Villa Dato’ Seri
Kepala Mukhreez kusut dengan karenah Aiza Munirah. Dari wad lagi adiknya itu mengamuk hendak balik ke rumah. Dia tak mampu memujuk lantas menghubungi orang tuanya dan mereka juga mati kutu dengan tindakan anak bongsu mereka. Sepatutnya Aiza Munirah perlu berada di dalam wad sehingga sakitnya sembuh. Namun gadis itu memberontak pula.
Tercabar juga Mukhreez dengan karenah Aiza namun dia masih boleh bersabar.
Digunakan kelembutan menasihati tetapi adiknya tetap melawan. Siap mengugut hendak melarikan diri jika dia tidak menurut arahan. Nanar Mukhreez mencari jalan. Langsung tak jumpa apabila muka Aiza Munirah sudah seperti raja singa. Cukup menakutkan.
"Adik duduk sini dulu. Abang long temankan." Dia cuba memujuk sekali lagi.
"I wanna go back home," jerit Aiza hingga membahang wajah Mukhreez. Segan dengan doktor perempuan yang bertugas malam itu. Doktor tersebut pun tak mampu meneruskan tugasnya merawat Aiza apabila gadis itu melalak mahu balik. Nasibnya baik apabila rakan baik daddy, doktor pakar di situ muncul menziarahi dan cuba meredakan tingkah adiknya.
"Aiza kena duduk wad sementara waktu. Biar urusan selesai dulu. Lagipun abang long kena berbincang dengan doktor untuk rawatan seterusnya." Doktor pakar tersebut bersuara namun Aiza tolak gebar dengan kasar.
"I said... I wanna go back home. Apa susahnya. Okay. Tak nak ikut cakap adik kan. Tak apa. Adik boleh balik sendiri." Pantas Aiza turun dari katil.
"Adik!" panggil Mukhreez apabila Aiza sudah melangkah hendak keluar dari bilik. Pantas Mukhreez tarik lengan adiknya.
"Please. Tolong dengar nasihat abang long. Sekali ini saja."
Aiza rentap tangan abangnya. Siap dengan menjeling tajam.
"Adik…."
Tak habis ayat Mukhreez kawan baik daddy menghalang.
"Tak apa. Ikut cakap dia. Biarlah dia nak balik berehat dekat rumah pun. Lagipun uncle tengok dia nampak macam dah okay. Pasal rawatan seterusnya nanti uncle discuss dengan daddy Reez."
Nasib baik orang tua itu memberikan keputusan di saat dia tengah berhadapan dengan situasi tegang. Lalu Mukhreez meminta diri dan membawa Aiza pulang ke rumah dalam keadaan hati hancur terluka.
Sebaik sampai, egonya tercabar pula dengan tindak balas adiknya. Di depan muka pintu utama rumah dia yang sekadar bertanya tentang sekolah telah diberi balasan yang cukup kejam oleh adik sendiri.
"Saat abang long pergi tinggalkan adik, abang long dah mati dalam hati ini. Dah mati. Jadi jangan nak tanya apa-apalah," jerit Aiza kuat dan gemanya membawa kedua-dua orang tua mereka muncul dalam keadaan penuh tanda tanya.
Menggigil tangan kasarnya dengan kata-kata si adik. Sungguh kekhilafan lalu membekas benci yang mendalam dalam diri gadis itu. Akhirnya dia membiarkan sahaja adiknya berlari masuk ke dalam bilik. Manakala orang tuanya terkedip-kedip melihat sahaja. Tidak sempat hendak bertanya keadaan anak bongsu mereka.
Mukhreez bawa berehat di atas sofa ruang tamu. Tangannya naik mengusap rambut yang tak terurus semenjak adiknya mengamuk tak tentu pasal. Kepala yang sedikit berat dipicit sendiri. Terluka hati Datin Seri Raihanah melihat lelah si anak teruna lantas bawa diri ke arah anaknya. Dia labuhkan punggung dan duduk menghadap anak muda itu. Begitu juga dengan suaminya.
Mukhreez jatuhkan tangan dan ukir senyum. Walaupun hambar sahaja tetapi dia tunjuk juga biar hati kedua-dua orang tuanya tidak terseksa.
"Reez jumpa cikgu yang jaga adik. Cikgu tu cakap adik tak bagi maklumat diri adik pada guru kelas. Betul ke mummy?"
Datin Seri Raihanah tersentak. Lambat-lambat mengangguk dan itu membuat bukit amarah Mukhreez pecah berderai.
"What's wrong with her? Takkan adik tak tahu maklumat tu penting untuk pendaftaran calon SPM. Adik ni nak periksa ke tak sebenarnya."
Wajah Datin Seri Raihanah mula berubah rasa. Rasa simpati kepada Mukhreez bertukar menjadi kesal dengan sikap Aiza Munirah.
"Bukan itu saja mummy... daddy. Adik dah bawa masalah pada cikgu-cikgu kat sekolah."
Berdengung telinga Datin Seri Raihanah dan Dato' Seri Zainul Arif mendengar cerita anak jantannya. Mereka saling berbalas pandangan.
"Masalah apa yang adik dah buat Reez?" soal wanita itu resah.
"Entahlah mummy. Tapi Cikgu Farah cakap perangai dia dah memeningkan semua orang. Kat mana salahnya sampai adik jadi macam tu sekali," soal Mukhreez tak faham.
Satu keluhan dilepaskan Datin Seri Raihanah. Mukhreez pula tunduk menekur ke lantai. Mencari punca yang menyebabkan Aiza jadi begitu. Hanya Dato' Seri Zainul Arif yang diam sahaja seperti berfikir panjang.
“Sebab Reez ke adik jadi macam tu?” tiba-tiba soalan yang tak terjangka keluar dari mulut Mukhreez dan mengundang sebak di dada Datin Seri Raihanah. Walaupun pedihnya hati Mukreez tidak terzahir pada wajah namun nada suara itu yang bergetar sudah menjelaskan segala-galanya. Pantas Datin Seri Raihanah bangkit tarik tanhan si bujang lalu digenggam erat. Menyalurkan kekuatan biar pedih yang ditanggung anaknya terawat dengan dinginnya angin malam.
“Jangan salahkan diri sendiri. Semuanya dah ditulis Tuhan.” Kali ini Dato’ seri Zainul Arif yang berbunyi. “Apa saja yang berlaku tentu ada sebabnya. Macam hujan yang turun. Tentu hendak lembabkan alam yang panas gering," sambung orang tua itu lagi.
Ada betulnya kata-kata Dato’ Seri Zainul Arif. Mukhreez cuba menafikan dirinya adalah punca kepada perubahan sikap adik sendiri namun dia tetap merasakan dialah puncanya.
“Jangan salahkan diri Reez. Sepanjang lima tahun Reez tak balik adik dalam keadaan baik-baik saja. Malah dia tetap ceria seperti selalu. Tetapi….” Datin Seri Raihanah berhenti seketika. Matanya bergerak-gerak lalu memandang ke atas. Mellihat bilik anak daranya yang tertutup rapat.
“Sebulan sebelum Reez balik mummy kesan kelainan pada adik. Dia tak banyak cakap. Malah asyik berkurung di dalam bilik. Bila mummy tanya dia cakap dia tak sihat. Itulah alasan dia. Sampilah Reez dah muncul masa itulah dia memberontak. Dia asyik mengamuk. Mummy agak dia nak perhatian dari Reez. Tapi yang peliknya bila Reez nak berkawan adik buat hal. Itu yang mummy musykil.”
Penjelasan wanita itu melegakan hati lelakinya.
“Bukan Reez yang salah.” Kali ini Dato' Seri Zainul Arif pula yang mencelah. “Daddy dengan mummy yang salah. Tak jaga adik dengan baik. Mummy sibuk dengan urusan mummy. Daddy lagilah jarang melekat dekat rumah. Tapi sejak Reez dah ada ini baru daddy lega sedikit. Boleh luangkan masa dengan adik. Tapi itulah. Adik dah jadi buluh kami baru nak lentur. Memang akan patahlah Reez.”
Mukhreez menggeleng tak setuju.
“Belum lagi daddy. Kita masih ada masa. Reez akan jaga adik sebaiknya. Reez mahu tebus kekhilafan Reez. Biar adik merasai bahagia macam dulu,” ujar Mukhreez nekad dan Dato’ Seri Zainul Arif angguk setuju. Begitu juga dengan Datin Seri Raihanah. Keadaan jadi sunyi seketika. Hanya cengkerik di luar sana yang ada memeriahkan suasana yang sebak dan pilu.
“Mummy kenal kawan-kawan adik?” tiba-tiba Mukhreez bertanya. Datin Seri l Raihanah pantas kerutkan muka.
“Kawan sekolah lama tu adalah. Tapi dah lama mummy tak tengok adik bersembang macam dulu.”
“Kawan dekat sekolah baru?” tanya Mukhreez lagi.
“Tak pernah pula mummy dengar adik bercakap dalam telefon dengan siapa-siapa. Lagipun macam mana nak ada kawan kalau adik sendiri tak nak orang tahu rumah dia kat mana.”
Memang betul kata-kata wanita itu dan Mukhreez tunjuk muka ragu-ragu. Benarkah adiknya tidak ada kawan.
“Kenapa Reez?”
Mukhreez pandang wajah ibunya risau.
“Reez takut dia dah pandai bercinta mummy. Adik masih muda. Tak tahu apa-apa pun pasal cinta ni mummy.”
Datin seri Raihanah menggeleng menafikan.
“Tak kut sebab setakat ini adik tak pernah keluar pergi mana-mana seorang diri. Kecuali adik bawa Zuhdi buat teman. Tapi itulah...." Tiba-tiba Datin Seri Raihanah berhenti bercakap.
"Entah-entah Zuhdi buat hal. Zuhdi dah lukakan hati adik agaknya?"
Mukhreez terkejut. Begitu juga dengan Dato' Seri Zainul Arif. Hati masing-masing berwasangka. Tetapi akhirnya Mukhreez menggeleng.
"Tak mungkin," balas Mukhreez dan matanya memandang ke atas. Dia yakin ada sesuatu yang telah terjadi dan semua orang tidak tahu. 1
Share this novel