BAB 34

Drama Series 18121

Kedai buku

Air mata di sapu rakus tetapi tetap juga gugur.

Dia sudah berjanji tidak akan menangis lagi. Dia juga telah berjanji untuk tidak menyeksa diri dengan mengingati setiap penipuan yang arwah suaminya buat. Tetapi aura lelaki itu begitu kuat sehingga apa yang sudah ditanam kembali hidup semula.

Gara-gara cara lelaki itu yang membahasakan diri sebagai superheronya sama dengan arwah suaminya dia jadi nanar. Serasa arwah suaminya hidup semula. Padahal jasad itu tidak mungkin akan bernyawa kembali.

Syifaa pantas menyeka air matanya cepat-cepat.
Dia benci dengan semua yang berlaku dan dia tak akan benarkan mana-mana lelaki mengayatnya. Dia sudah terlalu perit. Pantas dia ketap bibir geram dan seka air mata lagi. Sebelum cikgu yang masih ada di dalam bilik guru sedar dia sedang menangis baik dia keluar. Lagipun waktu balik sudah setengah jam berlalu. Dengan cepat dia tarik handbag lalu melangkah ke parkir.

“Cikgu dah nak balik?”
Tiba-tiba saja ada suara yang menyapa. Pantas Syifaa berpaling. Melihat wajah Aiza yang manis terus hatinya berasa lega.

“Belum lagi. Cikgu nak pergi kedai kejap. Aiza tak ada kelas tambahan ke?” ramah Syifaa membalas dan Aiza menggeleng. Tanda petang ini gadis itu lapang.

"Aiza dah nak balik ke?" soal Syifaa cuba tunjuk mesra.

“Saya nak pergi kedai buku kejap,” balas Aiza dengan senyuman. Terus kening Syifaa terangkat.

“Oh, ya ke! Pergi dengan apa? Jomlah pergi dengan cikgu. Kebetulan cikgu pun nak pergi kedai buku juga,” ajak Syifaa teruja. Peluang untuk lebih dekat dengan Aiza datang pula. Jadi, dia tak boleh lepaskan begitu saja.

Aiza juga berbesar hati. Lagi gadis itu suka bila diajak Cikgu Syifaa. Bolehlah Aiza mencari maklumat. Lagi pula dia sekarang ini secara tak rasminya sudah menjadi pengawal keselamatan aka spy abang longnya. Dia perlu menjaga Cikgu Syifaa dengan baik. Malah perlu melaporkan apa saja perihal berkenaan cikgu tersebut.

“Tak menyusahkan cikgu ke?” Aiza berbahasa dan Syifaa pantas menggeleng.

“Pergi berteman macam ni kan best. Ada teman berbual,” balas Syifaa seraya menekan kunci kereta. “Masuklah!” pelawa Syifaa seraya menarik pintu. Dia terus masuk ke dalam lantas hidupkan enjin.

Aiza mengikut saja. Mata pula melilau keluar sebaik saja sudah labuhkan punggung di sebelah.
“Saya tak nampak Cikgu Farah pun hari ini?” tanya Aiza hairan.

“Cikgu Farah pergi kursus. Esok baru balik.”

Terus dahi Aiza berkerut mendengar jawapan daripada Cikgu Syifaa.

“Erk, jadi cikgu tidur sorang-sorang malam ni.”

Kali ini muka Syifaa pula yang berkerut. “Haah. Dah biasa,” jawab Syifaa tanpa mengetahui apa yang ada dalam kepala Aiza. Malah terus memandu menuju ke arah kedai buku yang selalu menjadi pilihannya.

“Kita pergi MRKB ya. Cikgu suka cari buku dekat situ,” ajak Syifaa dan Aiza mengangguk sahaja kerana dalam kepala banyak pula idea yang muncul. Idea hendak menolong abangnya.

Tak lama pun masa yang diambil akhirnya Syifaa berhentikan kereta ke dalam petak parkir. Sebelum matikan enjin mata ternampak gerai pak cik yang menjual rojak mamak. Tiba-tiba dia teringat akan asam yang diberikan abang Aiza.

“Teringat pula asam yang Aiza bagi hari tu. Kat mana ya abang Aiza beli. Cikgu nak pergi carilah. Dah beli dekat kedai depan sekolah tapi tak sesedap yang abang Aiza bagi.”

Terus wajah Aiza terlakar senyum bangga. Memang tepat fakta abang longnya. Dahsyat betul.

“Dah habis ke yang saya bagi hari tu?”

Syifaa luahkan tawa kecil. Nampak wajahnya yang gembira.
“Haah. Dah habis. Cikgu memang pantang tengok asam. Kat rumah mesti ada stok tapi… hari tu kan tak sihat jadi tak dapat nak beli.”

Memang berbunga-bunga hati Aiza. Lantas segala maklumat disimpan kemas.

“Kalau macam tu nanti saya mesej abang. Tanya dia beli kat mana.” Pantas Aiza tarik keluar telefon dari poket baju. Buka peti pesanan lantas menghantar ayat berkuasa dua. Panjang berjela dengan harapan abang longnya akan penasaran. Biar lelaki itu muntah dengan maklumat yang diberikan.

Syifaa pula tak menunggu. Sebaliknya terus keluar dari perut kereta.

“Lepas beli buku kita pergi makan dulu nak. Perut cikgu dah ketung-ketang ketung-ketang minta nasi,” ujar Syifaa sebaik sahaja Aiza sudah berdiri di sebelahnya untuk melangkah masuk ke dalam kedai.

Aiza langsung bersetuju seraya lorekkan senyum bahagia.
Susun langkah bersama hati yang tak sabar hendak bercerita kepada abangnya.

***

Restoren Nasi Ayam

“Kita duduk sinilah.” Syifaa sudah tarik kerusi lantas labuhkan punggung sebaik masuk ke dalam restoran yang menjual nasi ayam. Aiza tidak membantah lantas duduk seraya pandang keliling .

Bagus juga duduk di meja berdekatan pintu masuk restoran. Senang nanti hendak melihat kereta abangnya yang bila-bila masa saja akan muncul.

“Aiza nak makan apa?” tanya Syifaa sebaik sahaja pelayan muncul. Terus pandangan Aiza berhenti pada wajah ayu Cikgu Syifaa.

“Cikgu?” Soalan berbalas soalan.

“Nasi ayam satu. Teh o ais satu.” Itu sahaja yang tekak Syifaa boleh terima apabila makan di luar. Dia sejenis yang susah hendak makan makanan yang pelik-pelik. Cukup sekadar makanan ala kampung. Kalau ada ulam-ulaman, budu dan sambal belacan lagi menyelerakan.

Aiza pula memesan Maggi Ketam dan jus epal. Pantas Syifaa mengukir senyum setelah mendengar menu yang keluar dari mulut gadis itu. Budak-budak. Begitulah makanan mereka. Langsung tak sihat. Dia pula tak mahu membantah. Sudah dia yang pelawa. Lalu mata leka meneroka suasana restoran saat menunggu pesanan tiba.

Entah apa yang mengganggu mata, lama Syifaa merenung ke arah sebuah meja yang terletak di sudut hujung restoran. Kelihatan seorang lelaki berkemaja biru tua bangkit berdiri kemudian bersalaman dengan beberapa orang lelaki yang memakai pakaian pejabat. Terus kepalanya berfikir panjang.

“Itu bukan abang Aiza ke?” Cepat benar mulut Syifaa bertanya seraya jari telunjuk menuding ke arah belakang Aiza.

Dada Aiza pantas berdebar. Tak percaya langsung dengan apa yang diluah cikgu di depan. Tak mungkin abangnya buat kerja gila. Abangnya itu tengah sibuk dekat pejabat. Mustahil secepat kilat boleh ada di sini. Lagipun, abangnya janji akan datang sekejap lagi. Bukan sekarang. Pantas kepala Aiza fikir yang bukan-bukan dan langsung menoleh. Bulat mata Aiza memandang. Ketika itu Zuhdi baru menapak hendak keluar.

Sudah takdir mereka terserempak di sini.

“Eh, adik. Buat apa kat sini?”
Zuhdi yang terpandang pantas menegur. Terus bola mata itu singgah pada gadis di depan. Dahi terus berkerut. Memang Zuhdi sudah maklum akan hubungan antara kedua-duanya tetapi dia tak sangka hubungan itu akan serapat ini. Lagipun sudah lama dia tidak mengetahui cerita tentang kedua-dua gadis di depan ini selepas insiden berdarah.

Zuhdi jarang ke villa Aiza. Mukhreez pun jarang bercerita. Apatah lagi lelaki itu kerap berulang-alik dari Malaysia ke Sydney.

“Cikgu macam mana. Dah sihat?” soal Zuhdi berbahasa setelah lama berdiam diri dan Syifaa pantas angguk mengeyakan.

“Maaflah Encik Mukhreez. Saya bawa Aiza makan tanpa izin encik.”

Boomm!
Kepala Zuhdi bagai dibom. Terus pandang wajah Aiza yang buat-buat pandang ke arah lain. Pantas Zuhdi dapat meneka. Lalu nafasnya dihembus keluar bersama rasa kesal.

“Tak apa cikgu. Silakan,” balas Zuhdi seraya memandang tajam ke arah Aiza.

Aiza pula sudah tidak senang duduk. Dia faham apa yang ada di dalam fikiran lelaki itu.

“Adik, Abang Di balik pejabat dulu,” ujar Zuhdi dengan muka yang sudah berubah. Kelihatan tegang. Perut Aiza pun senak tiba-tiba. Tahu apa yang ada dalam kepala lelaki itu saat ini.

Tanpa secalit senyuman pun Zuhdi tarik kaki keluar dari restoran. Aiza lantas bangkit.

“Cikgu, saya keluar kejap.” Tanpa menunggu jawapan Syifaa Aiza pantas keluar mengekori langkah Zuhdi. Lelaki itu sudah menekan kunci kereta dan tangan hendak menarik picu pintu.

“Abang Di, let me explain.” Terus tangan Aiza tarik lengan itu. Wajah Zuhdi pantas membahang merah sebaik berpaling.

“Adik rancang apa ni? Jangan main-mainkan orang. Cikgu adik sendiri pula tu. Please, terus-terang. Bagitahu dia yang Abang Di bukan abang long adik. Kasihan dia. Kena tipu hidup-hidup.” Suara Zuhdi kedengaran tegas dan serius lalu perlahan-lahan Aiza menekur ke bawah.

“Benda ni dah jauh Abang Di. Adik tak sampai hati nak terus terang.”

Zuhdi menggeleng seraya menghela nafas kesal. Patutlah Mukhreez tak bercerita. Nafas dihembus berulang kali-kali.

“Sebab tu orang cakap jangan berbohong. Kalau dah mula, lama-lama susah nak berhenti.”

Aiza akur. Memang tak sepatutnya dia buat begitu. Tetapi hendak mengubah balik apa yang sudah terjadi ini begitu sukar. Apatah lagi abang longnya begitu menyukai Cikgu Syifaa.

“Adik buat macam ni sebab nak tolong abang long?”

“Tolong apa?” keras Zuhdi bertanya.

Lalu Aiza mengetap bibir menahan rasa. Perlukah dia memberitahu lelaki itu sedangkan abangnya sendiri pun belum lagi bercerita pada lelaki itu. Dia jadi serba salah.

“Abang long tu angau gila dekat Cikgu Syifaa. Kami tak rancang apa-apa pun sebenarnya. Ia terjadi dengan sendiri. Please, jangan rosakkan plan adik.” Akhirnya Aiza berterus terang.

Pantas Zuhdi menggeleng geram
“What a stupid planning, adik. Abang Di hairanlah. Benda boleh cakap kenapa nak corner kut lain pula,” omel Zuhdi geram lantas tarik picu pintu dan terus masuk ke dalam.

Di dalam kereta Zuhdi menghembus nafas geram. Apalah yang ada dalam kepala gadis itu sehingga bertindak begitu. Bimbang sungguh rancangan gadis itu akan mengundang duka dan nestapa.

“Abang Di, don't get me wrong.” Aiza rasa bersalah. Bersalah kerana menggunakan lelaki itu. Zuhdi malas hendak ambil tahu.

“Abang Di tak nak masuk campur. Kalau jadi apa-apa adik tanggung sendiri.” Lontar Zuhdi geram. Malas sudah hendak berbincang tentang perkara yang tak masuk akal ini. Geram sungguh. Mukheez pun satu hal. Kenapalah nak sembunyikan identiti bagai.

Dengan perasaan geram Zuhdi terus undurkan kereta dan meninggalkan Aiza yang terkebil-kebil tidak percaya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience