BAB 23

Drama Series 18121

Mukhreez hilang punca. Keluar sahaja dari bilik air dia tidak nampak kelibat adiknya. Sehinggalah maghrib menjelma.

“Kenapa dengan Aiza?” tanya Zuhdi mamai. Dia yang terlena langsung tak sedar Mukhreez banyak kali menghubunginya.

“Aku tak tahu adik pergi mana? Telefon tak dapat-dapat. Malam dah ni. Aku tak sedap hati sangat ni, Di!” rungut Mukhreez seraya pandang kel luar.

“Agaknya dia lepak kat lobi kut,” duga Zuhdi namun digeleng Mukhreez.

“Aku dah turun cari tadi. Tak ada pun.”
Mukhreez sudah mundar–mandir menunjukkan kebimbangan. Zuhdi pula mula masuk ke dalam.

“Kita tunggu dulu. Kejap lagi mungkin dia akan sampai,” usul Zuhdi cuba menenangkan hati Mukhreez termasuk hatinya sendiri. Diambilnya alat kawalan jauh lantas menghidupkan peti televisyen. Sekelip mata muncul rancangan di layar skrin tetapi nyata tidak mampu membawa ketenangan. Lima belas minit berlalu akhirnya pintu bilik ditolak orang. Mereka berdua pantas menoleh.

“Adik!”
Kedua-dua orang lelaki itu serentak memanggil setelah pintu terbuka. Hati Zuhdi lega kerana memang Aiza Munirah yang muncul di balik pintu. Berlainan pula dengan Mukhreez. Hati lelakinya tercabar dengan karenah adik sendiri.

“Adik pergi mana? Keluar tanpa pengetahuan abang long.” soal lelaki itu dengan suara tinggi. Namun Aiza Munirah buat tidak tahu. Menonong ke katil dan capai tuala.

“Tahu tak abang long risau sangat. Adik pergi mana? Kenapa abang long call tak masuk-masuk? Kalau jadi apa-apa dekat adik apa yang abang long nak jawab dekat mummy dengan daddy.” Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Mukhreez sehingga menyebabkan Aiza tunduk ke bawah.

Perasaan kesal datang kembali apatah lagi wajah Cikgu Syifaa masih mahu masuk ke dalam fikirannya.

Zuhdi pula memandang sayu. Melihat perubahan sikap Aiza Munirah hati meneka. Serasa ada sesuatu yang terjadi. Tak betah membiarkan dua beradik itu bertelagaha pantas dia mendekati Mukhreez. Tangan dinaikkan ke bahu lelaki itu. Menyuruh bersabar dahulu.

Wajah Mukhreez terkemut-kemut menahan perasaan. Akhirnya dia hempaskan punggung ke atas sofa. Mata pula mengekori tindak- tanduk si adik. Aiza Munirah melangkah ke meja lampu. Tangan gadis itu mengecas telefon lalu ditinggalkan di situ. Mukhreez pantas menarik nafas panjang melihat bibir itu yang diam sedari tadi. Tidak seperti selalu yang suka menjawab kata-katanya.

“Telefon adik low bat.” Akhirnya Aiza Munirah bersuara namun kedengaran lemah.

Tangan Mukhress mengepal penumbuk. Membuang rasa geram yang datang bertandang. Melihat Aiza yang berlalu ke dalam bilik air dialihkan pandangan ke arah Zuhdi. Lelaki itu angkat tangan lagi. Menyuruhnya bersabar.
Dan dia menurut dengan harapan Aiza akan keluar dari bilik air dan berterus-terang. Dia akan menunggu.
***

Aiza duduk di birai pintu gelangsar menghadap panorama malam di hadapan. Matanya layu melihat ke depan. Lampu-lampu jalan dan bangunan diperhatikan dengan harapan itu semua mampu menghalau rasa yang bertapak di dalam hati sedari di pantai tadi.

Mukhreez di belakang yang menyaksikan keadaan adiknya melangkah mendekati sambil membuka keropok sira di tangan. Dia labuhkan punggung di sebelah dan Aiza tersentak. Terus gadis itu betulkan kedudukan.

“Nah.” Mukhreez hulurkan plastik di tangan dan ditolak lembut oleh Aiza. Mata adiknya itu terus memandang ke depan. Dia juga turut memerhati apa yang dilihat gadis itu. Sambil-sambil tangan mengambil keropok dan satu demi satu di kunyah sedap. Mata sesekali melirik adiknya sambil menunggu masa untuk melepaskan apa yang ada di dalam dada.

“Semua orang kat atas dunia ni ada masalah. Sama macam abang juga. Betul kan?” soal Mukhreez membuka bicara namun tidak diangguk Aiza Munirah.

“Tipulah kalau manusia dalam dunia ini tidak ada masalah. Orang gila pun ada masalah dia.”

Dan tak semena-mena terbit tawa kecil Aiza dan itu sudah cukup melegakan hati Mukhreez.

“Kalau adik ada masalah cuba kongsi dengan abang long. Kalau adik malu nak kongsi dengan abang long adik cari seseorang yang adik rasa selesa untuk berbual. Jangan larikan diri lagi.” Perlahan-lahan Mukhreez menasihati dan mata Aiza dilabuhkan ke wajah abangnya. Sinis.
“Macam abang long? Larikan diri apabila ujian datang?” soal Aiza menguji dan Mukhreez ukir senyum seraya mengangguk.

“Ya. Jangan jadi macam abang long,” jawab Mukhreez mengakui kesilapan diri. “Kerana melarikan dirilah segala masalah tak selesai. Bertambah pula dengan masalah yang satu ni.” Hidung Aiza ditarik dan gadis itu pantas menenyeh geram. Menghilangkan busuk bau tumis keropok yang dipegang abangnya.

Mukhreez berhenti mengunyah lantas hembus nafas panjang. Mata memandang ke langit kelam.
“Abang long cuba kuatkan diri tapi abang long tak mampu. Ikutkan hati abang long… abang long tak nak balik sampai bila-bila tapi….” Mukhreez berhenti. Jauh pandangannya tembus sehingga melepasi bangunan tinggi di depan mata.

Aiza pula menanti penuh sabar.
“Wajah yang abang long jumpa dekat airport dulu cukup menenangkan. Pertama kali jumpa terus abang long nekad nak duduk dengan mami dan daddy sampai bila-bila. Senyuman manis itu buat abang long berusaha mencari.”

Aiza tersentak. Langsung tak terduga ada cerita yang tak pernah dia tahu.
“Abang long tak pernah cerita pun,” soal Aiza tidak percaya.

Mukhreez pantas tergelak kecil.
“Macam mana nak cerita. Adik dah tak ramah macam dulu. Asyik nak larikan diri. Tengok abang pun macam tengok hantu,” sakat Mukhreez dan Aiza pantas mencubit lengan abangnya. Terus Mukhreez teringat dekat Zuhdi. Sakit betul kena cubit dengan adiknya. Patutlah Zuhdi naik geram dengan gadis itu.

“Cerita lagi.” Paksa Aiza tiba-tiba dan mengejutkan Mukhreez.

“Bukan adik tak suka ke kalau abang long cakap pasal perempuan lain?”

“Perempuan ke yang abang long cakap tadi?”

Mukhreez pantas tepuk dahinya geram.
“Dah senyuman manis. Tentulah perempuan.”

Lalu tawa Aiza terluah kuat. Berhenti mendadak dan pandang abangnya sayu.

“Adik bukan tak suka abang long kawan dengan mana-mana perempuan. Adik pun tak layak nak menyekat hati abang long tapi adik takut abang long akan terluka sekali lagi. Adik dah tak sanggup nak hadap semua tu sekali lagi. Kalau abang long terluka adik dah tahu apa yang akan abang long buat.”

Pantas Mukhreez tarik Aiza rapat ke sisi dan peluk erat.
“Sejak abang long ditinggalkan hati abang long sudah tertutup untuk mana-mana perempuan. Tapi… bila abang jumpa gadis yang abang long cakap tu abang long dapat rasakan kekuatan abang long dah kembali.”

Terus Aiza leraikan pelukan abangnya.
“Bermakna gadis itu dah beri semangat pada abang long?”
Mukhreez angguk mengiyakan.

“Siapa perempuan tu?”
Mukhreez menggeleng tak tahu.

“Hah, tak tahu?” Pening Aiza dengan cerita abangnya. “Abang long ada jumpa dia lagi tak lepas jumpa kat airport tu.”

“Ada. Tapi….”
Aiza hairan.

“Abang long ada terserempak dengan dia tapi dia dengan lelaki lain. Dua kali abang jumpa. Dua-dua dengan lelaki yang sama. Jadi abang beranggapan dia dah jadi milik orang.” ujar Mukhreez kecewa.

“Kalau dia belum lagi milik orang?” duga Aiza.

“Siap gadis tu,” pesan Mukhreez tegas dan Aiza terkejut.
“Kenapa?”

“Abang long akan kejar dia. Abang long tak akan lepaskan dia sampai bila-bila.”

Lega.
Dan Aiza pandang abangnya yang merenung jauh ke depan. Nampak wajah itu bersinar indah. Lalu dia berharap wajah itu akan terus tersenyum panjang. Dia tidak mahu lagi melihat wajah terluka yang menyakitkan. Lantas hati berdoa agar gadis yang diceritakan abangnya itu belum lagi dimiliki orang. Malah dia berdoa akan ada pertemuan seterusnya yang akan membuahkan kebahagiaan dalam hidup lelaki itu.
Dia amat berharap.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience