KB MALL
Kelantan!
Tak ada negeri lain ke nak pergi. Kenapalah abangnya boleh ada kerjasama dengan syarikat di sini. Sungguh dia menyampah. Ingatkan nak ke luar negara. Feeling-feeling jumpa artis Jepun paling kurang. Tak pun Kpop. Alih-ali negeri Cik Siti Wan Kembang ini jugalah yang menjadi destinasi percutian kali ini. Pulak tu buat kerja sambil menyelam sambil minum air. Aiza geram.
Lalu dengan muka masam mencuka dia masuk ke dalam bilik hotel Tune sebelah KB Mall. Nasib baik sebelah itu pasaraya. Taklah dia akan bosan di dalam bilik.
"Petang nanti abang ada temujanji dekat mall sebelah. Adik nak ikut?"
“Tengoklah. Kalau ada selera.” Aiza menjawab acuh tak acuh.
“Erk, macam tu pun boleh.” Mukhreez kerutkan kening. Tengok adiknya lama kemudian, “Okay. Up to you. Tapi kalau adik cakap bosan jangan harap abang long nak layan,” ugut Mukhreez namun tak menjadi isu pada Aiza.
Terus bibir kecil itu mencebik.
Aiza berehat di atas katil sehinggalah jam menjengah ke angka dua setengah petang. Baru saja berkira-kira hendak ke bilik air terdengar pintu bilik diketuk orang dan Aiza tahu tentu Abang Zuhdi di luar. Lelaki itu sebagai pembantu abang longnya menginap di bilik sebelah. Namun begitu Aiza tidak melangkah ke pintu sebaliknya menonong ke arah bagasi. Ditariknya pakaian dan juga alat mandiannya.
Mukhreez yang menyedari kemunculan Zuhdi terus melangkah dan bukakan pintu.
“Adik nak ikut ke tak?” tanya Zuhdi yang sudah masuk ke dalam.
“Dia cakap tengok selera.” Pandai Mukhreez nak kenakan adiknya dan muka Zuhdi tercengang hairan.
“Tak ada selera. Pelik.” Zuhdi pun tak kurang juga nak menyakat. Pantas Aiza menjeling geram.
“Mesti mall kat situ biasa je kan. Tak macam kat luar negara,” tukas Aiza tunjuk ego. Siap dengan bibir mencebik tak suka.
Pantas Zuhdi kerling Mukhreez yang tergeleng sambil tersenyum lucu.
“Dah namanya pasaraya. Nak luas biasa macam mana lagi,” jawab Zuhdi lucu. Aiza masih buat muka.
“Kalau tak nak ikut tak apa. Tapi lepas habis meeting nanti kami nak ke pantai,” pancing Zuhdi. Mendengar sahaja perkataan pantai terus wajah Aiza terlukis senyum indah.
“Really?” soal Aiza ceria.
Kedua-dua orang lelaki kacak itu mengangguk menang. Sememangnya mereka cukup maklum akan tempat kegemaran gadis itu lantas segera menyuruh Aiza bersiap kerana perjumpaan dengan klien nanti tepat jam tiga petang.
Setelah bersiap ala kadar Aiza mengekori langkah kedua-dua orang lelaki itu sehingga masuk ke dalam pasaraya. Mereka berhenti di dalam restoran mewah. Zuhdi membawa Aiza ke meja lain setelah Mukhreez menyapa dua orang wanita yang anggun dengan penampilan ala-ala pramugari.
Aiza yang duduk selang dua meja daripada Mukhreez menjeling geram. Sakit hati betul melihat abangnya yang duduk berbincang dengan kedua-dua wanita terbabit. Sudah nampak berumur tetapi calitan warna pada muka menampakkan kedua-duanya cantik dan muda. Melihat abangnya yang fokus dia jadi risau. Berharap abangnya tidak akan jatuh cinta pada wanita begitu. Dia tidak suka.
Kerana tidak sanggup menunggu lama dan menyaksikan kemesraan di depan mata Aiza buat-buat sakit perut. Lain pula yang jadi. Zuhdi di depannya yang kelam kabut. Pantas lelaki itu menghubungi Mukhreez yang ralit dengan kerjanya. Namun dengan segera lelaki itu menghampiri mereka apabila diberitahu akan kesihatan Aiza yang terganggu.
“Adik ni betul ke sakit perut?” soal Mukhreez curiga. Melihat muka Aiza yang merenung tajam ke arah klien perempuan terus hati Mukhreez yakin yang Aiza hanya buat-buat sakit.
