SAMB. BAB 19

Drama Series 18121

Villa Dato’ Seri Zainul Arif

Demi si adik, Mukhreez ambil cuti. Dia tidak membenarkan ibunya yang menjaga Aiza. Biar dia yang luangkan masa bersama si adik. Mengingati nasihat guru kelas Aiza dia merasakan semua masalah sebenarnya berpunca daripada dirinya.

Dia yang terlalu mengikut kata hati. Meninggalkan si adik yang amat rapat dengannya semata-mata kerana mahu mengubat kelukaannya. Dia abaikan semua orang hanya kerana dia yang terseksa. Lalu, adiknya yang begitu menyayanginya dibuang seolah-olah gadis itu yang bersalah.

Kalaulah masa boleh diputar kembali dia tak akan benarkan semua ini terjadi. Tetapi kuasa manusia itu terbatas lalu mereka perlu hadap sahaja dan berusaha menjadi yang terbaik.

“Abang long tak perlu nak jaga adik.” Aiza menghalang saat tangan Mukhreez membetulkan bantal di kepala.

Mukhreez senyum. Walaupun sudah seminggu berlalu namun Aiza tetap menghalang dirinya daripada menolong.

“Berikan abang long peluang menebus kembali kesilapan abang long.”
Aiza menggeleng geram. Tersiat pedih hatinya dengan kebaikan lelaki itu. Bukan dia tidak memahami sikap abangnya namun dia keraskan hati kerana masalah yang membelenggu jiwanya ketika ini benar-benar memalukan.

Dia bersikap keras dan degil kerana dia mahu semua orang abaikan dia. Biar semua orang membencinya dan menghalau dia namun sebaliknya yang berlaku.

“Abang long keluarlah," suruh Aiza namun
Mukhreez menggeleng tak mahu.

“Makan dulu. Kalau dah habis makanan tu baru abang keluar.”

Pantas Aiza mengetap bibirnya geram.
“Please abang long. Adik tak nak.”

Mukhreez picingkan mata.
“Nak suruh abang long suap?”

Terus Aiza menggeleng lagi. Geram pula dengan sikap abangnya.
“Boleh tak abang pergi je kerja. Tak payah susah-susah nak cuti sebab adik. Mak Wan kan ada nak bantu adik,” halau Aiza.


“Jadi selama ini abang dah menyusahkan adiklah?” Suara Mukhreez kedengaran merajuk.

Ternyata Aiza salah mengeluarkan bicara.

“Mungkinkah abang long penyebab utama adik jadi macam ni?” soal Mukhreez hiba.

Mata Aiza tak berkelip melihat wajah abangnya.

“Abang long dah tahu apa yang adik buat kat sekolah.”

Serta-merta wajah Aiza berubah warna. Tahulah dia siapa yang sudah membocorkan rahsianya. Terbit rasa benci dan keadaan itu pantas disedari Mukhreez.
“Jangan membenci orang tanpa sebab.”

Aiza terdiam. Abangnya boleh membaca apa yang ada dalam hatinya.

“Atau adik sebenarnya masih belum dapat memaafkan abang long. Selama ini adik berlakon buat-buat baik dengan abang kan?”

Tekaan Mukhreez membuat Aiza sebak.
Pantas menggeleng lemah.

Bukan begitu. Dia tidak membenci tetapi dia hanya marah dengan abangnya. Namun semuanya sudah berlalu. Dia cuba untuk berubah namun bayangan masa lalu hadir tanpa disangka. Kerana itu dia sukar untuk membuang semua rasa yang datang menindih hati.

“Kalau adik benci abang long... abang long masih boleh terima tapi jangan benci cikgu adik. Dia tak tahu apa-apa pun pasal adik.”

Mendengar perkataan cikgu terus kepala Aiza teringat akan insiden di dalam wad. Dia meracau memarahi seseorang. Tiada siapapun yang tahu siapa yang dimarahinya tetapi dia tak menduga lelaki itu mengesyaki guru kelasnya. Dia tak mampu hendak berterus terang. Dia takut. Dia mahu berterus-terang. Bukan guru muda itu yang telah menyebabkan dia hidup berduka tetapi….

“Abang long marahkan Cikgu Syifaa ke malam tu?” soal Aiza kecewa.

Kepala Mukhreez tergeleng-geleng seraya mengeluh kesal.

“Sebab abang sayangkan adik abang longlah, tak pasal-pasal malam tu abang dah tinggikan suara pada dia. Tapi….” Mukhreez hentikan kata.

Terngiang-ngiang suara guru itu yang langsung tidak menjawab. Malah lembut dan sopan sahaja membalas kata. Betapa dia rasa bersalah.

“Kalau betul dia punca adik jadi macam ni abang tak teragak-agak nak buat laporan. Biar dia masuk penjara.” Sengaja Mukhreez berkata begitu. Dia mahu adiknya terkedu dan sememangnya Aiza buntang. Melihatnya tidak percaya. Dia langsung tidak menyangka abangnya akan bertindak sekeras itu.

Ah, memang dia tak sukakan guru kelasnya! Tetapi tidaklah sehingga hendak menjahanamkan hidup guru muda itu.

“Betul ke dia yang dah bawa masalah pada adik?” duga Mukhreez sekali lagi. Sekadar mahu menguji dan Aiza telan liurnya keras. Tiada siapa pun yang terlibat dalam masalah ini. Hanya dia dan orang itu sahaja yang ada dalam takdir yang tertulis.

“Please. Tak payah cakap pasal dia.” Akhirnya Aiza merayu dengan muka manja. Mengharapkan abangnya tidak akan lagi membangkitkan isu tersebut.

“Okay. Abang long tak akan ungkit lagi tapi janji dulu dengan abang long?”

Aiza mengangguk dalam roman muka yang sudah manis.

“Jangan ponteng kelas.”
Aiza telan liurnya keras. Susah untuk berjanji tetapi dia tetap mengangguk juga.

“Jangan susahkan cikgu. Ikut apa sahaja arahan yang cikgu suruh.” Lagi Mukhreez meminta.

Aiza pantas mengetap bibirnya geram. Yang ini memang susah hendak dibuat.

“You know abang long….”

“Nope. Abang tak nak dengar alasan adik. Janji saja dengan abang. Belajar baik-baik. Hanya setahun ini saja. Lepas tu dah merdeka dan adik boleh pergi ke mana saja adik nak.”

Sebuah keluhan dilepaskan Aiza. Muka Cikgu Syifaa terus menusuk masuk ke dalam kepala.

“Satu lagi….”
Mukhreez senyum. Tarik telefon adiknya lalu tunjukkan sesuatu. Buntang mata Aiza melihat pesanan yang muncul.

“Ini kerja rumah secara online yang cikgu adik hantar. Kena buat kalau nak berjaya.” suruh Mukhreez dengan senyum lebar. Dan Aiza julingkan mata ke atas.

“Adik tengah sakit kan mana boleh nak buat kerja.”

Mukhreez naikkan jari.
“Perut je sakit. Tangan masih elok lagi kan.”

Dan muncung Aiza sudah panjang sedepa.

“Baik. Adik ikut cakap abang tapi….” nampaknya Aiza pun mak tarik tali.

“Apa dia?”
Mukhreez mula yakin dengan kata nasihat cikgu Syifaa. Dia menanti adiknya menyambung kata.

“Abang long kena janji dengan adik. Jangan hantar mesej atau call miss tweety tu lagi. Kalau adik tahu abang berhubung dengan dia siap nanti.”

Mukhreez tiba-tiba ketawa besar dan ianya menghairankan Aiza.

“Dik, abang long berhubung dengan dia hari tu semuanya sebab adik. Kalau nak call semata-mata nak tanya khabar atau nak tanya dah makan ke belum. Baik tak payah. Tak ada gunanya. Kalau abang long nak jumpa dia baik terus pergi jumpa kat sekolah. Lagi cantik.”

Aiza pantas beri jelingan.
“Abang kenal ke cikgu adik tu?” Sengaja menduga.

Dan tawa Mukhreez mati. Ya. Dia belum kenal. Entah macam mana rupanya. Lantas Mukhreez menggeleng tak pernah. .

“Jangan berani-berani nak kenal. Adik tak suka.”

Mukhreez angkat tangan tanda akan mengikut. Tetapi bibirnya tetap terlorek senyum penuh makna.

“Abang jangan munafik. Siap abang.” Amaran Aiza hanya dibalas dengan senyuman dan menyebabkan gadis itu mencuka.

"Dah, tak payah nak tunjuk muka jeruk mangga sangat. Jaga diri. Biar cepat sembuh. Dah sembuh nanti abang nak bawa adik pergi bercuti.”

Terus mata Aiza bersinar terang dan mulut pun jadi manis tiba-tiba.

“Abang ada kerja kat luar negeri. Sambil-sambil tu bolehlah adik temankan abang. Janji sihat dulu.”

Yeah!
Aiza bersorak gembira. Rajuknya sudah hilang.

“Bila?”

“Cuti sekolah bulan ni. Masa tu abang rasa luka adik dah sembuh kan.”

Aiza tunjuk muka teruja.
“Bercuti kat mana?”

“Kelantan.”

“What!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience