Bab 14

Drama Completed 204768

Hati berbunga-bunga dan seakan terasa rama-rama terbang didalam perut, Izz Aydin tersenyum-senyum melihat diluar tingkap kereta. Sudah cuba dikawal bibirnya itu agar tidak terlalu menampakkan dirinya seperti perempuan hilang akal tetapi tak boleh!!

Pintu kereta dibuka disebelah pemandu dan wajah Rafael mengisi segenap ruang matanya.

"Nah, nanti sapu lagi ubat kat luka awak tu. Ubat ni cepat sikit sembuhkan luka dan lebam." Kata Rafael sambil menghulurkan sekotak ubat sapuan yang baru dibelinya dari farmasi.

Izz Aydin menyambut perlahan. "Terima kasih."

Rafael memandu keluar dari kotak parking dan membelok ke sebelah kiri.

"Kita nak pergi mana? Bukan jalan ke rumah Tuan Razin kat sana ke?" Tanya Izz Aydin dengan jari yang menunding ke kanan. Dia sudah memberitahu Rafael dia mahu mengambil motosikalnya di kondominium Razin sebelum pulang ke rumah.

Rafael tidak menjawab, sebaliknya hanya tersenyum dan membuatkan Izz Aydin semakin tertanya-tanya.

"Raf, kita nak kemana ni? Saya nak balik. Esok saya kerja lah."

"Saya pun kerja esok. Kita pergi makan dulu. Saya lapar tak makan lagi dari pagi tadi. Awak temankan eh." Izz Aydin terdiam. membuang pandangan kedepan.

"Kenapa ni? Saya ajak teman makan pun awak tak nak? Selalu perempuan suka bab kalau pasal makan ni."

"Tu girlfriend awak kot. Saya lain.." balas Izz Aydin lalu menyilangkan tangan ke dada.

"Awak lah girlfriend saya. Tak ada yang lain."

"Ceh. Boleh percaya ke?" Jawab Izz Aydin sambil menjeling matanya keatas pula.

"Saya tau la saya ramai kawan perempuan tapi tak semestinya ramai girlfriend. Ramai yang dekat dengan saya pandang rupa, harta tapi tak pernah ikhlas cintakan saya." Kata Rafael. Jarinya menolak signal ke kanan dan berhenti dihadapan sebuah restoran.

Izz Aydin menyerong bibirnya pula. Jangan cepat percaya Izz! Nanti dia main-mainkan kau macam yang Yana cakap macam mana, kau jugak yang sakit nanti!

"Kalau tak percaya jugak, sini, kita ambil gambar, saya update kat instagram fac. Saya kenalkan awak dengan follower saya yang awak girlfriend saya." Rafael menarik Izz Aydin mendekat lalu memeluk bahunya.

Izz Aydin terkejut cepat-cepat menarik telefon Rafael dipegangan sebelum sempat Rafael menangkap gambar mereka berdua. Sudahlah dahinya luka ketika itu, jika ditangkap gambar dalam keadaan begitu, tidakkah haru biru jadinya.

"Janganlah. Nanti follower awak serang saya macam mana? Netizen sekarang ni ramai kaki kecam lagi-lagi kalau perempuan macam saya jadi girlfriend awak. Tak nak lah!"

"Dah awak tak percayakan saya. Erm.. Macam mana nak wujudkan hubungan yang pada asasnya perlukan kepercayaan?" Tutur Rafael lembut. Deru nafasnya terasa dekat ditelinga Izz Aydin. Wangian lelaki itu juga menusuk-nusuk ke rongga hidungnya. Izz Aydin kaku dipelukkan lelaki itu.

"Kenapa awak pilih saya jadi girlfriend awak?" Tanya Izz Aydin lalu memandang Rafael.

"Sebab awak lain dan saya boleh rasakan tu. Awak nampak jujur dan ikhlas dalam kata-kata dan yang membuatkan saya lebih tertarik, wajah awak. Walaupun awak tak secantik wanita-wanita yang pernah mendekati saya, tapi awak cantik dengan cara awak tersendiri."

Awww! Izz Aydin mengetap bibir menahan dari tersenyum. Mukanya pula merah menahan malu dan hatinya berbunga cinta tika itu. Degupan kencang jantungnya yang tidak dapat dikawal olehnya sendiri dibiarkan berirama memukul dada.

"Awak puji saya banyak-banyak ni nak kena bagi rasuah ke? Saya tak ada duit." Kata Izz Aydin melarikan pandangan.

Rafael ketawa mendengar kata-kata Izz Aydin. Hidung mancung wanita itu dicuit sedikit lalu melerai pelukkan. Geram pun ada dengan celoteh wanita itu.

"Awak ni kann. Ada je jawapan." Izz Aydin tersengih dilayan seperti itu.

"Tak nak turun ke? Tak kenyang pun kalau asyik nak bercinta ni." Perli Izz Aydin lalu membuka pintu dan meninggalkan Rafael yang masih terkial-kial didalam kereta. Dia perlukan udara segar!

Mereka berdua kemudian berjalan beriringan masuk ke sebuah restoran yang menghidangkan masakan arab.

*****

Izz Aydin tersenyum-senyum membaca pesanan telegram yang asyik berbunyi ditelefon bimbitnya. Yana pula kehairanan melihat kelakuan Izz Aydin itu. Kelihatan sedikit pelik dimatanya. Televisyen dibuka cuma untuk memecah kesunyian, tidak ditonton.

"Izz." Panggil Yana.

"Izz!!" Yana menyepak sedikit kaki Izz Aydin diatas kerusi dan Izz Aydin tersentak.

"Kau pehal tersengih-sengih. Lain macam kau hari ni. Dengan tangan lebam, dahi luka. Lepas tu asyik tersenyum-senyum. Kau okay tak? Kalau tak okay, aku bawak pergi clinic. Mana tau ada wayar short dalam kepala kau tu."

"Haish! Kau nak kata aku gila ke?" Izz Aydin melemparkan kusyen kecil ke arah Yana yang sedang ketawa.

"Taklah. Aku pelik dengan kau ni. Macam orang tak betul je, tersengih-sengih mengalahkan kerang busuk. Kau ada benda tak share dengan aku eh? Baik bagi tau sebelum aku siasat sendiri."

Izz Aydin menutup mulutnya rapat sambil menggeleng. Dia masih belum mahu memberitahu sahabatnya tentang Rafael.

"Ohh, tak nak bagitau. Takpe- takpe. Baju untuk esok dah gosok? Semua barang dah ready?" Yana menyoal lebih serius.

"Beres sis!" Izz Aydin melepaskan telefon bimbitnya ke atas meja dan menghadap Yana disebelah.

"Dua hari lepas Johan ada datang sini tak?"

"Tak ada. Kenapa?" Yana menekan-nekan alat kawalan jauh mencari rancangan menarik untuk ditonton.

Okay! Nasib baik dia tak kacau Yana. Memang suka betullah si buntut kuali tu dengan Yana ya sampai tak usik pun Yana. Bagus jugak tu. Izz Aydin tersengih sendiri.

"Dia yang buat muka kau jadi macam tu kan. Kurang ajar punya jantan. Lagi sekali dia buat kau macam ni, aku potong-potong tangan dia bagi anjing makan. Arh! Geram aku.."

Izz Aydin diam tersenyum sahaja. Dia mencapai semula telefonnya tadi apabila menerima pesanan lagi. Yana menjeling tajam Izz Aydin yang segera bangun dari kerusi hendak melarikan diri.

"Aku naik dulu. Nak tidur. Selamat malam sahabatku dunia akhirat." Ucap Izz Aydin penuh adab. Kakinya laju mendaki anak tangga dan masuk ke bilik.

Yana menggeleng-geleng kepalanya melihat kerenah Izz Aydin yang kelihatan pelik itu. Kau soroklah apa pun dari aku Izz, kau akan kantoi jugak. Tak pa, aku bagi masa sampai kau sendiri nak bagitau aku.

*****

Razin memegang sampul surat yang diberikan Daniel lewat petang tadi. Hatinya rasa berbelah bagi. Dadanya yang sudah berombak ditahan dengan tangan. Kejap! Peluh-peluh halus mula menitik didahi bersama dengusan kasar nafasnya naik turun.

"Daddy. Are you okay?" Tegur Adelia yang sedang duduk menonton kartun disebelahnya. Didalam pelukannya pula ada patung beruang berwarna coklat tua yang dibelikan oleh Razin sejak dia kecil lagi.

Razin menarik satu nafas dalam dan dihembus perlahan.

"Daddy's fine. Adel tak nak tidur lagi? Esok nak pergi school kan." Tutur Razin lembut. Adelia dilihat seperti berfikir.

"Daddy, can i just stay with you? Adel tak nak dengan mommy. Mommy garang. Asyik marah Adel."

"Kalau daddy tak sibuk, boleh lah. Tapi Adel kan tahu kerja daddy macam mana? Tinggal dengan Tok mi and Tok di nak?"

Adelia laju menggeleng. Bukan mudah untuk memujuk anaknya itu untuk tinggal dengan orang lain melainkan terpaksa. Adelia baru berusia 5 tahun tetapi akalnya mengalahkan kanak-kanak berusia 10 tahun.

"Dah, jom tidur." Ajak Razin lagi. Dia mendukung Adelia dan masuk ke dalam bilik. Sampul tadi diletakkan di atas meja semula tanpa terus membuka.

*****

Seawal jam 7.30 pagi Izz Aydin sudah menunggu diruang parking kondominium Razin. Dia sudah sedia maklum melalui jadualnya hari ini, Razin akan ke pejabat selepas menghantar Adelia ke taska dahulu. Jika Adelia tiada disitu, maka jadualnya adalah pukul 8.30 pagi kerana waktu Razin masuk bekerja adalah pada pukul 9 pagi.

Tidak lama kemudian, muncul Razin memimpin tangan Adelia. Anak kecil itu kelihatan ceria hari ini sambil membimbit sebuah buku di tangannya manakala Razin seperti biasa beriak serius dan menghulurkan kunci kereta kepada Izz Aydin.

"Selamat pagi tuan. Selamat pagi cik Adelia." Sapa Izz Aydin mesra sambil tersenyum.

"I'm not cik Adelia. I'm still kid. You can call me Adelia or Adel." Jawab Adelia petah. Bibirnya menguntum senyuman menampakkan lesung pipit disebelah kanan.

"Aww so cute! Okay, good morning Adel." Izz Aydin menunduk sedikit badannya agar separas Adelia. Senyuman tadi masih bergayut dibibir.

Adelia ketawa kecil menutup mulutnya. Tangannya dilepaskan dari pegangan Razin lalu meraih tangan Izz Aydin. Razin sedikit terkejut. Tidak pernah pula Adelia berkelakuan begitu terutamanya dengan orang yang pertama kali ditemuinya.

Izz Aydin terus menarik tangan kecil itu lalu dibawa masuk ke dalam kereta. Razin turut membuntuti mereka berdua.

"Ready? Kita baca doa dulu. Adel tahu doa naik kenderaan?" Tanya Izz Aydin sambil menoleh ke belakang. Renungan tajam Razin tidak dipedulikannya.

"It's ok. Sis ajar yer.."

Razin tiba-tiba meletuskan ketawa menyebabkan Izz Aydin cemberut muka.

"What the..! Sis? Seriously? It should be aunty. Not sis!" Razin masih ketawa dengan geli hati sekali. Izz Aydin diam merenung. Bukan kerana marah tetapi ini kali pertama dia melihat lelaki itu ketawa seperti itu. Dan menampakkan juga lesung pipit di kedua belah pipinya. Pantas juga Adelia memiliki kelebihan itu.

"Daddy! Stop laughing. Adel yang bagi nama Sis.." Celah Adelia. Tangannya memukul lembut paha Razin disebelah supaya berhenti ketawa. Bibirnya juga sudah muncung kedepan.

Razin terus menghabiskan sisa tawanya. Izz Aydin menjelingkan anak mata ke atas lalu menghadap kehadapan. Bibirnya bergerak-gerak sedikit.

'"Kau mengumpat aku lagi ke?"

"Orang baca doa lah. Perasan!" Izz Aydin terus menolak gear dan kereta bergerak perlahan keluar dari pagar dan menuju ke jalan utama. Malas mahu melanjutkan perbualan yang akhirnya nanti akan menyakitkan hatinya.

Razin fokus membelek ipad dipegangan sementara Adelia juga sudah diam memerhati diluar tingkap. Suasana senyap didalam kereta menbuatkan Izz Aydin terasa seakan didalam perpustakaan. Tiada suara manusia mahupun radio dan dia harus membiasakan diri selepas ini.

*****

Yana duduk menongkat dagu saat Razin masuk ke pejabat. Dia lekas-lekas membetulkan postur badannya menegak semula. Sebentar lagi dia akan menyusul ke pejabat Razin untuk memberitahu jadual kerja bos nya itu untuk hari ini.

Izz Aydin memerhati gerak geri Yana tanpa disedari wanita itu. Perlahan dia mendekat dan menepuk tangan Yana menyebabkan Yana tersentak lalu mengerutkan muka.

"Kau kenapa? Apa yang kau menungkan tu?" Soal Izz Aydin. Dia mengambil tempat duduk dikerusi dihadapan Yana.

Yana mendengus pula.

"Aku pening lah. Mama papa aku asyik suruh aku kahwin je. Dia orang nak aku kahwin dengan anak kawan dia yang baru balik dari oversea. Aku tak nakk.." rengek Yana.

"Zaman sekarang pun masih ada jugak family nak aturkan jodoh anak eh.."

"Apa pulak tak ada. Terima dengan tak je lagi."

"Kau ikut je lah. Apa susah. Senangkan hati orang tua kan salah satu tanggungjawab sebagai anak."

"Eleh, cakap orang. Dia sendiri tu.."

"Ha.. ha.. Kes aku lain eh. Tak sama."

Yana mencebik-cebik bibirnya.

"Kau kena faham parents kau tu Yana. Kau satu-satunya anak dia orang. Umur kau dah sesuai untuk kahwin. Aku tak apa, muda lagi, masih mentah orang kata." Sempat Izz Aydin tersengih memuji dirinya.

"Beza muda 4 bulan je dengan aku, mentah lagi ke? Kalau dikahwinkan, berbaris dah anak kau tau." Izz Aydin ketawa pula mendengar kata-kata Yana.

"Kau try la berkenalan ke, jumpa dulu calon dia orang tu. Lepas tu baru kau nilai sendiri. Sekadar nak ambil hati orang tua. Tak salah kan."

Yana tidak berkata apa-apa selepas itu. Ada betul juga kata sahabatnya. Selama ini dia selalu menolak cadangan orang tuanya. Kadang-kadang dia sendiri yang merajuk kerana selalu didesak bertemu calon pilihan mama dan papanya sampaikan dia sanggup tinggal berasingan kerana tidak tahan didesak. Nak tunggu Shahril, jauh sekali. Entah-entah sampai ke tua lah tak berlaki.. hmmmm

*****

Shahril menyelongkar kotak lama yang diletakkan dibawah katilnya. Debu-debu mula berterbangan dan menyebabkan dia bersin berkali-kali. Opah Biah juga kehairanan melihat kelakuan Shahril itu.

Bila ditanya katanya mencari surat khabar lama yang disimpannya hampir 12 tahun lalu. Untuk apa, Shahril hanya mendiamkan diri. Tidak lama mencari, dia menemui juga helaian surat khabar yang sudah kelihatan kekuningan. Ada 5 keping kesemuanya dan telah digunting di bahagian yang memaparkan satu artikel. Matanya laju membaca dan meneliti gambar di atas helaian itu.

Jarinya menekan pula butang ditelefon kemudian menyandar kepalanya di tepi katil. Razin bin Datuk Halim. Memang dia! Kenapa kebetulan sangat ni..!

"Shah! Buat apa lama-lama dalam tu? Bukan petang ni nak ke sekolah ke? Ada kelas tambahan kan?" Teriak Opah Biah diluar biliknya. Ketukkan bertalu-talu juga kedengaran.

"Ya. Kejap lagi Shah pergi. Shah nak solat, mandi dulu."

"Jangan lambat sangat. Opah dengan atok nak ke pasar ni. Beli barang sikit. Jangan lupa kunci pintu tau."

"Ya opah. Hati-hati jalan tu." Kedengaran pula bunyi enjen motosikal diluar menandakan Tok Adam dan Opah Biah sudah pergi.

Shahril lekas menyimpan semula kotak tadi bersama helaian kertas ditemuinya. Dia berharap mudahan adik sepupunya baik-baik sahaja bekerja disana.

******

Mengikut jadual, Razin hanya bekerja dipejabat sahaja hari ini. Makan tengah harinya juga hanya dicafe hotel sahaja. Matanya melilau mencari kelibat Izz Aydin yang tiada menunggunya dilobi. Jam ditangan dilihat sekilas, pukul 2.13 petang. Mana pulak dia pergi ni!

Pengawal keselamatan yang berada berdekatan berjalan menghampiri Razin.

"Tuan Razin.. tuan tunggu driver tuan ke?" Tanya pengawal itu berhati-hati.

"Ada kau nampak dia? Aku nak ambil anak aku ni." Jawab Razin kasar. Mukanya pula mula kemerahan.

"Tadi dia ada tunggu tuan di sini tapi dia masuk balik. Katanya nak solat. Lama jugak dia tunggu tuan tadi. Mungkin dia takut nanti terlepas waktu solat, jadi dia pesan bagi kunci ni dulu. Tuan boleh tunggu dalam kereta." Kata pengawal itu lalu menyerahkan kunci.

Razin tidak pula menyambut. Kakinya melangkah masuk semula ke dalam hotel dan berhenti dihadapan pintu. Dia mencekak pinggang sebaik melihat susuk Izz Aydin sedang berlari menghampirinya.

"Maaf tuan. Saya pergi solat sekejap. Saya ingat tuan masih ada kerja lagi." Ujar Izz Aydin sambil membetulkan kasutnya yang hampir terbuka kerana dia bersegera turun tadi. Nafasnya turun naik melepas lelah.

"Dalam syarat-syarat perlantikan dah kata, kau kena bersedia 24 jam bila-bila masa aku perlukan kau. Aku tak bayar gaji mahal-mahal untuk alasan macam ni!"

Tersentak Izz Aydin mendengar teriakkan Razin dihadapannya. Kesemua mata yang berada dilobi terarah kepada mereka berdua. Seolah melihat drama sinetron dikaca televisyen pun ada.

Izz Aydin meraih sedikit keberanian untuk menjawab.

"Saya kan pergi solat. Tadi saya tunggu tuan lama. Jadual sepatutnya pukul 1.00 tadi tapi tuan tak bagitau apa-apa. Jadi tak salah saya pergi solat sekejap kan."

"Jadi, sekarang kau nak salahkan aku pulak?"

"Tak. Saya tak kata saya salahkan tuan. Saya cuma nak beritahu alasan saya lambat tadi. Itu je."

Izz Aydin memandang Razin dihadapannya. Darahnya juga terasa menggelegak saat itu. Belum lagi dikira malu ditengking dihadapan pekerja yang lain. Didalam hatinya cuba dididik bersabar dan jangan cepat melatah menangani situasi begini lagi.

"Kenapa? Kau nak marahkan aku ke?" Tanya Razin sinis. Tangannya disilangkan ke dada, menunggu jawapan dari Izz Aydin, seperti tempoh hari.

Izz Aydin diam sahaja lalu menundukkan kepala. Orang yang mengalah tidak bermaksud dia kalah, bisik hati kecilnya.

Razin meraup mukanya selepas menyedari ramai yang memerhatikan mereka berdua. Mungkin ada juga yang memandang serong kerana dia sanggup memalukan seorang perempuan dikhalayak ramai.

"Dah cepat masuk kereta. Kena pergi taska Adelia. Cikgu dia call kata dia tak sihat." Arah Razin lalu berjalan meninggalkan Izz Aydin.

Izz Aydin menarik nafas panjang sebelum melangkah. Kau sabar Izz, baru hari pertama dan kau jangan cepat sangat kalah. Kalau yang sebelum-sebelum tak bertahan lama, kau sebagai wanita pertama menjadi pemandu dia, kau buktikan yang kau boleh hadapi cabaran baru ni. Kau boleh Izz! Kata semangat dilaungkan didalam hati untuk dirinya sendiri.

Bersambung..

Bagi la semangat sikit untuk Izz Aydin 1st day kerja.pas tu meh singgah ig tengok si comel Adelia

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience