Bab 46

Drama Completed 204829

Tersedu sedan Izz Aydin menangis selepas dimarahi oleh Razin, mengatakan dirinya cuai dan sengaja mahu bermesra dengan Rafael di rumah itu.

Sehinggakan ajakkan Izz Aydin ke rumah itu pun tiba-tiba dipertikai akibat cemburu suaminya itu. Sudah dikata banyak kali dia dan Rafael masing-masing sudah tidak punya apa-apa perasaan tetapi ditulikan sahaja oleh Razin sehingga sanggup meninggalkan Izz Aydin terkulat-kulat merawat tangannya yang masih sakit kemerahan.

Jam mula menginjak pukul 1 pagi tetapi Izz Aydin masih belum dapat melelapkan mata. Tangannya sedikit pedih dan Razin juga masih belum masuk semula ke dalam bilik tidur mereka.

Mata cuba juga dipejam sehingga dia tertidur sendiri bersama hati yang sedikit terasa dengan layanan Razin tadi.

***

Razin meraup kasar wajahnya. Dia pada saat itu berada dibilik Adelia selepas keluar meninggalkan Izz Aydin terkulat-kulat seorang diri.

Keluhan berkali-kali juga dilepaskan dibibirnya. Mengutuk dirinya terlalu ikutkan perasaan marah dan cemburu sehingga sanggup memarahi Izz Aydin sebentar tadi.

Sejenak rasa itu mula mengendur, dia mula melangkah menuju ke dalam biliknya dengan perlahan. Tidak mahu mengejutkan Izz Aydin yang berkemungkinan sudah tidur.

Dia kemudiannya duduk disisi katil sambil memerhatikan Izz Aydin. Matanya beralih pula ditangan isterinya yang masih kemerahan itu. Jatuh sayu hatinya bersama perasaan bersalah. Perlahan tangan isterinya itu diusap lembut dan Izz Aydin tersedar dari tidur.

"Sakit lagi?" Soal Razin lalu membelai rambut Izz Aydin. Bibirnya cuba mengoyak senyuman disaat hatinya dipukul rasa bersalah.

Izz Aydin diam memalingkan tubuh. Sungguh dia terasa hati dengan Razin yang meninggalkannya dalam kesakitan sebentar tadi. Padahal bukan sengaja-sengaja mahu menumpahkan air dan untung saja Rafael ada disitu membantu.

Razin mengeluh melihat reaksi Izz Aydin. Pasti isterinya sudah berkecil hati padanya. Lantas Razin berbaring dan tubuh isterinya itu didakap erat berserta kucupan ke dahi.

"Maafkan abang.."

Izz Aydin kaku didalam pelukan Razin. Tidak berkutik malah tidak membalas pelukan hangat itu. Mata dipejam lagi dan dia tertidur semula.

****

Keesokan harinya Izz Aydin bangun seperti biasa walaupun dia belum boleh bersolat. Perlahan tangan Razin yang melingkari pinggangnya ditolak ke tepi dan dia bangun menuju ke bilik air. Razin pada masa itu sebenarnya sudah terjaga. Sengaja menunggu Izz Aydin mengejutkannya tetapi Izz Aydin cuma terus mandi, bersiap dan terus keluar dari bilik itu.

Mungkin kemarahannya semalam telah menyebabkan layanan Izz Aydin begitu dan itu salahnya sendiri. Lantas tubuhnya diangkat dan berlalu kedalam bilik air, turut membersihkan diri dan mendirikan solat subuh.

Izz Aydin menuju ke dapur yang pada masa itu, orang gaji Datin Maria sudah pun sibuk menyediakan sarapan pagi.

"Bik, hari ni saya masak sarapan ya." Ujar Izz Aydin sambil mencuci tangannya.

"Apa bisa? Tangannya kan masih sakit. Nanti saya dimarah sama Datin gimana? Belum lagi kalo Tuan Razin yang marah. Eii ngak usah lah. Biar saya aja yang bikin sarapannya."

"Takpe. Tuan nak makan nasi lemak yang saya buat. Bik tolong saya ya."

