BAB 28

Drama Series 18121

Hari akhir seminar

Malam berlalu tanpa kata. Membawa pagi yang sunyi walaupun unggas-unggas berterbangan sambil berlagu riang. Namun hati kedua-dua gadis di dalam langsung tidak terusik. Bagaikan air laut di depan yang tenang tidak dihembus angin. Masing-masing membawa haluan sendiri.

Aiza masih lagi tidur bagaikan tiada apa pun yang bisa mengejutkan gadis itu. Sedangkan Syifaa sudah ke dewan untuk menyertai sesi penutup seminar. Dalam keadaan berjaga-jaga tetap juga turun ke bawah. Ikutkan hati dia mahu terus pulang semalam juga. Namun dia ketakutan. Bagaimana kalau lelaki itu mengekori sehingga ke kereta. Hendak memberitahu pengawal takut mereka tidak percaya. Apatah lagi dia tidak tahu adakah ceritanya boleh dipercayai atau tidak. Lalu, dia berlagak berani dan hati tak putus-putus berdoa agar majlis cepat-cepat tamat.

Doanya dikabulkan. Majlis sepatutnya tamat jam 12 tengah hari tetapi penganjur pendekkan masa untuk memberi peluang kepada para peserta menikmati keindahan resort. Gara-gara jadual yang padat dan masing-masing tak berpeluang untuk bersiar-siar. Cuma Aiza sahaja yang tidak ada. Hati pun patah.

Lalu dia pulang ke bilik.
“Kita dah boleh check out,” ujar Syifaa sebaik masuk ke dalam. Kelihatan Aiza sedang duduk di birai pintu gelangsar. Memandang jauh ke depan. Sesekali dilihat gadis itu mengusap pipi yang basah.

“Cikgu baliklah. Saya tunggu abang saya datang ambil.” suara itu kedengaran senada dan muka Syifaa terus berkerut.

“Aiza tak cakap pun dengan cikgu?”

“Tak perlu.”
Jawapan gadis itu tiba-tiba saja menaikkan darah Syifaa. Kalau semalam masing-masing hanya membisu kerana terkejut dengan situasi yang tak terduga. Pagi ini Syifaa rasa dia perlu guna kuasanya sebagai cikgu.

"Balik dengan cikgu. Aiza kan datang dengan cikgu. Kenapa nak balik dengan orang lain pula,” ujar Syifaa keras.

“Orang lain!” Aiza berpaling. Mata itu merenung tajam. “Saya cakap saya balik dengan abang saya. What do you mean by ‘orang lain’?” soal Aiza keras. Memandang Syifaa dengan mata tajam.

Terus Syifaa terkedu. Kelakuan Aiza mematikan patah bicaranya. Terus dia rasa bersalah kerana menaikkan amarah gadis itu.
"Tak menyusahkan abang Aiza ke datang ambil jauh-jauh macam ni. Cikgu rasa bersalah sebab Aiza bawah tanggungjawab cikgu."

"Susah atau tidak langsung tak ada kaitan dengan cikgu." Cukup kasar bahasa yang keluar dari mulut Aiza dan hati Syifaa hancur berderai. Terus terbayang insiden semalam. Kenapa lagak gadis itu tak tetap sekali. Sekejap dia rasa Aiza baik. Sekejap Aiza berubah menjadi orang lain.

"Maafkan cikgu. Apa yang Aiza cakap itu memang betul. Cikgu tak ada kaitan pun. Tapi… cara Aiza tak kena. Sepatutnya Aiza beritahu cikgu awal-awal. Jadi senang cikgu nak rancang perjalanan cikgu." Syifaa menjelaskan kerana dia berhak agar gadis itu sedar akan kesalahan sendiri.

"Cikgu baliklah. Abang saya 10 minit lagi akan sampai." dan… suara itu pun kendur. Akhirnya Syifaa terpaksa mengalah.

"Kalau macam tu kita turun sama-sama. Cikgu nak pulangkan kad ni,” ujar Syifaa namun Aiza menolak keras.

"Letak je kad tu. Biar saya yang hantar. Lagipun saya nak berehat kat sini dulu."

Syifaa hembus nafas panjang. Ikutkan hati memang dia akan buat gadis itu macam orang luar. Tetapi dia yang tak sampai hati. Akhirnya dia tarik beg pakaian dan letakkan kad akses di atas meja telefon. Dari situ dia melihat wajah itu yang nampak hiba,

"Kuatkan semangat Aiza. Teruskan hidup. Jangan cepat mengalah,” nasihat Syifaa dan tak semena-mena Aiza bangkit. Berpaling lalu memanah tajam wajah Syifaa.

"Who are you to advise me? Have you ever worn my shoes?" Cerlung mata itu memandang. Terus Syifaa menelan liurnya. Risau dengan lagak gadis itu yang kembali keras. Namun, dia tak boleh kalah. Gadis itu perlu dinasihati. Dalam masa yang sama perlu disayangi.

"Memang cikgu tak pernah lalui apa yang Aiza lalui tapi cikgu tolong menasihati berdasarkan pengalaman cikgu."

"Pengalaman apa?" jerkah Aiza kuat. Muka sudah merah. Mata pun berkaca-kaca.

Dada Syifaa pantas berdebar-debar melihat wajah itu yang cukup merunsingkan hati. Ada kemarahan yang cukup tinggi. Jika tidak dibendung akan membakar diri.

"Huh, pengalaman apa yang cikgu cakap. Pengalaman kena rape? Mengandung? Gugurkan anak? Stressed? Macam tu?" ujar Aiza seraya menangis. Tangan pun pantas naik menyapu air mata yang melelah laju.

Dengan tangan terketar-ketar, Syifaa menggeleng. Dia tahu pengalaman mereka berbeza. Langsung tak sama. Tetapi kerana pengalaman yang cukup pahit itulah dia belajar sesuatu. Belajar untuk terus kuat di samping membentuk orang lain untuk sama kuat. Kerana dia melihat Aiza tak ubah sepertinya dia mahu menjadikan gadis itu gadis yang tidak mudah kalah. Tetapi nampaknya dia yang lebih dahulu kalah.
"Maafkan cikgu. Cikgu bukan suka-suka nak menasihati. Cikgu hanya nak Aiza bangkit. Bangkit dari masa silam. Jangan terlalu mengenang, nanti akan makan diri Aiza.”

"Sudah!" Aiza bertempik kuat dan mengejutkan Syifaa. "Pergi baliklah. Jangan nak nasihatkan aku." Bahasa gadis itu sukar untuk diterima telinga dan Syifaa akur. Terus bergerak sehingga ke muka pintu. Namun langkahnya mati apabila Aiza tinggalkan pesan yang keras.

"Jangan berani-berani nak bocorkan rahsia aku. Nahas kau nanti." Keras suara Aiza memberi amaran di muka pintu gelangsar dan Syifaa terketar-ketar menggenggam jemarinya lantas tergesa-gesa keluar membawa air mata yang akhirnya tumpah juga.

***
Kawasan parkir resort

Mukhreez memarkir kereta berhadapan dengan lobi resort. Sebaik menaikkan brek tangan dia mendail nombor telefon adiknya. Kemudian telefon dilekapkan ke telinga. Melalui cermin pandang belakang dia betulkan rambutnya yang berjuntai ditiup angin pendingin hawa.

Sudah sedikit panjang.
Dia pula belum ada masa lagi hendak ke kedai.
Dalam menunggu adiknya menjawab panggilan, bola matanya tiba-tiba sahaja menangkap kelibat seorang gadis berbaju kurung merah jambu berbunga ungu dan bertudung senada dengan bunga sedang menarik beg menuruni anak tangga. Sang gadis tergesa-gesa menuju ke arah petak parkir dan mata Mukhreez terus mengekori.

Hati tak percaya. Tangan terus putuskan talian. Lalu hantar pesanan saja kepada Aiza. Kepala tergeleng-geleng. Tak percaya dengan wajah yang menyapa mata tadi. Lantas dia berpaling ke kiri. Picingkan mata dan meneliti susuk tubuh itu yang sudah melintasi keretanya. Mulutnya ternganga. Jika dibiarkan lama tentu air liurnya akan meleleh keluar.

Batinnya bergumam.
Sudah dua kali dia terserempak dengan gadis itu. Dua-duanya dia melihat gadis itu bersama dengan seorang lelaki. Tetapi kali ini gadis itu keseorangan pula. Namun keleteh manja si gadis di hadapan lelaki yang sama mematikan persoalan. Gadis itu milik orang lain. Jadi dia perlu reda. Tetapi, dalam reda hatinya dihimpit kecewa.

Kenapa dia perlu terserempak lagi? Untuk apa Tuhan munculkan gadis itu di depan mata. Apakah Tuhan mahu menguji hatinya lagi. Lalu dia hembus nafas panjang. Letak dalam hati. Gadis itu adalah ujian. Jadi dia akan biarkan saja.
Tetapi entah di mana silapnya. Sungguh dia tak puas melihat wajah ayu itu. Wajah itu wajah yang mendamaikan hatinya. Lalu dia pusingkan tubuh menghadap ke belakang. Hatinya berdenyut pelik. Malah bergetar segala urat di tubuh saat gadis itu hentikan langkah di belakang sebuah Myvi ungu. Terus dahi Mukhreez berkedut seribu apabila melihat nombor pendaftaran kereta. Nombor itu telah melekat di dalam kepalanya sejak pagi kelmarin. Hatinya jadi tak keruan pula. Degupan jantung pun berdetak pantas. Bukankah itu kereta yang Aiza naik kelmarin?

Hati tertanya-tanya.
Duduk pun dah tak menentu. Panas punggungnya dan dia rasa dia perlu keluar untuk memulakan semuanya. Tetapi, melihat ada sekelompok peserta seminar yang sedang berjalan keluar dari lobi resort mata pantas mencari adiknya. Tak nampak pula lalu dia alihkan pandangan dan melihat gadis di belakang sekali lagi.

Si gadis yang sedang memasukkan beg pakaian ke dalam tempat duduk belakang. Kemudian si gadis mengambil Ambi Pure Downy dengan haruman lavender lantas di sembur ke dalam kereta. Hati memang tak percaya dengan kebetulan di depan mata ini. Tetapi akal berfungsi dengan baik. Mengumpulkan semua bukti yang ada untuk mensahihkan apa yang matanya lihat.

‘Saya guru kelas Aiza. Boleh kita cakap sekejap.’ Suara manis itu kedengaran saat memperkenalkan diri melalui panggilan telefon.
‘Miss Sweety Tweety. Itulah nama dia.’ Suara Aiza pula yang masuk menyentap akalnya.
‘Cikgu adik orang Kelantan ke?’ Kali ini suara sendiri yang bertanyakan adiknya mencelah masuk.
‘Masih single?’ Lagi suaranya kedengaran.
‘Ya.’ Suara Aiza pula yang muncul
‘Rugilah aku tak tangkap gambar dia tadi. Cantik weh!’ Kali ini suara Zuhdi pula yang mengetuk hatinya.

"Cikgu Syifaa."
Dan… nama itu terbit dari dua ulas bibirnya. Dia kembali duduk menghadap ke lobi resort. Pandang jauh ke depan. Dia yakin. Guru kelas adiknya adalah orang yang sama yang dia idamkan. Terus senyuman panjang diukirkan. Suara-suara yang mencelah masuk itu semakin meyakinkan dirinya. Dia perlu berusaha. Dia tak boleh mengalah sebelum mencuba.

Tangan digenggam erat. Mengumpulkan kekuatan untuk memulakan. Lalu dia berpaling sekali lagi. Kelihatan susuk itu menyandar di boot dan menzahirkan muka keliru. Nampak si gadis mengetap bibir seraya memandang ke lobi. Ada sesuatu yang mengganggu fikiran gadis itu nampaknya.

Tiba-tiba pandangannya terganggu. Tangan si gadis berlari di atas layar skrin telefon. Tak lama melekapkan telefon ke telinga pula. Terus matanya dipicing lama. Timbul teka-teka dalam hati. Kenapa casing telefon itu seperti pernah dilihat. Warna dan corak itu mengingatkannya akan telefon yang adiknya minta gantikan untuk seseorang.

Akal berfikir jauh.
Kelmarin nombor telefon gadis itu tak dapat dihubungi. Jangan-jangan….
Dan… akhirnya Mukhreez hembus nafas kesal. Sudah dapat meneka apa yang telah berlaku sebelum adiknya ke sini. Terus bibirnya diketap geram dan dahinya berkerut nak marah.

Aiza menipu.
Sungguh dia nak marah tetapi bibirnya tiba-tiba saja melorekkan senyum bangga apabila menyedari aturan yang terjadi. Sungguh tak terjangka dek akal. Lalu dia tarik picu pintu. Hendak keluar dan mendekati susuk itu. Namun tindakannya mati apabila si gadis tiba-tiba sahaja melangkah laju masuk ke lobi resort. Kemudian menghilang di balik kotak lif.

Dada Mukhreez tiba-tiba berdebar resah. Apatah lagi kelibat Aiza masih belum kelihatan. Bahkan pesanannya pun tidak berbalas. Panggilan juga terputus. Sungguh dia risau. Lalu dengan tergesa-gesa Mukhreez keluar. Sebelum itu mencari pesanan sebelum ini. Nombor bilik dihafal lalu dia keluar dan akan menjemput sendiri adiknya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience