BAB 44

Drama Series 23843

Imbas kembali

“Mien, kenapa kau nak cari yang lain. Sarimah tu dah cukup lengkap aku tengok. Cantik, pandai layan kau. Pandai bawa diri. Apa lagi yang tak cukup?” bebel Tan Sri Zainul Arif sebaik saja sampai. Melihat Dato’ Zainuddin Amien yang hanya berdiri di beranda kondominiumnya hati itu makin geram. Adiknya itu asyik memandang ke langit malam yang berbintang.

“Aku dah jumpa apa yang aku nak.” Dato’ Zainuddin Amien pusing belakang dan pandang abangnya yang sudah berdiri di muka pintu gelangsar.

“Apa lagi yang tak cukup. Kau dah ada semuanya. Anak pun kau dah dapat.” Tan Sri Zainul Ariff mengingatkan tetapi lelaki di beranda itu hanya menghembus nafas kesal. Pandang abangnya yang tunjuk wajah risau. Mana tak risau sebab dia tahu Sarimah sudah mengadu segala-galanya pada lelaki di depan. Tentu macam-macam cerita yang lelaki itu dengar.

“Aku nak isteri yang menerima aku sebab aku. Bukan sebab harta. Bukan sebab orang lain. Aku juga nak zuriat yang dilahirkan atas dasar cinta. Bukan terpaksa,” luah Dato’ Zainuddin Amien sebak. Hati terguris pedih apabila mengenangkan sikap Sarimah.

“Bukan kau cintakan dia ke? Kau yang tergila-gilakan dia dulu. Dia pun nampak happy je masa kau orang kahwin.”

“Ya. Di depan orang. Tapi… bila di belakang, dia tunjuk semua sifat buruk dia pada aku. Kau tak pernah tahu dan kau jangan cakap kau tak pernah tahu.”

Dup!
Dada Tan Sri Zainul Arif tersentak. Pantas urutan lembut tangan Sarimah pada bahunya kembali terasa di tubuh. Malah, bisikan hangat wanita itu di telinganya membuat dia hampir hilang arah. Terus Tan Sri Zainul Arif menggeleng kecil. Membuang cepat-cepat memori lampau. Dia tak mahu ingat lagi. Sumpah, dia takut.

“Siapa pun Sarimah, di atas kertas dia sah sebagai isteri kau. Jangan buang tabiat nak cari isteri lain.” Nasihat Tan Sri Zainul Arif namun Dato' Zainuddin Amien merenung jauh ke depan.

“Aku tak pernah dapat apa yang aku nak. 23 tahun aku tahan sabar Zain. Sebagai lelaki normal aku ada perasaan macam kau juga dan kau? Kalau kau kat tempat aku boleh ke kau sabar?” kuat suara Dato’ Zainuddin Amien menjelaskan dan Tan Sri Zainul Arif sedar.

Tak ada siapa pun yang tahu pergolakan rumah tangga adiknya. Hanya dia seorang saja yang tahu. Tapi tak banyak yang dia tahu. Apa yang adiknya beritahu dia tak mahu percaya. Sarimah tak jalankan tanggungjawab sebagai isteri. Dia tak nampak semua itu. Hatinya beranggapan adiknya yang suka buat hal. Tetapi dia tak pernah tengok lelaki itu main perempuan. Habis kerja duduk rumah. Tak pun ke masjid. Dia tahu adiknya itu masih simpan banyak rahsia. Dia hendak sangat tahu tetapi adiknya tak pernah hendak berkongsi. Lalu, Tan Sri Zainul Arief hanya memandang wajah adiknya yang nampak keruh sehari dua ini.

“Budak mana yang kau nak nikah ni, Mien? Kat mana kau jumpa dia?” tanya Tan Sri Zainul Arif pelik. “Entah-entah kau dah kena pukau. Tak pun dah kena minyak pengasih.”

Tak sangka Dato’ Zainuddin Amien hamburkan tawa besar. Terbayang wajah manis bakal isterinya. Tak sabar menunggu hari esok tiba.

“Dia perempuan yang baik. Dari keturunan yang baik-baik. Dia dekat saja dengan kita. Cuma, belum masanya aku perkenalkan pada semua.”

Tan Sri Zainul Arief mengerutkan muka.
“Siapa? Aku kenal dia?”

Dato’ Zainuddin Amien menggeleng.
“Kau tak kenal. Tapi, ada orang yang rapat dengan dia.”

Pening kepala Tan Sri Zainul mendengar kata-kata adiknya. “Apa-apalah tapi… aku nak nasihatkan kau. Fikir dalam-dalam sekali lagi. Jangan sebab keinginan kau…kau nak hancurkan rumahtangga kau sendiri.”

“Aku dah nekad Zain,” balas Dato’ Zainuddin Amien lantas masuk ke dalam. Tarik sampul surat berukuran kertas A4 di atas meja kopi lalu hulurkan kepada si abang.

“Ini salinan wasiat. Aku dah tak ada siapa pun selain kau. Tapi... kau tak layak terima harta aku sebab kau abang aku. Bukan anak. Jadi aku dah siapkan awal-awal. Suku harta aku ni aku hadiahkan untuk bakal isteri baru aku sebab dia tak nak hantaran. Mas kahwin pun dia minta cincin belah rotan saja. Sebab dia budak baik, Zain. Aku sayangkan dia dan aku tak sanggup kehilangan dia.”

Tan Sri Zainul Arif terkesan dengan luahan adiknya lantas buka sampul surat. Baca dan teliti.
“Kau buat semua ni macam esok dah kau nak mati,” sinis ayat Tan Sri Zainul Arif tetapi adiknya itu tidak kisah. Apa yang dikejar sekarang ini hanya untuk bahagia.

“Habis tu, untuk Sarimah?” tanya Tan Sri Zainul Arif lantas pandang wajah adiknya yang nampak sayu.

“Untuk dia, tunggu aku mati dulu sebab aku tahu apa yang dia nak.”

Berkerut muka Tan Sri Zainul Arif tak faham. Wajah itu berubah serius. “Habis tu… anak kau?”

Dan… wajah anak perempuan yang amat disayangi menjelma di mata. Keletah manja gadis itu. Bahasa sopan gadis itu. Malah ketaatan anaknya melebihi ketaatan isterinya. Bahkan sikap baik hati anaknya langsung tak mengikut sikap Sarimah. Hatinya terguris. Kalaulah semua orang tahu onar Sarimah tentu mereka akan membenci wanita itu. Dan dia? Akan menjaga aib wanita itu sehingga ke mati.

“Biar masa yang menentukan semuanya Zain. Cuma satu saja yang aku minta dari kau. Walau apa saja yang terjadi kau kena kuat untuk mempertahankan yang benar. Jangan jadi macam lalang. Bila ditiup ke kanan kau ke kanan. Bila tak ada angin kau diam. Kau kena kuat," pesan Dato' Zainuddin Amien lalu hembus nafas kesal.

Tan Sri Zainul Arif pula hanya balas dengan kesenyapan. Matanya turut memandang ke luar kondo. Menatap malam yang semakin indah. Suasana malam ini seakan merestui pengakuan adiknya. Pengakuan untuk menambah seorang lagi isteri.

“Dalam sampul tu juga ada sesuatu yang aku nak kau tengok kalau aku betul-betul dah tak ada,” pesan Dato’ Zainuddin Amien sebelum lelaki itu kembali ke beranda dan berdiri di situ melayan hembusan angin malam.

Tan Sri Zainuddin Amien baik hairan. Kata-kata lelaki itu begitu menakutkan. Lantas dipegangnya sampul surat itu dengan seribu pertanyaan. Hati tak mampu bersabar. Tetapi demi adik, dia akan bertahan.

***

Sehari selepas balik dari kondominium adiknya, Tan Sri Zainul Arif menyimpan semua pemberian lelaki itu di tempat yang terjaga. Hati amat berharap si adik akan bahagia walaupun dia tak setuju dengan tindakan lelaki itu. Namun, dia berharap hidupnya akan tenang. Tetapi, apa yang dihajati tidak terjadi. Datang ribut datang membadai kehidupannya pula.

Mukhreez mengurung diri di dalam bili sebaik dalil dari Sydney. Itu yang sedang berlaku. Tidak tahu kenapa. Tetapi hari ini, tidak ada angin tidak ada ribut, tiba-tiba saja lelaki itu berubah menjadi raksasa. Drain luar kedengaran Mukhreez menjerit kuat. Malah turut kedengaran barang yang dibaling ke dinding.

“Kenapa dengan Reez tu, Rai?” soal Tan Sri Zainul Arif tak faham. Pandang isterinya yang menangis pilu. Tak mampu memujuk si anak yang mengamuk di dalam bilik bagaikan orang gila.

Orang tua itu memandang pula Aiza yang menangis sehingga basah bajunya.
“Kenapa dengan abang long tu, dik?” tanya lelaki itu resah.

“A… ab… abang long….” Tak mampu Aiza Munirah hendak menjelaskan. Namun, melihat mata tua itu yang sudah bergenang hati gadisnya tak mampu berdiam diri lagi.

“Kak Wieta minta putus. Lepas tu larikan diri dari abang. Tak tahu pergi mana.”

Dan… hati tua Tan Sri Zainul Arif pecah berkeping-keping. Baru lagi berita gembira disampaikan anak bujangnya. Mahu menikahi Juwieta sebaik pulang dari Sydney. Namun, gadis itu telah merobek luka yang paling dalam pada hati Mukhreez. Anaknya itu terlalu mencintai sehingga sanggup berbuat apa saja tetapi Juwieta pula sanggup melukakan. Hati tuanya mahu memaki hamun namun, pesanan si adik pantas menyinggah.

‘Jadi kuat Zain. Aku hanya ada kau seorang. Kau yang boleh tolong kita semua.’
Usai ayat itu hilang dari telinga, telefon berdering minta dijawab. Melihat panggilan dari luar negara hati berdetak kencang.

“Abang Zain! Amien dah meninggal. Mati kena tembak!” suara Sarimah yang teresak-esak di talian pantas melurutkan tubuh tuanua dan Puan Sri Raihanah tergamam.

“Abang! Kenapa?” jerit wanita itu lantas melutut di sebelah suaminya yang mencengkam dada. Mukhreez di dalam yang baru reda menangis terkejut. Mendengar kekecohan di luar terus jiwanya risau. Pantas dia keluar. Sapu air matanya dan dekati orang tua yang sedang terlentang di depan pintu biliknya. .

“Reez, mummy tak tahu kenapa dengan daddy Reez ni.”

Tangan Tan Sri Zainul Arif tergapai-gapai hendak memberitahu namun mulut terasa beku. Perlahan-lahan tangan yang memegang telefon di gerakkan dan Mukhreez pantas mengambilnya. Lekapkan di telinga seraya menyapu air mata jantannya yang meluruh.

“Abang Reez, papa dah tak ada.”
Dan… suara lunak yang teresak-esak di talian membangkitkan kebencian luar biasa dalam hati Mukhreez. Dia benci dengan apa yang terjadi. Dan serentak itu, Tan Sri Zainul Arif tak sedarkan diri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience