BAB 30

Drama Series 18121

Bilik Mukhreez

“Adik… tolong ambilkan fail warna biru dalam laci meja abang long. Kejap lagi abang long sampai,” pesan Mukhreez dalam telefon. Gara-gara terlewat bangun lelaki itu tergesa-gesa ke pejabat sehinggakan tertinggal dokumen penting.

Aiza tidak melengahkan masa. Dia yang berada di dapur membantu Mak Wan menyediakan bubur meletakkan telefon ke atas meja makan lantas ke bilik abangnya. Sepatutnya hari ini dia perlu ke sekolah. Dia sudah sihat sepenuhnya. Tetapi dia mengambil cuti sendiri kerana mahu ke hospital. Dia rindukan cikgu Syifaa. Alang-alang abang longnya balik dia akan menumpang lelaki itu ke sana.

Nasib orang tuanya memberi keizinan. Tetapi hanya untuk hari ini sahaja. Itupun setelah mereka yakin emosinya sudah stabil. Orang tua mana yang tak risau apabila diberitahu oleh abangnya. Lelaki itu tidak menyorokkan apa-apa. Bercerita sebagaimana yang dia ceritakan. Hakikatnya dia dan Cikgu Syifaa saja yang tahu kisah sebenar.

Dengan langkah ceria dia menjejak anak tangga ke atas. Masuk ke dalam bilik abangnya lantas menarik laci meja. Tangan menggagau isi di dalam. Mata juga terhendap-hendap mencari. Namun dia tidak berjumpa dengan fail yang diberitahu lelaki itu. Sebaliknya tanpa sengaja tangan runcingnya menarik segulung kertas lukisan bersaiz kertas A4. Dalam keadaan tertanya-tanya dia membuka gulungan kertas itu.

Mata terbuntang melihat potret seorang gadis yang ayu namun kelihatan sayu. Gambar itu terlukis sempurna di atas kertas lukisan tersebut. Aiza mengamati wajah itu. Bukan wajah luar biasa tetapi dia sedar wajah ini seakan wajah seseorang yang sedang terlantar di atas katil hospital.
Cikgu Syifaa!
Terbit nama itu dari dua ulas bibirnya. Terus dia tilik. Dia amati. Memang matanya tak menipu. Lukisan di tangan benar-benar seiras dengan Cikgu Syifaa. Dia jatuhkan seketika. Masih ragu-ragu. Kemudian diangkat semula dan mata melatari segenap kertas tersebut. Sebaik terlihat nama yang tertulis di hujung kertas beserta tarikh dan tempatnya serta merta air matanya meluruh. Ada rasa hiba bersama rasa syukur datang ke dalam hati.

Pantas kepalanya teringat akan cerita tentang seorang gadis yang telah berjaya membuka lembaran baru dalam hati abangnya. Serta-merta Aiza panjatkan kesyukuran.

Hati menjerit bangga. Cikgu Syifaa yang selama ini tidak disukai rupa-rupanya adalah gadis yang diceritakan abangnya. Terus dia sapu air mata yang semakin meluruh. Aturan yang tak terjangka ini menambah kesal dalam hatinya kerana telah bertindak di luar batasan.

Kalaulah masa boleh diputar kembali. Namun, tak ada satu kuasa pun yang bisa merubah semua itu kecuali Tuhan Yang Satu. Dia dah tak mampu berbuat apa-apa. Lalu Aiza sapu air mata dan sekali lagi menatap gambar tersebut.

Bibirnya tiba-tiba terlarik senyum bahagia. Patutlah perbuatan abang longnya kelmarin cukup pelik. Ibarat jatuh cinta pandang pertama. Gediknya lelaki itu mengalahkan perempuan. Sudah lama dia tidak melihat sifat ambil berat abangnya. Malah sikap romantik yang bukan dibuat-buat juga sudah lama tidak terzahir dalam diri lelaki itu.

Sudah terlalu lama dia tidak melihat abangnya merenung wajah seorang gadis seperti merenung Kak Juwieta. Dia ingatkan tiada lagi gadis yang mampu mencairkan hati abangnya yang telah lama beku. Namun sebaik saja menyedari perlakuan pelik abangnya dan melihat potret ini dia sudah yakin dengan cerita abangnya.

Cikgu syifaa adalah penawar yang datang di kala hati abangnya sakit tidak terawat. Cikgu Syifaa adalah ubat paling mujarab yang Tuhan hadirkan untuk mencantumkan kembali hati abangnya yang retak. Syukur tidak terhingga pada Tuhan. Lalu dia berharap apa sahaja yang abangnya buat selepas ini akan membuahkan hasil yang berlipat ganda. Malah dia akan membantu.
Aiza memandang ke atas. Syukur pada-Mu Tuhan.
Bunyi hon di luar rumah mengejutkan Aiza. Pantas dia simpan kembali kertas lukisan dan mata mencari fail di segenap ruang. Akhirnya terjumpa di atas katil. Agaknya lelaki itu tertinggal di situ kerana tergesa-gesa keluar dari rumah.

Fail diambil. Sebelum itu dia masuk ke dalam bilik dan bersiap ala kadar lalu turun semula ke bawah dan mendapatkan bekal yang sudah siap diletakkan ke atas meja makan.

“Terima kasih Mak Wan!” laung Aiza dan pembantu rumah yang sudah separuh abad itu tersenyum lega. Aiza yang lama sudah kembali. Dengan cepat Aiza menapak ke arah kereta abangnya yang sedang menunggu di luar.

“Abang long nak cepat ke?” tanya Aiza. Mukhreez balas dengan anggukan. Muka lelaki itu nampak tegang.

“Adik nak tumpang abang ke hospital. Nak jenguk Cikgu Syifaa.”
Mendengar saja nama itu terus sekuntum senyum dihadiahkan pada Aiza. “Kirim salam rindu abang dekat Tweety yang manis.”

Aiza balas dengan senyuman lalu masuk ke dalam. Duduk sebelah lelaki itu dan fail pula sudah bertukar tangan.

“Kenapa nak kirim salam bagai. Sekarang ni abang long adalah orang lain. Abang adalah superhero Cikgu Syifaa. Kalau adik sampaikan salam tentu dia akan cakap adik dah cerita macam-macam kat abang long. Tentu dia segan dan tentu dia akan cakap adik tak pandai simpan rahsia.”

“Lah, salah ke?”
Aiza mengangguk.

“Habis tu, abang long nak buat macam mana?” Bagai orang bodoh pula mukhreez bertanya dan muka itu jelas risau.

“Yang abang long nak risau sangat ni kenapa?” usik Aiza sambil menahan tawa.

“Sebab abang long cintakan cikgu adik,” jerit Mukhreez bagai melepaskan beban yang amat berat. Nampak mata itu terpejam dan menghembus nafas panjang.Terus mata Aiza berair. Dia nampak cinta baru dalam mata abangnya. Entah kenapa dalam masa yang sama dia turut melihat ketakutan pada mata itu. Dia dapat meneka. Abang longnya itu benar-benar jatuh cinta.

“Kalau macam tu usahalah sendiri. Kalau guna cara sendiri rasanya kita lagi menghargai. Betul tak?” duga Aiza dan Mukhreez menggeleng geram. Aiza sengaja mencabarnya.Tak apa. Dia lelaki berani. Dia sudah ada rancangannya. Hanya menunggu masa untuk melaksanakannya.

“Okay. Sebab adik dah bagi semangat abang akan mulakan.”

Lalu Aiza larikkan senyum.

“I will be her cat. Tweety perlu ada Sylverster untuk saling melengkapi. Mulai sekarang, kucing handsome ini akan mula memikat anak burung yang comel.” dengan bangga Mukhreez berjanji dan Aiza mencebik lama. Sengaja nak menggoyahkan pendirian si abang.

“Buatlah apa pun yang abang nak. Jangan makan sudah. Kucing besar macam ni bukan boleh percaya sangat ni.” kutuk Aiza dan menghamburkan tawa besar Mukhreez. Sungguh hatinya girang tak terkata.

Kerling si adik seraya memandu. Dalam hati tekadnya satu. Dia akan usahakan sampai dapat. Nama Cikgu Syifaa akan terluah di bibir pada saat ijab di kabul.

***

Dalam wad berbayar

Aiza sudah sampai ke hospital. Dengan dada berdebar-debar melangkah ke wad. Perlahan-lahan menolak daun pintu. Kelihatan di dalam sepasang suami isteri sebaya orang tuanya berada di hadapan Cikgu Syifaa. Cikgu Farah pun turut serta dan gadis itu berada di sebelah kanan Cikg Syifaa.

“Aiza sihat?” sapa Syifaa yang sedang membetulkan duduknya. Aiza lega kerana cikgu itu sudah boleh menyandar. Pantas senyuman diukir lalu mendekati pasangan suami isteri yang ada. Tangan dihulur untuk bersalaman tanda menghormati orang yang lebih tua. Baru saja diperkenalkan Cikgu Syifaa orang tua itu minta diri hendak ke kafe kerana masih belum menjamah makanan.

Aiza mengeyakan. Sebaik orang tua itu berlalu dia letakkan bekal yang dibawa ke atas meja beroda. Kemudian dia mendekati Syifaa. Peluk cikgu Syifaa erat seakan tidak mahu melepaskan sampai bila-bila. Tanpa disedari ada air jernih yang menitik membasahi pipi.

Syifaa perasan apabila kedengaran hingus ditarik masuk.
“Jangan menangis. Cikgu dah okay. Dah boleh gerak. Lagipun luka ni tak dalam sangat. Seminggu dua nanti okaylah. Ini pun dah boleh balik.”

Aiza tersentak.
“Cikgu dah boleh balik?”
Syifaa mengangguk seraya tersenyum. Kemudian mata pandang bekas di atas meja. Aiza perasan lantas tarik meja mendekat dengan Cikgu Syifaa.

“Saya bawa bubur untuk cikgu. Cikgu nak makan?” tanya Aiza segan. Bimbang Cikgu Syifaa akan menolak.
Terus Syifaa angguk. Jauh-jauh Aiza bawa dan dia tak akan menolak. Lagipun perutnya lapar. Terus Aiza bukakan. Bau harum bubur ayam itu membuat perut Farah berkeroncong. Pantas saja minta diri hendak ke kafe. Lagipun gadis itu tidak mahu mengganggu perbualan kedua-duanya nanti.

Apabila berdua sahaja hati Aiza terus dilapah kesa.
“Saya banyak buat salah dekat cikgu. Saya harap cikgu jangan bencikan saya.”
Sekali lagi ayat itu diluahkan dan hati Syifaa melonjak hampa.

“Aiza! Kita lupakan yang dah lama. Cikgu nak hidup tenang dan Aiza pun sama. Aiza juga kena mulakan hidup baru.”

Aiza diam dan tiba-tiba kolam mata itu meluruh. Terus hati Syifaa ditimpa sebak yang menggunung. Ikutkan hati dia akan menangis dan meraung. Tetapi, jika dia tunjuk lemah tentu gadis itu tak akan berubah.

“Izinkan cikgu jadi cikgu Aiza. izinkan cikgu ajar Aiza sampai Aiza tamat periksa. Jangan seksa cikgu macam ni. Cikgu tak pernah benci Aiza.”

Dan tak semena-mena Aiza memeluk lalu hamburkan tangisan.
“Saya minta ampun cikgu. Saya bersalah,” raunh Aiza dalam pelukan dan Syifaa hanya mampu mengelus rambut gadis itu seraya menahan tangis. Baru semalam dia berjanji untuk terus kuat. Alih-alih gadis ini muncul menarik semangatnya yang baru kembali.

Kolam matanya bergenang. Dia nak menangis tetapi air mata tak sempat jatuh kerana dari luar kedengaran salam dilontar dan pintu bilik dikuak orang. Aiza dalam pelukan segera tegakkan badan. Syifaa pula seka air mata yang hampir jatuh. Mata pandang ke arah jururawat yang menghampiri dengan sejambak mawar merah.

“Ini untuk Cik Syifaa.” terus jururawat tersebut hulurkan jambangan bunga yang cukup indah. Kemudian sekeping kertas di hulurkan.
“Bayaran perkhidmatan kat wad dah dilunaskan. Ini resitnya.”

Terus mata Syifaa membuntang. Tarik kertas dan baca nama yang tertera. Tapi atas namanya. Tidak ada nama pembayar. Pelik

“Siapa yang bayar?” soal Syifaa tak faham. Mata masih mencari nama orang yang ringan tulang membantunya. Namun tidak ada. Jelas di situ hanyalah jenis pembayaran di buat. Ia melalui kad kredit.

“Kami tak tahu. Tapi, lelaki tu datang lunaskan bayaran saja kemudian serahkan bouquet tu untuk cik.” Jururawat itu menjelaskan namun hati Syifaa tetap resah. Tangan pun menggigil tiba-tiba.

Kepala mencari siapakah gerangan yang membantu. Aiza pula lorekkan senyum. Sudah dapat mengagak siapa punya kerja. Syifaa pula pantas menarik kad yang ada di celah ranting bunga.

-Wishing you a speedy recovery.
- Get well soon sweetie.-

Hanya itu. Nama pengirim langsung tiada. Kepala mula berasa pening.

“Cik dah tahu kan yang cik boleh keluar pukul 12 nanti?” soal jururawat dan Syifaa mengangguk dalam kepala yang berserabut. “Nanti saya datang semula bawa bekal ubat untuk cik,” sambung jururawat itu lagi dan taka lama kemudian berlalu dengan muka tersenyum manis.

Sebaliknya pada Syifaa. Wajahnya masih resah. Mencari manusia yang telah membantunya. Melihat jumlah bayaran yang melebihi 4k itu hati cukup risau.

“Aiza tahu tak siapa yang bayar?” tanya Syifaa takut. Dia tak suka hutang budi begini.

Aiza tunjuk muka berkerut.
“Mungkin lelaki yang tolong bawa cikgu ke sini yang bayarkan,” balas Aiza sambil buat muka kabur. Konon-konon tak tahu siapa yang menolong.

Syifaa pantas menghembus nafas panjang. Bunga di tangan hanya dipandang sepintas lalu. Kemudian letakkan ke atas meja dengan muka yang masih tercari-cari.

Melihat wajah itu yang muram terus Aiza dihambat rasa bersalah. Tapi perasaannya hanya seketika. Cikgu Farah muncul dengan wajah teruja.

“Wah, dapat bunga!” Terus Farah menghampiri. Ambil jambangan bunga lantas membelek kelopak mawar.

“Siapa yang bagi ni? Romantik sangat. Tapi… dia tak tahu ke yang kau tak suka rose merah.”

Tanpa sedar Farah berkata dan Syifaa pun sama. Kerana kepala yang asyik mencari orang yang telah menolong langsung terlupa yang Aiza masih ada bersama. Gadis itu sungging senyum puas hati.

“Kau ambil bunga ni.” Syifaa serahkan dan Aiza pandang pelik. Farah pula mencebik.

“Tahulah suka yang putih je tapi ingat ek, putih cepat kotor,” usik Farah namun tak membekas di hati Syifaa. Sebaliknya pada Aiza, ada bonus menanti abangnya.

“Dah pukul 12 ni. Jom Aiza. Kita kemas barang Cikgu Syifaa,” ajak Farah mahu berbaik-baik dengan gadis itu. Nyata Aiza tidak menolak. Terus hati Farah berasa sayu. Nampaknya Aiza sudah berubah.

Syifaa di atas katil pula memanjatkan kesyukuran yang tak terhingga.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience