Rumah sewa Farah
“Amboi cantiknya. Macam ada sesuatu je hari ni.” Farah menegur sebaik turun ke bawah. Pandang Syifaa atas bawah dengan muka tak percaya namun, Syifaa hanya ukir senyum panjang kemudian memandang diri sendiri.
Entah kenapa ringan sungguh tangannya mengambil baju pemberian umi yang sudah lama tersimpan di dalam almari. Hadiah daripada wanita itu kerana berjaya menjadi seorang guru masih muat di tubuh walaupun sudah 6 tahun tidak dipakai. Pantas hati berdetik rindu. Rindu pada wanita yang mengandungkannya.
“Awal kau bangun hari ni?” Dia tidak membalas kata-kata Farah sebaliknya menyapa rakan baiknya itu dengan sinis.
“Aku selalu je bangun awal. Cuma aku suka keluar lambat dari bilik. Itu yang kau cakap aku suka bangun lambat kan,” balas Farah seraya buat muka.
“Banyaklah kau punya cekadak. Perangai kau tu mengalahkan budak-budak asrama. Tapi tak apa. Perangai kau yang satu tu aku saja yang tahu. Bakal suami kau nanti hadap lepas nikah je lah.” Syifaa mencebik sambil tangannya ligat membakar roti sandwich.
“Itu yang aku suka kawan dengan kau. Rahsia aku selamat dalam tangan kau.”
Syifaa tak heran.
“Milo atau Nescafe?” Tanya Syifaa. Dia sudah bersedia dengan mug berisi air panas.
“Sama macam kau?” jawab Farah lantas mencapai Daisy dan di sapu ke atas roti yang telah dibakar Syifaa. Kemudian sedikit gula di tabur ke atasnya. Dia sudah maklum akan sarapan pagi Syifaa. Manakala untuk dia hanya roti bakar kosong. Cicah dengan minuman yang dibuat Syifaa. Itu sudah cukup baginya sebelum ke tempat kerja.
“Kau dah okay kan? Tak nangis-nangis lagi kan?” tanya Farah lalu seiring ke meja makan. Syifaa ukir senyum panjang.
“Kau doakan aku ya”
Pastinya Farah mengeyakan. Itu sahabat baiknya. Sahabat semenjak zaman di maktab perguruan lagi dan persahabatan mereka terjalin sehingga ke sini. Pantas Farah ukir senyum bahagia. Melihat kelainan Syifaa pagi in hatinya yakin, Syifaa mampu menangkis kenangan pedih yang bertandang tak kiran masa.
“Sejak kau bertudung ni aku rasa kau cantik sangat. Makin cantik bila kau pakai shawl macam ni. Tapi… aku musykillah. Kau ada date ke?”
Syifaa mengangguk sebaik sahaja duduk di hadapan Farah. Tentunya Farah tercengang tak percaya.
“Kau tak cakap dengan aku pun. Biasanya kalau ada mamat nak berkenalan dengan kau mesti aku orang pertama yang akan tahu. Apahal hari ni kau macam berahsia sangat,” soal Farah tak puas hati dan membuat Syifaa hamburkan tawa gelihati. Namun sinar matanya tetap sedikit kelam. Ada manik-manik jernih yang bakal gugur ke pipi.
Farah tersentak.
"Tak terlintas pun lagi kat hati aku nak cari pasangan. Aku masih trauma Farah." Syifaa merenung jauh ke depan. "Aku masih teringat kisah lama dan baru semalam…."
Farah tolak mug sedikit jauh kemudian tarik tangan Syifaa. Genggam erat.
"Please, Syifaa. Benda dah lama sangat. Jangan ungkit lagi." Wajah Farah terlihat kecewa. Bukan niatnya hendak menghalang tetapi apa yang pahit tak semuanya boleh ditelan.
"Enam tahun belum cukup untuk mengambus semua kenangan antara aku dengan arwah."
Sungguh Farah menyesal. Apabila muka Syifaa sudah berubah pahit begini dia mula rasa cukup bersalah.
"Okay. Tak payah cakap pasal benda yang dah lepas. Baik kau cakap dengan aku kau nak pergi mana sebenarnya?" soal Farah sebaik lepaskan tangan Syifaa. Ambi mug dan suakan ke bibir. Melihat senyuman cantik Syifaa hati Farah meronta-ronta mahu tahu.
“Kau tak ingat ke. Kan aku dah janji dengan Abang Man aku nak balik kampong habis sekolah nanti.”
Hampir tersembur milo panas yang baru dihirup Farah.
“Laa… jadi ke?”
Kepala Syifaa mengangguk manis.
“Abang Man call sebelum subuh tadi cakap nak datang ambil aku balik sekolah nanti. Tak jadi nak balik esok. Kalau boleh awal kenapa nak lewatkan. Itu kata dia,” cerita Syifaa ceria namun ada resah di balik keceriaan itu. Syifaa bimbang keluarganya masih tidak dapat menerima kepulangannya. Namun dia terkedu melihat keadaan Farah.
“Yang kau nak menangis bagai ni kenapa pula?” soal Syifaa pelik apabila Farah mengesat tubir mata yang sudah digenangi air jernih.
“Syukur Alhamdulillah. Inilah yang selalu aku harapkan Syifaa. Dia mak kau. Kau wajib taati dia selagi kau belum jadi hak milik orang lain.”
Syifaa angguk dalam mata bergenang juga. Kalau tadi dia mengata dekat Farah. Kali ini dia pula yang hendak menangis.
“Kalaupun mak kau marah dekat kau semuanya untuk kebaikan kau Syifaa. Syukur ya Allah, kau dah ada hati nak balik. Aku gembira sangat.” Pantas Farah memeluk Syifaa yang sudah lencun dengan airmata. Mereka saling berpelukan dalam keadaan hiba.
“Doakan semoga semuanya selamat,” pinta Syifaa takut dan Farah mengeyakan dengan hati lega. Dileraikan pelukannya kemudian sapu pipi Syifaa yang masih dibasahi airmata.
“Dah tak comel dah muka kau. Baik kau pergi touch up sikit. Nanti student kau tengok kau, result BM dia orang terus merudum,” usik Farah. Syifaa langsung mengetap bibirnya tidak setuju.
“Janganlah cakap macam tu. Kalau subjek BM jatuh aku yang akan kena nanti. Macam mana nak jawab dengan pengetua,” omel Syifaa geram lantas dicubit pipi Farah. Sahabatnya itu menggosok kuat. Memang sakit
“Engkau ni. Aku nak kau nampak ceria. Menarik. Bukan nak suruh student kau jatuh merudum. Paling penting biar kau dapat jodoh tahun ni jugak.”
Tangan Syifaa terus mencubit lengan Farah. Lagi sekali soal jodoh disebut gadis itu.
“Jangan nak buat hal. Aku yang nak tengok kau naik pelamin dulu. Lepas tu dapat anak berderet-deret. Bila aku dah puas main dengan anak kau baru aku kahwin,” tukas Syifaa ceria dan membuat Farah ketawa gelihati..
“Well. We’ll wait and see. Siapa yang akan makan nasi minyak siapa,” balas Farah dalam ketawa mengekek. Tadi bukan main lagi berjanji tak nak ungkit pasal pasangan. Alih-alih terlepas lagi. Nasib baik Syifaa tak sedih.
“Dahlah melalut. Kang terlewat pulak nak thumb print. Jomlah!” ajak Syifaa lantas mencapai beg pakaiannya yang berada di atas sofa. Baru saja bergerak dia berpaling semula. Ketika itu Farah baru saja selesai membasuh mug tadi. “Kira hari ini aku tumpang kaulah ya,” minta Syifaa dan Farah mendepakan tangannya.
“Besar tapak tangan stadium Bukit Jalil aku tadahkan.”
Lalu Syifaa mengangguk suka hati dengan kebaikan Farah.
“But... kau drive ya.”
Serta-merta Syifaa meletakkan beg pakaiannya ke lantai.
“Lah. Aku baru nak bermanja dengan kau. Alih-alih aku pula yang kena manjakan. Tak patut betullah.” Syifaa muncungkan bibir.
Terus Farah hamburkan tawa besar. Tak tunggu Syifaa, Cepat-cepat dia keluar lalu masuk ke dalam kereta dan duduk di bahagian penumpang. Bimbang Syifaa akan menyuruhnya memandu. Syifaa memang tak puas hati tetapi begitulah dirinya. Akan beralah. Itulah tanda kasihnya pada Farah.
***
Kelas 5 Dinamik
Jam 7:20 mereka tiba di sekolah. Bacaan Yasin juga sudah bermula. Terus mereka bergegas masuk ke dalam bilik guru. Sediakan bahan untuk mengajar sebentar sahaj lagi. Farah tidak kalut kerana kelasnya bermula jam sembilan. Kelas dia pula bermula selepas habis bacaan Yasin nanti.
Sebelum loceng berdering, Syifaa sudah melangkah perlahan-lahan ke kelasnya. Begitulah rutinnya setiap hari. Tiga hari setiap minggu waktu pertama adalah untuk kelasnya.
“Siapa yang tak hadir hari ini?” soalnya sebaik salam yang dihulurkan dijawab anak-anak didiknya.”
“Aiza Munirah cikgu,” jawab Rahman seraya memandang ke belakang. Syifaa pul pantas merayapkan mata ke tempat Aiza Munirah. Kosong. Lalu hatinya ranap kecewa. Walaupun gadis itu kurang ajar dengannya tetapi dia masih mengharapkan gadis itu berubah. Biar menjadi pelajar yang berdisiplin. Kalaupun tidak berubah seratus peratus paling kurang pun biarlah kehadirannya penuh. Nampaknya harapan yang dibenihkan hanya tinggal harapan. Sudah pertengahan bulan ke dua dan Aiza masih begitu.
Terlintas pula di fikiran keceluparan gadis itu kelmarin. Tidak. Dia tidak memarahi gadis itu. Dia akan buktikan pada gadis itu dia bukan guru yang menyelam sambil minum air. Lantas dihalau rasa kecewa dengan menanda kehadiran pelajar di dalam buku rekod kehadiran. Selepas itu dia menulis di papan putih.
Baru saja hendak menyuruh pelajarnya membuka buku teks Aiza Munirah muncul tiba-tiba dengan wajah yang pucat. Tanpa salam mahupun sapaan gadis itu duduk sambil mata itu melilau ke sana ke mari. Seolah-olah sedang berjaga-jaga. Bagaikan ada musuh di sekeliling. Syifaa memerhati saja. Nasib baik rakan sekelas gadis itu juga faham. Semuanya diam. Mungkin kerana mereka sudah faham dengan sikap baran gadis itu. Kalau ditegur nanti gadis itu akan berlari keluar pula.
Akhirnya dia hanya mampu bersabar. Biarkan gadis itu bertenang dahulu barulah dia akan slowtalk. Syifaa memujuk diri sendiri kemudian menyambung kembali tugasnya yang tertangguh. Tiga masa berlalu dengan begitu cepat. Sedar tak sedar loceng berbunyi menandakan masa bersama kelasnya sudah tamat. Saat dia mengemas barangnya Aiza Munirah menyusup keluar. Tak sempat dia hendak bercakap dengan gadis itu. Kelas mula kosong kerana semua pelajar bergegas ke dewan kerana perlu menghadiri bengkel pertama SPM untuk bulan ini.
Tak jadi dia hendak ke bilik guru. Terus pusingkan badan melangkah ke surau. Dia yakin Aiza Munirah ada di sana. Sebaik masuk ke dalam dia terkejut.
“Aiza!!!” Syifaa terkejut. Melihat gadis itu yang memeluk tubuh yang nampak menggigil Syifaa terus mendekati. Melihat pula tangan Aiza yang sesekali mengurut perut sendiri hati diterpa bimbang. Terus insiden dulu singgah ke dalam fikiran.
“Aiza, kenapa ni?” soal Syifaa lantas bongkokkan badan menyentuh bahu gadis itu.
“Lepaslah.” Secepat kilat tangan itu menepis tangannya dan Syifaa bangkit kerana terkejut.
“Sakit macam hari tu ke?” Tetapi dia tidak putus asa. Tetap bertanya.
“Cikgu tak payah nak sibuklah. Lebih baik cikgu pergi dari sini kalau tak saya......” Aiza sudah mencapai buku-buku teks di dalam beg sandang di tepi namun tangan itu yang menggigil teruk tak mampu mengangkat walau sebuah buku. Tangan itu kelihatan lemah tak bertenaga.
“Bertenang Aiza. Cikgu tahu awak tengah sakit. Biar cikgu hantar awak ke hospital.” Syifaa terus mencuba.
“Pergilah. Aku cakap pergiiiii.”
Akhirnya tangan kecil itu dapat menarik sebuah buku lalu ingin membaling ke arah Syifaa namun terhenti. Buku jatuh ke bawah dan tangan itu menekan kuat permukaan perut.
“Sakit!” Aiza melirih pedih dan tak lama terkulai layu.
Syifaa terkejut.
“Aiza!!!” panggil Syifaa namun gadis itu langsung tidak bergerak.
Share this novel