Terpaksa juga orang gaji berbangsa indonesia itu mengangguk setuju walaupun dalam hati sudah membayangkan kemarahan Razin membenarkan isterinya memasak dengan tangan begitu.

***

Nasi lemak pandan yang masih panas berasap itu dihidang diatas meja makan bersama sambal sotong, ikan bilis goreng, telur rebus, timun dan kacang. Tidak lupa ayam goreng rangup sebagai lauk tambahan atas permintaan Adelia.

Datin Maria turut menyediakan air untuk sarapan pagi keluarga itu. Tidak lama kemudian muncul Datuk Halim dan Rafael. Kedua mereka duduk dikerusi, lantas menyedut haruman nasi lemak yang sudah terhidang diatas meja.

"Wah mommy. Sarapan special lah pagi ni." Puji Rafael lalu menghirup air teh yang sudah dituang ke dalam cawan.

Muncul pula Raissa dan Adelia, turut duduk bersama dimeja makan tersebut.

"Memang special, sebab Izz yang masak." beritahu Datin Maria lalu tersenyum.

"Izz masak? Semalam tangan dia kena air panas kan. Dah elok ke?" Soal Datuk Halim pula. Matanya diliarkan mencari susuk menantunya itu didapur.

"Tu la. Saya dah kata tak payah buat tapi dia nak juga. Katanya Razin yang minta buat pagi ni."

"Ohh.." serentak Datuk Halim dan Rafael menyahut.

Datin Maria terus berlalu ke dapur mendapatkan Izz Aydin yang kelihatan masih sibuk mencuci pekakas yang digunakannya tadi.

"Dah lah tu Izz. Biar bibik yang buat. Tangan tu tak elok lagi. Nanti Zin marah pulak tengok nanti. Jom kita sarapan dulu." Ajak Datin Maria.

Izz Aydin mengangguk seraya tersenyum. Tangannya yang basah itu di lap perlahan dan mengekori Datin Maria menuju ke ruang makan.

Saat itu, kesemua penghuni rumah itu sudah duduk dimeja makan. Izz Aydin mengambil tempat duduk disebelah Razin.

Tanpa sebarang bicara, nasi lemak tadi di cedok ke dalam pinggan. Telur, sambal, ikan bilis, timun, ayam dan kacang turut disertakan lalu dihidang untuk sang suami. Kemudian air pula dituang. Turut dihidang kepada Razin.

Razin tersenyum seraya mengucap terima kasih walaupun wajah Izz Aydin tika itu tiada segaris senyuman untuknya.

Rafael menjeling sekilas pasangan dihadapannya itu. Dari raut wajah Izz Aydin, dia tahu wanita itu makan hati dengan marah abangnya malam tadi. Bukan dia tidak tahu cemburu abangnya itu. Mengalahkan orang bujang bercinta!

Masing-masing menikmati sarapan mereka dengan berselera sekali. Sesekali terdengar gurau senda antara mereka dan Izz Aydin turut ketawa kecil. Tidak pula menyampuk atau menambah cerita. Paling riuh sekali semestinya Adelia. Ada sahaja telatahnya yang mencuit hati semua.

Usai bersarapan, Izz Aydin naik semula ke atas menuju kedalam bilik untuk membersihkan diri kerana 'haruman' sambal tadi membuatkan rambutnya berbau kurang enak. Tuala dicapai dan terus berlalu ke dalam bilik air.

Kulit tangan yang mula mengelupas sedikit menyukarkannya membersihkan badan. Terkial-kial Izz Aydin menggosok belakang dan mencuci rambutnya menggunakan sebelah tangan.

Tiba-tiba terasa sesuatu mencuitnya dari belakang dan alangkah terkejutnya saat itu melihat Razin tidak berbaju dibelakangnya. Hanya mengenakan boxer sahaja. Hampir tergelincir Izz Aydin mengundur kebelakang tetapi tangan sasa sang suami lekas memaut.

Izz Aydin tiba-tiba gugup dengan kemunculan Razin yang mengejut itu.

"Abang macam mana boleh masuk sini?" Soal Izz Aydin sambil menutup sedikit dadanya yang terdedah.

"Sayang tak kunci pintu, abang masuk lah."

"Abang kan dah mandi."

"Tak kisah lah nak mandi lagi dengan sayang kan." Ujar Razin selamba. Bibirnya sengaja mengukir senyuman sambil mengangkat kening berulang kali.

Tangannya itu kemudiannya memaut tubuh Izz Aydin supaya membelakanginya.

"Abang nak buat apa ni? Jangan nak buat macam-macam kat rumah mommy ni. Saya tak habis lagi cuti." Jelas Izz Aydin cemas. Waktu itu dia sudah berada dihujung waktu 'cutinya'.

"Abang nak tolong gosokkan belakang dengan kepala sayang je lah. Abang tengok macam susah je sayang nak buat kerja dengan tangan macam tu."

"Tak payah lah. Saya boleh buat sendiri." Bantah Izz Aydin tetapi Razin tetap juga menggosok perlahan dikepala dan dibelakangnya. Lantas dibiarkan sahaja suaminya itu.

Izz Aydin diam. Cuma sesekali mengeliat kegelian saat tangan Razin menggosok dikawasan sensitif gelinya. Razin turut ketawa apabila Izz Aydin mencubit sedikit tangannya.

"Sayang marahkan abang?" Soal Razin sambil membilas rambut isterinya.

"Marah? Saya tak marah pun." Bidas Izz Aydin. Ya, dia bukan marah tapi me.ra.juk! Haaa..

"Sayang merajuk dengan abang kan. Abang minta maaf."

"Dah lah abang. Saya tak ada mood lah. Dah la sakit kat tangan, ditambah pula sakit kat hati. Ikut lah sangat cemburu abang tu. Sampai saya sakit pun abang tak pedulikan." Bebel Izz Aydin. Tangan Razin yang masih ligat membilas rambutnya ditolak sedikit.

"Sayang.. jangan macam ni. Abang dah minta maaf kan. Abang tahu abang salah."

Izz Aydin tidak menjawab. Tengah berusaha membersihkan diri dengan sebelah tangan.

"Okay okay. Kalau sayang masih nak marah, nak merajuk, teruskan. Tapi bagi abang tolong sayang dulu. Lepas tu abang keluar."

Izz Aydin menoleh ke tepi seraya memandang Razin yang masih tercegat disitu.

"Hmm okay. Jangan ambil kesempatan pulak. Ada kang yang kena karate kejap lagi."

Razin ketawa menggelang kepala. Lantas tubuh isterinya dibersihkan dengan lembut dan dia kemudiannya keluar selepas selesai kerjanya.

Selesai mandi timbul pula masalah mengelap rambut dan badan. Ugh! kena tahan sakit la macam ni.. dengus Izz Aydin sendiri.

Perlahan kedua tangan mengelap tubuh dan tuala itu terus diikat sekadar yang mampu. Tuala kecil pula dicapai dan cuma sedikit sahaja dapat dilap. Terasa lelah sendiri Izz Aydin dihadapan cermin bilik mandi itu. Haish! Buat hal betul lah tangan sakit macam ni! Dengus Izz Aydin lagi lalu menapak keluar dari bilik mandi.

Ekor matanya sempat menangkap Razin yang sedang memerhatikannya. Laju kaki dibawa menuju ke almari pakaian dan memakai baju secepat mungkin. Tangan yang sakit tidak dipedulikan.

Razin memerhatikan sahaja kelakuan isterinya itu. Dengan rambut yang masih menitik kebasahan dan kulit tangan yang mula menggelupas.

Izz Aydin bergerak ke arah meja solek pula. Menyapu serum, krim pelembap. Hanya sekadar yang mampu.

Razin berjalan mendekati Izz Aydin. Wajah masam Izz Aydin ditatap sekejap sebelum membantu mengeringkan rambut isterinya itu menggunakan hair dryer.

"Sampai bila nak merajuk dengan abang ni? Rindu lah dengan manja abang ni.." Pujuk Razin perlahan.

"Sampai abang buang cemburu abang tu la." Ujar Izz Aydin selamba.

Suis pengering rambut ditutup dan Razin duduk melutut dihadapan Izz Aydin.

"Cemburu kan tanda sayang.."

"Tapi tak la sampai tak fikir sakit saya ni. Ha, abang tak kasihan tengok tangan saya ni? Hodoh dah.." adu Izz Aydin sambil menunjuk tangannya. Bibirnya dicebik-cebik, meminta simpati.

Razin tersenyum lalu mengucup tangan itu sedikit.

"Sorry sayang.. Abang tolong sapu ubat ya. Hari ni tak payah balik dulu. Mesti susah nak drive dengan tangan macam ni."

"Tak nak. Makin lama duduk sini, takut abang yang makin cemburu tengok saya dengan Raf nanti."

"Okay okay. Jangan sebut dah cemburu abang tu. Tahu abang salah. Abang minta maaf dah marahkan sayang semalam."

Izz Aydin diam. Bibirnya disengat ke kiri kanan sambil menjeling kepada Razin.

"Ala sayang. Dah la merajuk tu. Nak abang pujuk macam mana lagi.."

"Hmm kiss sini dulu.." kata Izz Aydin sambil menunjuk ke pipi kanan.

Razin tersenyum lalu mengucup lembut disitu.

"Sini lagi.." pipi kiri pula ditunjuk dan Razin menurut juga. Kucupannya itu sedikit lama dari tadi berserta gesekan menggelikan dengan jambangnya, membuatkan Izz Aydin ketawa kecil.

"Sini lagi.." dahi ditunjukkan tetapi Razin sudah membenamkan bibirnya tepat dibibir Izz Aydin. Tersenyum Izz Aydin membalas kucupan hangat suaminya itu.

Lain arah ditunjuk, lain pula yang mendapat! Tapi.. aku suka! Bisik hati Izz Aydin.

"Terima kasih dah masakkan sarapan untuk abang. Sedap sayang masak."

"Untunglah..Dah la kita yang kena marah, masih sudi masak untuk dia lagi. Mujur saya tak letak cili banyak-banyak dalam sambal tu. Biar abang rasa bagaimana rasanya sakit hati saya ni haa." Luah Izz Aydin dengan jelingan.

Razin ketawa kecil mendengar luahan tidak puas hati isterinya itu. Terpaksa tadah ajelah telinga. Siapa suruh cari bala!

****

Perjalan pulang yang sepatutnya cuma 10 minit menjadi 20 minit dek kelajuan yang dibawa hanya 60km/j. Biar lambat asal selamat kata sang suami dan Izz Aydin hanya mengikut sahaja. Adelia pula ditinggalkan di rumah Datuk Halim sementara menunggu Humaira menjemput. Datuk Halim turut mahu bertemu dengan Humaira.

Setibanya dirumah, Izz Aydin terus merebahkan tubuh ke atas katil sambil memejamkan mata. Kepalanya saat itu tiba-tiba terasa pening, mungkin kerana tidak cukup tidur.

Razin pula melihat sekilas sambil mengeluarkan telefon pintarnya dari kocek seluar. Punggungnya dilabuhkan dibirai katil berdekatan Izz Aydin. Pesanan telegram yang diterimanya tadi dibaca sekilas dan telefon itu disimpan semula ke dalam kocek.

"Sayang, abang nak keluar sekejap, dengan Daniel. Dinner nanti biar abang masak. Sayang rehat je okay. Kalau nak tidur, tidur je." Ujar Razin lalu mengelus lembut rambut isterinya.

Izz Aydin tersenyum seraya mengangguk.

"Sayang ada nak kirim apa-apa tak?"

"Tak ada. Abang hati-hati tau."

"Okay. Sayang jangan buat kerja apa-apa. Abang keluar sekejap je." pesan Razin lagi.

Izz Aydin mengangguk lagi lalu memejamkan mata. Terasa semakin berat matanya saat itu dan terus terlelap. Tidak sedar lansung bila suaminya keluar.

***

Titik -titik halus mula terbit dari dahi, badan dan tapak tangan. Dadanya sedari tadi berombak laju bersama dengusan nafas yang sedikit sukar dikawal. Walaupun didalam kawasan berpenghawa dingin, titisan peluh masih terus membasahi dahi dan pipi.

"Tuan okay tak ni?" Tegur Daniel yang duduk disebelah Razin.

Razin mengangguk laju tetapi bibirnya masih mengeluarkan nafas berat bersama helaan yang kuat.

"Kalau tak okay, kita buat lain kali. Slow-slow. Jangan paksa sangat." Tambah Daniel lagi.

"Aku okay lah."

"Baiklah. Tuan tarik nafas dulu. Tenangkan fikiran. Bila dah bersedia, kita mulakan. Jangan tergopoh gapah. Nanti tak pasal-pasal dua-dua masuk hospital. Anak saya kecil lagi tuan." Sakat Daniel bagi menghilangkan ketakutan dan kegusaran Razin.

"Kau ni, tak sayang mulut. Kata-kata tu satu doa tau. Jangan nak drama sangat eh." Balas Razin dengan nada yang tersekat.

Daniel ketawa kecil menggeleng kepala. Kelakuan majikannya saat itu agak menggelikan hati. Dia sepatutnya keluar bersama isteri dan anaknya hari ini terpaksa membatalkan rancangan mereka semata mahu menemani Razin ke pusat arked permainan video.

Paling menggelikan hati, dia dipaksa duduk disebelah Razin. Mengajar majikannya itu memandu melalui permainan video dipusat arked itu. Telatah Razin seakan anak kecil itu semakin membuatnya galak ketawa. Perangai mengalahkan budak-budak!

Mungkin terapi yang tidak masuk akal ini sedikit sebanyak akan membantu Razin mengatasi traumanya dan mungkin juga akan menyembuhkan suatu hari kelak? Tidak salah berusaha walaupun dengan cara begini.

Razin masih fokus dengan permainan dihadapannya. Masuk permainan yang keempat, kelihatan Razin sudah dapat mengatasi sedikit ketakutan awal tadi. Malah semakin mahir mengendalikan permainan itu.

"Daniel, aku rasa nak beli satu lah yang macam ni. Kalau yang driving stimulator macam kat rehab tu macam bosan pulak kan. Kau order untuk aku. Hantar kat rumah baru tu." Ujar Razin sambil membelok stering ke sebelah kanan. Lagaknya sudah seperti pemandu profesional!

"Kalau yang kat rehab tu memang khas untuk terapi. Bukan permainan macam ni. Kalau tuan nak yang 2 in 1, saya boleh usahakan cari. Tuan tu nak sembuhkan trauma, bukan main game ni aje."

Razin ketawa kecil mendengar.

"Kau pergi topup token card untuk aku lagi. Seronok pulak. Kenapalah aku tak tahu benda ni dari awal. Kalau tak, tak la aku kehulur kehilir dengan driver. Boleh juga buat hilang stress, bukan setakat sembuhkan sakit aku je."

"Drive benda ni dengan kereta betul mana sama tuan. Ni cuma game tau. Accident banyak kali pun tak apa."

"Tahu tapi okay jugak kot untuk training kan. Nanti kita try drive kereta betul pulak."

"Yang tu kena sampai tuan betul-betul dah ready dulu. Hmm nampak bersungguh-sungguh tuan nak sembuh ya. Mesti sebab Izz kan."

Razin menoleh ke arah Daniel sebaik permainannya itu tiba di garisan penamat.

"Kau rasa? Takkan lah aku masih nak hadap trauma aku tu dan tak selamanya Izz nak jadi driver aku. Nak tak nak aku kena usaha jugak handle benda ni."

Daniel mengangguk setuju. Sudah terlalu lama trauma itu dihadapi majikannya dan sudah tiba masa Razin bergerak ke hadapan mengatasinya. Sekiranya Razin memerlukan bantuan, Daniel pasti bersedia untuk membantu.

"Eh Daniel, cepat la topup token card tu." Gesa Razin. Daniel menurut sahaja arahan itu dengan kepala yang tergeleng-geleng.

Haih! Memang nak kena beli cepat benda alah ni. Kalau tak, aku yang jadi mangsa temankan dia ke sini lagi nanti. Dah 7 round dah main kot. Takkan tak puas lagi. Bukan dikira terapi lagi dah ni. Ini dah dikira melepas gian!

jom follow ig m.a.z_np kita borak² ;) Please follow, rates and comments. tq! ;)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience