku tunduk, genggaman tangan di poket terasa makin ketat. Ayat itu macam pisau menikam perlahan tapi dalam. Air mata aku jatuh, panasnya sekejap saja sebelum lebur dalam hujan yang membasahi pipi.
Aku tak sangka... mak aku pergi dengan cara macam itu. Bukan sekadar mati tapi dibakar hidup-hidup, bersama adik-adik aku, terkunci dalam rumah yang jadi neraka.
Aku masih boleh dengar suara mak, jeritan adik perempuan aku, tangisan adik lelaki aku... semua bercampur dengan bunyi api memakan dinding.
Lutut aku akhirnya jatuh ke tanah. Tangan aku sapu lumpur di batu nisan mak, macam nak buang habuk yang tak wujud. Suara aku bergetar.
"Mak... dia sudah mati. Arif sudah mati. Aku sudah buat dia rasa setiap seksaan yang dia bagi pada kita."
Petir menyambar sekali lagi, memecah kesunyian. Ghea rapatkan payung, berdiri lebih dekat. Dia tak kata apa-apa, cuma biar tangan dia singgah di belakang leher aku, mengusap perlahan.
Air mata aku terus jatuh. Bukan sebab lemah tapi sebab rasa kosong... bila dendam yang aku kejar bertahun-tahun akhirnya tamat, tapi orang yang aku nak peluk lepas semua ini... sudah tak ada.
Ghea tunduk sedikit, memandang aku yang masih berlutut di tanah basah.
"Rik... jom balik. Kau kena berehat," suaranya lembut tapi tegas, seakan tahu kalau dibiarkan, aku akan terus terpaku di sini sampai hujan berhenti.
Aku angkat kepala, pandang wajah dia di bawah payung. Ada lebam yang belum hilang di pipi dia, ada sembab di mata tapi dia tetap berdiri di sini, temani aku. Aku tarik nafas dalam-dalam, lepaskan perlahan.
"Ya... kita balik," aku jawab, suara serak. Tangan aku sentuh batu nisan mak sekali lagi, kemudian batu nisan adik-adik aku, sebelum bangun perlahan. Lumpur berat di seluar dan kasut langsung aku tak peduli.
Ghea pegang lengan aku, bawa aku keluar dari kawasan kubur. Setiap langkah menjauhkan kami dari tiga batu nisan itu, tapi rasa kehilangan masih sama. Di parkir kecil depan tanah perkuburan, dia bukakan pintu kereta.
"Lepas ini... kau cuma perlu rehat, Rik. Tak ada siapa sudah yang boleh kacau kita." Aku pandang dia lama. Dalam hati, aku harap kata-kata itu betul.
Enjin kereta hidup, bunyinya tenggelam dalam renyai hujan yang masih menitis di bumbung. Aku memandu keluar dari kawasan tanah perkuburan daerah Tanjung Malim, tayar memecah genangan air di jalan kampung yang sunyi.
Jarak ke Kuala Lumpur jauh lagi, tapi aku tahu aku kena sampai malam ini juga. Ghea tak boleh jatuh sakit kerana badan dia masih lemah dan aku tak sanggup tengok dia terbaring lagi.
Di sebelah, Ghea melepaskan selendang hitam nipis yang dia pakai sejak tadi. Dia letakkan di riba, rambut pendeknya sedikit basah, melekat di sisi pipi.
Tanpa bersuara, tangan dia bergerak ke arah aku jari-jarinya mendarat di paha aku, mengusap perlahan, gerakannya seolah nak tenangkan aku daripada semua beban yang masih bersisa di kepala.
Aku sempat toleh sebentar, senyum pada dia. Senyum yang cuma dia faham maksudnya. Dia balas dengan pandangan yang tak perlukan kata-kata.
Di luar, jalan licin berkilau di bawah cahaya lampu jalan yang jarang-jarang. Dalam kereta, cuma bunyi hujan dan enjin yang jadi latar, tapi rasa antara aku dan dia... cukup untuk buat perjalanan ini terasa lebih singkat.
Jalan makin lebar bila kami keluar dari simpang kecil menuju lebuh raya. Lampu jalan berselang-seli, memantulkan cahaya di cermin depan. Tangan Ghea masih di paha aku, gerakannya perlahan, seolah-olah tak mahu lepaskan.
"Lepas semua ini... kau nak buat apa, Rik?" soalnya perlahan, mata dia masih pandang ke luar tingkap.
Aku senyum nipis. "Bawa kau jauh dari sini. Tempat yang tak ada siapa kenal kita. Tempat kau boleh ketawa tanpa rasa takut."
Dia ketawa kecil, tapi aku tahu dalam senyuman itu ada sisa luka. "Kau fikir hidup kita boleh normal?"
Aku angkat sedikit kening, mata tak lepas dari jalan. "Normal itu tak wujud untuk orang macam kita, Ghea. Tapi... kita boleh cipta 'normal' versi kita sendiri."
Dia diam sekejap, kemudian tarik nafas dalam. "Asalkan kau ada sekali, aku tak kisah."
Aku sempat pandang dia, senyum lagi kali ini lebih lama. Dalam hati, aku tahu... walaupun semua darah dan api yang bawa kami ke sini, aku tak akan lepaskan dia.
Kereta terus meluncur, meninggalkan Tanjung Malim di belakang. Kuala Lumpur menunggu di hadapan, tapi aku tahu, perjalanan kami sebenar baru sahaja bermula.
Aku hela nafas perlahan, tangan kanan masih di stereng, tapi mata sempat singgah pada wajah dia.
"Aku rindukan kau sangat, Ghea..." suara aku serak, tapi setiap patah datang terus dari dada.
"Empat bulan... sejak kejadian itu, aku jaga kau, tunggu kau buka mata. Setiap hari aku takut hilang kau lagi."
Ghea senyum nipis, jemarinya masih mengusap paha aku lembut. "Aku sudah sihat, Rik. Kau tak perlu risau macam dulu."
Aku geleng perlahan. "Bukan pasal risau saja... aku betul-betul cintakan kau, Ghea. Dari dulu sampai sekarang. Aku tak akan tinggalkan kau. Tak kira apa jadi lepas ini, kau tetap milik aku."
Dia pandang aku lama, mata dia berkilat dalam samar cahaya lampu jalan. Senyum dia kali ini lebih hangat, seakan percaya setiap janji yang keluar dari mulut aku.
Aku balas senyum itu, sebelum fokus semula ke jalan tapi genggaman tangannya di paha aku terasa lebih erat, seolah mengikat aku pada dia.
Ghea tiba-tiba bersandar sedikit ke kerusi, pandangan dia masih ke luar tingkap yang dibasahi hujan.
"Tiba-tiba... aku teringin nak makan sushi," katanya, nada suara lembut tapi penuh maksud manja.
Aku gelak kecil, tak sangka dia boleh keluarkan permintaan macam tu di tengah perjalanan yang baru lepas bab berdarah.
"Sushi, ya?" aku toleh dia sekejap, senyum di hujung bibir. "Nanti kita sampai KL, aku belanja kau. Kau boleh pilih makanan apa saja yang kau nak."
Dia senyum puas hati, jemari masih di paha aku tapi kali ini dia tekan sedikit macam nak ucap terima kasih tanpa kata.
"Deal," jawabnya ringkas.
Aku geleng sambil ketawa kecil lagi, tapi dalam hati... aku suka tengok dia macam ini. Tenang, lapar dan bukan lagi wajah pucat yang aku jaga di katil empat bulan lepas.
Perjalanan di lebuh raya mula terasa lebih santai bila hujan semakin reda, cuma tinggal titisan kecil yang sesekali jatuh di cermin depan.
Ghea duduk bersandar, tapi tangan dia masih tak lepaskan paha aku. Jari-jarinya buat gerakan perlahan yang tak menentu, macam sengaja nak ganggu fokus aku.
Aku sempat jeling, senyum separuh. "Jari kau ini memang tak reti duduk diam, ya?"
Dia ketawa kecil, mata masih pandang ke depan. "Apa? Aku cuma nak pastikan kau tak penat memandu."
Aku sengih. "Dengan cara macam ni? Nanti aku yang tak tahan, kita tak sampai KL."
Ghea pandang aku sekejap, senyum nakal di hujung bibir. "Kalau tak tahan... berhentilah tepi jalan." Nada suara dia sengaja dibiarkan rendah, buat aku tergelak sambil geleng kepala.
"Ghea Edriana... kau memang tak pernah berubah. Mulut masih bahaya," aku balas, tapi tangan kiri sempat mencari tangan dia dan genggam kuat. "Tapi... mulut bahaya inilah yang aku rindu setiap malam."
Dia senyum puas hati, memusingkan badan sedikit supaya menghadap aku. "Kau tahu tak, Ezrik? Aku jatuh cinta dengan kau bukan sebab kau baik. Sebab kau gila. Gila cintakan aku sampai sanggup buat apa saja."
Aku gelak kecil, tapi mata aku tetap fokus pada jalan. "Kalau itu yang buat kau stay, aku akan terus gila. Aku akan terus jadi lelaki yang semua orang takut... asalkan kau peluk aku bila kita berdua."
Dia ketawa kecil, tapi aku tahu kata-kata aku mengena. Tangan dia naik ke bahu aku, mengusap perlahan.
"Aku sayang kau, Rik. Dari dulu sampai sekarang. Cuma... jangan pernah bosan dengan Ghea Edriana."
Aku pandang dia sekejap, mata bertembung. "Bosan? Perempuan yang buat aku rasa hidup lepas semua darah dan api itu... aku nak bosan macam mana? Lagi seratus tahun pun aku tetap nak kau."
Ghea tersipu sedikit, tapi masih sempat balas dengan nada menggoda. "Hati-hati, nanti aku tuntut janji itu setiap malam."
Aku ketawa, sengih lebar. "Aku tunggu dan aku janji, aku akan bayar dengan bunga, makan malam... dan cara lain yang buat kau tak boleh bangun esok pagi."
Dia tepuk paha aku perlahan sambil ketawa. Dalam kereta, suasana jadi ringan, tapi aku tahu di balik gurauan nakal ini, ada rasa cinta yang tak akan luntur.
Share this novel