3 Bulan kemudian.
Rumah banglo Encik Ghazali hari ini macam pesta. Kereta berderet sampai luar pagar automatik. Bunyi enjin, hon kecil, orang bagi salam semua bercampur dengan bau bunga segar yang memenuhi ruang.
Aku berdiri di ruang tamu. Baju Melayu putih lengkap samping tenun. Kancing baju kemas, tapi tangan berpeluh. Nafas aku pendek-pendek. Macam nak pergi berperang.
Semua ini aku urus sendiri. Dari katering, pelamin, khemah, sampai bunga tangan Ghea. Satu sen pun aku tak sentuh duit bakal papa mertua.
Bukan sebab tak mampu tapi sebab aku nak semua orang tahu yang aku kahwin dengan Ghea atas kaki aku sendiri.
Tok kadi duduk di hujung meja panjang. Kitab nikah di depan, pen dan borang disusun rapi.
Beberapa lelaki tua duduk di sekelilingnya, ada yang aku kenal sebagai pakcik saudara Ghea, ada yang aku tak pernah jumpa langsung. Semua mata tengok aku.
Ishraf tiba-tiba muncul di sebelah. Baju Melayu dia biru gelap. Senyum menyengih.
"Rik... kau berpeluh ini sebab nervous ke... atau sebab takut Ghea tukar fikiran last minute?" dia bisik sambil sengaja tepuk bahu aku.
Aku jeling dia. "Kau jangan start."
Belum sempat aku tolak dia jauh, Azfar pula datang dari belakang. Suara dia rendah tapi cukup untuk aku dengar.
"Kalau tangan kau sejuk macam ini masa nak lafaz... confirm kau tergagap." Dia ketawa kecil, sengaja.
Aku tarik nafas panjang. "Kalau aku tergagap, kau berdua yang aku kahwinkan terus dengan Ghea."
Mereka berdua gelak macam sial. Ishraf siap bagi high five dengan Azfar. Aku cuba fokus. Bunyi bacaan doa mula kedengaran dari ruang depan. Aroma wangi gaharu dari diffuser bercampur bau nasi minyak yang sudah siap dihidangkan di luar khemah. Telinga aku menangkap suara orang berbual, bergelak tawa, bunyi kerusi kayu digeser.
Tapi hati aku... cuma tunggu satu suara. Satu langkah. Ghea belum turun.
Aku pandang ke arah tangga besar di ruang tengah. Karpet merah terbentang sampai ke bawah. Di atas, kosong.
Senyap.
Tok kadi memanggil aku untuk duduk di hadapan. Aku melangkah perlahan. Rasa macam ada seribu mata ikut setiap gerak aku.
Azfar dari jauh buat muka "good luck" sambil angkat kening. Ishraf pura-pura angkat kamera, konon nak ambil gambar, tapi aku tahu dia nak rakam kalau aku buat silap.
Aku duduk di hadapan tok kadi. Tangan diletakkan atas paha, cuba stabilkan nafas. Berhadapan dengan lelaki yang akan menentukan satu lafaz aku... mengikat Ghea pada aku selamanya.
Dan kali ini... tak ada siapa yang akan halang. Tok kadi betulkan songkoknya, pandang sekeliling.
"Mana pengantin perempuan?"
Semua kepala berpaling ke arah tangga. Kosong. Encik Ghazali yang duduk tak jauh dari tok kadi tarik nafas, suara dia selamba.
"Anak saya malu."
Ada yang ketawa kecil. Tok kadi angkat kening, senyum nipis. "Malu? Nak kahwin ke tak ni?"
Beberapa orang tetamu lelaki sudah mula senyum-senyum, ada yang berbisik sesama sendiri.
Aku sengih. "Nak, tok. Sangat nak."
Nada aku rendah, tapi cukup kuat untuk semua orang dengar. Tok kadi angguk kecil sambil selak borang.
"Haa... nanti pastikan dia turun, ya. Takut-takut nanti saya akad dengan awak sorang-sorang."
Ishraf yang duduk di belakang aku tiba-tiba mencuit bahu, bisik, "Kalau jadi macam itu, senang kerja kau, Rik. Nikah sorang."
Aku jeling dia separuh maut. Azfar pula sengaja tahan gelak sampai bahu dia terhenjut-henjut.
Aku kembali pandang ke tangga. Kosong lagi tapi dalam hati... aku tahu, sebaik saja dia muncul, semua mata yang ada dalam banglo ini tak akan lepas pandang.
Bunyi tapak kaki mula kedengaran dari atas.
Perlahan. Teratur. Semua kepala di ruang tamu berpaling. Termasuk aku. Dan... di situ dia.
Ghea Edriana.
Dress putih labuh membalut tubuhnya, kain satin berkilat bila terkena cahaya chandelier. Lace halus di pergelangan tangan dan keliling leher. Bunga kecil putih terselit di sisi tudung bawal yang membingkai wajah dia.
Tudung.
Pertama kali aku nampak Ghea bertudung.
Bawal putih, lembut jatuh ke bahu, tapi cukup untuk buat dia nampak... lain.
Bukan Ghea tomboy yang aku kenal. Bukan Ghea dengan t-shirt baggy dan seluar pendek. Ini Ghea yang... buat aku hilang nafas sekejap.
Dia melangkah turun, mata sesekali memandang ke arah aku. Senyum kecil terbit di hujung bibirnya.
Aku kaku.
Lupa nak bernafas. Lupa semua orang yang ada.
"Oi..." suara Azfar di sebelah, separuh bisik. "Kau jangan pengsan pulak, Rik."
Ishraf pula sengaja tambah minyak. "Kau itu kaku macam patung pameran."
Aku tak layan. Mata aku cuma ikut setiap langkah dia. Satu. Demi. Satu. Macam kalau aku lepaskan pandang... dia akan hilang.
Dan bila dia sampai di anak tangga terakhir, dunia rasa senyap. Hanya ada aku dan dia.
Ghea melangkah perlahan menuju ke pelamin mini mewah yang dihias di sudut ruang tamu. Bunga lily putih dan baby's breath memenuhi meja kecil di sisinya, wangi lembut bergaul dengan bau gaharu dari diffuser.
Dia duduk sopan. Tangan halusnya bertaut di riba. Mata tertunduk, tapi sekali-sekala aku nampak dia curi pandang ke arah aku.
Tok kadi mula buka kitab, suara dia tenang, penuh adat. Aku cuba fokus. Cuba dengar setiap patah perkataan.
Tapi pandangan aku asyik melayang ke arah sebelah. Ke arah Ghea. Dress putihnya jatuh kemas, tudung bawal itu jatuh lembut di bahu, cahaya lampu memantul di pipinya yang licin.
"Ezrik." Aku tersentak. Tok kadi memanggil nama aku.
Ishraf di belakang menahan tawa. Azfar pula sengaja berdehem kuat. Aku tegakkan badan, cuba kembalikan fokus.
"Ya, tok."
Tok kadi sambung penerangan tentang akad, tentang lafaz. Aku angguk, cuba tampak tenang tapi ekor mata aku tetap curi pandang ke arah Ghea.
Dia senyum kecil dan aku tahu senyum itu akan jadi milik aku sepenuhnya... selepas satu lafaz nanti.
Tok kadi sudah siap sedia. Dokumen nikah dibuka. Pen diselit di celah helaian. Semua tetamu lelaki bergerak rapat, membentuk bulatan kecil.
Encik Ghazali duduk di hadapan aku, di sebelah tok kadi. Baju Melayu hitam mewah berkilat, samping songket perak, wajahnya serius tapi ada tenang di situ. Tangan kiri dia pegang borang nikah, tangan kanan siap sedia untuk berjabat dengan aku.
Meja di hadapan kami dilapik kain putih berkedut rapi. Di atasnya, kotak mas kahwin warna perak dengan reben putih. RM11,000 tunai, wang kertas baru tersusun kemas, diikat dengan pita emas. Bau duit itu bercampur dengan bau bunga segar di dalam bilik berhawa dingin.
Majlis ini... sederhana tapi kemas. Karpet baldu putih di lantai. Dinding ruang tamu dihias panel kayu gelap, diselit bunga lily putih di dalam pasu kristal. Lampu chandelier memantulkan cahaya lembut ke wajah semua orang.
Tak ada muzik kuat. Tak ada hiasan berlebihan. Hanya bunyi pendingin hawa dan nafas orang menunggu.
Tok kadi memberi isyarat. Aku menghulurkan tangan, bersalam dengan Encik Ghazali.
Pegangan dia kemas. Berat. Ada makna.
"Aku nikahkan dikau, Muhd Ezrik bin Muhd Aslan" suaranya tegas, lancar, tanpa getar, "...dengan anak perempuan aku, Ghea Edriana binti Ghazali, dengan mas kahwin RM11,000 tunai."
Nafas aku dalam. "Aku terima nikahnya Ghea Edriana binti Ghazali dengan mas kahwin RM11,000 tunai.."
Lafaz itu keluar sekali, tepat, tanpa tersangkut. Ada yang berdehem lega. Ada yang berbisik, "Alhamdulillah, sah."
Tok kadi senyum kecil, mengesahkan.
Aku lepaskan tangan Encik Ghazali perlahan. Dalam hati... satu rasa berat tercabut. Bukan sebab lega, tapi sebab kini Ghea sah menjadi milik aku, di atas kertas, di mata manusia... dan di dalam genggaman aku.
Tok kadi memandang aku. "Kita teruskan dengan doa."
Semua yang duduk mula tunduk. Bacaan doa bergema perlahan dalam ruang tamu yang sejuk beraircond. Suara tok kadi tenang, beralun, bercampur dengan bau gaharu yang semakin lembut di udara. Aku mengangkat tangan, mata separuh terpejam.
Tapi aku tak betul-betul pejam. Ekor mata aku mencuri pandang. Ghea duduk di pelamin mini, tangan terletak manis di riba. Tudung bawalnya jatuh kemas ke bahu. Dress putih mewah itu memantulkan cahaya lampu, buat kulitnya kelihatan lebih cerah.
Dia cuba tunduk, pura-pura khusyuk mendengar doa tapi aku nampak hujung bibirnya terangkat.
Sengih.
Sengih yang dia cuba sorok.
Doa tamat, semua mengaminkan. Tok kadi teruskan dengan bacaan taklik, suara jelas dan tegas. Aku jawab setiap lafaz dengan nada yakin. Selesai. Aku berpaling sepenuhnya ke arah dia.
Dia balas pandang dan kali ini, sengihnya tak lagi cuba disorok. Senyum lebar, mata bercahaya.
Aku senyum balik. Bukan senyum manis. Senyum lelaki yang baru sahaja mengikat miliknya, secara sah... untuk seumur hidup.
Aku masih berdiri di tempat duduk pengantin lelaki, tapi mata tak lepas dari Ghea. Dia senyum... lagi. Macam budak dapat aiskrim percuma.
Encik Ghazali bangun, berjalan perlahan ke arah pelamin mini tempat Ghea duduk. Dia berdiri di sebelah anaknya, tangan diseluk dalam poket baju Melayu hitam.
"Dari tadi sengih aje tengok suami kau tu..." suaranya kuat cukup untuk beberapa tetamu berdekatan dengar.
Ghea tersentak kecil, tapi sengih itu tak hilang. Malah makin lebar. "Eh, Papa..." dia tarik nada manja, cuba alih pandang tapi mata dia tetap kembali ke aku.
"Aku rasa orang semua sudah tahu kau gila sangat dekat dia," Encik Ghazali sambung, senyum separuh mengusik, separuh bangga.
Beberapa orang tetamu gelak kecil. Ghea cuma tunduk, tapi bahu dia terhenjut-henjut menahan tawa.
Aku berdiri tegak, senyum nipis sambil tangkap setiap reaksi itu. Senyum dia, cara dia malu-malu... semuanya milik aku sekarang.
Tetamu perempuan sudah mula ambil posisi di bahagian depan pelamin mini. Bunga-bunga di kiri kanan kerusi pelamin memancarkan bau segar, bercampur dengan aroma nasi minyak dari luar khemah.
Tok kadi memberi isyarat. "Ada acara sarung cincin, ya."
Aku melangkah ke arah Ghea. Dia duduk di kerusi pelamin, dress putih itu jatuh mengalir di lantai, tudung bawalnya kemas di bawah dagu. Mata dia memandang aku... dan sengih itu muncul lagi.
Aku duduk di sebelahnya. Seseorang hulurkan kotak baldu hitam. Aku buka perlahan. Cincin emas putih, reka bentuk halus, berkilau kena cahaya chandelier.
Aku capai tangannya. Sejuk. Halus. Aku genggam sebentar sebelum sarungkan cincin di jari manisnya. Dia tunduk sedikit, pipinya merah.
"Cantik," aku bisik, cukup perlahan supaya hanya dia yang dengar.
"Cincin atau aku?" dia balas, mata naik ke mata aku.
"Kedua-duanya... tapi satu sudah jadi milik aku, satu lagi aku sudah kunci," aku jawab tanpa senyum.
Dia tersengih, cuba tahan tawa. Flash kamera meletup di depan kami. Suara jurugambar minta kami pandang ke kamera, tapi mata aku tetap kembali ke dia.
Ghea mengangkat tangan, memandang cincin itu. "Aku suka..."
"Aku lebih suka bila orang nampak itu tanda kau sudah ada tuan," aku balas perlahan.
Aku masih renung cincin di jarinya bila tiba-tiba... Dia berdiri. Langkah dia ke arah aku pantas dan sebelum aku sempat tanya apa-apa...
"AKU DAH JADI ISTERI EZZRIIIKKKK!!!"
Jeritan dia bergema dalam ruang tamu banglo.
Tetamu perempuan menjerit kecil terkejut, yang lelaki ada yang tergelak besar.
Ghea terus memeluk aku depan semua orang.
Kuat. Macam peluk itu nak masuk rekod dunia. Terlalu kuat dan erat!
Bau wangi tudung dia terus masuk ke hidung aku. Tangan dia kejap di belakang aku, macam lupa yang depan kami ini ada tok kadi, saudara-mara, jiran-jiran...
Aku kaku. Badan aku panas. Muka aku pastilah merah gila. Azfar dari tepi dah gelak terbahak-bahak. Ishraf siap keluarkan telefon, rakam terus tanpa segan.
Aku tunduk sikit, bisik di telinga dia, "Kau memang tak tahu malu, kan?"
Dia ketawa dalam pelukan, suara dia rendah tapi cukup untuk buat jantung aku laju. "Biar semua orang tahu kau milik aku jugak."
Share this novel