KEDAI BUKU POPULAR
“Nak beli apa?” tanya Syifaa sebaik melangkah ke kedai buku. Abang Man dan Kak Ita balik ke rumah dulu kerana Dhia yang meragam.
“Nak beli novellah tu. Tak ada benda lain ke nak beli?” omel Wafi. Terus mata Syifaa terbuntang luas. Dia yang sememangnya tidak minat membaca novel kerutkan muka.
“Pergilah survey tapi tak boleh lebih dua buah. Kalau lebih akak claim,” suruh Syifaa dan pastinya Shahida menjerit keriangan. Gadis itu segera ke bahagian novel manakala Wafi pula ke bahagian majalah. Syifaa tersenyum bahagia melihat kegembiraan adiknya. Alang-alang sudah berada di kedai buku dia pun melangkah ke bahagian buku rujukan.
Dari satu rak ke satu rak Syifaa meneliti buku rujukan yang sesuai untuk dibawa mengajar. Nampak saja sebuah buku yang menarik di mata terus ditarik dan selak beberapa helaian awal. Bila puas hati dikepitnya di celah ketiak. Baru sahaja melangkah setapak hendak mencapai buku lain tiba-tiba bahunya tersentuh seseorang. Terus dia berpaling.
Melihat susuk tubuh berblouse biru muda serta berseluar jeans ketat dia tilik tak percaya. Rambut yang ditocang gaya ‘fishtail’ itu amat cantik. Apabila bola mata jatuh pada wajah yang sedang menjeling tajam terus mulut Syifaa terbuka. Cepat-cepat dikatup setelag menyedari dirinya tersalah lalu.
“Aiza Munirah!”
Syifaa menegur tak percaya seraya ukirkan senyum namun dirinya dipandang jelik oleh Aiza. Gadis itu nampak tidak terkejut bahkan buat tidak tahu saja. Terus bibir Syifaa yang terlorek senyum mulai kendur. Apatah lagi gadis itu mula atur langkah hendak melarikan diri. Cepat-cepat sihat luahkan suara.
“Aiza sihat?” tanya Syifaa lembut. Berharap tidak akan ada persengketaan. Tetapi sikap Aiza yang buat tak tahu menerbitkan rasa tidak selesa pada Syifaa.
Sungguh Syifaa berasa malu dengan reaksi gadis itu. Dia cuba beramah mesra tetapi manusia yang tidak ada nilai adab sopan itu tidak mahu melayan. Namun begitu jika dia tunjuk sombongnya dia yang akan dicap guru yang tidak mesra. Lalu dia tetap menunjukkan perangai ramahnya.
“Sudah tentu Aiza sihat kan. Kalau tidak tak adalah nak travel sejauh ini.” Dia menyoal dia yang menjawab sendiri. Alang-alang dah jumpa dia tetap ramah mahu tahu keadaan gadis itu.
“Luka dah sembuh ke?” soal Syifaa lagi dan telinga Aiza terus naik berasap. Tangannya kepal penumbuk.
“Boleh tak kalau jangan nak menyibuk sangat. Saya sihat ke… tak sihat ke tak ada kaitan dengan cikgu.” keras suara Aiza menuturkan balasan sehingga Syifaa menggeleng kesal. Tetapi dia akan terus cuba untuk berbaik dengan gadis itu.
“Aiza datang dengan siapa. Lama ke bercuti kat sini?” Teruskan bicara sambil tunjuk senyum manis.
Sikap Syifaa yang mesra buat Aiza jadi geram. Gigi diketap. Hendak menjawab namun mata melihat Zuhdi yang melangkah ke mari dengan senyum manisnya.
“Tak apalah Aiza tak nak cakap dengan cikgu pun. Tapi… kalau Aiza ada masa lapang datanglah rumah cikgu.” Pelawa Syifaa lantas keluarkan buku nota kecil dari dalam beg tangannya. Dia mencatat alamat rumah orang tuanya lalu dihulurkan kepada Aiza dan gadis itu tetap diam sahaja. Sehinggalah suara seorang lelaki menyapa telinga dari belakang.
“Adik buat apa kat sini rupanya. Abang Di bukan main lagi pusing satu kedai. Tak jumpa. Alih-alih kat sini je. Ingat….” sapaan Zuhdi terus terhenti apabila melihat wajah di depan Aiza. Cantik… sampai dia pula yang kaget. Namun, menyedari air muka Aiza yang keruh dia larikan wajah. Pandang Aiza pula.
Syifaa pula tersentak. Cara lelaki itu berbahasa pantas mengingatkannya akan abang Aiza. Dia mahu menegur namun gadis itu cepat-cepat menarik lengan lelaki itu. Zuhdi pula terpisat-pisat mengekori tidak faham.
“Dah jumpa ke buku yang adik nak?” soal Zuhdi dengan hati kembang setaman. Mata pandang tangan Aiza yang tak lepas menggenggam tangannya.
“Aiza!”
Panggilan suara di belakang pantas sahaja mematikan langkah Zuhdi. Disebabkan itu Aiza pun turut sama berhenti dan genggaman tangan itu terlerai.
Zuhdi berpaling dan memerhati susuk gadis bertudung ungu tua yang sudah pun berada di depan Aiza. Matanya terkesima apabila si gadis ukir senyum. Manis!
“Ambil ni?” Syifaa hulurkan kertas di tangan. Pantas Zuhdi kehairanan. Makin hairan apabila melihat tingkah kedua-duanya yang seperti sedang berperang. Ada kejanggalan apabila senyuman yang terukir ikhlas di wajah cantik manis itu tidak dibalas Aiza.
“Kalau ada masa jemputlah ke rumah. Cikgu ada kat kampung sampai hari Isnin. Hari Selasa dah nak balik Shah Alam. Sambung mengajar pula.”
Mendengar kata-kata itu kepala Zuhdi akhirnya dapat menangkap semua kejanggalan yang terjadi. Apatah lagi kertas yang dihulurkan tidak diambil Aiza dan telah memberikannya satu jawapan. Dia pula dengan rela hati menerimanya seraya memberikan senyuman. Sesekali dia menilik wajah di depan Aiza yang masih tersenyum manis. Melihat alamat yang tertera di atas kertas dan nama yang tertulis di bawah alamat melorekkan senyum penuh maknanya.
“Cikgu Syifaa!” Sopan sahaja Zuhdi menyebut nama itu dan bibir Syifaa terlorek senyum panjang.
“Encik….” Syifaa bertanya. Baru sahaja Zuhdi hendak buka mulut pantas Aiza tarik lengan lelaki itu sekali lag.
“Dia abang saya.” Pantas Aiza memotong sebelum sempat Zuhdi menjawab. Berkerut dahi Zuhdi tidak faham.
“Encik Mukhreez?” Syifaa meminta kepastian.
Dan Zuhdi tergamam. Bila masa pula dia jadi Mukhreez. Dia buka mulut hendak membetulkan kesilapan namun lengannya dicubit Aiza begitu kuat sehingga giginya dikancing ketat.
“Ya. Abang saya.”
Aiza berbohong. Menyebabkan Zuhdi mula pening dengan tindakan gadis itu.
Syifaa pula pantas mengangguk.
“Betullah Encik Mukhreez. Saya Cikgu Syifaa. Guru kelas Aiza,” ujar Syifaa lega. Lega kerana berjaya juga berjumpa dengan lelaki itu. Walaupun bukan di sekolah. Sekurang-kurangnya dia boleh berbincang dengan lelaki itu perihal Aiza. Namun ada sangsi yang bertandang sebaik mata membanding beza kedua-duanya. Serasa janggal.
Benarkah mereka adik beradik. Lelaki di sebelah gadis itu amat berbeza. Aiza yang dia kenal memang berwajah kacukan walaupun dia tidak tahu hakikat sebenarnya. Manakala lelaki itu pula seperti anak mamat, orang Penang. Sungguh dia sangsi namun hatinya tidak mahu terus berprasangka.
Tanpa dia sedari sangsi di hatinya memang telah dirancang Aiza sebentar tadi. Dalam hati gadis itu sedang terbahak-bahak ketawa jahat. Sesekali kenakan cikgu muda itu rasa seronok pula.
“Ya, cikgu Syifaa. Selamat berkenalan.” Zuhdi akhirnya ukir senyum sambil kerling Aiza yang sunggingkan senyum sinis.
“Kak, jomlah. Dah lewat ni. Malam nanti kan nak buat barbeque. Banyak lagi barang tak beli.” Muncul Wafiy bersama Shahida mematikan sangsi Syifaa. Terus dipandangnya adik-adik yang muncul dengan buku di tangan. Aiza dan Zuhdi pantas talakan mata pada susuk di belakang.
“Ini adik-adik cikgu.” Syifaa memperkenalkan walaupun tidak ditanya. Zuhdi mengangguk mesra namun tidak pada Aiza. Gadis itu buat muka sombong.
“Okaylah. Cikgu gerak dulu. Nanti kita jumpa buka sekolah ya, Aiza. Jaga diri.” Syifaa mahu bersalaman namun lagak Aiza yang jual mahal menjatuhkan air mukanya. Lalu dia pun berikan senyuman kepada lelaki di sebelah gadis itu sahaja.
Sebaik Syifaa berlalu Aiza memandang Zuhdi tajam.
“Gatal.” Terus jemari Aiza mencubit lengan Zuhdi. Lelaki itu pula entah berapa kali mengusap lengan sendiri. Ternyata jari Aiza memang beracun. Sakit dan pedih tak terkira.
“Sama macam abang long. Mulut cakap tak akan pandang perempuan lain dah. Hati dah mati. Takkan bercinta lagi. Padahal mata buaya. Pantang tengok perempuan,” omel Aiza geram dan Zuhdi tercengang.
“Eh, adik marahkan siapa sebenarnya? Abang Di ke abang long?” soal Zuhdi tak faham.
“Dua-dua. Buaya tembaga. Singa zalim.” kutuk Aiza tak pandang kiri namun. Nasib Zuhdi dah faham perangai gadis itu terus hamburkan tawa gelihati. Namun hanya seketika. Air muka mula berubah. Seriuskan muka.
“Sebenarnya adik bukan marahkan Abang Di dengan abang long kan? Adik marah dekat guru kelas adik tadi. Begitu?” soal Zuhdi yakin. Terus Aiza tarik nafas geram.
Memang.
Itulah hakikatnya.
“Memang adik marah. Suka hati dia je nak bagi alamat rumah. Nampak sangat dia nak tackle abang long,” rengus Aiza geram.
Tercengang Zuhdi mendengar kata-kata Aiza. Pelik. Macam tak betul saja tanggapan gadis itu. Tetapi dia tidak mahu gadis itu terus dalam mood sakit hati lalu mula buat lawak bodoh.
“Oh, baru Abang Di tahu. Macam tu rupanya cara orang perempuan mengurat. Dia bagi alamat rumah eh, kalau jumpa lelaki. Em, fakta baru tu.” Sengaja Zuhdi nak membahan dan terus Aiza ketap bibir geram. Tahu sangat yang lelaki itu hendak mengenakannya.
“Bencilah,” luah Aiza geram lalu bergerak ke arah kaunter. Zuhdi pantas mengekori.
“Bagus juga adik cakap Abang Di ni abang adik. Boleh Abang Di pergi sekolah hari-hari. Jumpa cikgu adik yang comel tu.”
Langkah Aiza terus terhenti. Toleh Zuhdi lalu beri jelingan tajam. Bengkak sungguh hati Aiza dengan sikap lelaki itu lalu hentak kaki sambung langkah. Zuhdi herot senyum lucu. Puas hati tengok muka merajuk Aiza.
“Comel betul guru kelas adik. Hish, kalau abang long tengok ni mesti cair,” usik Zuhdi lagi dan jari langkah Aiza mati lagi. Terus telunjuk naik ke muka lelaki itu.
“Jangan nak cerita dekat abang long pasal hal tadi. Kalau adik tahu siap Abang Di adik kerjakan.”
Makin Zuhdi mahu menyakat.
“Elok juga tak payah cakap. Biar Abang Di sorang je lah yang tahu. Senang Abang Di nak tackle. Tak ada saingan.”
“Abang Di!” jerit Aiza sedikit kuat dan suaranya membuat beberapa orang pelanggan tertoleh-toleh ke arah mereka. Apabila menyedari diri menjadi bahan tontonan, Aiza tarik lelaki itu menyorok di balik rak alat tulis.
“Jangan berani-berani nak buat hal, eh!” Marah Aiza seraya jegilkan mata.
“Apasal pulak?” soal Zuhdi ingin tahu. Makin galak dia menyakat. Suka pula tengok muka cemberut Aiza. Lagipun sudah lama dia tidak dapat mengusik gadis itu. Gara-gara dia yang sudah dipindahkan ke aras lain. Walaupun masih dalam bangunan yang sama dengan abang Aiza tetapi dia tidak dapat lagi nak ke hulu ke hilir bersama Mukhreez macam dulu. Kerana itulah dia tidak boleh suka-suka hati ke rumah ketuanya. Walaupun Dato’ Seri Zainul Arif selalu mengalu-alukan kedatangannya tetapi dia tetap berasa rendah diri. Memandangkan dia hanyalah anak pembantu rumah lalu dia tidak layak hendak menumpang kegembiraan keluarga itu.
“Dahlah. Jom bayar. Lepas tu kita pergi pantai,” ajak Aiza lalu menonong ke arah kaunter.
Zuhdi terlopong mendengar ajakan Aiza. Ingatkan tak jadi sebab gadis itu nampak marah sangat. Tapi tak sangka pula Aiza masih ingat. Tangan mula naik ke kepala. Garu tempat yang tak gatal. Kaki pula melangkah mengekori. Kebetulan ramai pula yang sedang beratur lalu Zuhdi ambil peluang menilik wajah Aiza.
Gadis itu sungguh sempurna. Memiliki segala-segalanya yang tidak mampu dimiliki oleh mana-mana gadis. Kerana itulah dia sedar diri. Dia tidak layak hendak berdiri sama tinggi dengan gadis itu. Walaupun dalam hati ada rasa suka tak terbendung pada gadis itu.
“Kenapa tengok macam tu. Adik cucuk mata tu karang.”
Dan Zuhdi pun lebarkan senyum seluas-luasnya.
Aiza di sebelah pula memandang pelik. Lelaki itu macam terlebih minum gula pula. Memandang dirinya bagaikan pertama kali bersua muka. Sungguh Aiza tidak faham.
“Dah lah tengok. Macamlah adik ni mak we dia. Baik tolong bayar barang adik lagi bagus.” Dengan muka segan Aiza letakkan barang-barang ke atas kaunter.
Berbunga sungguh hati Zuhdi dengan kata-kata Aiza. Usai membayar harga barang tersebut Aiza pantas mengajaknya berjumpa dengan Mukhreez. Namun….
“Cik Aiza Munirah ke?” tanya cashier yang cantik manis itu. Aiza tersentak. Dia yang baru pusing belakang cukup kaget. Bagaimana cashier tersebut tahu namanya. Hatinya mula diburu resah. Namun rajin pula dia menoleh lalu mengangguk.
Cashier tersebut hadiahkan senyuman sambil tangan menyuruh menunggu seketika. Gadis comel itu tunduk ke bawah kemudian bangkit semula dan menghulurkan sebuah beg plastic yang berisi beberapa buah buku rujukan dan latihan subjek teras.
“Ada customer tinggalkan untuk Cik Aiza,” beritahu cashier tersebut sambil menghulurkan beg plastic ke arahnya. Aiza terkedu. Lambat-lambat mengambilnya.
“Thank you!” ucap Aiza segan lantas melangkah keluar dari kedai buku membawa kepala yang sarat dengan soalan. Zuhdi yang mengekori pula rasa panas hati.
Mamat mana pula yang dah berkenan dengan Aiza sampai hadiahkan gadis itu sesuatu. Hati berbisik gera. sambil mengekori Aiza yang berhenti di tepi pagar berdekatan tangga eskalator. Perlahan-lahan gadis itu menarik keluar sebuah buku rujukan. Dibuka muka depan dengan rasa hairan. Namun, sebaik melihat nama pemberi hati gadis itu tiba-tiba dijentik rasa kesal.
Zuhdi di sebelah pula menarik nafas lega. Rupa-rupanya cikgu yang dijumpai tadi yang menghadiahkan buku tersebut. Kalaulah mamat lain yang buat semua ini tunggulah cap jari lima naik ke muka.
Fuh, selamat!
Share this novel