BAB 03

Drama Series 18121

Surau Al Falah

“Assalamualaikum class.” 

Suara Syifaa bergema di dalam kelas 5 Dinamik. Semua pelajar yang asyik dengan kerja masing-masing pantas bangkit sebaik kelibat guru muda itu tegak di hadapan kelas. Salam dijawab tenang. Hari ini Syifaa tidak menyuruh pelajarnya duduk setelah dia selesai memerhati keadaan kelasnya. Kebersihan dan kekemasan kelas diutamakan agar dia dapat mengajar dengan tenang dan pelajarnya pula mudah menerima pelajaran.

“Ok. Good job for today so… sit down everyone!” arah Syifaa tegas.

Pelajarnya segera duduk namun muka masing-masing bagaikan tertelan kapur. Memandangnya tidak faham. Namun begitu mereka tetap jalankan tugas masing-masing. Keluarkan buku teks dan buku latihan Bahasa Melayu lalu di letak di sebelah kanan. 

Syifaa senyum puas. Walaupun masih baru menjadi guru kelas dia sudah dapat menerap disiplin yang  baik kepada para pelajarnya. Dia cukup rasa bangga. Namun rasa itu hilang apabila matanya tertumpu pada meja paling hujung berdekatan pintu belakang. Ianya tetap kosong walaupun telefon gadis itu sudah dipulangkan. Padahal gadis itu telah mengotakan janji ; janji untuk tidak membawa barang terlarang lagi. 

Hatinya berdetak risau. Kenapa makin kerap pula meja itu kosong.

“Where’s Aiza Munirah? Absent?" tanya Syifaa kecewa.

“Taklah cikgu. Tadi saya terserempak dengan dia dekat pagar sekolah. Dia hadir je. Tapi dari waktu rehat sampai dah nak balik ni dia tak masuk kelas pun lagi,” jawab salah seorang pelajar perempuan.

Dahi Syifaa berkerut seribu. Nampaknya gadis itu ponteng kelas lagi. Nasib baik dia mencacat kehadiran gadis itu. Jika tidak jenuh nak menjawab dengan penolong kanan.

“Dah cari dia kat mana-mana?” soalnya dengan muka risau. 

“Dah, Cikgu. Tapi tak jumpa.”

“Herm… ok Class. Tak apa. Nanti cikgu cari. So, before we proceed our learning, please send your homework. Rahman! Please collect the exercise book and put it on my table. Right now!" arah Syifaa sambil menepuk meja guru dua tiga kali dengan perlahan. Rahman sebagai ketua kelas pantas  bangkit lalu melangkah ke arah meja kawan-kawannya. Dia mengutip buku masing-masing. Namun masih ada dua tiga orang pelajar yang kelam-kabut menyiapkan kerja sekolah. Mungkin terlupa hendak menyiapkan di rumah. Rahman menggeleng tunjuk bangga. Bangga sebab dia berjaya siapkan kerja.

“Ok Class….” belum sempat Syifaa meneruskan kata,  Irfan salah seorang pelajar yang banyak celoteh menahannya dari bersuara.     

“Stop! Stop, cikgu! Tak payahlah speaking hari ni. Dah naik pening saya dengar cikgu cakap. Rasa nak biru dah mata saya.”  

Syifaa hampir ketawa mendengar kata-kata Irfan namun dia buat muka selamba. Dengan tenang dia  bangkit dan melangkah ke meja pertama di hadapan whiteboard.

“Today is English day so all of you must speak in English. Kalau mata bertukar jadi  biru itu lagi untung. Tak payah dah nak pakai contact lens. Do not kisahlah. Speak or skipping, is up to you.”

Pelajarnya tergelak mendengar lawak yang dibuatnya. 

“Okay. Buka muka surat kelmarin. Kita sambung pelajaran yang tak sempat kita habiskan,” arah Syifaa seraya menulis tarikh di papan putih. Dalam rasa teruja hendak mengajar hati tetap berasa risau. Sesekali dia pandang meja yang masih  kosong. Sungguh hatinya tak tenang. 

Kenapa dengan gadis itu? Hatinya risau. Apakah Aiza menghadapi masalah kewangan. Bukankah gadis itu pernah memberitahu yang dia sebatang kara. Tinggal dengan orang tua bernama Pak Aziz. Nama lelaki itulah yang ada dalam borang maklumat diri. Maklumat lain langsung tidak ada. 

Boleh jadi gadis itu benar-benar kesempitan. Lagipun dia tidak pernah melihat gadis itu makan di kantin atau membawa bekal ke sekolah. Kalau benar dialah yang bersalah kerana tidak membantu gadis itu.

Hati mahu percaya namun akal menolak keras tiba-tiba. Teringat akan telefon gadis itu yang sudah diserahkan. Jenama iphone 7. Zaman ini telefon itu tidak mampu dipakai oleh orang berkerjaya sepertinya. Namun Aiza Munirah yang dikatakan sebatang kara itu mampu memilikinya. Tentulah hati dan akalnya tidak mampu bekerjasama. Dia syak gadis itu berbohong.

Segala pengajarannya tidak sempurna apabila kelibat gadis itu tidak muncul juga walaupun masa persekolahan sudah hampir tamat. Loceng pun berbunyi dan semua pelajar bersiap sedia hendak keluar. Selepas ini mereka perlu menghadiri kelas tambahan Sejarah pula pada jam 2.30 petang. Usai melontarkan salam Syifaa pun bersama-sama pelajarnya keluar dari kelas. Berpisah di hujung jalan. Dia ke bilik guru manakala pelajarnya ke surau.

“Syifaa!!!” 

Baru saja meletakkan buku dan beg ke atas meja namanya dipanggil Cikgu Tini dari jauh. Syifaa balas dengan senyuman. Guru subjek Sejarah itu sudah mendekat dan kini berada di depannya.

“Aiza Munirah ada dalam kelas tak?” tanya cikgu Tini. Syifaa geleng kepala dengan muka berkerut risau.

“Tak tahulah dia pergi mana. Kawan dia cakap dari waktu rehat sampai dah habis waktu sekolah ni  tak juga dia masuk kelas," jawab Syifaa dengan harapan Cikgu Tini tahu gadis itu ke mana. Namun guru pertengahan usia itu sama sepertinya juga. Menggeleng tak tahu.

“Nama saja guru kelas tapi anak murid sendiri hilang pun tak tahu. Kalau dah sedar tu cepat-cepatlah pergi cari.” Tiba-tiba Cikgu Wahidah mencelah. Entah bila guru matematik yang turut sama mengajar 5 Dinamik itu muncul. Hati Syifaa rasa malu. Dia masih baru di sini tetapi segala kerja buatnya sudah ditilik orang. Sungguh dia rasa tak selesa.

Pandang Cikgu Wahidah segan dan wanita akhir 30 an itu membalasnya sinis.

“Dah banyak kali budak tu buat hal. Kau nak result tahun ni jatuh teruk ke?” Tercengang Syifaa dengan kata-kata cikgu bujang itu. Nada suara cikgu itu yang sinis menjatuhkan air muka Syifaa. Sungguh Syifaa rasa malu.

“Kalau penjaga dia datang bertanyakan anak dia, macam mana nak jawab. Bukan setakat guru kelas yang kena dengan kita-kita sekali dia orang heret masuk pejabat pengetua. Ingat aku tak kisah ke.” Lagi cikgu Wahidah menyambung kata. Amat pedas kata-kata itu sehinggakan Syifaa rasa dia bukan lagi berhadapan dengan seorang cikgu tetapi penjaga pelajarnya. 

Liurnya ditelan. Terasa keras di halkum. Seminggu dua ini dia mula  mengenali Cikgu Wahidah. Kalau bercakap memang tak pandang kiri kanan. Main bedal macam sekolah ni bapa dia yang punya. Cikgu Tini pula yang berdiri di tepi Syifaa sudah angkat kaki. Faham sangat dengan  perangai cikgu itu.  

Akhirnya Syifaa hanya mampu beri senyum sumbing. Mahu membalas kata namun suara wanita itu yang sinis mematikan hajatnya.

“Menyusahkan betul. Kalau dah diberi amanah tu laksanakanlah. Mentang-mentang baru bertukar kat sini sukalah buat perangai. Konon-kononnya semua orang suka kat dia. Perasan."

Pedih sungguh kata-kata Cikgu Wahidah. Entah apa yang tak kena dengan cikgu tersebut dia  memang tidak tahu. Selalu saja dia dengar cerita dari mulut Farah, Cikgu Wahidah memang tak puas hati dengan semua orang. Ah, sempurna sangatkah dia sampai semua orang dia nak condemn. Macam manalah cikgu lain yang jadi ajk Persatuan Matematik boleh duduk semeja dengan cikgu Wahidah. Kalaulah dia di tempat mereka dah lama sekolah ini dilanda banjir. 

“Terima kasih, cikgu. Insya Allah, saya cuba selesaikan di peringkat saya dulu. Kalau tak mampu saya akan bawa ke badan disiplin.” Hanya itu yang mampu dibalas buat masa ini.

Cikgu Wahidah pun berlalu selepas menghadiahkannya jelingan sinis. Tetapi dia biarkan saja. Apabila sudah penat pandailah wanita itu berubah. Dia pun angkat kaki ke meja sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience