Bilik Guru
Ketika rehat hampir tiba Aiza melangkah ke pondok pengawal. Menunggu Pak Aziz sampai namun buat macam tak ada apa-apa. Syifaa dan Farah yang baru keluar hendak ke kantin ternampak kelibat gadis itu yang mundar-mandir seperti menunggu seseorang.
“Dia ada nak pergi mana-mana ke?” soal Farah lantas menguis Syifaa namun Syifaa buat tak tahu.
“Lantaklah. Aku tak nak ambil tahu. Aku nak tengok sejauh mana dia nak tunjuk keras kepala dia tu.” Syifaa membalas dan Farah terkebil-kebil tak faham. Lain benar cara Syifaa. Biasanya kalut semacam kalau anak buah yang seorang itu tunjuk perangai. Tetapi kali ini dia lihat perubahan pada sikap Syifaa.
“Kenapa dengan kau ni? Peliklah.” Farah mengomel namun Syifaa tunjuk riak biasa. Terus melangkah hendak ke kantin namun tangan Farah yang cepat-cepat menariknya membuat tubuhnya tak seimbang. Hampir jatuh ke bawah. Nasib sempat menangkap tiang pejalan kaki.
“Tengok tu. Tengok tu!”
Tangan Farah tunjuk sebuah kereta mewah yang berhenti di luar pagar sekolah. Pantas Syifaa berpaling. Melihat seorang lelaki tua bersongkok keluar dari perut wilmana merah itu kepala Syifaa dihujani curiga. Bukan dia tak biasa melihat orang tua itu. Cuma yang berbeza lelaki itu ke mari dengan pacuan empat roda yang luar biasa. Tetapi hati tak mahu ambil tahu lantas segera melangkah ke kantin. Perut yang lapar perlu dikasihani.
Farah yang terpinga-pinga tak faham dengan cara Syifaa turut meninggalkan pemandangan yang baru pertama kali dilihatnya. Dia juga mahu memberi makan pada perutnya.
Sementara Aiza pula segera mencari peluang.
Mengintai di dalam bilik guru. Yakin tiada siapa yang nampak terus ditinggalkan beg kertas ke atas meja Cikgu Syifaa. Dia berharap cikgu itu tidak akan menolak. Terus kembali ke kelas.
Dan Syifaa pula. Selesai menjamu selera kembali ke bilik guru. Terus matanya dihidangkan dengan beg kertas yang sudah jelas kelihatan jenama barang yang ada di dalam.
Farah di belakang pula ternganga. Langsung tak percaya sebaik elihat beg kertas lambang epal yang digigit orang. Syifaa ketap bibirnya geram. Serasa tahu siapa yang memberikan barang tersebut. Pantas tangannya gagau isi di dalam lalu tarik keluar.
Farah terhendap-hendap bagai kali pertama melihat jemana tersebut.
“Siapa yang bagi. Aiza ganti ke?” soal Farah ingin tahu. Lagipun Syifaa sudah menceritakan kisah bagaiman telefon kesayangannya yang tinggal arwah.
Syifaa sudah dapat mengagak dan dia tak mahu menerima. Lantas masukkan kembali kotak di tangan ke dalam beg tersebut.
“Simpan je lah. Salah letak kut.” Syifaa tolak beg itu ke hujung meja namun suara yang berbunyi mengejutkan kedua-duanya.
“Apa pulak salah letaknya.” Ustazah Azizah muncul dengan satu set salinan lembaran kerja di tangan. “Sebelum akak keluar pergi fotostat tadi nampak Aiza Munirah masuk ke dalam. Dia bawa paper bag tu. Dia yang letak atas meja Syifaa.” terang ustazah tersebut dan Syifaa ketap bibir tak mahu percaya. Namun Farah di sebelah sudah sunggingkan senyum gembira.
“Dia ganti telefon kau. Iphone pula tu. bukan biasa-biasa kak ye,” ujar Farah perlahan sebaik Ustazah Azizah berlalu. Perlahan-lahan Syifaa labuhkan punggung. Sungguh dia tidak percaya. Dalam kerasnya hati si gadis itu ada sifat baik yang tersembunyi. Rasa bersalah mula menjalar dalam hati. Dia tak patut tunjuk keras kepala juga. Gadis itu masih ada sisi baik yang dia tak nampak.
“Kenapa? Tak sampai hati nak ambil sebab dia tak ada duit?” soal Farah menduga namun Syifaa menggeleng.
“Aku tak suruh pun dia ganti.” ujar Syifaa kesal dan Farah faham. Keluarkan semula isi dari dalam beg.
“Cantik sis. Sebijik engkau Syifaa.”
Pantas mata Syifaa melihat telefon berwarna silver yang dipakaikan casing ungu muda yang bercorakkan seekor rama-rama berwarna ungu gelap. Pada kepak rama-rama ada taburan ‘glitter’ berwarna perak. Sungguh cantik.
“Rugi kalau kau tak terima.”
Pantas tangan Syifaa tarik telefon di tangan Farah. Cepat-cepat masukkan ke dalam kotak.
“Aku nak hantar semula.”
Farah tercengang tak faham.
“Kenapa pulak. Dia kan ganti balik?”
“Tak naklah. Dia bukan budak berada.”
“Kalau tak kaya mana mungkin orang tua tu tadi hantar dengan kereta mewah.” teka Farah namun Syifaa cepat-cepat memandang Farah.
“Pak Aziz tu driver agaknya. Kereta tu pula mungkin kereta majikan. Kan Aiza tinggal dengan orang tua tu,” ujar Syifaa dan Farah sudah dapat menangkap cerita itu.
“Tapi… orang dah bagi kan. Ambil jelah.”
Terus Syifaa bulatkan mata memandang Farah.
“Kalau aku ambil aku mengiyakan apa yang dia cakap pada aku. Aku nak mengorat abang dia yang bawak bas tu. kau lupa?”
Kelip-kelip Farah mendengarnya. Hati rasa nak gelak tapi mengenangkan Syifaa kawan baiknya dia diam saja. Ada ke patut Aiza cakap abang dia yang handsome tu driver bas. Langsung dia tak percaya. Tapi, pasal tuduhan gadis itu pada Syifaa yang tu memang salah sama sekali. Syifaa tak pernah mengorat orang. Gadis itu mana berani nak mengorat. Syifaa sejenis yang setia pada satu. Kalau tidak, dah lama lamaran Cikgu Hamzah bersorak gembira. Tapi Syifaa macam tulah. Yang dah jadi tengkorak itulah yang dia ingat sampai mati.
Hai, parah!
Lalu Farah kembali ke mejanya dan Syifaa melangkah ke perpustakaan untuk mengajar kelasnya sebagaimana yang dijanjikan.
***
Seperti yang dijanjikan Syifaa akan mengajar di dalam bilik bacaan ini. Semua pelajar sudah menunggu. Dia pula terlewat gara-gara bergaduh mulut dengan Farah.
Salam diberi. Sebaik melihat Aiza Munirah yang duduk keseorangan di meja hujung berdekatan rak buku dia segera menghampiri.
Beg kertas diletakkan di hadapan gadis itu dan semua mata pelajarnya memandang ke arah mereka.
“Cikgu tak minta ganti. Ambil balik.” ujar Syifaa dengan muka tawar.
“Saya tak akan ambil balik. Buruk siku.”
Pandai betul gadis itu menjawab sehinggakan Syifaa rasa nak luku saja kepala Aiza Munirah.
“Cikgu boleh beli sendiri.” Syifaa tak nak kalah.
“Tapi tak nampak pun cikgu beli telefon baru. Cikgu sengkek ke?”
Sungguh hati Syifaa berasa panas dengan jawapan gadis itu.
“Tak beli sekarang bukan bermakna sengkek. Cikgu tunggu keluaran baru.”
Aiza pantas sengetkan senyuman.
“Cakaplah tak ada duit. Senang.”
Berdesing telinga Syifaa dengan sikap kurang ajar Aiza Munirah. Terus di kepalnya tangan menahan amarah.
“Kalau cikgu tak ada duit sekalipun itu bukan masalah Aiza kan. Jadi, kenapa Aiza nak ganti balik. Aiza ke yang bersalah hari tu?”
Sengaja Syifaa bermain dengan emosi gadis itu. Biar hati gadis itu jadi celaru. Melihat wajah kelat Aiza, Syifaa redupkan pandangan. Hati rasa bersalah dan dia tak akan selamanya hendak mendera emosi gadis itu.
“Aiza cakap Aiza sebatang kara. Kat mana Aiza cari duit belikan telefon berjenama macam ni untuk cikgu. Aiza tahu tak. Cara Aiza ni dah buat cikgu rasa bersalah seumur hidup. Cikgu tak minta ganti balik. Tolong jangan buat cikgu rasa bersalah.” Syifaa tolak beg kertas semakin dekat dengan Aiza. Kemudian pusingkan badan hendak ke depan memulakan pengajaran namun suara Aiza yang keras membuat langkahnya mati.
“Kalau cikgu nak saya ikut cikgu pergi PD cikgu ambil telefon ni.” Keras suara itu mengugut hingga amarah Syifaa meruap naik.
Pantas dia menoleh. Ketap bibirnya dengan rasa pedih.
“Untuk apa cikgu terima? Supaya Aiza boleh hina cikgu lagi. Boleh cakap macam-macam dekat cikgu. Lepas tu jaja dekat semua orang yang cikgu nak mengorat Abang Aiza. Begitu?” Syifaa pulangkan semula tohmahan gadis itu dulu dengan mata yang berkaca-kaca dan Aiza terkedu.
Melihat kolam mata Cikgu Syifaa yang bergenang terus hatinya meruntun sayu. Sejak melihat tangisan Cikgu Syifaa dia kalah dengan wajah sayu itu,
“Kalau cikgu ambil telefon ini saya janji saya akan jadi pelajar yang baik.”
Dan tak terduag sungguh. Aiza meluahkan janji yang meruntun hati Syifaa. Entah kenapa dia kalah juga dan air mata pun tak malu turun menyembah pipi. Perlahan-lahan dia kembali ke tempat Aiza.
Dengan suara sayu lontarkan kata.
“Terima kasih!” ucap Syifaa sebak lantas kembali ke meja dan menahan sebak di situ. Setelah dua tiga detik berlalu, dia tahan air mata yang masih mahu turun ke pipi.
“Awak semua ambil sebuah novel yang nipis dan baca sampai habis. Bila dah habis, tulis sinopsis cerita. Cikgu nak tinggalkan awak sekejap,” pesan Syifaa lantas bergegas keluar dari perpustakaan menuju ke bilik air.
Di dalam bilik air dia urut dadanya bersama rasa syukur. Berharap janji Aiza bukan sekadar janji.
Share this novel
Geramm sgt dgn aiza. Nasib abg dia encem. :p