Completed
210479
Pak!
Sekelip mata telefon pintar miliknya itu terus pecah berderai. Langkahnya mundar mandir sedari tadi, melepaskan dengusan kasar sambil mencengkam sedikit rambutnya lalu diraup kasar sehingga ke belakang.
Sudah hampir dua minggu Melissa berkurung dirumah tanpa dipedulikan sesiapa termasuklah pembantu peribadinya sendiri. Semenjak gosip skandalnya terbongkar, Jay sengaja tidak berjumpa dengannya. Malah semakin sukar untuk dihubungi. Tawaran kerjanya juga banyak dibatalkan disebabkan skandal yang sudah terbongkar.
Langkah kaki dibawa menuju sofa dan punggung dilabuh kasar. Matanya terarah kepada muka hadapan sebuah majalah hiburan yang memaparkan wajah sepasang suami isteri yang begitu mesra berbalas pandangan. Lantas majalah itu diambil dan dihempas kasar ke lantai sebelum dipijak lumat.
"Zin! Sampai hati you buat I macam ni!" Rintih Melissa dengan nada meninggi. Hatinya dihurung sepi dan rindu saat itu. Air matanya turut bergenang mengingati kenangan-kenangannya bersama Razin suatu ketika dahulu. Perasaan cinta dan sayangnya pada Razin sangat tulus dan bukan pura-pura.
Majalah itu diambil semula dan muka hadapan terus dikoyak dua, memisahkan wajah Razin dan Izz Aydin. Keratan yang mengandungi wajah Razin dibelai dan dikucup perlahan manakala keratan yang mengandungi wajah Izz Aydin ditoreh dengan pisau lipat yang berada dimeja berdekatan.
Tersenyum lebar bibirnya melihat wajah yang dibencinya itu koyak rabak. Namun belum cukup memuaskan hatinya andai Razin masih belum menjadi miliknya.
"Kau tunggu Izz. Aku akan jadikan Razin milik aku seorang!" Bertukar tawa nyaring Melissa saat itu.
Matanya yang merah menyala itu dikalihkan ke arah seorang wanita yang sedari tadi duduk diam merenungnya.
Bam!
Melissa melepaskan hentakan kuat diatas meja, melepaskan amarah yang membuak-buak didalam dada. Rambut yang sedikit kusut itu dirapikan dengan jari sebelum dia membetulkan duduk dikerusi. Turun naik dadanya menahan geram.
"Bodoh!" Tengking Melissa sekuat hati. Sakit kepalanya tika itu tapi makin sakit hatinya dengan tindakan bodoh wanita dihadapannya itu.
"Aku upah kau bukan tambah malu aku.! Aku suruh buruk-burukkan Izz depan media. Yang kau bodoh biarkan saja dia jawab soalan media tu kenapa?! Kau patut bantah kenyataan dia tu. Dia dah rampas Razin daripada aku!" Jerkah Melissa.
"Cik Mel suruh saya tanya hal perkahwinan Tuan Razin tu, saya dah buat. Bonus sekali saya expose Izz yang tiba-tiba muncul. Saya ingatkan Izz tak berani berhadapan dengan media. Jadi, saya kira bolehlah saya tambah soalan pedas sikit. Alih alih dia sendiri mengaku hubungan dia orang dan Tuan Razin menyokong. Saya nak buat apa lagi? Takkan saya masih nak tanya macam-macam. Saya pun perlu jaga diri saya sendiri. Kalau Tuan Razin tahu saya yang tanya soalan tu, mampus saya." Panjang lebar penjelasan diberikan namun semakin membuatkan darah Melisaa menggelegak.
"Ahh! Benda senang aku suruh buat pun kau tak pandai. Rugi je aku bayar. Kau dengar sini Balqis. Kalau aku tak dapat Razin, kau takkan dapat Raf jugak tau." Gertak Melissa pula. Matanya besar memanah anak mata Balqis dan Balqis hanya mencebik bibir.
Balqis berlagak selamba. Kalau tidak disebabkan duit upah yang lumayan, dia sendiri pun tidak mahu menerima arahan dari Melissa. Tiada kepentingan baginya mengganggu Izz Aydin lagi.
Nak dikejar si Rafael? Sudah malas! Minggu lepas pun dia ada terlihat Rafael, sedang berbual mesra dengan seorang wanita bertudung di sebuah kafe. Dari riak Rafael sahaja dia dapat menangkap bahawa wanita itu seseorang yang istimewa bagi lelaki itu.
Balqis mengangkat wajah memandang Melissa yang mula mundar mandir dihadapannya. Senyuman sinis mula meniti dibibir dan tubuh diangkat dari duduk.