“Kenapa dengan adik ni. Jangan buat hal boleh? Abang long tak nak appointment abang long bersambung. Kalau adik buat perangai macam ni abang long kena jumpa minah songeh tu banyak kali. Sakit mata abang long ni tahu tak. Tengok dia orang pakai macam tu,” omel Mukhreez geram.
Aiza Munirah tercengang. Tak semena-mena hamburkan gelak besar. Tak sangka mata abangnya sakit gara-gara penampilan perempuan itu yang mengalahkan kerengga.
“Okay. Abang pergilah setelkan kerja abang. Adik nak pergi kedai buku. Tadi masa masuk kat sini adik ada nampak label Popular Bookstore. Adik nak pergi cari buku. Jom Abang Di.” Aiza segera bangkit. Mengajak Zuhdi yang entah kerja atau tidak.
Mukhreez menggeleng tak faham dengan perangai si adik. Sekejap Aiza okay. Sekejap tak okay. Bila sudah melaluinya barulah dia sedar akan kesusahan guru kelas adiknya. Kesusahan guru itu hendak membentuk adiknya.
Ingatan pada guru kelas adiknya itu dibuang jauh. Dia sedang bertugas. Tak perlu hendak mengingati orang yang dia tak pernah dilihat. Lalu kembali ke meja perbincangan tadi.
“Ok, thank you very much for the chance. Until we meet again Mr. Mukhreez,” ucap Miss Lailawaty. Wakil Syarikat Meteor Express yang berdarah India Muslim itu. Masing-masing mengangguk ria. Kemudian dua orang wanita itu meminta izin untuk balik awal. Mereka perlu ke cawangan syarikat yang terletak berdekatan TESCO Kota Bharu pula.
Mukhreez melihat sepintas lalu salinan dokumen perjanjian yang perlu diteliti. Dokumen itu akan dibawa kepada ayahnya untuk dipertimbangkan. Jika lulus barulah wanita tadi akan datang untuk membentangkan projek usahasama mereka.
Jam di tangan dia lirik gagah. Sudah 4:30 petang. Matanya melilau memerhati suasana di dalam KB MALL. Sudah banyak perubahan berbanding tahun lepas. Tiba-tiba matanya menangkap susuk tubuh yang sedang melangkah laju menapak ke eskulator. Susuk itu kelihatan tergesa-gesa. Apabila pemilik tubuh itu berpaling, melilau seperti mencari seseorang darahnya terus mengalir laju. Dada pula pantas berdetak kencang.
Wajah itu!
Cepat-cepat Mukhreez menyimpan dokumen penting ke dalam beg sandang. Setelah itu dia berlari-lari anak mengejar gadis yang semakin jauh dan akhirnya hilang dari mata. Namun dia tetap menjejak sehingga ke aras dua. Mata tak lepas mencari-cari wajah yang baru sahaja dilihatnya di pekarangan Hospital Salam. Walaupun hatinya kesal kerana beranggapan gadis itu sudah dimiliki tetapi sehingga ke saat ini dia masih berani mengekori.
Penuh hati-hati dia mencari dan akhirnya bola mata lelakinya jatuh pada susuk yang berlari mendapatkan anak kecil dalam dukungan seorang lelaki. Melihat gadis itu mendukung anak kecil itu dengan ria, dia kepal tangannya. Menahan diri dari menggigil kecewa. Menyaksikan gadis itu bertalu-talu mencium pipi si kecil hati lelakinya benar-benar kecewa. Apatah lagi lelaki di depan gadis itu bersikap mesra. Menarik pipi gadis itu ibarat kedua-duanya ada hubungan istimewa.
Setelah dua kali melihat sendiri adegan mesra itu hati pun yakin. Dia tidak sepatutnya lagi berharap pada orang yang dia tidak kenal itu. Sekadar tahu nama sahaja tidak menjamin dia boleh memiliki orang itu. Mungkin ada gadis lain yang telah Tuhan takdirkan untuknya. Menunggu masa sahaja untuk dipertemukan. Mungkin juga Tuhan mahu menguji hatinya saat ini.
Apakah dia masih ada rasa untuk bercinta. Adakah dia sudah bersedia untuk melupakan kenangan lalu yang teramat pahit dan menerima gadis baru dalam hidupnya dengan seikhlas hati. Semua soalan itu hanya dia yang mampu menjawabnya.
Mukhreez akhirnya pasrah. Lapangkan dada dan berserah hanya pada Tuhan. Dengan itu dia amat berharap hidupnya akan tenang tanpa gangguan.
Share this novel