Wad Hopital Salam
Sudah lima kali nombor telefon yang tidak dikenali itu muncul di skrin telefonnya. . Siapa si pemanggil tersebut dia tidak tahu. Hendak dijawab sekarang dia sedang bermesyuarat dengan orang tuanya dan juga beberapa klien dari Singapura. Entah kenapa dadanya bergelora tidak sabar. Serasa ada sesuatu yang terjadi.
Hendak keluar dari bilik mesyuarat rasa macam tak kena. Apatah lagi sekejap lagi mesyuarat akan tamat. Hendak tak hendak terpaksa dia diamkan diri dan berjanji dalam hati akan menghubungi pemanggil tersebut selepas urusannya selesai.
“I hope we can deal again,” ucap salah seorang wakil dari Singapura sebaik sahaja Dato’ Seri Zainul Arif tamatkan mesyuarat. Orang tua itu bangkit lalu berjabat tangan dengan klien. Mukhreez pun turut bangkit.
“Oh, sure. So, can we have a lunch now?” pelawa Dato’ Seri Zainul Arif. Wakil-wakil yang ada semuanya mengangguk setuju. Hanya Mukhreez yang sesekali memandang Apple di tangan. Pantas Dato’ Seri Zainul Arif menjongketkan kening ke arah Mukhreez. Mengajak bersama tetapi Mukhreez menunjukkan telefon di tangan yang sudah mendendangkan lagu R&B.
Sebaik orang tuanya berlalu sepantas kilat dia menjawab panggilan. Suara lunak di corong sana yang memberikan salam tiba-tiba sahaja menggetarkan hati lelakinya. Tetapi getaran itu berganti debaran risau apabila si pemanggil memperkenalkan dirinya.
“Sorry, saya ada meeting penting tadi,” ucap Mukhreez dengan rasa bersalah.
Syifaa dicorong sana mengerutkan dahi.
“Tak apa. Boleh tak encik…..”
“Mukhreez.” Pantas Mukhreez memberitahu namanya.
“Saya minta Encik Mukhreez datang segera ke hospital. Aiza Munirah kena tahan dekat wad.”
Mukhreez terkejut.
“Lagi sekali?” soalnya gusar.
“Ya. Harap encik dapat datang segera. Terus jumpa dengan doktor. Urgent.”
Mukhreez angguk walaupun tidak dilihat guru itu. Kerana penerangan guru itu begitu mendebarkan hati dia mula kelam-kabut.
“Ok, give me ten minutes.” Jemarinya putuskan talian dan dengan segera berlari keluar dari bilik mesyuarat. Kereta yang diparkir di hadapan pejabat memudahkan urusannya. Enjin dihidupkan dan dia memandu laju ke hospital sebagaimana yang telah dimaklumkan guru kelas adiknya melalui pesanan ringkas.
Sementara di dalam wad….
Syifaa memandang telefon bimbitnya. Keliru dengan suara lelaki itu. Dalam berkhayal satu pesanan ringkas masuk. Pesanan daripada Abang Man yang memberitahu sudah hampir sampai di hospital cukup meruntun hatinya. Kalau boleh dia mahu berjumpa dengan abang Aiza terlebih dahulu. Banyak perkara yang hendak dibincangkan. Namun mengenangkan masalah peribadinya yang belum selesai dia melangkah masuk semula ke dalam bilik. Melihat Aiza Munirah buat terakhir kali sebelum pulang ke kampung.
“Sudah-sudahlah tu Syifaa. Baik kau keluar. Tunggu abang kau sampai,” suruh Farah tegas namun Syifaa tetap ukirkan senyum.
"Nanti Abang Man sampai aku keluarlah.”
Farah mengetap bibirnya. Melihat Syifaa yang terhendap-hendap melihat Aiza Munirah yang lena semula hatinya dijentik geram.
“Kau keluar boleh? Aku tahu sangat dengan kau ni. Tak pasal-pasal nanti kau tak jadi nak balik,” marah Farah dalam nada berbisik.
Hanya senyuman yang mampu diberikan.
“Kau tolong temankan Aiza sampai abang dia datang ya,” pesan Syifaa sedih.
"No hallah kawan. Kau pergilah. Kirimkan salam aku dekat family kau,” pesan Farah lantas memeluk Syifaa begitu erat.
“Jangan gaduh-gaduh dengan mak kau lagi. Ingat!” sambung Farah lagi dan Syifaa mengangguk dengan mata yang berkaca-kaca.
“Kau doakan aku kuat, ya. Kau doakan juga supaya aku tak keras hati macam dulu lagi.”
Farah mengangguk hiba lalu menolak Syifaa agar keluar. Tak sanggup hendak melihat air mata gadis itu jatuh bercucuran. Jika tidak dia juga akan menangis.
Syifaa ukirkan senyum sekali lagi. Sebelum keluar sempat dia menghampiri Aiza yang nyenyak di pembaringan. Rambut gadis itu dielus lembut. Hatinya cepat tersentuh.
“Baik kau pergi cepat. Aku bimbang ada pulak katil baru kat sini,” leter Farah lagi dan membuat Syifaa ketawa kecil. Faham sangat yang Farah hanya sekadar bergurau. Tak mungkin sahabat baiknya itu mahu mendoakan sedemikian rupa padanya.
"Hati-hati ya, Syifaa,” ucap Farah sebaik sahaja Syifaa sudah keluar dari bilik dan melangkah ke tempat parkir. Mencari-cari abangnya yang sudah sedia menunggu untuk membawanya pulang ke kampung.
Sementara di petak parkir VIP bertentangan dengan bangunan hospital, Mukhreez keluar dari perut kereta dengan perasaan tidak tenteram. Fikirannya risau mengingati si adik. Berharap sakit si adik tidaklah teruk. Langkah terus dihayun laju. Sekejap-sekejap dia berlari kecil agar cepat tiba di lobi hospital. Namun langkah kakinya spontan terhenti apabila seraut wajah ayu menyapa matanya. Pemilik wajah itu nampak tergesa-gesa ke tempat parkir.
Tubuhnya mula mengiring mengikut langkah si gadis. Dia memerhati dan menilik sehinggakan terlupa tujuan utama dia di sini. Wajah itu benar-benar mengganggu arah tujuannya. Entah kenapa kenangan sewaktu pertama kali mendarat di bumi Malaysia setelah lama memencilkan diri datang tak diundang.
Bukankah itu gadis yang sempat dia lakarkan wajahnya di atas kanvas putih. Dia yakin kerana jarak pertemuan mereka belum sampai setahun. Sempat bibirnya mengukirkan senyuman kerana dia merasakan harapannya tumbuh kembali. Namun senyumannya kendur tiba-tiba apabila susuk itu menyapa seorang lelaki yang keluar dari bahagian pemandu. Tangan lelaki itu dikucup mesra oleh si gadis. Pantas hatinya disapa kecewa. Bilamana dahi si gadis disentuh bibir lelaki itu terus harapannya berkecai bagaikan diletup dengan bom nuklear.
Dia pusingkan tubuh. Tidak mahu berharap kepada sesuatu yang sudah terang dimiliki orang. Dia atur langkah membawa hati yang berkecai. Darah dagingnya yang satu itu perlu diutamakan lalu dia cantumkan kembali hatinya yang retak dengan berjanji tidak akan lemah hanya kerana perempuan.
Bersama satu tekad dia tolak daun pintu. Kelihatan seorang gadis kecil molek sedang leka membaca majalah di tepi adiknya yang terbaring lena.
Dia kenal. Itu cikgu Farah. Seperti dulu cikgu itulah yang menjaga adiknya. Pantas salam dihulurkan dan si gadis tersentak.
“Maaf. Tak sedar encik dah sampai,” ucap Farah sopan setelah menjawab salam. Tidak mahu lagi bertegas seperti kali pertama mereka berjumpa. Apatah lagi dia terkedu. Hampir luruh jantungnya melihat susuk yang muncul dan berikan senyuman kepadanya. Kalau tidak mengenangkan dia sudah bertunang hendak juga dia mengayat abang Aiza Munirah ini. Orangnya memang kacak apatah lagi kali ini muncul dengan kemeja biru cair. Lengan baju dilipat hingga ke siku dan menyerlahkan kekacakan lelaki itu.
Fuh! Ini kalau emak dengan nenek yang tengok tentu akan cair jugak. Apahallah kau handsome sangat mamat. Batin mendengus geram.
“Macam mana dengan Aiza?” soal Mukhreez risau lantas menghampiri adiknya.
“Biar dia berehat dulu. Doktor terpaksa bagi ubat penenang sebab tadi dia mengamuk. Tengoklah barang-barang tu. Dia baling dekat Cikgu Syifaa. Nasib baik tak cedera," jelas Farah. Sengaja tidak membenarkan jururawat mengemas bilik ini dengan harapan ia akan menjadi bukti. Biar lelaki itu tengok keadaan adiknya yang telah bertindak kasar terhadap Syifaa.
Mukhreez kesal lantas matanya memerhati suasana di dalam bilik. Malah dia tercari-cari wajah guru kelas adiknya. Farah dapat mengagak.
“Cikgu Syifaa tak dapat nak tunggu lama. Dia nak cepat. Ada urusan.”
Mukhreez sorot wajah guru muda itu. Kenapa alasan hari ini sama dengan alasan dulu.
“Memang dia tak boleh tunggu saya dulu ke? Sepatutnya dia jumpa saya as Aiza’s guardian to tell everything about my sister.”
Okay. Lelaki itu dah start bertegas. Siap cakap mat salleh lagi. Mamat tu ingat Syifaa tak nak tunggu ke. Kalau dia tak halau tadi mahunya Syifaa cancel balik kampung. Hish, mamat ni!
“Lebih baik encik pergi jumpa doktor yang rawat Aiza, dulu. Tadi doktor cakap Aiza kena operate dengan kadar segera. Kalau encik bertangguh bimbang akan memudaratkan Aiza.”
Kalau boleh Farah malas hendak jelaskan. Biar si abang menangis melalak sebab perangai adiknya yang seorang itu. Tetapi dia bukan begitu. Dia seorang cikgu. Ada integriti. Malah ada hati yang baik walaupun sedikit sisi zalimnya cuba menyelinap keluar.
“Ikutkan hati, nak je cikgu Syifaa bermalam kat sini. Jaga Aiza sampai sembuh. Dia kan guru kelas Aiza. Kalau boleh nak bawa Aiza balik rumah dia. Buat macam anak sendiri,” perli Farah. Memang geram betul apabila lelaki itu mula tunjukkan sikap yang tak sepatutnya.
Mukhreez tersentak. Nampaknya dia sudah tersalah menebak.
“Maaf pasal tadi. Sebenarnya saya terkilan sebab kali kedua menyusahkan cikgu dan dua kali tak sempat nak ucapkan terima kasih pada guru kelas Aiza.”
Farah terkesan.
“Say sorry and thank you to cikgu Syifaa. Dia yang banyak membantu," ujar Mukhreez dan Farah mengangguk.
Dan hati Farah rasa bersalah. Dia silap menghukum. Lelaki itu baik orangnya. Cuma sedikit tegas sebentar tadi. Ah, abang mana yang tak risau apabila adik sendiri asyik keluar masuk hospital.
Dalam berkhayal tiba-tiba lelaki itu mendekat.
"Betul kan nombor telefon guru kelas Aiza?” soal Mukhreez meminta kepastian. Telefon diunjukkan kepada cikgu Farah. Walhal dalam telefon adiknya sudah ada. Sengaja bertanya.
“Haah. Baik encik save untuk memudahkan urusan semua. Lagipun Cikgu Syifaa ada banyak hal nak bincang dengan encik. Banyaklah benda yang dia kena setelkan sebelum hujung bulan tiga.”
Mukhreez kerutkan dahi.
“Pasal maklumat Aiza.”
Akhirnya barulah Mukhreez faham.
“Nanti saya call. Cikgu apa tadi?” sengaja bertanya padahal dia sudah maklum.
“Cikgu Syifaa.”
Apabila nama itu disebut terus kepalanya teringat akan kenangan di lapangan terbang. Berharap pemilik nama itu sama dengan wajah yang terakam dalam mindanya.
“Abang long….”
Dan wajah itu terus berterbangan apabila suara Aiza melirih lemah. Farah pula nyata terkejut besar. Nampaknya lelaki itu benar-benar abang kandung Aiza. Hatinya tersiat pedih kerana gadis itu tidak pernah berterus-terang. Kasihan dengan Syifaa yang banyak makan hati dengan kelakuan Aiza Munirah.
“Adik nak apa?” balas Mukhreez pantas merapati adik kesayangannya. Aiza tunjukkan gelas air di depan. Terus sahaja lelaki itu hulurkan.
Farah pula tidak mahu masuk campur lagi.
“Errr.... saya balik dululah Encik Mukhreez. Lagipun Aiza dah sedar.” pinta Farah. Malas hendak berlama-lama. Lagipun dia masih ada urusan yang hendak diselesaikan.
“Wait!” panggil Mukhreez.
"Erk, kalau saya call Cikgu Syifaa hari minggu nanti mengganggu dia ke nanti?"
Farah pantas menggeleng.
"Boleh je. Lagipun Cikgu Syifaa selalu pesan dekat student dia. Kalau parent nak call tanya pasal sekolah atau anak-anak dialu-alukan. Cuma….” Farah berhenti untuk seketika. Dia pun kurang pasti sebenarnya. Ini kali pertama dalam enam tahun Syifaa balik berjumpa keluarganya. Mungkin telefon sudah tidak ada harganya ketika itu.
“Cubalah.” Akhirnya hanya itu yang mampu dia putuskan.
Farah angkat kaki hendak berlalu tetapi dia berpaling semula menghadap abang Aiza.
“Encik pernah tak pergi hantar Aiza ke sekolah?” soalan yang tiba-tiba itu mengejutkan Muhkreez. Rasa pelik. Apatah lagi mata guru muda itu menjamah wajah adiknya yang lesu di atas katil. Dia pun segera menoleh. Kelihatan Aiza Munirah melarikan pandangan.
Dia menggeleng.
“Cuba-cubalah hantar adik sendiri. Mana tahu dari situ boleh tinjau aktiviti adik sendiri.”
Mukhreez angguk pelik.
“Lagi elok kalau buat lawatan mengejut. Tentu seronok.”
Berkerut dahi Mukhreez tidak faham. Kata-kata itu berbunyi sinis dan kepalanya mula berfikir panjang. Ada sebab lainkah yang menyebabkan adiknya tidak mahu sesiapa pun yang masuk ke dalam kawasan sekolah. Malah siap menipu maklumat diri lagi. Ah, nampaknya dia kena bertindak. Selaku abang sulong segala tanggungjawab kedua-dua orang tuanya terpikul di bahunya juga.
Mukhreez kembali ke sisi adiknya. Saat itu tangan Aiza di atas dahi dan gadis itu jauh memandang ke hadapan. Seolah-olah sedang memikirkan sesuatu yang amat berat.
“Are you okay dik?” Tanya Mukhreez.
Aiza tersentak. Cepat-cepat gadis itu mengangguk namun Mukhreez tidak percaya. Hatinya kuat mengatakan Aiza sedang menghadapi masalah besar. Sakit yang dihadapi Aiza hanyalah sebahagian daripada masalah yang ada.
“Abang nak jumpa doktor. Adik kena operate secepat mungkin,” putus Mukhreez sebelum sempat Aiza bersuara.
Tanpa pamitan abangnya itu keluar dan meninggalkan dirinya yang mula geram dengan kuasa veto lelaki itu yang muncul tiba-tiba. Terus nama Cikgu Syifaa muncul dalam kepala. Sakit hatinya mula bertindih dengan sakit di dalam perut yang kembali muncul.
‘Siap kau perempuan. Aku balas nanti.’ batin bergumam. Hati cukup membenci cikgu muda itu.
Share this novel