PROLOG I

Drama Series 18121

PROLOG 

Mac 2010
Sungai Golok, Thailand

Syifaa bermain-main dengan cincin yang tersarung di jari manisnya. Walaupun sekadar cincin belah rotan yang menjadi mahar cintanya, dia tidak kisah. Bukan kemewahan yang dia damba. Cukuplah lelaki itu berjanji akan menjaganya setulus hati sehingga habis nafasnya. Biar badai datang menghempas, rumah cinta yang mereka bina tidak akan goyah.

Dia pandang lelaki yang sudah sah menjadi suaminya. Lelaki itu sedang bercakap-cakap dengan dua orang lelaki berbaju melayu berkain pelekat. Entah apa yang suaminya bualkan dia tidak tahu. Lagipun dia tidak mahu ambil tahu. Hanya berikan senyuman manis saat lelaki itu membuang pandang ke arahnya seketika.

Berada di dalam pejabat kadi yang nampak lama ini hatinya tiba-tiba dijentik pilu. Tanpa ibu dan ayah dia mengikat janji di sini. Hanya Farah yang sudi menemani. Lalu dia hadiahkan senyuman seikhlas hati. Tanda penghargaan atas budi sahabat baiknya itu.

Hulurkan tangan mahu menggenggam jemari Farah tetapi tangan lain yang lebih dulu datang menggenggam tangannya.

Syifaa tersipu-sipu malu apabila tiba-tiba lelaki itu mengucup belakang tangannya pula.

"Terima kasih sayang. Akhirnya sayang sudah menjadi yang halal untuk abang." 

Malu sungguh apabila bola mata Farah menikam matanya. Ada usikan pada mata itu. Pantas dilarikan wajahnya dan Farah sedar lalu segera bangkit dan menjauh. Memberi ruang kepada pengantin baru untuk memandu kasih.

"Terima kasih juga sebab nakkan Syifaa yang tak seberapa ini," ucap Syifaa dan pantas tangan lelaki itu naik ke bibirnya.

Mata itu memandangnya redup. Berikan senyuman.
"Abang dah kenal sayang sangat sebab tu abang tak mungkiri janji. Abang akan jaga sayang sampai akhir hayat abang."

Terus kolam mata Syifaa bergenang. Lelaki itu selalu mengungkapkan ayat begitu. Sehingga dia benar-benar rasa dilindungi. Hati begitu cinta lalu mata meneliti setiap inci wajah di depan. Wajah yang akhirnya boleh disentuh tanpa batasan. Wajah yang boleh dibawa bersama ke mana saja tanpa halangan.

Kerana akad terluncur keluar dengan lancar dari mulut lelaki itu maka dia tidak perlu sangsi lagi. Memang inilah yang dia mahukan. Hubungan halal di sisi agama supaya mereka boleh ke mana-mana sahaja tanpa sekatan. Tetapi dia tak sangka. Secepat ini lelaki itu mengotakan janji sehingga isi kolam matanya tadi mula melimpah keluar.

"Eh, kenapa tiba-tiba je nangis. Kita dah halal, sayang." Lelaki itu pantas meraih kepalanya lalu mengucup mesra dahinya.

Syifaa tarik hingus. Cuba mengukir senyum tetapi bayang umi pula yang menjelma di mata. Wanita itu menangis semahu hati. Tidak merestui apa yang dia buat sekarang ini. Terus air matanya menjunam laju turun ke pipi.

"Tapi... umi tak restu." Syifaa mengesat air matanya. Lelaki itu boleh pula membalas dengan senyuman.

"Jangan risau. Sebelum sayang berangkat ke Sarawak kita pergi jumpa umi. Abang yakin hati umi akan lembut juga sebab kita buat benda yang betul."
Lelaki itu memujuk dan Syifaa merenung tak yakin.

“Abang yakin ke umi tak akan mengamuk. Kita nikah lari ni bang.” Syifaa meluahkan ketakutan namun lelaki itu tetap tenang.

"Hati ibu. Sejauh mana nak merajuk. Nak mengamuk." Lelaki itu memang pandai memujuk.

“Kalau umi marah?”

Pantas suaminya gelak kecil.
“Abang jadikan sayang umi baru.”

Dan... tangan Syifaa terus mencubit perut suaminya. Semenjak mendapat lesen halal lelaki itu makin pandai mengusik. Pantas dia muncungkan mulut dan lelaki itu tarik bibirnya. Terus dia tampar tangan suaminya. Tanpa dia sedar beberapa pasang mata yang hadir menjadi saksi menggeleng sambil tersenyum malu.

Masing-masing sudah biasa melihat adegan begitu. Seperti pasangan pengantin baru yang lain juga. Syifaa bagaikan berada di alam lain. Langsung tidak kisah dengan pandangan orang. Mereka sudah halal. Walaupun pernikahan ini jauh di sempadan Malaysia Thailand dan sebenarnya bukanlah kehendaknya tetapi kerana cinta dia merelakan juga.

"Dah. Ketepikan dulu soal umi. Baik sayang balik berehat dekat hotel puas-puas. Malam nanti abang nak bawa sayang jalan-jalan sekitar sini. Lepas ni, bila sayang dah start mengajar kita akan jarang berjumpa.”

Terus hati Syifaa dilanda hampa dan kecewa. Dia sedar mereka akan berhubung jarak jauh tetapi hati terlalu menyintai. Kerana itulah dia sanggup buat apa saja.

“Jangan bimbang, sayang. Setiap kali hujung minggu abang akan ke Sibu.”

Terus wajah Syifaa manis bergula.

“Jalan-jalan sekali dengan pakej honeymoon.” Lagi sekali lelaki itu mengusik dan Syifaa kerling Farah yang sudah mendekat. Gadis itu buat muka. Menyampah dengan perangai pengantin baru.

“Jomlah. Perut aku lapar sangat ni."Farah mengajak dan Syifaa segera bangkit. Suaminya pula memimpin tangannya. Membawa keluar dari pejabat kadi.

"Sayang tunggu dalam kereta dulu. Abang nak ke kedai depan tu kejap," suruh suaminya setelah sedikit jauh dari pejabat. 

“Nak beli apa?” soal Syifaa ingin tahu.

“Abang nak hadiahkan sesuatu kepada sayang sebagai tanda kenangan.”

Syifaa tidak faham namun tetap menghantar suaminya yang perlahan-lahan melangkah ke kedai tidak jauh dari kawasan parkir.  Deretan kedai yang menjual berbagai jenis koleksi tudung dan pakaian wanita itu dipandang sekilas. Apabila lelaki itu hilang ke dalam sebuah kedai tudung dia kalih menghadap Farah yang sudah depakan tangan.

"Tahniah lah, weh. Aku harap perkahwinan kau ni akan kekal sampai syurga," ucap Farah tunjuk wajah gembira. Syifaa membalas dengan senyuman lalu raih gadis itu dan dipeluk erat.

"Terima kasih sebab selalu ada untuk aku,” ucap Syifaa seraya mengusap belakang Farah.

“Kau kan kawan baik aku. Mesin ATM aku pun ya jugak.”
Pantas tawa Syifaa terhambur keluar. Leraikan pelukan dan kelihatan wajah Farah yang keruh. Syifaa kerutkan muka tak faham.

"Kita dua posting tempat lain-lain. Lepas ni memang susah dah nak jumpa. Lagi-lagi kau dah jadi isteri orang. Makinlah susah kita nak dating.” Suara Farah kedengaran merajuk.

Terus saja Syifaa tergelak kecil.

"Cepat-cepatlah kau cari pakwe. Bolehlah kau dating berdua dengan pakwe kau. Tak perlu dah nak panggil aku.”

“Tapi tak sama macam kau.” Farah muncungkan bibir.

Syifaa faham sangat dengan perangai Farah. Sahabat baiknya itu nampak saja macam ganas tapi hati tisu.

"Kita kena terima hakikat yang kita bakal terpisah. Tapi... itu tak bermakna kita tak boleh berhubung."

Farah mengangguk faham
"Aku akan selalu merindui kau." Pantas dipeluknya Syifaa sekali lagi.

Syifaa menepuk-nepuk belakang Farah. Memberi kekuatan. Mata pula sempat melihat sang suami yang leka memilih selendang di luar kedai. Melihat warna yang ditilik lelaki itu hatinya berbunga riang.

"Malam nanti kau kena ikut sama. Alang-alang dah ada kat luar negara ni kita kena cipta kenangan kita sendiri," pinta Syifaa.

Farah langsung bersetuju lalu seiringan menuju ke arah kereta. Apabila sampai dia tolong bukakan pintu sebelah pemandu. Belum sempat Syifaa hendak masuk ke dalam kedengaran dua das tembakan terlepas kuat. Masing-masing terkejut besar. Farah sempat melihat tubuh seseorang jatuh tertiarapm Pantas dipeluknya Syifaa begitu erat. Membelakangkan gadis itu dari melihat insiden yang terjadi. Saat itu dada masing-masing berdetak kencang.

"Ada orang kena tembak ke Farah?" soal Syifaa mahu tahu. Dalam keadaan takut pun hati tetap mahu ambil tahu. Kepala cuba menoleh namun Farah keraskan pelukan.

"Jangan tengok!" halangan Farah dan menyebabkan Syifaa naik hairan. Pantas dada berdetak pelik. Dalam kepala bermacam-macam andaian muncul. Apatah lagi suara orang sekeliling yang bertutur dalam bahasa melayu siam membuat hatinya bergetar takut. Telinga menangkap perkataan 'orang nayu' dalam loghat selatan Thai terus ditolak tubuh Farah sekuat tenaga.

Pusingkan badan.
Dan... matanya buntang tak percaya. Tubuh terus menggeletar dan pandangannya berpinar-pinar. Melihat batang tubuh yang tertiarap di depan kedai kebahagiaannya sebentar tadi direnggut pergi. Dia tidak mahu percaya. Kerana itu air matanya tak tumpah.

Farah pantas menarik tangan Syifaa. Tidak membenarkan Syifaa mendekati. Tetapi dia perlu tahu. Dengan langkah ketar Syifaa memijak lantai jalan.

"Bukan suami aku kan?" soal Syifaa saat melangkah hendak mengesahkan. Tangan terketar-ketar menahan rasa. Hati pula meratib berulang kali. Menidakkan apa yang dia rasa. Berharap sangat yang tertiarap itu bukan lelaki yang baru saja halal untuknya.

"Bukan suami aku kan?" soal Syifaa sekali lagi. Menghalau rasa yang membelit hati.  Makin tak tentu arah apabila melihat pakaian orang yang kaku di hadapan kedai. Baju lelaki itu sama dengan baju suaminya. Warna putih, warna kegemaran mereka. Namun sudah tidak terlihat suci lagi. Penuh dengan darah merah yang hanyirnya terhidu dibawa angin pagi.

Dalam menolak rasa, beberapa orang lelaki membalikkan badan yang kaku itu. Dan... mata Syifaa terbuntang. Tak sedar, air matanya meluruh begitu laju.

"Itu... itu...." suaranya tersekat. Terus Farah memeluk erat.

Syifaa tidak mahu percaya namun wajah yang terpejam rapat itu sememangnya hak miliknya yang halal. Namun lesen yang baru dia dapat sudah ditarik balik yang Maha Pencipta.

Lemah jiwanya melihat sekujur tubuh yang tidak bernyawa lagi. Di tangan lelaki itu ada selendang putih yang digenggam erat.

Tubuh Syifaa jatuh terduduk.

"Abanggg!!!"

Dia meraung kuat lalu menarik tubuh mendekati tubuh yang kaku itu. Bibirnya berkali-kali memanggil suaminya. Apabila suaminya tak bergerak ditariknya baju lelaki itu. Langsung tak bereaksi. Ditepuk pula pipi lelaki itu tetapi badan yang kejung itu tak mampu dihidupkan lagi. Air matanya semakin bercucuran dengan begitu banyak. Tanpa segan silu dia meraung sekuat hati entah untuk kali yang ke berapa.

Farah di belakang cuba menenangkan namun Syifaa yang sedang meraung itu sudah tidak menjadi diri sendiri lagi. Sekarang Syifaa adalah insan yang benar-benar lemah. Segala kata nasihat dan pesanan Farah sudah tidak masuk ke dalam kepala. Hanya air mata yang mengerti betapa diri itu cukup menderita.

"Sabar Syifaa. Bawa mengucap," pujuk Farah namun Syifaa tidak mengendah. Sambil menangis kuat digenggam selendang di tangan suaminya. Dengan rasa tak percaya ditariknya selendang itu perlahan-lahan. Melihat sekuntum mawar putih di balik kain dia pun melurut jatuh dan tidak sedarkan lagi.

Pada hari pernikahannya dia telah menjadi janda.

Apakah kerana cintanya tidak direstui lalu dia tidak mendapat bahagianya.

Hai semua. GH datang lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience