SAMB. BAB 29

Drama Series 18121

Sudah lama abangnya beredar tetapi keadaan Cikgu Syifaa masih sama. Belum sedarkan diri. Lalu Aiza labuhkan punggung di atas kerusi menghadap cikgunya. Ditarik lembut tangan itu lantas dielus perlahan. Setitik dua air matanya tumpah apabila teringatkan insiden yang berlaku.

Betapa dia tersilap langkah. Angkara tangannya perut Cikgu Syifaa terluka lima inci. Nasib Cikgu Syifaa cukup baik. Luka itu hanya mengorbankan dua tiga lapis kulit perut sahaja. Jika ia tembus ke dalam dia tidak tahu bagaimana dengan nasib cikgu yang ada di depan matanya ini.

Melihat wajah yang nampak tenang itu hati dirundung kesal tak sudah. Kerana itu dia tak berterus-terang dengan abangnya. Dia juga mengatakan ada orang gila yang tersalah masuk bilik. Langsung tidak diberitahu pihak resort kerana dia tak mahu memanjangkan kes ini.

Kalau sampai dibawa ke balai polis, rahsianya yang akan terbongkar. Dia yang akan malu nanti. Dia pasti hidupnya akan musnah. Cukuplah Cikgu Syifaa seorang saja yang tahu. Dan… maruah dirinya yang telah lama hilang biarlah cikgu itu bawa sampai mati.

Kematian itu seakan sedang menjemput Cikgu Syifaa. Melihat keadaan cikgu itu hatinya pedih. Dia tak mengharapkan cikgu muda itu pergi. Memang dia tak suka dengan Cikgu Syifaa tetapi dia tidaklah sampai membenci sehingga mahu mendoakan kematian. Tetapi, melihat wajah itu hatinya pantas menyumpah seranah lelaki yang telah membuat cikgu itu dalam keadaan begini. Amarahnya membukit.

“Kau jahat Azlee. Kau jahat. Aku sumpah kau. Sampai mati kau tak akan kahwin. Kau tak akan ada anak. Aku sumpah kau.” Mulutnya menyumpah kesal seraya menangis pilu. Usap pipinya yang berladun dengan air mata kemudian pandang Cikgu Syifaa. Tangan itu masih dielus lembut.
“Maafkan saya, cikgu!” pohon Aiza dalam tangisan yang tak bertepi. “Terlalu banyak saya tak akan melukakan hati cikgu lagi. Tolong bangun!” rayu Aiza dalam sendu yang tak mampu disurutkan lagi.

“Maafkan saya, cikgu.”
Sebuah kucupan dilayangkan ke atas tangan Cikgu Syifaa dan air matanya yang turut jatuh menitik ke atas tangan menyebabkan Cikgu Syifaa bergerak-gerak.

Spontan tangan dilepaskan. Ada debaran datang menyergah. Aiza pantas bangkit. Dia masih malu hendak menghadap cikgu itu. Lalu dengan berat hati dia keluar dari bilik dan duduk di bangku di hadapan pintu bilik. Air mata pula masih mahu terjun dari kolam mata. Keadaannya itu tak ubah seperti Cikgu Syifaa sudah meninggal dunia.

Dia cuba hentikan tangisannya. Dongakkan kepala lalu pejamkan mata. Terus telinganya menangkap derap langkah seseorang. Pantas Aiza menoleh ke kiri. Kelihatan Cikgu Farah terburu-buru menghampiri dan hatinya semakin berlagu sayu.

“Aiza okay. Ada luka kat mana-mana?” Farah menyapa dengan suara risau. Wajah itu nampak resah dan mengundang tangisan Aiza. Pantas Farah memeluk menenangkan gadis itu.

“Sabar. Ini ujian Aiza. Ujian Cikgu Syifaa juga. Doakan agar cikgu Syifaa cepat sembuh.” Itu yang Farah ungkapkan. Mengetahui tragedi yang berlaku dari mulut Aiza sendiri hatinya tak mampu percaya. Dia tak percaya ada orang gila yang mengamuk. Masuk mencederakan Syifaa. Setakat ini dia hanya mampu bersabar. Apabila Syifaa sedar nanti dia akan meminta penjelasan. Buat masa ini dia tak mahu mengeruhkan keadaan. Apatah lagi, melihat hujung bibir Aiza sedikit lebam hati berbenih curiga. Bahkan mata itu nampak bengkak dan tentunya dia akan menggasak Syifaa.

“Aiza rehatlah. Cikgu masuk jumpa Cikgu Syifaa dulu,” ujar Farah lantas meninggalkan Aiza di luar.

Hati Aiza dipatuk kesal berkali-kali. Ternyata rakan baik Cikgu Syifaa itu tidak meminggirkannya. Langsung bertanya keadaan dirinya. Betapa cikgu itu memang baik. Begitu juga dengan Cikgu Syifaa. Cuma dia saja yang pelik. Angkuh. Sombong. Malah degil. Bahkan kasar hingga membuat semua orang pening kepala dengannya. Justeru, dia pasakkan dalam hati. Dia akan berubah.

Air mata yang masih tumpah disapu cepat. Perlahan-lahan dia menapak hendak masuk ke dalam. Namun langkahnya mati setelah ternampak Cikgu Syifaa yang sudah sedar dan dipeluk Cikgu Farah. Air mata Cikgu Syifaa menderu laju dan hatinya dihambat pilu. Dari muka pintu yang sedikit terbuka dia menyaksikan drama air mata yang cukup menyayat hati.

***

“Sabar, Syifaa.” Farah mengusap lembut belakang Syifaa seraya menyuruh bertahan demi kehidupan yang lebih baik. Namun, hanya air mata yang menitis keluar dari kolam mata Syifaa. Bahkan esakan pun tak kurang hebat melatari suasana di dalam bilik ini.

Pelukan dileraikan dan Syifaa pandang wajah Farah.
“A… a… aku….” Tak mampu hendak meluahkan cerita. Betapa kejadian yang berlaku membunuh semangatnya yang baru tumbuh. Semangat untuk meneruskan hidup.

“Kau rehat sampai kau betul-betul baik. Aku tak akan paksa kau cerita kat aku. Tapi… tolong jangan menangis. Aku bimbang kau jadi macam… macam dulu,” pujuk Farah dan tak semena-mena air mata Syifaa kembali meluruh.

“Kenapa? Kenapa aku yang perlu hadap semua ni. Kenapa?” rintih Syifaa bersama air mata yang semakin lebat. Farah pantas menarik tangan Syifaa lalu digenggam kemas.

“Jangan menyoal takdir. Tuhan menguji sesuai dengan kemampuan kau. Dia tahu kau kuat. Kau pernah alami yang lagi teruk dari ini. Dia tahu kau kuat.”

Syifaa menggeleng dalam tangisan.
“Aku tak kuat, Farah. Aku tak kuat,” nafi Syifaa lantas menekup muka. Kali ini Farah mengusap bahu itu pula. Memujuk lembut.

“Jangan menangis. Kau kena terus kuat kalau tidak… luka kau lambat sembuh,” pujuk Farah lagi dan terus Syifaa jatuhkan tangan. Baru sedar yang dia terluka. Pantas matanya melihat tempat yang berbalut. Dia langsung tak sedar kerana kesan ubat bius belum lagi hilang. Terus tangannya mengusap lembut.

“Aku pengsan bukan sebab luka ni. Tapi…” Syifaa menekur ke bawah dengan tangan yang masih mengusap tempat balutan. “Sejak insiden dulu, aku dah tak kuat tengok darah. Aku akan cepat lemah. Aku jadi fobia, Farah.”

Farah tersentak. Dia tak menyangka. Patutlah kalau ada insiden cedera di sekolah Syifaa tak mendekati. Baru dia tahu. Terus hati Farah digamit pilu. Betapa sedihnya hati mengetahui hal yang tersorok.

“Terus kuat Syifaa. Aku tahu kau mampu.” Akhirnya hanya itu yang mampu diungkapkan dan Syifaa mengangguk lemah. Air mata pun sudah berhenti mengalir. Lalu, meminta Farah menolong. Dia mahu baring semula. Gara-gara tidak terasa sakit dia ingatkan lukanya hanya sedikit. Tetapi apabila melihat pada balutan dia tahu kecederaan yang dia dapat agak teruk juga.

Farah pantas menolong.
Sebaik berbaring mata Syifaa ternampak kelibat Aiza di celah pintu. Hatinya simpati. Lalu dia buang segala rasa amarahnya dulu. Aiza perlu diperbetulkan agar tidak terpesong jauh.
“Aiza!” Akhirnya Syifaa memanggil juga.
Aiza di muka pintu semakin lebat menghamburkan tangisan apabila suara itu memanggil namanya. Terus hati Syifaa faham. Gadis itu rasa bersalah dan hati seorang cikgu sepertinya rasa kasihan. Gadis keras kepala itu sudah tunjuk lemah.

“Masuk, Aiza!” panggil Syifaa dalam suara perlahan. Dan… perlahan-lahan pintu ditolak. Dengan langkah yang lemah Aiza menapak mendekati. Sampai sahaja terus memeluk paha Syifaa. Farah pantas bangun. Terkejut dengan tindakan gadis itu.

“Maafkan saya cikgu.” Aiza menangis dalam pelukan. “Maafkan saya. Sebab sayalah cikgu jadi macam ni,” ujar Aiza bersungguh-sungguh dan menerbitkan hairan dalam hati Farah.

Apa sebenarnya yang terjadi? Mulut mahu meluahkan pertanyaan. Namun, melihat tangisan kedua-dua insan di hadapan terus dikunci mulutnya buat seketika.

Di dalam hati Syifaa pula, begitu bersyukur. Apa yang terjadi ini ada hikmah yang tidak diketahui. Ia telah mengubah sikap Aiza. Dia melihat sikap lembut gadis itu mulai terbit.

“Jangan sedih!” pujuk Syifaa walhal dia sendiri sedang berperang dengan air matanya. Tangannya mengelus rambut Aiza dengan lembut.

“Cikgu tak benci saya kan? Cikgu tak marah saya kan?” soal Aiza sebaik bangkit. Dalam sedu yang masih bersisa gadis itu menunggu jawab balas daripada Syifaa.

Syifaa mengangguk dalam senyuman. Pandang Farah yang nyata tidak memahami.

“Cikgu tahu Aiza tak sengaja. Orang yang sengaja pun boleh dimaafkan apatah lagi yang tak sengaja.” Perlahan sahaja suara Syifaa namun tetap mengundang seribu kesal di dalam dada Aiza. Terus air mata itu kembali lencun ke pipi.

“Saya bersalah….” Aiza masih mahu mengungkapkan perasaannya namun dihalang Syifaa.

“Jangan cakap lagi. Selama ini pun cikgu tak pernah benci Aiza. Cikgu tak marah. Cikgu tak dendam. Dan… tolong jangan ungkit. Kita lupakan yang dah lepas. Kita buka buku baru agar kita sama-sama kuat nak hadap yang akan datang,” pesan Syifaa dan Aiza mengangguk bersama air mata yang meleleh. Namun, dalam hati perasaan bersalah itu tetap beraja hingga dia mahu melutut agar Cikgu Syifaa tidak akan membawa hal ini ke pihak berkuasa.

Syifaa pula menyedari akan kekesalan Aiza. Tetapi kepalanya masih berat hendak memikirkan semula apa yang terjadi. Farah yang menyedari kelainan wajah Syifaa pantas menyentuh bahu Aiza.

“Aiza balik dulu. Biar Cikgu Syifaa berehat betul-betul. Aiza pun kena berehat. Nanti… kalau Aiza nak melawat cikgu, Aiza datang esok. Nanti, call cikgu dulu. Cikgu akan maklumkan,” ujar Farah cuba untuk merenggangkan kedua-duanya buat masa sekarang. Nasib baik Aiza mengangguk.

“Terima kasih cikgu.” Mata pandang Cikgu Syifaa. “Cikgu… please cepat sembuh,” pinta Aiza.

Lega hati Syifaa melihat sikap Aiza. Tidak keras seperti selalu. “Nanti saya datang esok.”

Dan Syifaa mengangguk lemah. Matanya menghantar Aiza sehingga ke pintu. Sebelum gadis itu melepasi daun pintu tiba-tiba dia teringatkan sesuatu.

“Aiza!” panggilnya sedikit kuat. Aiza pantas berpaling. Pandang wajah Cikgu Syifaa yang berkerut.

“Erk, siapa yang hantar cikgu ke sini? Bukan cikgu dekat PD ke?” soal Syifaa pelik. Malah kepalanya begitu mahu tahu kerana dia melihat tag nama wad Salam di katil dan meja serta kerusi.

Pertanyaan itu menghasilkan debaran dalam dada Aiza. Gadis itu tidak mahu memanjangkan hal ini. Kalau boleh tak ada sesiapa pun yang patut tahu. Namun, soalan yang terbit dari mulut Cikgu Syifaa membuat lidahnya kelu.

“Abang Aiza ke?” gesa Syifaa apabila Aiza masih bungkam. Farah yang mendengar pertanyaan itu pantas memandang Aiza. Wajah itu nampak pucat.

“Erk…bukan… bukan. Bukan abang saya.” Tangan Aiza naik melayang. Menafikan pertanyaan Syifaa.

“Habis tu?” Syifaa kehairanan. Dalam lemah, kepalanya tak mampu berfikir panjang. Tetapi dia tak percaya kerana Aiza beritahu akan balik dengan abangnya. Pastinya lelaki itu yang menghantarnya sehingga ke sini. Ke Hospital Salam. Jauh dari Port Dickson.

“Bukan abang saya, cikgu. Kebetulan ada lelaki lain yang lalu depan bilik kita. Dia yang tolong hantar cikgu ke sini. Nanti abang tu call cikgu. Saya dah bagi nombor telefon cikgu. Maaf cikgu. Saya terpaksa sebab nyawa cikgu lagi berharga pada saya.” Aiza berbohong tetapi kata-kata itu membuat kolam mata Syifaa berkaca-kaca. Mendengar nyawanya lagi penting terus saja air matanya luruh dengan banyak.

Aiza pun sama. Ketap bibir menahan tangisan. Tak sanggup hendak terus berbohong pantas saja gadis itu berlari keluar.

Syifaa pula terus menangis sehingga tangannya menggigil ketakutan.

“Kenapa dengan kau ni. Aku tahu bukan orang gila yang serang kau. Ada cerita lain kan yang dah jadi?” gesa Farah sedikit keras dan pantas Syifaa sapu air matanya.

“Aiza cerita macam tu?” soal Syifaa meminta kepastian.

“Ya. Dia call aku cakap kau cedera. Ada orang gila mengamuk. Salah masuk bilik kau. Lepas tu….”

Tak habis cerita Farah apabila Syifaa kembali menangis. Hamburkan tangisan dalam keadaan berpaling ke kanan dan membuat Farah pelik.

“Kau cerita dekat aku. Aku tahu. Aku dapat cerita palsu. Kau cakap sekarang. Kalau tidak kau akan terus menangis. Kau akan jadi macam dulu,” paksa Farah dan Syifaa terus menangis.

Dalam tangisan mulutnya tetap meluahkan satu demi satu kejadian yang berlaku. Satu pun dia tak tinggalkan agar jika berlaku apa-apa Farah ada untuk memihak padanya. Malah Farah ada untuk berjaga-jaga.

“Aku masih suci, Farah. Aku masih suci!”

Mendengar kata-kata itu hati Farah berderai hiba.

“Kau dah cerita dekat aku semuanya. Lagipun orang tu tak sempat buat lebih dari tu. Kau masih terjaga,” Farah mengingatkan.

“Tapi… lelaki gila tu….” Syifaa tak mampu teruskan kata. Betapa hancurnya hati dengan perbuatan jijik itu. Walaupun bukan sehingga maruahnya tergadai tetapi itu sudah cukup untuk membuatkan dia trauma. Nasibnya baik kerana dia masih selamat. Tetapi Aiza?

Dan Farah yang sudah mengetahuinya terus diam menyimpan segala rahsia. Apabila cerita itu terbuka dia tak akan membiarkan Syifaa mahupun Aiza terluka lagi.

Barulah dia tahu cerita sebenar. Sesungguhnya kedua-dua orang gadis yang dia kenal itu menyimpan cerita duka yang maha hebat. Lalu hati meminta pada Yang Esa agar kuatkan semangat mereka. Dan… dia akan memberi sokongan sama seperti dulu juga.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience