Rumah Impian Kasih Juwieta
Aziana Juwieta pandang anak-anak kecil yang saling berkejaran di laman rumah. Dia tersenyum puas melihat keriangan kanak-kanak dalam lingkungan 6 hingga 10 tahun itu. Ada rasa puas hati yang tak mampu diceritakan. Dia bangga dengan diri sendiri kerana berjaya menjaga mereka ibarat anak sendiri.
Sudah 5 tahun dia membina rumah kebajikan ini. Semuanya adalah kerana perasaan sayang dan simpati yang ada pada diri. Dia tidak mahu anak-anak tanpa ibu dan ayah itu hidup merempat tanpa arah tujuan. Sayang jika mereka hidup tak tentu hala. Dia tidak mahu semua kanak-kanak itu kekurangan kasih sayang dan juga pendidikan yang amat penting untuk kebahagiaan masa depan.
Dia senyum mengenangkan kerja buatnya. Sebagai seorang bekas pelajar maktab perguruan dia lepaskan semua impian papa demi meraih impian sendiri. Papa mahu dirinya menjadi seorang guru. Dalam terpaksa dia ikut kemahuan lelaki itu sehingga tamat belajar. Tetapi ditolaknya tawaran sebagai guru terlatih di Lembah Klang kerana mahu meneruskan impian sendiri.
Inilah cita-citanya. Menjaga mereka bagaikan nyawa sendiri. Bahkan dia buka perniagaan sendiri untuk menyara anak-anak angkatnya.
“Puan, Layla menangis. Dari tadi tak mahu tidur. Agaknya dia nak puan yang dodoikan.” Lamunannya terhenti. Pembantu rumah berketurunan Riau itu datang membawa Layla yang baru berusia 3 bulan. Bayi kecil itu dia angkatkan di hospital sejurus dilahirkan oleh seorang gadis yatim berusia 19 tahun. Ibu Layla meninggal dunia setelah melahirkannya dan ayahnya pula tidak sempat mengazankannya kerana terlebih dahulu meninggalkan alam fana kerana terlibat dengan kemalangan di tempat kerja.
Pedih hatinya melihat bayi perempuan itu. Tidak sempat meneguk susu ibunya dan sekarang anak kecil itu hanya bergantung dengan susu formula.
“Tak apa. Rina pergi sambung kerja lain. Biar Layla dengan saya.” Diambilnya Layla dari dukungan pembantu rumah tersebut. Dodoikan tetapi Layla tetap keraskan mata. Akhirnya dia tinggalkan anak-anak yang lain dengan Cikgu Atikah. Guru muda yang dibayar khas untuk bekerja dengannya itu kebetulan memang sukakan anak-anak kecil.
Juwieta membawa Layla masuk ke dalam bilik tidurnya. Letak di atas katil dan dia pun berbaring sama. Tepuk paha anak kecil itu perlahan-lahan dengan iringan selawat nabi dari mulutnya. Sekejap saja Layla pun terlena dan Juwieta tersenyum puas. Begitulah Layla. Susah benar hendak tidur dengan orang lain. Terpaksalah dia sendiri yang tidurkan anak kecil itu.
Apabila Layla benar-benar lena dia bangkit dari katil lalu melangkah ke almari pakaian. Menjenguk keluar seketika. Hari semakin petang dan dia perlu ke restoran untuk melihat keadaan di sana. Hanya sekali sehari sahaja dia dapat ke sana. Kalau tidak subuh hari tentu waktu petang begini. Hati amat berharap seperti hari-hari lain juga, dia akan mendapat keuntungan berlipat ganda untuk sama berkongsi dengan anak-anak angkatnya.
Melihat pakaian yang tergantung di dalam almari terdetik rasa ingin memakai abaya.
Sudah lama dia tidak mengenakan sebarang jubah lalu ditariknya sehelai abaya yang berlipat. Jubah yang tak perlu digosok itu menjimatkan masanya. Dengan senang hati ditariknya keluar namun ada pakaian lain yang jatuh ke bawah. Melihat kemeja putih yang berlubang di dada terlentang di atas lantai air matanya turun dengan laju. Abaya di tangan diletakkan ke bawah dan ambil kemeja lalu bawa ke katil.
Tenung kemeja tersebut dan kenangan dengan pemilik muncul satu persatu. Air mata juga mengiringi keluar sama laju dengan kenangan yang muncul.
Kalaulah masa boleh diputar kembali dia tidak akan membenarkan jasad pemilik kemeja ini luka berdarah. Bahkan hati orang lain akan terjaga. Namun dia yang memulaka. Dia yang membuat semua orang sengsara.
Hati menangis pilu dan bibir pun kelu.
*****
Perlahan-lahan Syifaa tarik selendang putih dari dalam laci almari pakaian. Bawa naik ke hidung lalu mencium dengan sepenuh hati. Menzahirkan rasa rindu yang tak tertanggung. Terbayang-bayang mawar putih di atas selendang. Kelopaknya yang gugur satu persatu saat diramas menerjunkan air mata yang bergenang di kelopak mata.
Kalaulah dia tidak tersesat tadi tentu dia tidak akan mengingati lagi kenangan yang cukup pahit dalam hidupnya. Kerana sebaris nama yang dibaca dia menangis buat kesekian kalinya.
Tangan meramas selendang itu berulang kali dengan rasa rindu yang tak tertahan. Walaupun selendang itu sudah lama terkurung di dalam almari baunya masih ada. Haruman mawar putih meruap masuk melalui rongga hidungnya.
Mawar putih.
Itulah tanda cinta arwah suaminya. Dia tak akan lupakan sikap romantis lelaki itu. Setiap pagi dia akan dikejutkan dengan kuntuman mawar indah itu. Walau hanya sekuntum setiap pagi tetapi ia memberi seribu erti dalam hidupnya.
Dari sekuntum bunga sehingga menjadi 99 kuntuman semuanya terhias indah di dalam pasu di biliknya. Itulah masa yang diambil lelaki itu untuk memenangi hatinya. 99 hari lamanya lelaki itu menunggu lamaran diterima. Lamaran yang datang tanpa cinta. Dia yang awalnya keras hati akhirnya sudi menerima lamaran lelaki itu. Lelaki itu berjanji akan menghadiahkan kuntuman yang keseratus pada hari pernikahan mereka. Tetapi… bukan bunga ya g dia dapat. Sebaliknya kematian tak terduga menghempap mata. Bahkan pada hari kematian itu jugalah dia mengetahui. Dia telah dibohongi. Pembohongan yang cukup kejam.
Air matanya tak mahu berkompromi. Terus gugurkan diri dan dia lempar selendang ke dinding. Pedih hatinya bila kenangan lalu digembur kembali. Dia sudah berjanji untuk tidak mengingatnya semula tetapi dia tewas.
Dia benci dengan apa yang berlaku. Dia benci dengan lelaki itu. Tetapi dalam masa yang sama dia merindui.
Betapa kejamnya mereka yang membuatnya begini. Sampai dia malu dengan diri sendiri. Malu dengan orang tuanya. Kerana lelaki itulah dia melawan kata umi.
Sungguh berat apa yang dia rasa lalu dipeluknya lutut dengan erat dan hamburkan tangisan semahu hati.
“Eh, kau ni dah kenapa?” tiba-tiba Farah muncul dan menyoal geram. Nasib baik Syifaa tak menutup pintu bilik. Dia yang hendak ke dapur mahu meneguk ais kosong terkedu mendengar tangisan gadis itu. Terbit kesal dalam hati tetapi hanya seketika. Datang rasa geram apabila sedar Syifaa masih mengingati kenangan pahit yang lama.
“Kau jangan nak seksa diri kau Syifaa. Dah enam tahun berlalu kau masih nak menangis tak tentu pasal lagi,” omel Farah geram. Syifaa sudah panggung kepala lalu kesat air mata dengan rakus.
“Bodoh kan aku. Percaya dengan lelaki macam tu.” Terluah suara sendu Syifaa namun digeleng Farah.
“Kau tak bodoh. Tapi… itu semua ujian untuk kau. Tuhan tahu kau kuat Syifaa sebab tu lah Dia pilih kau untuk jadi isteri arwah. Walaupun tak sampai sejam dua aku tahu kau kuat.”
“Aku tak kuat Farah. Aku tak kuat,” tempik Syifaa tiba-tiba dan mengejutkan Farah. Pantas hempaskan punggung sebelah Syifaa lalu usap bahu itu.
“Kau jangan ingat boleh. Tak pasal-pasal demam pula. Lagipun esok kan masih sekolah,” nasihat Farah. Tolong sapu air mata Syifaa yang jatuh ke pipi.
“Kau kena kuat. Kalau kau tak kuat macam mana kau nak handle pelajar kau yang sorang tu.”
Syifaa tersentak.
Dia terlupa. Masih banyak cabaran yang perlu dia ditempuhi.
“Memang aku tak boleh halang kau untuk lupakan kenangan kau. Tapi aku harap kau jadikan ia sebagai penguat semangat untuk kau teruskan hidup kau. Jangan mudah kalah dengan ujian, Syifaa!” pesan farah lagi dan Syifaa angguk dalam wajah yang masih basah.
Share this novel