"Macam ni lah Cik Mel. Saya malas nak ikut arahan Cik Mel lagi. Saya lagi takut kalau Tuan Razin tahu saya bersubahat dengan kerja gila Cik Mel ni. Jadi, saya tak nak dah buat kerja ni. Lagipun Raf tu saya tak nak dah. Bukan dia pandang pun saya. Jadi saya nasihatkan baik Cik Mel mengalah je."
"Huh, mengalah? Takkan! Razin milik aku dan aku akan hapuskan isteri dia yang tak guna tu! Sebab dia lah Zin putuskan pertunangan kami.!"
Balqis menelan air liur mendengar gertakkan Melissa sebentar tadi. Apa Cik Melissa akan melaksanakan apa yang baru dia katakan? Segila itu tindakannya semata-mata mahukan Tuan Razin semula?
****
Beg yang sudah diisi semula dengan pakaian itu ditarik perlahan. Langkah kaki pasangan itu sangat bersahaja berjalan melintasi lobi dan terus menuju ke pintu utama. Sebelah tangan masing-masing melingkar di bahu dan pinggang. Begitu mesra sekali tanpa menghiraukan orang sekeliling. Bahagia, hati mereka diulit bahagia.
Mata-mata yang melihat ada yang berbisik halus. Ada juga yang tersenyum berbalas senyuman apabila berselisih dengan pasangan itu.
Langkah mereka mula berhenti sebaik tiba dikereta. Beg bagasi disumbat ke dalam bonet dan pasangan itu masih meneruskan drama romantis di tepi kereta.
"Sayang balik dulu ya. Nanti abang balik dengan Daniel. Harini abang balik lewat sikit sebab nak settle kerja sebelum kita balik kampung." Razin kemudiannya membantu membuka pintu kereta untuk Izz Aydin.
"Saya nak singgah pasaraya nanti. Nak beli barang sikit. Jangan balik lewat sangat. Saya masak special dinner untuk abang." Izz Aydin kemudiannya tersenyum manis.
"Okay. Hati-hati drive. Nanti dah sampai rumah bagitahu abang."
Izz Aydin mengangguk seraya tersenyum. Tangan Razin diraih dan dikucup erat sebelum kucupan hangat singgah didahinya.
Sebaik kereta dipandu Izz Aydin hilang dari pandangan, Razin mengorak langkah menghampiri Daniel yang sedari tadi menunggunya dihadapan pintu utama. Kedua mereka kemudiannya berjalan beriringan masuk ke dalam hotel semula.
"Dah tahu siapa yang bongkar skandal Melissa tu?" Soal Razin sambil menolak daun pintu pejabat. Punggung dilabuhkan ke kerusi kerjanya dan dipusing menghadap Daniel yang turut duduk dikerusi berhadapan.
"Belum tuan tapi saya dah tahu siapa yang tanya soalan perkahwinan tuan."
"Siapa?"
"Balqis. Bekas pekerja kita, kawan Izz."
Razin diam sekejap seperti berfikir. Jarinya mengetuk-ngetuk perlahan ke atas meja.
"Perlu saya buat sesuatu?" Soal Daniel ringkas.
"Tak. Biarkan dia. Walaupun soalan dia tu mengejut tapi sekurang-kurangnya aku dah tak perlu sorokkan lagi Izz dari orang luar."
Daniel mengangguk-angguk tanda faham.
"Ermm pasal pertukaran Yana tu, aku luluskan. Lepas dia balik dari honeymoon dia boleh terus mulakan kerja disana. Dan buat masa sekarang kau lah yang akan ganti dulu tugas dia."
Daniel melepaskan ketawa kecil. Dah agak dah!
Razin menoleh sekilas apabila mendengar ketawa Daniel tadi.
"Kenapa? Tak sanggup ke?" Soal Razin dengan sebelah kening yang diangkat.
"Sanggup tak sanggup belakang kira tuan. Nak buat macam mana, terima je lah."
Razin kemudiannya ikut ketawa.
"Kau jangan risau lah. Aku akan bagi extra payment untuk kerja yang kau buat. Kalau nak cari pembantu baru, susah."
"Tak susah pun. Ramai je graduan baru cari kerja sekarang. Yang susah tu tuan. Cerewet." Jujur Daniel mengkritik.
Razin mengangkat wajah selepas mencapai ipad diatas meja. Pandangannya dialih semula ke arah ipad.
"Amboi. Bukan main mengutuk aku depan-depan. Tak sayang mulut ke Encik Daniel?"
Daniel segera menggeleng sambil menutup mulutnya rapat. Ahh terlebih cakap! Bergurau dengan dia ni kena berpada-pada! Getus hati Daniel bagi mengingatikan diri sendiri.
"Harini jadual aku tak sibuk kan?" Soal Razin yang masih menolak naik skrin ipad dipegangannya.
"Tak. Saya dah bahagikan tugas tuan dengan Raf. Untuk sebulan dua ni dia akan handle kerja tuan seperti yang tuan minta."
"Okay. Good! Jom." Ajak Razin lalu bangun dari kerusi.
"Jom kemana?" Daniel mengerutkan kening, berlagak tidak tahu akan ajakan majikannya itu tetapi dia ikut serta bangun dari kerusi.
"Macam biasa lah. Hari ni kita masuk ke next stage. Aku rasa kau dah boleh duduk dengan tenang." Daniel menelan air liur yang mula berkumpul didalam mulut. Cemas tiba-tiba!
"Next stage? Maksud tuan? Tuan nak drive kereta sendiri ke? Bukan ke kita baru try bagi tuan duduk depan? Jangan macam-macam tuan. Saya yang terkencing nanti."
Razin ketawa mengangkat kedua keningnya. Kot dibuka dan disangkut ke kerusi sebelum melonggarkan kancing kemeja dipergelangan tangan. Dengan lagak yakin, langkah di atur menuju keluar tanpa menoleh ke belakang.
Well! Dua minggu fokus terapi. Curi-curi masa kerja semata nak pulihkan trauma yang terlalu lama membelengu diri. Now, lets push the limit!
Wajah wanita kesayangannya bermain-main dikotak fikiran. Izz Aydin.. hanya kerana wanita itulah keberaniannya muncul sekaligus menjadi dorongan semangat untuk dia berjaya pulih secepat itu.
****
Keesokan harinya, selepas menghantar Razin ke hotel, Izz Aydin meneruskan pemanduannya menuju ke rumah Yana untuk berjumpa dengan Opah Biah dan Tok Adam. Tujuan kedatangannya itu adalah untuk membincangkan perjalanan mereka balik ke kampung esok hari.
Selepas memakir kereta, Izz Aydin terus melangkah keluar dari kereta dan meluru masuk ke dalam rumah Yana. Kedatangannya itu disambut oleh Opah Biah, Tok Adam dan Shahril.
Salam diberikan dan tanpa menunggu lama kaki dibawa melangkah ke arah Opah Biah dan tubuh tua itu didakap erat bersama senyuman.
"Opah.." meleret senyuman dibibir Izz Aydin tanpa menghiraukan Shahril dan Tok Adam yang turut berada disitu. Tersenyum Shahril melihat ulah Izz Aydin itu.
"Dia punya peluk tu, macam lama tak jumpa." Tegur Shahril seraya ketawa dengan Tok Adam. Izz Aydin tersengih memeluk erat lengan Opah Biah pula.
"Nak buat macam mana. Cucu kesayangan katakan." Celah Yana pula yang baru muncul dari dapur sambil menatang dulang berisi air sirap merah. Dulang yang ditatang itu diletak perlahan di atas meja lalu duduk disebelah Shahril selepas mengagihkan gelas minuman di atas meja.
"Semua pun cucu kesayangan opah. Shahril, Yana, Izz, Razin. Semua opah sayang. Bukan Izz sorang aje." Luah Opah Biah jujur. Izz Aydin semakin mengeratkan pelukannya lalu melentokkan kepala dibahu Opah Biah pula.
"Tapi tak boleh lawan manja yang sorang ni la. Semenjak dah kahwin bukan main manja dia. Kalau dulu, kasar memanjang." Tambah Opah Biah lagi. Tangannya menepuk perlahan tangan Izz Aydin yang melingkar dilengannya.
"Mana tak nya opah. Tuan Razin layan dia ni macam tuan puteri. Apa nak semua dapat. Padan juga lah manjanya lain macam sekarang." Sengaja Yana menambah perisa didalam ayat Opah Biah.
Izz Aydin cuma tersengih malu dengan wajah yang mula berona merah. Ye ke manja? Selalu kena marah ada lah dengan dia tu. Garang..! Dengus hati Izz Aydin.
"Ehh esok flight abang Shah dengan Yana pukul berapa?" Soal Izz Aydin memulakan topik baru. Matanya diarahkan melihat pasangan pengantin baru yang akan pergi berbulan madu esok hari.
"Pukul 11 pagi. Jadi esok sempat lah tengok korang gerak balik kampung dulu sebelum bertolak ke airport." Ujar Shahril lalu mencapai gelas di atas meja. Air sirap itu diteguk perlahan dan gelas diletakkan di atas meja semula.
Izz Aydin mengangguk sambil membulatkan mulutnya berbentuk O.
"Harap-harap cepatlah kita ni timang cicit kan atuknya. Makin meriah keluarga kita lepas ni." Ujar Opah Biah teruja.
Tersedak Yana menelan air selepas mendengar kata-kata Opah Biah. Mata dikerlingkan ke arah Shahril yang sudah tersengih suka. Kemudian ke arah Izz Aydin.
"Betul tu opah. Izz sokong. Kena ready kau Yana. Abang Shah selalu cakap dia suka kalau anak ramai. Meriah." Makin tersedak Yana mendengar usikan Izz Aydin.
Haihh. Baru kahwin dah kena usik pasal anak ni. Ingat sekali tembak terus jadi ke. Tak boleh jadi ni. Bukan main kau mengusik aku Izz!
Yana berdehem perlahan, memulihkan perit ditekak.
"Sepatutnya Izz yang bagi opah cicit dulu. Kami ni baru je kahwin, mesti lah nak honeymoon dulu. Tapi kalau ada rezeki cepat, Yana okay je. Kan abang." Shahril mengangguk laju, menyokong kata-kata isterinya itu.
Kesemua mata kemudiannya terarah kepada Izz Aydin yang berselera mengunyah kuih kering yang turut dihidang Yana sebentar tadi. Seolah tidak peduli dengan topik yang dibualkan.
Seketika semua diam. Sehingga Izz Aydin kembali fokus kepada perbualan mereka tadi.
"Apa?" Tanya Izz Aydin dengan riak tidak tahu. Terlepas ketawa dibibir Shahril melihat riak blur Izz Aydin itu. Pandai berlakon!
"Opah kata dia nak cicit.. dari kau." Jelas Yana lagi.
Terbeliak biji mata Izz Aydin. "Ha? Nak cicit? Mana nak dapat? Cicit cacing nak?"
Serentak semua yang berada disitu ketawa. Jawapan diberikan Izz Aydin memang selalunya akan diakhiri dengan kemenangan wanita itu. Tiada siapa dapat menghujah lagi.
*****
Jam sudah menunjukkan pukul 7 malam dan Izz Aydin mula meminta diri untuk pulang. Barusan tadi dia menerima panggilan dari Razin mengatakan suaminya itu sedang didalam perjalanan pulang ke rumah bersama Daniel. Jadi, Izz Aydin tidak perlu menjemput Razin dan terus sahaja ke kondominium.
Kelajuan kereta mula diperlahankan sebaik memasuki kawasan kondominium. Sempat Izz Aydin mengangkat tangan menegur dua orang pengawal dihadapan pagar sebelum masuk ke kawasan letak kereta.
Kereta diparkir kemas dan enjin kereta dimatikan. Belum sempat pintu dibuka, Izz Aydin tersentak melihat Melissa dengan rambut yang tidak terurus membuka pintu keretanya dengan kasar. Tangan Izz Aydin ditarik lalu diheret keluar dari perut kereta.
"Lepaskan saya Cik Mel. Apa Cik Mel buat ni?" Bentak Izz Aydin seraya merentap tangannya dari pegangan Melissa. Pergelangan tangan yang sedikit sakit diusap perlahan.
Melissa meraup rambutnya ke belakang. Matanya mencerlung memandang dengan tajam ke arah Izz Aydin. Benci! Ya! Aku benci kau Izz! Teriak hati Melissa.
"Seronok kau sekarang dah musnahkan hidup aku? Puas hati kau dah rampas Razin daripada aku?!" Jerkah Melissa.
Tersentak Izz Aydin. Wajah Melissa yang kelihatan cekung dengan lingkaran hitam dibawah mata itu dipandang sekejap.
"Apa Cik Mel cakap ni. Saya rasa Cik Mel tak sihat ni." Ujar Izz Aydin perlahan namun Melissa bertindak agresif dengan menolak Izz Aydin merapat ke dinding. Terhentak sedikit kepala Izz Aydin menerima tolakan mengejut itu.
"Kau tak payah berlagak baik lah. Kau dah rampas tunang aku. Kau yang tak sihat sebenarnya! Gila!" Jerkah Melissa nyaring.
Tangan Melissa mula naik dan mencengkam leher Izz Aydin, menyebabkan Izz Aydin meronta meminta untuk dilepaskan. Sesak dadanya saat saluran pernafasan mula menyempit menyebabkan paru-paru kekurangan udara.
"Le..pas kan sa.. ya.." pinta Izz Aydin. Kedua tangannya menolak kuat tubuh Melissa tetapi ternyata tenaga 'gila' yang dikeluarkan Melissa tidak mampu dilawannya. Malah semakin kuat cengkaman Melissa itu. Seakan dirasuk sesuatu!
"Arghh.."
Air mata mula menitik perlahan sebelum pandangannya mula kelam.
Poonnnnnnnnnnn!!!
jom follow ig m.a.z_np kita borak² ;) Please follow, rates and comments! tqq! ;)
Share this novel