BAB 16

Drama Series 18121

Kampung Semut Api, PCB

Dada Syifaa berdebar kencang sebaik sahaja kereta yang dipandu abang Man memasuki halaman rumah orang tuanya. Dalam suasana kelam malam Syifaa masih dapat melihat dengan jelas rumah papan yang disalut varnish itu. Halaman yang diterangi lampu kalimantang itu nampak indah. Sudah enam tahun dia tidak menjejakkan kaki ke rumah ini namun suasana yang dilihatnya sekarang masih tetap sama. Hatinya melonjak riang namun masih ada kocakan kerisauan. Bimbang sekiranya kepulangan yang tidak diundang ini menjemput amarah umi.

“Jomlah Syifaa. Jangan risau umi tak kan makan Syifaa punyalah,” ajak Abang Man lantas mengerling ke arah Kak Ita yang sedang memangku Dhia yang sudah tidur.

Rozman membuka pintu kereta. Belum sempat hendak keluar Shahida menerpa ke arah lelaki itu lantas menjerit kegembiraan. Wafiy pula berdiri macho di belakang si adik.

“Abang Man dengan Kak Ita dah sampai. Bestnya. Boleh main dengan Dhia,” ujar Shahida dengan wajah yang gembira.

“Abang Man cuti berapa hari?” tanya gadis itu ria.

“Baru je sampai dah tanya berapa hari cuti?” selar Rozman lantas keluar lalu bergerak ke arah boot kereta. Kedua-dua orang adiknya itu mengekori lalu menolong mengangkat barang.

“Ya lah… mana tahu esok dah nak pergi. Tak sempat Ida nak kawan dengan Dhia lama-lama,” jawab Shahida sambil mencebik. Mata pandang Kak Ita yang keluar dari perut kereta sambil memangku Dhia yang tidak bangun lagi.

"Jangan bimbang. Nanti cuti tahun baru cina kita jumpa lagi." Kakak ipar mereka buka mulut mencelah dan Shahida bersorak gembira.

“Abang man… nanti esok kita pergi mancing dekat tempat biasa ya.” Kali ini Wafiy pula yang mencelah. Tak menyempat langsung. Sepatutnya bagi dulu abangnya masuk ke dalam rumah. Ini tidak. Mereka menyerbu bagaikan abang mereka itu 10 tahun sekali baru balik. Namun lelaki itu tetap mengangguk setuju. Layankan sahaja permintaan adik-adik yang masih bersekolah.

Syifaa di dalam yang mendengar perbualan adik-beradiknya menarik nafas panjang. Ada rasa gementar untuk keluar. Lantas dia membaca doa memohon agar dipermudahkan segala urusan dan dilembutkan hati kedua orang tuanya.

Pintu kereta ditolak.

Wafiy yang sempat melihat pintu belakang terbuka terus senggengkan badan. Mata membuntang. Terkejut besar melihat susuk yang perlahan-lahan keluar dari kereta dan mulutnya ternganga apabila menyedari akan susuk itu. Mata pun bergenang dan mulut kumat-kamit hendak menyebut nama susuk yang muncul di depan mata.

“Kak Syifaa!” akhirnya terluah juga dari mulut Wafiy sebaik saja Syifaa menutup pintu kereta. Dengan linangan air mata anak muda yang berusia 18 tahun itu terus memeluk Syifaa. Shahida di belakang pula terkebil-kebil tak faham. Dipandangnya Abang Man dan kak Ita yang turut menyaksikan babak pilu di depan mata.

“Kak… rindunya dekat kakak,” ucap Wafiy hiba setelah pelukannya dileraikan Syifaa. Anak muda itu pula pantas menarik ke anak tangga. Mahu membawa kakaknya ke atas. Biar umi tahu yang anak kesayangan sudah kembali. Namun kaki Syifaa menggeletar. Terasa tidak cukup kuat untuk naik ke atas.

Sementara Shahida di sebelah Abang Man diam tidak berkutik. Melihat gadis di depan abang keduanya dia jadi kekok. Dia tahu itu kakaknya. Walaupun berlainan ayah gadis itu tetap kakak kandungnya. Namun jarak yang memisahkan mereka mengunci mulutnya dari menyapa. Gadis kecil itu masih tergamam.


Sewaktu kakaknya itu meninggalkan rumah ini dia baru berusia 10 tahun. Entah apa yang perlu dia buat. Peluk atau menangis. Dia buntu.

Syifaa yang menyedari kebisuan gadis itu pantas menoleh.

“Ida….” panggil Syifaa lantas mendekati adiknya. Dia raih gadis itu lalu dipeluk erat. Hanya seketika. Gadis itu menolak tubuhnya lalu berlari naik ke atas sambil melaung memanggil umi.

“Umi!!!” panggil Shahida berulang kali.

“Ya… umi nak hidang makanan ni dulu. Abang Man sampai nanti boleh dia makan terus,” balas Hajah Solehah tanpa memandang anak dara suntinya.

“Abang man dah sampai. Cepatlah.”

“Ya ke? Tak dengar bunyi kereta pun.” Hajjah Solehah membasuh tangan. Shahida pula tidak puas hati. Terasa begitu lambat wanita itu melangkah.

“Umi… cepatlah,” gesa Shahida lantas tarik lengan wanita itu sehingga ke ruang tamu. Tak sempat sampai di muka pintu wanita itu kejung melihat susuk tubuh yang muncul dari luar. Pantas sahaja kolam matanya bercucuran menumpahkan air jernih. Susuk tubuh itu tak pernah berubah. Tetap cantik dan ayu. Cuma yang berbeza penampilan itu. Langsung bertukar dan tiba-tiba saja melebatkan juraian air mata yang jatuh ke pipi.

Siang malam dirinya berdoa agar anak sulongnya itu akan muncul dengan penampilan yang dituntut agama dan betapa dia terharu dengan perubahan yang terbentang di depan mata. Namun dia masih tidak mampu untuk percaya dengan apa yang dilihatnya.


Lantas Hajjah Solehah berpaling membelakangi. Air mata yang jatuh menderu dia biarkan saja. Seketika dia menutup matanya rapat. Mengharapkan wajah yang amat dirindui itu benar-benar wajah Syifaa Hayati. Sehinggakan dia tidak mampu lagi untuk bersuara. Hanya air mata yang mengerti betapa rindu ini bukan sedikit.

Syifaa pula menyedari akan kekhilafannya lantas mendekati.

“Maafkan Syifaa, umi! Maafkan Syifaa. Syifaa sedar sudah banyak dosa Syifaa pada umi. Syifaa balik sebab Syifaa tak mahu lagi hidup dalam keadaan berdosa,” pohon Syifaa lantas menjatuhkan lutut dan paut betis ibunya.

Bergetar tubuh Hajjah Solehah saat tangan itu menyentuh kakinya. Serasa segala lelahnya sudah dibawa pergi dan dadanya terasa lapang. Lalu dengan perlahan-lahan dia berpaling. Bongkokkan badan dan jatuhkan tangan pada bahu anaknya.

“Umi memang terasa hati dengan Syifaa tapi Syifaa anak umi. Sampai bila umi nak marah Syifaa. Lagipun umi sedar umi tak sepatutnya marakan Syifaa. Syifaa sedang berduka dan umi tak patut lukakan hati Syifaa. Tapi syifaa….” Hajjah Solehah matikan kata.

“Sampai hati Syifaa tak call umi. Tak balik jenguk umi. Setiap kali hari raya umi tunggu Syifaa balik tapi bayang Syifaa langsung tak nampak. Hati umi kuat mengatakan Syifaa benar-benar merajuk dan marah dekat umi.”

Syifaa menggeleng menafikan.
“Macam mana seorang anak boleh marahkan umi sendiri. Dosa Syifaa sudah tak tertanggung. Kalau Syifaa marahkanSyifaa akan bertambah umi.”

Hajjah Solehah menyentuh bahu anaknya. Menyuruh gadis itu bangkit. Apabila Syifaa sudah berdiri tegak dia sentuh wajah itu.

“Umi tak marah tapi umi bangga. Syifaa dah berubah. Pakai tudung. Pakai baju kurung.” Syifaa mengangguk segan. “Kekal macam ni. Barulah umi boleh pergi dengan tenang,” ujar wanita itu hiba.

“Umi.” Pantas Syifaa memeluk wanita itu dan menangis semahu-mahunya.

“Kita buang yang keruh, Syifaa. Kita ambil yang jernih dan Syifaa kena belajar dari kesilapan Syifaa,” pesan Hajjah Solehah Dan Syifaa mengangguk laju bersama harapan menggunung tinggi. berharap sinar yang telah kembali ini tidak akan malap lagi.

***

Syifaa membuka matanya sebaik sahaja azan subuh berkumandang dari surau di hadapan rumah. Itu suara abah. Masih sama seperti dulu. Lelaki itulah yang selalu menjadi bilal di surau jika tiada anak-anak muda yang berkelapangan untuk melaungkan azan. Sungguh merdu bunyinya. Usai membaca doa selepas azan, Syifaa berpaling.

Melihat Shahida yang masih lena dibuai mimpi terlarik senyum ikhlas di bibir. Semua orang nampak sungguh tenang dan aman apabila dia telah kembali ke sini. Betapa nikmat yang Tuhan berikan bukan sedikit. Terserlah kasih sayang semua terhadapnya dan dia cukup bersyukur dengan kesempatan yang diberi Tuhan. Andainya umi pergi dulu sebelum sempat dia memohon ampun tentulah hidupnya akan terus sengsara.

Dia lorekkan senyum sekali lagi. Bangkit dari pembaringan terus masuk ke dalam bilik air. Bersihkan badan dan bersiap ala kadar. Tunaikan kewajipan nan satu dan usai memberi salam dia duduk berteleku di atas sejadah. Himpunkan doa pada Yang Maha Kuasa mengharap urusan hidupnya akan terus dipermudahkan.

Tanggalkan telekung dari badan lantas melangkah dan berdiri di birai jendela. Daun pintu di kuak sedikit. Membiarkan bayu pagi menerpa masuk ke dalam bilik. Terasa dingin mencucuk sehingga ke tulang sumsum. Sesekali dia memerhati bilik tidurnya. Masih tidak berubah. Cuma yang berubah dia sudah berkongsi bilik dengan Shahida. Adiknya itu sudah besar panjang. Menjadi anak dara sunti dan tidak pantas lagi untuk tidur sebilik dengan Wafiy.

“Ida… bangun. Dah lewat ni. Cepat, bangun solat.” Syifaa menggoncang kuat tubuh Shahida. Gadis sunti itu menggeliat kecil.

“Cepatlah bangun. Subuh dah nak habis ni,” paksa Syifaa namun Shahida menggeliat malas.
“Ida cutilah kak.”

Syifaa ukir senyum. Patutlah liat nak bangun pagi. Namun adiknya tetap tegakkan badan dan tenyeh mata berulang kali.

“Sorry ek, Kak Syifaa. Kena kongsi katil dengan Ida. Sorry jugak sebab Ida ada guna barang-barang kakak,” ujar Shahida kesal namun Syifaa balas dengan senyuman.

“Tak apa. Barang tu Kak Syifaa dah tak guna lagi. Ida ambil je lah. Lagipun siapa lagi nak guna kalau bukan adik sendiri.”
Shahida terharu lantas memeluk kakaknya erat.

“Kenapa ni?” Syifaa hairan dengan perbuatan adiknya.

“Rasa tak nak bagi dah Kak Syifaa balik Shah Alam. Rindu kakak nanti. Tambah-tambah lagi umi tu. Kasihan dekat ummi. Setiap kali selepas solat umi selalu menangis. Teringatkan Kak Syifaa.”

Syifaa tersentak. Kata-kata Shahida menyentap tangkai hatinya.
“Kak Syifaa takkan lupakan umi, adik dan semua,” ujar Syifaa lantas meleraikan pelukan adiknya. Shahida pula menarik gebar lalu berselimut. Maat dipejam kembali dan Syifaa menggeleng seraya tersenyum kecil. Begitulah anak-anak zaman kini. Bila uzur terus sambung tidur.

Melihat adiknya terus ingatan melayang mengingati Aiza. Hati mahu mengetahui keadaan gadis itu lantas hantar pesanan kepada penjaga gadis itu. Mesej dibaca namun tak di balas. Sesaat dia menunggu. Ingatkan pesanannya akan dibalas sebaliknya telefon yang berdering. Terus dadanya mula bergendang kuat. Mata melirik Shahida yang sudah bangkit masuk ke dalam bilik air. Mungkin rasa terganggu dengan deringan yang berbunyi.

Tangan rasa menggigil hendak menekan punat hijau. Sambil berdoa Syifaa akhirnya menjawab panggilan.

“Macam mana dengan Aiza? Dia okay ke?” Dia yang menyoal lebih dahulu. Cuba mengawal rentak jantungnya dengan mengetap bibir.

“Aiza masih dekat wad. Tunggu masa nak masuk bilik bedah.”

Terus Syifaa tekup mulutnya.
“Erk, jadi operatenya?”

“Ya. Pukul 8 nanti dia kena operate. Doakan Aiza baik-baik saja.”

“Insyaallah. Nanti encik jangan lupa update ya.”

Permintaannya diiyakan lelaki itu. Baru sahaja hendak menamatkan perbualan, permintaan lelaki itu tiba-tiba saja mengundang debar dalam dadanya.

“If you don't mind, may I meet you?”

“Untuk apa?”

“To discuss about Aiza.”

Terus mukanya berkerut hairan. Kenapa tak bertanya terus. Lagipun dia tengah lapang.

“Call je saya. Anytime. Kalau nak tanya apa-apa saya akan bagitahu. Tapi, kalau nak jumpa baik pergi sekolah.” Syifaa berhenti seketika dan menyambung kembali kata-katanya. “Mungkin lepas operate Aiza akan bercuti kan?” soal Syifaa dan diiyakan lelaki itu.

“Saya akan bekalkan buku rujukan dengan buku latihan dekat Aiza. Bila lapang, boleh datang ambil dekat pejabat sekolah ya. Saya tinggalkan dekat situ. Senang.

“Oh, sure. After saya balik dari oversea saya pergi ambil.”

Syifaa terkedu.
Oversea! Erk, lelaki ini bawa bas sampai ke luar negara ke? Lawak pula dengan soalan sendiri.

“Satu lagi. Saya minta encik isi borang maklumat dengan lengkap. Saya akan bagi sekali dengan buku yang saya cakap tadi. Lepas tu jangan lupa hantar semula,” sambung Syifaa lagi dengan suara tegas. Namun mukanya berkerut sebaik terdengar suara seorang lelaki memanggil nama lelaki itu.

“Cikgu… saya minta maaf. Kalau boleh saya nak cakap panjang dengan cikgu tapi saya nak kena ke airport. Apa-apa hal nanti saya update pasal Aiza. Thanks for everything, cikgu.” ujar Mukhrez tergesa-gesa.

Syifaa larikkan senyum walau tak nampak di mata pemanggil. “Tak apa.” Dan… dadanya rasa lega dapat bercakap dengan lelaki itu. Mereka diam seketika.

“Hah, cakap dengan pakwe, eh. Senyum-senyum bagai.” Tiba-tiba Wafiy muncul dan menyapa dengan perkataan yang tak sepatutnya. Tak sempat tangan Syifaa nak tekup speaker, lalu suara adiknya itu sampai ke corong sana. Pantas perasaan segan muncul tiba-tiba.

Sementara Mukhreez tersenyum lucu kerana sudah mendengarnya.

“Sorry encik. Nanti update pasal Aiza ya,” pesan Syifaa lantas berikan salam dan jegilkan mata ke arah Wafiy sebaik talian diputuskan. Bibir diketap tanda geram dengan perangai adik lelakinya. Sampai hati kenakan kakak sendiri.

“Jomlah. Kak Ita ajak sarapan,” ajak Wafiy. Terus Syifaa bangun.

"Tak tunggu umi dengan abah dulu ke?” tanya Syifaa hairan. Seingatnya dulu bila bab makan mereka kena tunggu orang tua mereka ada bersama dahulu baru boleh makan tapi kali ini nampak lain.

“Umi dengan abah dah ke bandar. Dengar ceramah kat masjid besar. Kebetulan hari ini ada ustaz popular datang,” jelas Wafiy dan Syifaa mengangguk-angguk lantas mengekori adiknya sehingga ke dapur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience