Pantai Cahaya Bulan
Pantai bukanlah tempat kegemarannya. Namun, demi memenuhi permintaan adik-adik sebelum dia kembali semula ke tempat mengajar dia harung juga jalan raya sehingga sampai ke Pantai yang terkenal di Kelantan. kebetulan rumah mereka dengan pantai tidaklah jauh.
“Jangan lama-lama sangat. Dah lewat petang ni,” pesan Syifaa pada Shahida dan Wafi yang sudah ke gigi air membasahkan kaki mereka. Syifaa pula mengambil angin di atas bangku yang berhadapan dengan adik-adiknya. Melihat kedua-duanya yang asyik berkejaran bagaikan anak kecil hatinya terhibur.
Terhibur melihat keakraban mereka. Kalaulah dia tidak menjauhkan diri tentu dia juga akan sama-sama berkejaran. Menzahirkan rasa kasih dengan cara begitu. Kepalanya tergeleng-geleng melihat keletah si adik. Bibir pun tak lekang dengan senyuman. Begitu indah dunia mereka. Bagaikan tiada sebarang masalah datang menjenguk. Tidak seperti dirinya.
Terlalu berat memikul tugas sebagai guru. Tugas yang mulia ini menuntut seribu pengorbanan. Ditengking, dimarah penjaga itu biasa tetapi dipulau dan dimusuhi pelajar sendiri itu tak mampu dia terima. Pantas kepalanya mengingati pertemuan yang terjadi di kedai buku sebentar tadi. Mahu sahaja dia terus berbual dengan Aiza Munirah tetapi sikap gadis itu membataskan segalanya. Ada sikap keras hati yang tak mampu dilentur dengan cepat. Perlukan usaha berterusan agar gadis itu akan menjadi pelajar yang berdisiplin serta beradab sopan.
Dia pula tidak meminta dirinya disayangi sebagai penghargaan. Cukulah gadis itu berubah menjadi gadis yang baik dan ttu sudah cukup mampu memuaskan hatinya. Namun, sehingga ke saat ini usahanya belum lagi membuahkan hasil.
‘Tak perlu berusaha sangat. Biarkan saja gadis itu dengan perangai sombongnya.’
Ada satu suara halus menusuk ke dalam hati lalu dia genggam tangannya kuat. Pejamkan mata. Gadis itu anak didiknya. Sejahat apa pun gadis itu, dia yang perlu melenturnya. Hati menolak segala kejahatan lalu dia celikkan mata. Pandangannya singgah pada sepasang suami isteri yang berjalan berpimpin tangan. Pasangan itu berbual dan bergurau senda di gigi air. Pantas hatinya tersentuh. Wajah Aiza Munirah sebentar tadi hilang berganti wajah arwah suaminya dan air matanya terus meluruh tanpa dipinta.
“Will you be mine forever?” kata-kata itu bergema entah untuk kali yang ke berapa. Melihat pasangan lain yang berbahagia tak semena-mena ayat itu kembali menghantui hidupnya. Lantas dia pejamkan matanya sekali lagi. Wajah Dato’ Zainuddin Amien, seorang lelaki berpangkat yang banyak menderma untuk maktab sedang melamarnya. Lelaki itu melutut sambil mengunjukkan sekuntum mawar putih dan kotak cincin yang sudah dibuka di depannya.
Dia malu saat menyedari lamaran itu benar-benar terjadi. Dilamar di dalam bilik Prof. Ahmad Shukri dan pensyarahnya itu juga sedang berdiri memandangnya. Menjadi saksi luahan cinta lelaki itu.
“Be mine forever and ever.” Sekali lagi lelaki itu meluahkan dan dirinya pula kelu tak terkata. Tetapi, melihat saja mawar putih yang indah itu ditariknya lembut.
“Ini yang ke 99 bukan?” soal Syifaa sebak. Teruja dan takut saling beradun.
“Setuju nikah dengan saya? Soal lelaki itu dan Syifaa mengangguk.
“Lepas nikah, saya akan berikan mawar yang ke seratus tanda saya tak pernah jemu berusaha.”
Syifaa pun angguk dalam linangan air mata.
“Kita nikah segera.” ujar lelaki itu gembira dan wajah itu kelihatan berseri. Bagaikan baru menikmati manisnya cantik. Dia pula, tenggelam dalam renungan yang menggetarkan rasa yang bakal halal untuk selama-lamnya.
Tetapi….
Syifaa buka mata dan air matanya meluruh tiba-tiba. Dia tak sepatutnya mengingati kenangan yang telah lama berlalu namun air mata seakan tak memberi kerjasama. Lalu dia bangkit dari bangku dan melangkah ke pesisir pantai. Angin kuat yang menghembus membuat tubuhnya menggigil. Hatinya tiba-tiba semakin sebak. Terus dia biarkan air matanya meluruh. Barulah hati rasa lega. Hati rasa puas. Melihat pula ombak yang menghempas pantai dia pun bergerak bagaikan ditarik ombak. Dia mahu membaling semua kenangan pahit ke dalam laut yang dalam. Biarkan semuanya tenggelam sehingga ke tengah laut. Dia tak sedar perlahan-lahan kakinya mula tenggelam di gigi air. Tak lama pahanya pula yang tenggelam.
“Hei, nak bunuh diri ke?”
Entah bila tubuhnya di tarik orang lalu dibawa ke gigi air. Syifaa tersentak. Pandang pakaian yang melekat di tubuhnya.
“Dah puas hidup ke?” soal suara itu keras dan Syifaa angkat muka.
Dia tersentak.
Aiza pun sama.
Tak sangka dia telah menolong orang yang dia tak suka. Pantas kakinya bergerak.
“Aiza!” Syifaa menegur. Angkat tangan hendak mengalang. Tak disangka-sangka Aiza merempuh kasar dan sekelip mata telefon di tangan Syifaa jatuh ke dalam air.
Sekali lagi Syifaa terkedu dan Aiza ternganga.
Lama mereka dalam keadaan begitu sehinggalah Shahida muncul termengah-mengah.
“Kak Syifaa. Mana telefon kakak. Abah cakap dia call kakak tak dapat-dapat.”
Syifaa tersedar. serta-merta kepalanya menekur ke bawah. Aiza juga sama. Masing-masing memandang tepat ke arah telefon yang sudah lemas di dalam air.
“Ya Allah!” ucap Shahida resah setelah melihat telefon kakaknya terlungkup di dalam air. Pantas gadis itu tunduk lalu tarik telefon yang dilitupi pasir.
“Kak Syifa….” ucap Shahida tak percaya. Pantas gadis itu mengelap gajet di tangan dengan tudungnya. Syifaa bagai dipukau. Hanya mampu mengukir senyum. Tangan kiri pula lap air mata yang merembes ke pipi dan Aiza terkesan. Terkedu melihat air mata itu meluruh. Tak pernah dia melihat wajah itu sayu dengan air mata. Tiba-tiba hatinya jadi pedih dan sakit.
“Jomlah balik.” Wafi muncul mengajak balik. Syifaa mengangguk dalam senyuman. Tanpa menegur Aiza dia mula melangkah ke darat dan Aiza tak percaya.
Miss Tweety tidak menegurnya seperti selalu. Ada riak pedih pada wajah itu dan dia tiba-tiba dihenyak rasa bersalah.
Share this novel