Bab 74

Thriller Series 1870

Lily Amanda

"Aku cakap ambik gambar dia sekarang!" Suara Arif meletup dalam kereta, buat jantung aku berdegup laju.

Aku geleng kepala, cuba berundur sedikit ke tepi. "Tak nak... aku tak nak, Arif."

Seketika, bunyi brek mengejut bergeser di telingaku. Kereta berhenti mendadak di tepi jalan gelap. Arif toleh tepat ke arah aku, matanya merah menyala. Nafasnya kasar.

"Lily!" Dia mengaum sambil menghentak stereng. "Kau fikir aku main-main?!"

Aku terdiam. Di seat belakang, Ghea terkulai, kepala tersandar pada cermin tingkap, rambutnya kusut, bibir pecah berdarah. Dia nampak... mati tapi dada itu masih turun naik perlahan.

Arif menghulur telefonnya pada aku, kasar. "Ambil. Tangkap gambar dia. Hantar kat Ezrik. Sekarang."

Aku masih tak bergerak. Tangan aku bergetar. "Kalau Ezrik tahu..."

"Biar dia tahu. Biar dia rasa apa aku rasa," Arif memotong, nadanya dingin tapi beracun. Dia mencengkam pergelangan tangan aku, kuku menekan kulit. "Kalau kau tak buat, aku sumpah aku sendiri akan patahkan jari-jari kau ni."

Aku terpaksa capai telefon itu. Cahaya skrin memantul di wajah pucat Ghea. Aku arahkan kamera. Tangan aku menggigil teruk, tapi aku tekan juga shutter.

KLIK!

"Sekarang send."

"Aku... aku tak nak..."

PAKKK!!!

Tamparan hinggap di pipi aku, bunyinya pakk! dalam ruang sempit kereta. Air mata aku mengalir tanpa aku sedar.

"Aku cakap SEND!" Arif menekan.

Dengan jari yang menggigil, aku hantar gambar itu ke nombor Ezrik. Hantar tanpa kapsyen, tanpa kata.

Arif tersenyum nipis. "Bagus... sekarang duduk diam. Perjalanan kita baru nak mula."

Aku peluk tubuh sendiri, memandang ke luar tingkap. Ghea masih di belakang, tidak bergerak. Aku cuba yakinkan diri yang aku hanya ikut arahan tapi dalam hati... ada satu rasa puas yang aku cuba sorok.

Belum sempat aku menarik nafas lega selepas menghantar gambar itu, telefon aku tiba-tiba bergetar. Nama Ezrik Aslan tertera di skrin.

Jantung aku hampir berhenti.

Aku baru nak tekan jawab bila Arif, sepantas kilat, merentap telefon dari tangan aku. Dia menjawab panggilan itu sambil tersenyum sinis.

"Ezrik..." suara Arif rendah, tapi sarat dengan nada mengejek.

"Ke mana kau bawa Ghea?!" Suara Ezrik meledak dari speaker, penuh marah dan cemas. Aku dapat bayangkan wajahnya yang merah, rahangnya mengetap.

Arif ketawa kecil, menjeling aku yang terkaku di seat penumpang. "Kau nak dia? Kau nak Ghea hidup? Lepaskan Paan, Aiman, dan Acap dulu."

"Babi kau, Arif! Jangan main-main dengan aku!" Ezrik menjerit. Nafasnya kedengaran berat, seperti dia cuba menahan diri daripada meletup.

Arif menyandar, ketawanya semakin kuat. "Kalau kau tak ikut cakap aku... aku bunuh dia. Bila-bila masa aku rasa nak dan kau tak akan jumpa mayatnya."

Tangan aku menggenggam hujung skirt sendiri, kuku hampir menembusi kulit. Aku rasa kepala aku berpusing. Paranoid, takut tapi aku tak mampu buka mulut.

"Arif!" Ezrik menengking lagi. "Kalau kau sentuh dia, aku sumpah aku akan..."

"Aku? Sentuh dia?" Arif sengaja meleretkan nada, seakan menikmati kemarahan Ezrik. "Kau lambat buat keputusan... sayang kau mati."

Bunyi beep memutuskan talian. Arif ketawa psiko, bunyinya bergema dalam ruang kereta.

"Permainan sudah bermula..." katanya sambil memandang jalan gelap di hadapan.

Aku hanya memandang ke luar tingkap, cuba bernafas perlahan tapi setiap kali aku pejam mata, aku terbayang wajah Ezrik... dan Ghea yang tak berdaya di seat belakang.

Telefon Arif berbunyi sekali lagi, tapi kali ini nada notifikasi WhatsApp. Dia menjeling skrin, kemudian menghulurkan telefon itu padaku.

"Baca kuat-kuat," arah Arif, suaranya berat dan tak memberi ruang untuk bantahan.

Tangan aku menggigil. Aku tarik nafas dalam-dalam sebelum membuka mesej itu. Nama Ezrik Aslan terpampang, mesejnya pendek tapi membuat jantung aku seperti terjatuh ke dalam perut.

"Bangunan flat usang tempat korang rogol Ghea dulu, Paan, Aiman, Acap ada dalam tu."

Aku telan liur, suara aku serak bila menyebutnya. "Bangunan flat usang tempat.. Ghea dulu, Paan, Aiman, Acap... ada dalam tu."

Arif ketawa kecil, penuh sinis. "Wow... rupanya di situ dia simpan budak-budak tu. Pandai kau, Ezrik..."

Aku rasa perut aku memulas. "Arif... kita tak patut buat macam ini. Aku... aku takut..."

"Diam!" jerit Arif sambil menoleh tajam ke arahku. "Jangan jadi lembik, Lily! Semua ni untuk kau juga. Kau nak dia kan? Jadi jangan mengada-ngada!"

Aku tunduk, bibir aku bergetar. Di belakang, Ghea masih tak sedarkan diri. Nafasnya perlahan... dan aku cuba alihkan pandangan sebab rasa bersalah makin menghimpit dada.

Arif masih memandang ke hadapan sambil memulas stereng, tapi tawa dia pecah kasar, panjang, dan penuh kepuasan.

"Hahaha... tak sangka... tak sangka langsung, Lily!" Dia ketuk stereng kuat-kuat sampai aku terperanjat. "Dia sembunyikan budak-budak tu kat tempat kita... rogol Ghea dulu. Tempat yang sama! Hahaha... Ezrik, kau memang celaka tapi bodoh!"

Aku rasa perut aku melilit. "Arif... tolonglah... jangan buat macam ni... aku takut. Ezrik tu... dia gila, Arif. Kalau dia tahu kita..."

Arif memotong, matanya membulat dengan api. "Biarlah dia gila! Aku lagi gila! Aku tak takut langsung dengan dia, Lily. Dia fikir dia boleh simpan Ghea? Dia fikir dia boleh malukan kita? Hah! Tengoklah nanti..."

Tangan aku menggigil, mata aku tak lepas dari Ghea di kerusi belakang yang masih terkulai. Nafasnya pendek. Sesekali tubuhnya bergerak kecil, mungkin kesakitan. Jantung aku berdegup kencang, tapi Arif terus memecut, ketawanya bergema dalam kereta yang semakin laju.

Kereta itu meluncur laju meninggalkan lampu-lampu bandar, masuk ke jalan sunyi yang hanya disinari cahaya malap dari tiang lampu jarak-jarak. Hutan kiri kanan menambah rasa sejuk yang merayap di tulang belakang aku.

"Aku tak nak ikut, Arif! Aku tak nak terlibat! Hentikan kereta ni!" aku menjerit sambil cuba tarik tombol pintu.

Sekelip mata, tangan Arif mencengkam rambut aku kuat-kuat. "Duduk diam, Lily!" Dia tarik kepala aku ke belakang sampai kulit kepala rasa macam nak terkoyak. Nafas dia panas di telinga aku. "Kau adik aku. Kau ikut je. Kalau kau cuba cabut, aku patahkan leher kau kat sini!"

Aku menangis sambil memegang pergelangan tangannya, cuba lepaskan cengkaman. "Arif... Ezrik itu bukan macam orang lain... dia... dia..."

"Dia apa? Dia lelaki. Sama saja dan malam ini, aku akan tunjuk pada dia siapa yang patut takut siapa," Arif menyeringai sambil kembali fokus memandu.

Bunyi enjin meraung bila dia tekan minyak. Kereta terus membelah gelap, menuju ke arah luar bandar. Dalam hati aku, rasa macam sedang duduk dalam perjalanan ke neraka.

***

Matahari terik memantul pada bonet kereta bila Arif membelok masuk ke lorong sempit yang berdebu. Lorong itu dihimpit dinding-dinding lusuh penuh lumut, bau hapak dan besi karat menusuk hidung.

Kereta meluncur perlahan, tayar melanggar batu-batu kecil, bunyi krek...krek... memecahkan keheningan siang. Di hujung lorong, bangunan usang tiga tingkat itu muncul yang catnya mengelupas, tingkapnya kosong tanpa kaca, seperti mata mati yang memandang tepat ke arah kami.

Jantung aku terus menghentak dada bila ternampak satu susuk tubuh berdiri tegak di hadapan pintu besar yang ternganga. Ezrik.
Dia berdiri kaku, bahunya tegang, kedua-dua tangan di sisi, jari-jari menggenggam seolah sedang menahan diri daripada meledak. Wajahnya redup tapi matanya... tajam, menikam.

"Arif... aku tak nak keluar... dia tengok kita, Arif... dia tahu..." suara aku bergetar, telapak tangan berpeluh.

Arif hanya sengih sinis. "Baguslah. Biar dia tengok. Biar dia tahu aku sudah sampai." Dia matikan enjin kereta, pandangan langsung tak lari daripada lelaki yang berdiri di depan itu.

Aku rasa kaki aku membeku. Ezrik tidak bergerak, hanya memerhati kereta kami seolah menunggu saat sesuai untuk menerkam. Bayang-bayang dari cahaya siang membentuk garis keras di wajahnya, garisan yang menandakan ini bukan pertemuan biasa.

Lorong sempit itu terasa makin panas bila Arif tolak pintu kereta dan keluar dengan langkah santai, gelakannya bergaung melawan dinding lusuh.

"Hai... kawan baik," ucapnya dengan nada sinis, sengaja memanjangkan perkataan seolah-olah mahu menyakiti telinga Ezrik.

Aku hanya ikut keluar, tapi refleks menyorok di belakang badan Arif. Nafas aku kencang, mata hanya berani melirik ke arah Ezrik yang berdiri tegap beberapa meter dari kami. Bahunya masih tegang, rahangnya mengeras.

"Mana Ghea?" suara Ezrik pecah, garau, dan penuh amarah yang tertahan.

Arif sengih, jari telunjuknya menuding ke arah kereta. "Ada dalam tu... Tapi..." dia berhenti sebentar, mencondongkan badan ke depan. "Kau lepaskan dulu Paan, Aiman, sama Acap. Baru aku bagi kau dia."

"Aku lepaskan?" suara Ezrik meninggi. "Kau ingat aku tak tahu semua ini dalang kau, Arif?!" Nafasnya berat, setiap perkataan seperti mahu dipaku ke tengkorak Arif.

Arif ketawa kasar, menepuk-nepuk dadanya sendiri. "Bodoh... dari dulu kau memang bodoh, Ezrik. Senang sangat dimain."

Kedua-duanya kini berdiri berhadapan tegang, seperti satu percikan saja mampu menyala jadi letupan. Aku di belakang Arif, menggenggam bajunya erat, cuba menahan rasa takut yang semakin menghimpit dada.

Ezrik langkah setapak ke depan, nada suaranya bergetar tapi setiap perkataan keluar macam tembakan tepat ke dada.

"Semuanya... semua ni jadi sebab kau, Arif! Sebab kau dan geng jahanam kau!" Nafasnya deras, urat di leher tegang. "Kau fikir aku akan lepaskan mereka bertiga tu? Gila kau!"

Dia tunjuk jari lurus ke arah aku yang masih cuba bersembunyi di belakang Arif. Pandangan matanya menikam, menusuk sampai aku rasa jantung terhenti sekejap.

"Dan kau..." Ezrik mendengus kuat, hampir meludah namaku. "Muka kau mungkin nampak baik tapi perangai? Perangai kau tak ubah macam syaitan! Perempuan pengkhianat yang sanggup pijak kawan sendiri!"

Darah aku naik ke muka, tapi bukan sebab marah sebab takut. Kata-kata dia seolah-olah merobek segala topeng yang aku pernah cuba tunjuk. Jari aku yang menggenggam baju Arif menggeletar, rasa nak lari tapi kaki macam terpasung.

Arif ketawa kecil di sebelah, seolah-olah dia seronok tengok Ezrik semakin hilang kawalan. Ezrik pula berdiri tegak, dada naik turun laju, pandangannya macam binatang liar yang hanya tunggu masa untuk menerkam.

"Ezrik. Tunjuk dulu tempat kau sembunyikan mereka bertiga," suara Arif berat, nada mengarah macam dia pasti akan menang. "Lepas itu... baru aku lepaskan Ghea."

Ezrik berdiri kaku sekejap. Nafasnya turun naik, matanya tepat menikam Arif tapi akhirnya dia berpaling, melangkah masuk ke dalam bangunan usang ini. Langkahnya berat, tapi jelas dia tiada pilihan.

Aku ikut di belakang Arif. Jarak antara aku dengan Ezrik cuma beberapa meter, tapi rasa macam beribu batu. Tapak kaki kami bergema di ruang lantai simen yang sejuk. Dinding retak, bau hapak bercampur bau besi berkarat menghantui hidung aku.

Dari ekor mata, aku nampak Arif seluk tangan ke belakang. Dia keluarkan sesuatu. Bila aku perhati betul-betul... jantung aku terus jatuh. Pisau lipat. Mata besinya berkilat kena cahaya dari lampu telefon.

Gigil aku datang spontan. Telapak tangan basah, perut rasa berpintal. "Arif..." aku cuba bisik, suara aku hampir tak keluar. Dia tak jawab. Matanya cuma fokus pada belakang Ezrik, macam dah ada rancangan sendiri.

Langkah kami makin perlahan bila naik anak tangga sempit itu. Bunyi tapak kasut Ezrik di hadapan makin berat... dan aku sedar, aku sedang mengekori dua orang lelaki yang sanggup bunuh bila-bila masa dan aku? Terperangkap di tengah-tengah.

Anak tangga menuju ke tingkat dua berkeriut setiap kali dipijak. Debu berterbangan setiap langkah, menusuk hidung aku. Tangan aku refleks pegang dinding, tapi dinding tu sejuk, lembap... macam pegang kulit yang sudah mati.

Ezrik sampai dulu di atas. Dia berhenti sekejap, toleh belakang, matanya menangkap aku. Pandangan dia bukan macam biasa, bukan sekadar marah... tapi penuh benci.

Aku tersentap, terus tunduk.

Arif menolak belakang bahu aku kuat, suruh aku terus jalan. Dia masih genggam pisau tu, mata besinya terhunus. Aku rasa kaki aku kaku. Dalam kepala, terbayang semua kemungkinan kalau Arif tikam Ezrik, kalau Ezrik balas, kalau aku kena sekali?

Bau hapak makin kuat. Tingkat dua ini lebih gelap, cuma cahaya dari lampu telefon Ezrik yang jadi panduan. Aku nampak pintu kayu reput terbuka luas, dan di dalamnya... samar-samar ada tiga bentuk manusia terikat di kerusi besi.

Paan. Aiman. Acap.

Mereka tunduk, kepala jatuh ke dada, nafas berat. Badan penuh lebam. Suara rantai besi bergeser bila salah seorang cuba angkat kepala, tapi terkulai semula.

Ezrik berdiri di tepi pintu, tangan bersilang. "Tu... tempat kau 'sahabat baik' kena simpan," katanya sinis.

Aku tengok Arif senyum nipis. Senyuman yang aku kenal senyuman sebelum dia buat sesuatu yang tak akan ada jalan undur. Dan aku tahu, dalam beberapa saat lagi... sesuatu yang sangat buruk akan berlaku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience