Bab 11

Drama Completed 204768

"HAHAHAHAH..!" Semakin galak Opah Biah dan Tok Adam ketawa mendengar cerita dari Shahril sebentar tadi. Izz Aydin pula tersengih-sengih cuba menutup malu.

"Haa balasan kenakan Opah tadi kan. Sekali dia mendapat jugak." tempelak Shahril. Bibirnya masih bersisa ketawa.

"Izz mana tau dia ada kat situ.."

"Kalau Opah tau kamu datang, Opah tak lepaskan diaorang tu berkeliaran." kata Opah Biah pula.

"Biarkan dia Opah. Suka sangat nak surprise. Alih-alih dia sendiri dapat surprise." Shahril masih menyambung ketawanya. Terbayangkan wajah Izz Aydin yang separuh pucat dikejar angsa tadi, semakin geli hatinya. Kalau dia tengah memegang telefon ketika itu, pasti sudah dirakamnya muka adik sepupunya tadi.

"Dah lah. Tak payah gelak banyak-banyak. Izz balik nanti haa.."

"Eleh. Mengugut pulak dia. Angsa masih kat luar tu. Pergilah." Shahril sengaja membiarkan kerana dia tahu Izz Aydin tidak akan berani.

"Hehehehehe.." Izz Aydin hanya tersengih disebelah Opah Biah.

Tok Adam dan Opah Opah menggeleng kepala serentak melihat kerenah mereka berdua. Kecoh la rumah seharian kalau Izz Aydin ada.

"Bila balik KL lagi ni?" tanya Opah Biah pula.

"Lusa. Isnin Izz kerja dah. Lepas tu tak tahu lagi bila dapat balik."

"Ye lah tu. Tengok lah nanti. Tiba-tiba balik macam tadi kan. Nasib baiklah Opah kamu ada. Kalau tak, duduk lah kamu diluar dengan angsa tu." Celah Tok Adam sambil menyandar dikerusi.

"Sebab Izz tahu Opah selalu kat rumah lah Izz datang aje." Izz Aydin tersenyum sambil memeluk tangan Opah Biah.

"Ehhh.. Izz tak tahu, sekarang atok dengan Opah selalu tak ada dirumah, keluar dating." Kata Shahril pula. Mukanya tersengih sedikit.

Izz Aydin terus menoleh kepada Opah Biah yang tersenyum simpul. "Dating? Amboi-amboi dia.. Bukan main eh."

"Apa salahnya. Mengeratkan hubungan suami isteri. Takkan lah kami yang tua ni tak boleh bermesra macam orang muda-muda kan."

"Betul! Betul! Izz setuju tu. Jadi.. jom kita kahwin kan abang..'

Shahril bangun dari sandarnya dengan riak terkejut.

"Apesal tiba-tiba pulak nak libatkan abang?"

"Kahwinkan Shah? Dengan siapa?" Tanya Opah Biah ingin tahu.

"Dengan Yana lah. Siapa lagi.." Izz Aydin tersengih mengangkat kedua keningnya.

"Yana? Kawan kamu tu?"

Izz Aydin mengangguk laju. Matanya dileretkan kepada Shahril yang sudah kemerahan mukanya.

"Jangan dengar sangat cakap dia ni opah. Mengarut je. Banyak sangat telan asap moto kat KL tu."

"Hish! Mana ada Izz mengarut. Yana suka abang tapi abang yang jual mahal. Macam lah handsome sangat."

"Handsome tak handsome belakang kira. Yang penting, dalam ni, kena penuh. Nak jaga anak orang bukan senang tau." Kata Shahril sambil menunjukkan dadanya sendiri.

"Kalau betul Yana tu suka kan Shah ni, opah tak ada halangan. Baik budaknya. Opah suka dia."

"Dengar tu abang. Opah suka..." Izz Aydin sengaja meleretkan ayatnya.

Shahril menggeleng sahaja kepala. Ada saja akal Izz Aydin mengenakannya. Bukan sekali ini saja dia cuba mengusik dirinya dengan Yana. Sudah banyak kali tapi ini kali pertama Izz Aydin berani mengenanya dihadapan Opah Biah dan Tok Adam.

Sedang mereka berbual, telefon bimbit Izz Aydin berbunyi menerima panggilan. Dia segera meminta diri untuk menjawab dan menuju ke beranda.

"Hello. Raf.."

"Izz. Mana awak pergi? Saya call awak tak jawab pun. Kenapa tak call balik? Saya cari awak kat hotel pun tak ada." Soal Rafael bertubi-tubi. Dia baru sahaja masuk semula ke pejabat selepas mencari Izz Aydin di bilik rehat pekerja.

"Saya kat kampung lah. Lusa saya balik KL. Sorry.."

Rafael mengeluh halus. Mendengar suara Izz Aydin dihujung talian membuatkan hatinya meronta ingin bersua muka dengan wanita itu sekarang juga. Jampi apa awak dah bagi kat saya ni Izz Aydin!!

Izz Aydin menunggu Rafael bersuara dihujung talian. Hatinya juga ditujah rasa bersalah.

"Raf.. awak marah saya ke?"

"Tak lah. Saya cuma risaukan awak. Takpe lah. Lusa balik KL pukul berapa? Balik kampung naik apa pulak?"

"Petang kot. Tak sure lagi. Saya naik train je."

"Kalau macam tu, nanti saya jemput awak ye. Jangan lupa bagitau saya awak balik pukul berapa."

Izz Aydin diam kerana bibirnya sedang mengukir senyuman saat itu.

"Okay. Jumpa lusa. Bye!" Izz Aydin terus mematikan talian. Jika lagi lama dia berbual dengan Rafael, mahu cair juga dia disitu.

Jarinya membuka telefon bimbit dan mencari sesuatu. Gambar Rafael yang sedang tersenyum ditenung lama, seolah sedang berbalas senyuman. Kalau beginilah rasa bercinta, ruginya kalau aku tolak dia!

Dan didalam rumah, Shahril dapat mendengar dan melihat dengan jelas perbualan dan perbuatan Izz Aydin tadi. Hatinya sedikit terusik.

******

Izz Aydin memandu kereta perodua myvi milik Shahril yang dipinjamnya tadi dan memberhentikan kereta itu jauh sedikit dihadapan sebuah rumah. Matanya menangkap susuk seorang lelaki sedang berjalan mendekati lalu bibirnya mengukir senyuman untuk lelaki itu.

Lelaki itu masuk kedalam kereta dan menyalami tangannya.

"Kak Izz apa khabar?"

"Sihat alhamdulillah. Nizam sihat?"

"Nizam pun sihat. Akak tak nak masuk? Abah ada kat dalam. Baru lepas mandi."

Izz Aydin cuma tersenyum dan merenung rumah dihadapannya. Rumah tempat dia membesar, rumah yang penuh dengan kenangan manis dan juga pahit, yang meninggalkan kesan sehingga kini.

"Takpe. Akak singgah kejap je. Akak ada bawak sekali ubat untuk pak cik Mus. Jangan lupa bagi ikut masa. Akak pun ada beli sikit barang lain." Beberapa bungkus plastik yang diambil dari kerusi belakang dihulurkan kepada Nizam.

"Banyaknya akak beli. Untuk Nizam pun ada?" Nizam tersenyum lebar membuka satu bungkusan mengandungi baju dan seluar baru.

Izz Aydin mengangguk dan tersenyum.

"Nizam tak lama lagi spm kan. Belajar okay?"

"Mestilah okay! Nizam ni kak. Paling top kat sekolah tau." Nizam menjawab dengan bangga lalu ketawa.

Izz Aydin turut ketawa bersama. Dia bersyukur kerana dengan adanya Nizam, boleh juga diharapkan untuk menjaga ayah tirinya dikampung dan dia turut terhutang budi kepada Shahril kerana mahu mengajar Nizam dan anak-anak kampung yang lain kelas tambahan tanpa sebarang bayaran.

"Akak jom lah masuk. Abah selalu tanya pasal akak. Hmm akak masih marahkan abah ke?"

Izz Aydin diam membalas pandangan Nizam.

"Takpe. Akak nak ke kubur kejap lagi. Nak ziarah kubur mak dengan ayah." Kata Izz Aydin cuba berdalih.

Nizam melihat baju kurung yang dipakai oleh Izz Aydin bersama selendang hitam yang masih disangkut ke bahu. Dia kemudian mengangguk perlahan sebelum keluar dari kereta.

Izz Aydin merenung sejenak rumah itu. Setiap kali dia ke situ, berbagai perasaan cuba menjamah memori. Sudah hampir 12 tahun dia tidak mendiami rumah itu. Bila terasa genangan halus mula mengalir dari matanya terus diseka laju. Dia memandu keluar dari kawasan rumah itu dan menuju ke tanah perkuburan.

Izz Aydin membetulkan selendang dikepala dan mengeluarkan senaskah buku yaasin lalu duduk tengah-tengah dua buah kubur berbatu nisan putih. Kubur-kubur itu nampak seperti baru dan bersih kerana Nizam yang selalu membersihkan dan menjaga kubur itu.

Selesai menghabiskan bacaan surah yaasin untuk arwah ibu dan ayahnya, Izz Aydin masih duduk disitu. Rindu kepada kedua orang tuanya tidak pernah luput walaupun sudah hampir 15 tahun ayahnya meninggal dan diikuti ibunya 3 tahun kemudian yang juga pergi mengadap kekasih abadi. Semakin hari, semakin menggunung rasa rindu yang tiada penghujung itu. Nasib baik dia masih mempunyai Opah Biah dan Tok Adam yang menjaga dan sudi memberi kasih sayang kepadanya.

Jam dilihat sekilas. Sudah hampir jam 6 petang dan dia harus segera pulang. Tidak mahu Shahril kerisauan menunggu keretanya pula.

****

Izz Aydin duduk di pangkin seorang diri selepas makan malam. Bunyi nyaring sang cengkerik dan unggas tidak sedikitpun menganggu kerana itulah suasana yang paling dirinduinya. Angin menggoyangkan daun-daun pokok disebelah pangkin turut membuaikan, membawa bersama udara segar. Tiupan angin lembut itu dibiarkan memukul pipi dan menyelak sedikit rambut pendeknya ketepi.

"Izz.."

Lamunannya terhenti sebaik wajah Shahril menyapa pandangan lalu duduk disebelah.

"Izz okay?" Tanya Shahril. Sedari balik petang tadi dia melihat Izz Aydin senyap mendiamkan diri. Tidak kecoh seperti selalu.

"Okay." Jawab Izz Aydin sepatah. Matanya dipejam rapat sambil menyandarkan kepalanya ditiang pangkin. Masih mahu menikmati suasana nyaman berada dikampung.

"Kalau Izz ada benda nak share, boleh bagitau abang. Izz tau kan abang selalu ada untuk Izz." Shahril cuba memujuk supaya Izz Aydin mahu membuka mulut, meluahkan apa yang terbuku dihati saat itu.

Terdengar satu keluhan halus dilepaskan dari bibir Izz Aydin.

"Abang tahu apa yang menggusarkan Izz sekarang. Pasal Pak Cik Mus kan?" Shahril cuba menduga. Dia harus berhati-hati menuturkan kata-kata andai tidak mahu wanita itu tersinggung.

"Walaupun Pak Cik Mus tu, cuma ayah tiri. Dia tetap ayah Izz dan Izz patut bersyukur sebab masih diberi peluang menjaganya" tutur Shahril lembut.

Izz Aydin tersenyum sinis pula.

"Ayah? Selama ni dia tak pernah anggap Izz macam anak. Abang dah lupa apa dia dah buat kat Izz? Sampai sekarang, parut tu tak hilang pun dan setiap kali pandang diri Izz ni, Izz rasa jijik dengan diri Izz." Izz Aydin bangun dari sandarnya dan mendongak kepalanya keatas.

Genangan air mata yang mahu tumpah itu ditahan sehabis boleh agar tidak dilihat lemah dihadapan orang lain.

"Izz kena ambil peduli tentang perasaan dia. Semakin Izz simpan rasa benci, marah dendam tu, sampai bila-bila pun Izz takkan rasa tenang."

"Tenang? Sejak Izz keluar dari rumah tu, dah tak ada istilah tenang dalam kamus hidup Izz. Izz terpaksa tanggung beban hutang dia sampai sekarang. Bukan setakat tu, pembelajaran Izz terganggu, emosi Izz yang pada masa tu cuma berusia 13 tahun. Dan sekarang, kenapa Izz nak pedulikan pasal perasaan dia?"

"Okay! kalau betul Izz tak pedulikan Pak Cik Mus, kenapa Izz sanggup tanggung kos rawatan dia sampai sekarang? Masih bagi belanja kat dia. Kenapa?" Soalan yang dilontarkan Shahril itu seakan mendesak Izz Aydin memberi jawapan yang tepat.

"Sebab Izz tak nak Nizam hidup susah macam Izz! Walaupun Nizam tu cuma adik tiri, dia tetap adik Izz dan Izz bertanggungjawab ke atas dia!" Jawab Izz Aydin lalu menghentak kedua tangannya diatas lantai pangkin menyebabkan Shahril sedikit tersentak.

Izz Aydin menyeka linangan airmata yang mengalir laju yang seperti tidak mahu berhenti. Kesedihan mula mencengkam disegenap ulu hati.

"Abang cuma lihat luaran je. Kalau parut kat badan ni masih ada, apa lagi parut kat dalam hati Izz. Sampai sekarang Izz masih dibayangi kisah hitam tu. Sampai Izz sendiri takut setiap kali bayangan tu muncul." Izz Aydin bangun dari duduknya dan membuang pandangan jauh didada langit yang gelap, segelap hatinya ketika itu.

"Izz tak pernah nak jadi anak derhaka. Tapi keadaan dan kenangan lalu membuatkan Izz jadi macam ni. Kalau kemaafan yang abang nak Izz berikan untuk dia, Izz masih belum bersedia." Izz Aydin mengatur langkah kakinya menuju ke dalam rumah meninggalkan Shahril dipangkin itu. Dia terus masuk kedalam bilik dan mengunci pintu.

Dibalik pintu Izz Aydin terduduk meluahkan lagi airmata yang sudah jatuh berderai. Dadanya sesak menahan esakkan, takut didengari Opah Biah dan Tok Adam yang berada dibilik sebelah.

"Mak! Izz rindu mak.. Kenapa mak tinggalkan Izz cepat sangat." Kepalanya ditundukkan dan ditongkat ke lutut. Dibiarkan sahaja air mata kerinduan dan kemarahan itu mengalir menjadi satu.

Shahril berdiri lama dihadapan pintu bilik Izz Aydin. Perasaan bersalah sudah menggigit disegenap hatinya. Jika dipujuk sekarang, mesti Opah Biah dan Tok Adam hairan melihat dan akan menyoalnya kenapa Izz Aydin menangis. Dia mengambil keputusan untuk membiarkan Izz Aydin memujuk dirinya sendiri dan dia terus berlalu menuju ke biliknya sendiri.

Izz Aydin bangun lalu duduk disisi katil menghadap cermin. Bingkai gambar diatas meja di ambil dan ditatap lama. Andai masa dapat diputarkan semula, pasti dia tidak perlu berkeadaan seperti ini. Pasti masih ada mak yang mahu memujuk dan menyeka airmatanya.

Dia berdiri pula menghadap cermin. Perlahan tangannya menyelak sedikit baju dibadannya ke atas. Titisan air mata yang mula kering terbit semula dan jatuh ke lantai. Dia terduduk di birai katil menekup mukanya.

Kenapa harus aku yang terima semua ni.

Bersambung...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience