Depan pasar raya
“Bawa tak senarai barang yang nak beli?” soal Syifaa sebaik saja memarkir kereta tidak jauh dari pintu utama pasar raya.
“Kau ni duk zaman mana. Aku dah tulis dalam phone. Kau jangan nak jadi mak nenek sangat,” rengus Farah lantas keluar setelah enjin dimatikan.
Dengan geram Syifaa julingkan mata ke atas. Pandailah menjawab. Nasib itu kawan baiknya. Kalau tak dah lama kena tinggal kat sini saja. “Balik nanti kau masak.” Tiba-tiba saja Syifaa berbunyi. Terus Farah matikan langkah. Berpaling. Memandang Syifaa yang baru mengunci kereta.
“Kau apahal. Tak pernah-pernah suruh aku masak. Alih-alih ringan sangat mulut kau hari ini.”
Terbit senyum di bibir Syifaa. Sengaja nak mengusik. Tak sangka Farah pandai mengelak.
“Bila lagi kau nak masak untuk aku. Hari ini aku dah drive. Aku suami. Kau isteri. Jadi kau kena masak.”
Farah mencebik lantas cepat-cepat melangkah hendak mencekik Syifaa yang mula melangkah di kaki lima pasar raya. Syifaa hamburkan gelak kecil dan bergerak laju. Sewaktu melintasi kereta di depan sempat dia kerling nombor plat yang amat cantik. AJW123. Nombor itu terus melekat dalam kepala.
Farah di belakang juga tertarik dengan nombor tersebut tetapi buat selamba sahaja dan menyaingi langkah Syifaa.
Syifaa yang leka memandang akhirnya betulkan kedudukan. Melangkah hendak masuk ke dalam tetapi matanya terpandang susuk seseorang yang sedang berjalan di sebelah seorang lelaki. Lelaki itu menolak troli yang penuh dengan barang-barang. Terus langkahnya mati. Mata pantas mengekori wajah itu yang sudah terbiasa di matanya namun dia tak yakin.
Farah di belakang naik hairan. Pantas berhenti seraya turut mengekori susuk itu yang berhenti di hadapan sebuah van yang diparkir betul-betul di hadapan pintu masuk. Mata membuntang tak percaya.
“Abang Razak bawa semua barang tu pergi restoran. Cakap dengan dia orang semua yang saya tak dapat nak pergi jenguk dia orang malam nanti. Siapkan semua kerja awal-awal. Jangan nak hu ha sangat.” Tegas suara itu menerangkan dan perlahan-lahan kolam mata Syifaa bergenang.
Dia cam suara itu. Namun dia masih tak kuat hendak mengeyakan apa yang hatinya teka. Ditilik susuk itu lama. Gadis yang bertudung dan berjubah hitam itu bergerak ke boot belakang. Menolong lelaki separuh abad itu memasukkan barang ke dalam boot. Muka itu berkerut. Seolah-olah sedang mengira barang yang dimasukkan.
Pantas hati Syifaa berdetak sakit. Melihat susuk itu yang tiba-tiba memegang hujung bibir dia amat yakin. Itu adalah Aziana Juwieta. Gadis itu yang suatu waktu dulu sama dengannya. Tidak memakai tudung. Tidak menutup tubuh dengan sempurna telah berubah ke arah yang amat baik. Hati bangga namun ada rasa sedih mencucuk dada.
Farah yang sudah bergerak ke sebelah pula pantas menyentuh bahu Syifaa. Perlahan-lahan tarik tangan Syifaa lalu genggam kuat. Cuba memberi kekuatan
“Kalau kau tak sedia nak hadap semuanya baik kita terus masuk dalam,” ajak Farah dan cuba menghilangkan gigilan pada tangan Syifaa. Farah tahu Syifaa sedang menggigil menahan rasa. Malah tangan itu terasa sejuk. Tetapi Syifaa tetap diam. Tidak bereaksi sebaliknya mengumpul kekuatan untuk berhadapan. Dia akan cuba. Dia amat berharap semangatnya tak akan hilang. Lantas dia menunggu.
“Abang Razak… nanti hantar makan malam awal sikit ya. Jangan lewat. Budak-budak tu nanti nak kena disiapkan awal. Kalau lambat kasihan dia orang nanti,” pesan suara itu sekali lagi dan akhirnya susuk itu mula bergerak ke kereta sebelah.
Mata Syifaa membuntang sebaik melihat susuk itu yang mula menekan kunci kereta. Patutlah hatinya tak sedap melihat nombor plat kereta itu. Nombor itu akan dicatat dihujung buku setiap kali selesai menulis nota. Hatinya sebak. Gadis itu sudah menarik picu pintu. Kelihatan hendak masuk ke dalam namun tak jadi. Lantas susuk itu berpaling.
Mata bertentang mata.
Syifaa mengetap bibir menahan rasa dan Juwieta ternganga. Pantas mata itu pantas berkaca-kaca. Tak jadi hendak masuk ke dalam. Lanta tutup pintu kereta dan perlahan-lahan melangkah hendak mendekati seraya mulut kumat-kamit hendak menyebut sesuatu.
Apabila Syifaa berpaling mahu pergi terluah jua nama dari mulut Juwieta.
“Syi… Syifaa!” sebut Juwieta dalam suara tersekat-sekat bersama kaki cuba mendekati. Namun, Syifaa sudah membelakangi dan Farah di sebelah memandang kesal. Syifaa tak menepati janji. Tuhan telah mengizinkan mereka bertemu dan sepatutnya Syifaa ambil peluang yang sudah muncul namun gadis itu segera melangkah.
Syifaa tak mampu menipu diri sendiri. Amarahnya masih bersisa. Hatinya masih sakit dengan segala yang terjadi. Melihat saja wajah itu tiba-tiba saja dia benci dengan pertemuan yang terjadi. Walaupun pertemuan ini yang ditunggu-tunggu tetapi ia mengundang kesakitan yang maha hebat.
Rupa-rupanya dia tak kuat hendak menerima kebenaran lalu dia segra melangkah ke kereta. Mahu menyembunyikan diri. Tetapi dia tak sempat masuk ke dalam. Juwieta begitu laju menyaingi langkahnya. Pantas gadis itu memeluknya erat.
Dan Syifaa… terkedu bersama tangisan yang mula meluruh.
“Maafkan aku Syifaa!” ucap Juwieta dalam sendu yang bermula. Tetapi siapa sangka amarah Syifaa pecah juga lalu menepis tangan Juwieta begitu kuat.
“Aku tak mengharapkan kau meminta maaf pada aku. Bukan itu yang aku nak. Bukan,” jerit Syifaa sehingga sudah tidak menghiraukan dua tiga orang yang lalu lalang di hadapan pasar raya. Farah pula hanya mampu memerhati dan menyeka air mata yang juga tak lelah menuruni pipi.
“Aku tahu kau tunggu penjelasan dari aku tapi masa tu aku pun tak mampu nak jumpa kau Syifaa. Aku dalam kesulitan.” Juwieta menjelaskan namun Syifaa tak mahu menerima.
“Habis tu kenapa kau tak call aku. Kau tahu tak aku tak pernah tukar nombor telefon aku sebab aku yakin kau akan menghubungi aku. Tapi aku silap. Kau jahat Wieta. Kau jahat. Kau diam sampai sekarang. Puas aku tunggu kau datang cari aku tapi bayang kau sikit pun aku tak nampak. Sampai hati kau buat aku macam ni Wieta. Sampai hati kau buat aku macam orang gila,” jerit Syifaa seraya menyeka air mata yang semakin laju membunuh diri.
“Syifaa….” Juwieta tak mampu meneruskan kata-kata. Hanya nama Syifaa yang mampu disebut. Tekaknya terasa sempit tiba-tiba. Dek kerana air mata yang tak henti terjun dari kolam mata suaranya jadi tersekat. Dia hanya mampu menangis dan meluahkan sesal.
Hati Syifaa bengkak melihat kelakuan gadis itu.
“Aku dah tak mahu dengar apa-apa pun sekarang. Cukuplah Tuhan tunjukkan pada aku yang kau masih sihat macam dulu,” ujar Syifaa pedih dan makin meluruhkan air mata Juwieta. Ternyata Syifaa mendoakan kesihatannya.
“Kita masih kawan macam dulu kan?”
“Biar masa yang menentukan.” Syifaa membalas keras.
“Syifaa… jangan buang aku dalam hidup kau. Kau kawan aku sampai bila-bila,” rayu Juwieta bersungguh-sungguh. Namun saat ini hati Syifaa dalam kesedihan melampau. Pertemuan yang tak terjangka ini benar-benar menyesakkan dada.
“Aku tak pernah buang kau Wieta tapi kau… kau yang menyisihkan diri kau sendiri kerana penipuan kau.”
Terus pecah dada Juwieta apabila ayat begitu keluar dari bibir Syifaa. Nampaknya Syifaa sudah berubah menjadi gadis yang keras hati. Bukan macam dulu lagi.
“Maafkan aku Syifaa.” Dan… sekali lagi permohonan itu muncul dari lubuk hati Juwieta yang paling dalam. Dia tahu, hendak menjelaskan semuanya sudah terlalu terlambat. Apatah lagi dialah punca keperitan dalam hidup gadis itu. Lalu hanya rasa bersalah yang menghuni diri.
“Syifaa… kau sayangkan aku kan?” soal Juwieta mahu tahu namun Syifaa tidak mengendah. Segera membuka pintu kereta dan masuk ke dalam lantas menguncikan diri. Air mata dihamburkan semahu-mahunya biar sakit yang ditanggung akan terbasuh dengan air suam itu.
Juwieta pula sudah tak mampu berbuat apa-apa lantas memandang kesal ke arah Farah.
“Maafkan aku Farah. Aku….”
Farah pantas menggeleng simpati. Tangan naik menepuk bahu Juwieta yang masih tersedu-sedu.
“Aku tak mampu nak tolong kau. Hati dia sudah terlalu keras. Kerana kecewa dengan pembohongan kau dia tutup pintu hatinya. Tetapi kau jangan bimbang. Walaupun dia cakap macam tu aku tahu dia sebenarnya sayang sangat dekat kau. Kau sahabat pertama dia sebelum aku masuk dalam hidup kau orang. Jadi, kau sabar Wieta. Bila dah jumpa kau macam ni aku tahu dia akan cari kau juga nanti.”
Juwieta terkesan lalu meraih Farah ke dalam pelukan.
“Terima kasih Farah,” ucap juwieta sambil mata kerling pandang Syifaa di dalam kereta yang masih menangis tak henti-henti. Sungguh hatinya cukup rasa bersalah dengan apa yang telah terjadi.
“Kau simpan ni. Mana tahu berguna nanti.” Juwieta serahkan kad namanya kepada Farah. “Kalau ada masa kau datanglah.”
Dan… Farah mengangguk sambil menilik kad tersebut. Macam pernah sampai. Dan persoalan itu tidak terjawab apabila Juwieta meminta izin untuk beredar.
Share this novel