Bilik Mesyuarat Sekolah
Syifaa pandang wajah Aiza Munirah yang ketat menahan rasa. Dia tahu gadis itu marahkan dirinya kerana memaksa menyertai mesyuarat Kelab Keusahawanan Sekolah. Tidak salah dia berbuat demikian kerana gadis itu salah seorang ahli jawatankuasa induk kelab. Lagipun acapkali dia mendengar rungutan daripada AJK lain yang mengatakan Aiza tidak bertanggungjawab.
Dia tidak suka pelajar lain mengata Aiza. Dia tahu gadis itu bersikap begitu kerana ada sebabnya. Firasatnya mengatakan Aiza masih dibelenggu masalah. Jadi dia sengaja mengheret gadis itu bersama kerana dia mahu dekat dengan gadis itu. Lagipun dia sudah ada agenda dia sendiri.
Dia perlu berkawan dengan gadis itu. Walau susah macam mana sekalipun dia kena pastikan Aiza Munirah akan menjadi anak didik yang paling rapat dengannya. Bukan apa? Sekadar mahu menolong gadis itu.
Dia ukir senyum melihat wajah mencuka Aiza. Sikap gadis itu sedikit sebanyak mengingatkan dirinya akan tingkah lakunya suatu waktu dulu.
Zaman remajanya yang berwarna-warni bagaikan pelangi. Ada ceria yang membawa duka pada ahli keluarganya. Dia juga sama seperti Aiza. Dia gadis baik hati yang tak lepas daripada sifat degil. Dia pernah melawan cakap orang tuanya. Pakaiannya tidak kena dengan status umi dan abi yang sudah bergelar haji dan hajah. Malah dia juga gadis yang terburu-buru mengikut kata hati.
Itulah dirinya sebelum bergelar guru. Lantaran itu dia perlu dekat dengan Aiza. Menasihati gadis itu sebelum terbabas perilaku seperti dirinya. Lantaran itu dia perlu memikat hati gadis itu. Namun, hendak melentur gadis itu dia perlukan kesabaran yang cukup tinggi. Dia berharap dia tidak akan tersungkur di tengah jalan.
Dari meja belakang dia melihat sahaja perbincangan di antara ahli mesyuarat. Masing-masing melontarkan idea bernas. Sesekali terdengar suara tegas Rahman selaku pengerusi yang tidak bersetuju dengan idea sempoi ahli lain. Tak lama kedengaran suara gelak masing-masing yang riuh apabila ada yang buat lawak tak berbayar. Hanya Aiza Munirah sahaja yang diam tak berkutik.
Syifaa menggeleng tenang. Tenang dengan gelagat masing. Sambil menulis dia dengar setiap patah bicara masing-masing.
Ketika Syifaa leka menulis Aiza mengambil peluang merenung tajam wajah itu. Keceriaan wajah itu membawa seribu duka dalam hatinya. Melihat pula pakaian yang tersarung pada tubuh itu kepalanya ditunjal pelbagai soalan. Baju kurung cotton berlatarkan tanah berwarna coklat muda dan ditaburi corak bunga-bunga kecil berwarna kuning membawa ingatannya pada seseorang. Entah kenapa pakaian itu serupa benar dengan pakaian gadis yang telah menaruh dendam dan benci yang kuat dalam hatinya. Gaya pemakaian selendang juga sama. Bahkan pemakaian guru muda itu setiap hari sama saja caranya. Menyebabkan mata Aiza berkedip menahan air mata daripada gugur menyembah pipi.
Sakit.
Cukup sakit melihat guru muda itu. Mahu sahaja dia melarikan diri. Berpindah ke sekolah lain. Namun dia tahu cara itu tidak akan menyelesaikan segala masalah.
Betapa dia benci dengan apa yang dia lihat sekarang ini. Dia berpaling ke arah lain seketika. Membuang segala rasa yang datang menyerang. Apabila dia kembali melihat semula matanya dipanah mata guru muda itu. Pantas dia larikan pandangan.
Syifaa tertanya-tanya. Kenapa dengan Aiza Munirah. Seringkali dia menangkap pandangan gadis itu yang suka curi-curi pandang ke arahnya. Terutama sekali ketika berada di dalam kelas.
Serasa mahu menggali rahsia gadis itu lantas dia memandang tepat ke arah Aiza yang duduk di sebelah tingkap nako. Kali ini dia sabar menanti dan nyata pandangan gadis itu langsung tidak berkutik. Hanya mengarah ke padang bola. Jauh merenung ke luar sehingga Syifaa perasan ada sendu pada wajah itu. Di kala ini hati Syifaa sendiri tidak duduk diam. Asyik meneka masalah apakah yang sedang membelit gadis itu.
“Miss Sweety Tweety. Kami dah siap meeting.” Rahman berbunyi dan menoktahkan segala persoalan di dalam kepala. Syifaa kalih memandang semua ahli mesyuarat lalu hadiahkan senyuman manis.
"Miss Sweety Tweety… tak ada makanan ke. Laparlah." Rahman usap perutnya yang kempis. Perlakuan anak muda itu memuntahkan tawa halus Syifaa.
"Nanti cikgu belanja lain kali ya. Sebab mesyuarat ini tak dirancang jadi makanan pun tak sempat order. Tapi…."
Syifaa keluarkan not lima puluh. Bangkit untuk mendekati kesemuanya. Ketika itulah salah seorang AJK bertanyakan Rahman. Agaknya pelajar perempuan itu tidak menyedari dia sudah ada di belakang.
“Kenapa panggil Cikgu Syifaa macam tu. Dia tak pakai baju kuning setiap hari. Mulut dia pun tak sama langsung dengan tweety dalam cerita kartun tu.”
Rahman ketawa kecil.
“Memanglah tak sama. Tapi Cikgu Syifaa comel macam budak-budak sekolah. Sebab itulah masa hari pertama dia masuk kelas, kita orang dah tersalah anggap. Ingatkan dia student baru.” Azfar yang tolong menjawab sebelum sempat Rahman membuka mulutnya.
Masing-masing terangguk-angguk macam burung belatuk.
“Paling penting kalau tengok Cikgu Syifaa hati terus ceria. Tak jadi nak sedih-sedih. Muka dia yang selalu senyum tu buat hilang segala masalah.” Kali ini yang lain pula menyambung kata.
“Haah kan. Itu time senyum. Tapi time kau orang semua kena denda pegang piala tak ada nya nak senyum bagai kan.” Syifaa mencelah lalu masing-masing ketawa menilai. Hanya Aiza sahaja yang tetap dengan muka tawarnya. Gadis itu bingkas bangun mahu keluar. Kerana mesyuarat sudah tamat terus saja gadis itu beredar. Lagipun Aiza ada janji. Gara-gara cikgu itulah janjinya tak dapat ditepati dengan sempurna.
Aiza sudah menyarungkan kasut sekolah. Syifaa yang menyedari gadis itu sudah keluar terus letakkan not lima puluh di hadapan Rahman.
"Belanja untuk semua," arah Syifaa lantas keluar menyaingi langkah Aiza yang sudah tiba di anak tangga pertama.
“Aiza nak balik ke? Jomlah cikgu hantar,” pelawa Syifaa lembut sebaik berada di sebelah gadis itu.
Aiza pantas hentikan langkah. Pandang muka Cikgu Syifaa dengan riak menyampah.
"Boleh tak jangan nak tunjuk baik sangat. Cikgu ingat saya hadap sangat ke?"
Terkedu Syifaa dengan balasan kata gadis itu. Hati terus kecewa Tak boleh ke menolak dengan sopan. Kenapa perlu nak tunjuk kasar begitu.
“Tak salah kan cikgu nak tabur budi?" Syifaa mencuba lagi.
Aiza yang baru saja nak sambung memijak anak tangga terus kepal tangannya. Hatinya cukup rasa geram dengan cikgu itu.
"Kenapa cikgu nampak terdesak sangat nak tolong orang. Cikgu tak ada kerja ke?" sembur Aiza dan menyebabkan Syifaa terpukul.
Astaghfirullah al azim. Batinnya beristighfar.
Kalau tak mengenangkan gadis itu anak orang dah lama dia kepit mulut kecil itu. Biar jadi empat segi. Geram sungguh. Dan... dia tahu macam mana nak buat gadis itu terdiam. Dengan akan me itu cara gadis itu. Kasar dibalas kasar. Lagipun dia sangat nak tahu. Mampu ke Aiza membalas balik.
"Buat masa sekarang kerja cikgu dah habis. Jadi… tak salah kan cikgu nak tambah kerja tolong hantar Aiza balik rumah." Syifaa lawan.
Nah, itu dia. Kan dah keluar mulut seorang tweety. Nampaklah geraham Aiza bergerak-gerak. Dan… Syifaa tidak sedar. Itu Aiza Munirah. Kalau sudah mula menjawab mana mungkin gadis itu akan berhenti begitu saja.
“Cikgu jangan nak menyibuk boleh tak. Saya ada kaki. Saya boleh ke mana saja tanpa pertolongan sesiapa pun,” luah Aiza sombong. Tercengang Syifaa dengan kata-kata gadis itu.
“Cikgu bukan nak menyibuk. Cikgu cuma nak membantu.”
“Excuse me. Ada saya minta.”
Naik membahang wajah Syifaa dengan balasan gadis itu. Rasa nak je dia heret gadis itu macam budak kecil. Tapi sabar itu penting. Lalu dia maniskan roman wajah.
“Kan Aiza cakap Aiza sebatang kara. Nak balik dengan apa. Duit dah ada?"
Berdesing telinga Aiza dengan sikap ambil berat cikgu tersebut.
“Sebatang kara tak bermaksud saya tak ada duit."
Erk, Syifaa mati kutu.
"Lagipun abang saya ada. Dia boleh ambil saya bila-bila masa saja saya suruh.”
Terjongket kening Syifaa dengan kata-kata gadis itu. Nampaknya matahari petang ini miliknya. Sinar itu menerangi harinua dan dia yakin cahaya itu akan terus gemerlap. Aiza sudah mengakui yang gadis itu ada abang. Bukan tinggal seorang diri dengan lelaki bernama Pak Aziz. Hatinya bersyukur.
“Nanti abang datang ambil dengan apa?” tak terduga keluar soalan begitu. Terus Syifaa ketap bibir. Tersasul pula bertanya. Tak sepatutnya dia tanya begitu tetapi nasi sudah menjadi bubur. Mana boleh nak betulkan semula.
Aiza pula melirik guru muda itu tak percaya. Ada rasa pelik menunjal dada.
“Dengan bas. Kenapa. Nak tumpang?”
Ya Allah. Sungguh dia malu. Perasaan yakin hendak mengorek rahsia gadis itu tadi mulai luruh sedikit demi sedikit. Kesilapannya tadi tentu sahaja menimbulkan perasaan jengkel dalam hati gadis itu. Tetapi alang-alang dah tersasul baik dia teruskan sahaja. Lagipun dia tiada niat nak mengenali abang gadis itu. Dia hanya mahu mengenali Aiza Munirah.
“Abang Aiza kerja driver bas ke?”
Berkerut dahi Aiza dengan pertanyaan Cikgu Syifaa. Dia hampir ketawa dengan soalan begitu tetapi cepat-cepat mengetap bibirnya. Bimbang cikgu tersebut nampak perubahan riak wajahnya. Lalu dia mengiyakan sahaja. Lebih baik begitu.
“Ya. Abang saya driver saja. Kenapa? Dah tak sudi nak menyibuk hal saya bila tahu abang sayang kerja biasa saja. Dah tak ada selera nak memancing.”
Menggigil tangan Syifaa menahan bermacam-macam rasa yang datang. Ada rasa geram bercampur malu. Ada kesal bertindih risau. Kenapa sikap ambil beratnya disalah erti gadis itu.
Aiza lihat wajah cikgu muda itu sudah berubah.
“Cikgu buat-buat baik dengan saya hari ni sebab nak tackle abang saya kan. Macam saya tak tahu."
Kali ini wajah Syifaa terasa tebal berinci-inci. Tebakan gadis itu mengundang awan mendung di dalam dada. Mentari yang diharapkan bersinar sehingga ke petang nampaknya sudah terselindung di balik awan gelap.
"Kalau lepas ni cikgu cuba buat baik dengan saya jangan harap saya nak diam. Saya akan jaja nama cikgu dekat semua orang yang cikgu nak pikat abang saya. Cikgu, perempuan jalang."
Apabila ayat itu terhambur keluar terus kolam mata Syifaa bergenang. Ayat begitu cukup pedih di telinganya dan dia tak sangka hari ini ayat itu akan melalui telinganya.
Lalu dengan rasa sebak dia luahkan kata. Membalas kata-kata Aiza.
"Kalaulah berbuat baik terhadap pelajar sendiri itu tandanya nak mengurat penjaga pelajar sendiri cuba Aiza bilang. Sudah berapa ramai abang atau ayah atau dayok rakan sekelas Aiza yang cikgu dah pikat?"
Syifaa berikan kerja sekolah tak formal kepada Aiza. Biar gadis itu sedar kebaikan yang dihulur tidak mengharapkan apa-apa balasan.
Terkemut-kemut wajah Aiza menahan marah. Apatah lagi Cikgu Syifaa mendahuluinya menuruni anak tangga.
Syifaa berhenti seketika lantas berpaling.
"Manners cost nothing, Aiza," pesan Syifaa dan tanpa menunggu lagi terus berjalan meninggalkan gadis itu yang terkedu tak percaya.
Ayat itu terngiang-ngiang di telinga. Malah menggamit kenangan pedih yang telah lama dia padam.
'Manners cost nothing, Aiza. Jadi Kak Wieta harap Aiza tidak akan menjual adab sopan Aiza hanya kerana kesalahan yang Kak Wieta lakukan.'
Dan nafas Aiza berlari kencang. Pantas dia pejamkan mata lalu menjerit kuat.
Sementara di bawah Syifaa mengeluh kesal. Gema jeritan Aiza Munirah menggugurkan air matanya yang sedari tadi ditahan. Betapa gadis itu terlalu kurang ajar. Nasib gadis itu masih baik kerana dia masih mampu bersabar. Jika tidaktangannya pasti naik ke muka gadis itu.
Ya Allah, betapa susahnya hendak melembutkan gadis itu. Betapa susahnya menjadi seorang guru. Terus air matanya bercucuran tak henti.
Tiba-tiba dia teringat akan uminya. Begitulah agaknya perasaan umi saat dia melawan cakap umi. Saat dia melarikan diri dari umi. Nampaknya karma itu sudah terkena pada dirinya.
Dia cukup kesal.
Kalau Aiza itu keras kepala diapun apa kurangnya. Sampai ke saat ini dia masih belum mahu pulang untuk memohon kemaafan dari kedua-dua orang yang telah bersusah-payah membesarkannya.
Apakah dia harus pulang ke kampung lebih dahulu. Memohon keampunan dari umi dan abi. Barulah segala urusannya dipermudahkan ilahi.
Ya. Itulah yang seharusnya dia buat.
Share this novel